Selasa, 16 Ogos 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 68



FAIZAL terus meneliti dokumen yang terbentang di atas meja di hadapannya. Anak guamnya telah menyediakan segala dokumen itu dengan teliti. Mesej pesanan ringkas yang tersimpan di dalam telefon bimbit telah dirakam dalam bentuk foto  disusun dengan teliti mengikut kronologi peristiwa tarikh dan masanya. Emel-emel daripada orang yang telah melakukan jenayah terhadapnya juga telah dicetak dan dijilid bersama laporan peribadinya yang dikarang dengan jelas maklumat serta faktanya.
“Hisy,kasihan perempuan ni!”rungutnya perlahan dengan nada kesal. ‘Wajarlah dia diberi keadilan. Sudah lama dia menderita dan sengsara jiwa kerana peristiwa hitam yang ditempuhnya,’fikir Faizal.
“Apa yang berkerut-kerut sangat muka kau tu?”tanya Rais yang baru masuk ke dalam pejabat. Dia baru balik dari mahkamah mengendalikan satu kes.
“Aku kasihan dengan perempuan ni.Lama sangat memendam rasa dan derita untuk membuat pendakwaan ke atas penjenayah,” jawab Faizal.
“Apa masalahnya? Bukankah pihak pendakwa boleh mendakwa seseorang yang telah melakukan sesuatu kesalahan jenayah walau selepas lima tahun, 10 tahun atau 20 tahun dari tarikh seseorang itu melakukan jenayah?”soal Rais kembali sambil menjeling dokumen-dokumen yang berselerak di atas meja Faizal.
“Hal itu aku fahamlah kawan, bukankah dalam undang-undang jenayah ada menyebutkan ‘tiada had masa yang dikenakan terhadap kerajaan’ (untuk mendakwa dalam kes jenayah),” balas Faizal pula.
“Asalkan orang yang melakukan jenayah dan orang yang menjadi mangsa jenayah masih hidup,” sambungnya.
“Apa kesnya?” soal Rais penuh minat.
“Jenayah seks.Penjenayah mulanya mengajak mangsa melakukan zina, apabila gagal, dia telah mencabul kehormatan, meliwat, memperkosa dan seterusnya memfitnah mangsa,” jawab Faizal dengan suara kuat.
“Perempuan bangsa kita ke?”soal Rais lagi.
“Ya, seorang perempuan Melayu. Berumur 33 tahun yang baru kematian suami. Dia pendam ceritanya selama beberapa tahun kerana menyembunyikan rahsia ini daripada pengetahuan suaminya,”cerita Faizal dengan nada kesal.
“Kasihannya... tapi nasib baiklah dia masih ingin membuka kes ini dan mencari keadilan. Kalau setengah-setengah perempuan lain mungkin biarkan sahaja diri menjadi mangsa,”balas Rais.
“Alah... Rais,kadangkala mangsa jenayah seks ni berasa malu untuk mendedahkan peristiwa buruk yang telah mereka alami. Mereka lebih rela menderita sehingga mati kerana trauma dan membiarkan penjenayah lepas bebas daripada menuntut keadilan untuk diri sendiri,” kata Faizal pula.
“Aku rasa bangga pulak dengan akak ni.Selama dia menjaga suaminya yang sakit sehingga ke akhir hayat suaminya itu, dia mengumpul kekuatan untuk bangkit dan berdepan dengan kes yang berat ni,”tukasnya pula.
“Boleh aku baca laporan ni? Dan tengok semua dokumen?”pinta Rais.
“Silakan, Rais! Kau telitilah semua dokumen ini. Aku nak pergi makan tengah hari. Petang nanti boleh kita berbincang tentang hal ini! Kita mesti tolong dia dapatkan keadilan,”kata Faizal penuh bersemangat sambil menepuk bahu Rais. Mereka berkawan baik dan telah berkongsi membuka firma guaman itu di Taiping. Firma Guaman, TETUAN FAIZAL DAUD&RAIS SHUKRI, telah berusia dua tahun.
“Oh ya, ada VCD jugak! Yang itu kita simpan dulu,” beritahu Faizal sebelum beredar dari bilik itu. Rais mengambil semua dokumen di atas meja Faizal lalu membawa ke biliknya. Dia menghenyakkan punggungnya di atas kerusi lalu mencapai dokumen bersaiz A4 yang telah dibukukan dengan kemas. Tajuk pada kulit buku itu tertulis CATATAN PERISTIWA HITAM.
Rais menyelak lembaran kertas perlahan-lahan. Bola matanya meneliti satu persatu perkataan yang ditaip rapi pada muka surat pertama untuk mencari  nama mangsa. Kecewa di muka surat pertama, dia menyelak di muka surat terakhir. Di ruang tandatangan mata Rais terus meneliti beberapa kali dan cuba mengingati sesuatu. Dokumen itu ditandatangan oleh Dayana binti Mohd Yusof.
‘Dayana Mohd Yusof?’soal hatinya berkali-kali. Nama itu bagaikan sudah biasa dalam kalangan keluarganya. ‘Dayana Mohd Yusof,’ bisik Rais lagi. Terus menyebut nama itu berulang kali dan cuba mengingati.
“Dayana, Yana, Kak Yana! Ya ALLAH! Kak Yana ni.”Rais bercakap sendiri.
Mangsa jenayah seks itu dikenalinya benar. Bukankah itu tunangan abangnya, Akif?Lantas tangannya bertambah laju menyelak dokumen demi dokumen yang berada di hadapannya dengan perasaan yang bergemuruh. Setelah itu dia mencapai gagang telefon dan menekan butang-butang nombor di telefon dengan tangan yang menggeletar.
                  
TELEFON bimbit di dalam genggaman bergetar sebaik sahaja Akif masuk ke dalam rumah. Panggilan daripada Rais terus dijawab sambil berjalan menuju ke sofa. Telinganya dipasang betul-betul untuk mendengar cerita daripada adiknya itu.
“Ya ALLAH! Subhanallah! Laillahaillallah. Astaghfirullahalazim,” begitulah ucap bibir Akif sewaktu mendengar penerangan daripada Rais yang menelefonnya.
“Kalau begitu kau mesti tolong dia, Rais. Beritahu dengan Faizal jugak! Kos guaman  abang tanggung 100%. Walau berapa pun.”Kuat suara Akif memberitahu. Dia mengepal-ngepal penumbuknya dengan perasaan geram.
“Insya-ALLAH, bang.Doakan kami.Abang sabar ya,”pesan Rais sebelum menamatkan perbualan.
Akif terus terduduk sebaik sahaja gagang telefon diletakkan. Nafasnya tiba-tiba  menjadi  sesak.
“Abang, kenapa ni? Ya ALLAH!”soal Nur Aiman cemas apabila melihat wajah Akif pucat sambil menggosok-gosok dadanya berulang kali.
“Aiman, tolong! Abang sakit dada,” jawab Akif lemah. Dahinya berkerut. Nafasnya tercungap-cungap. Saluran pernafasannya seolah menjadi sempit.
“Ya ALLAH, kenapa dengan abang ni? Tiba-tiba aje?”soal Nur Aiman sambil menangis cemas. Dia turut membantu Akif menggosok-gosok dada suaminya itu. Agak lama juga Akif berada di dalam keadaan sesak nafas itu. Nur Aiman pun bertambah panik.
“Aiman, pergi ambil ubat dalam almari. Dalam laci. Bawa ke sini dengan air suam,” arah Akif dengan suara perlahan. Pernafasannya beransur pulih. Alhamdulilah, bisiknya.
 Nur Aiman segera mematuhi suruhan suaminya itu. Di hatinya juga timbul tanda tanya. Mungkin Akif mengalami masalah jantung dan menyembunyikan penyakitnya. Dia muncul semula di hadapan Akif tidak berapa minit selepas itu.
“Ini ubatnya, bang.”Bekas ubat dan segelas air suam dihulurkannya kepada Akif. Dia merenung wajah suaminya itu yang tidak lagi pucat seperti tadi. Namun begitu Akif seolah sedang menyembunyikan sesuatu. Dia berasa takut pula untuk bertanya.
“Abang nak balik Malaysia segera.Aiman larat tak?”soal Akif sebaik sahaja menelan dua biji ubat.
Gelas yang sudah kosong dihulurkan kembali kepada Nur Aiman. Matanya merenung perut Nur Aiman. Isterinya itu yang sedang mengandung kali ke-3. Anaknya yang kedua selepas Haiqal, mati dalam kandungan. Pada waktu itu kandungannya sudah berusia lapan bulan. Lama peristiwa itu berlalu. Lama juga Nur Aiman berada di dalam kemurungan kerana kehilangan anak-anaknya. Hampir dua tahun selepas itu, baru-baru ini sahaja Nur Aiman mengandung lagi.
“Aiman baru mengandung dua bulan! Rasanya macam larat aje,”jawab Nur Aiman bersemangat.“Aiman tak takut tumpah darah? Doktor dah beritahu, rahim Aiman bukan kuat sangat,”ujar Akif. Cuba mengigatkan Nur Aiman.
“Kuat! Insya-ALLAH. Aiman nak ikut juga abang balik,”tegas Nur Aiman. Akif merenung ke wajah isterinya itu. Sorotan matanya agak lama.
“Sebelum kita balik ke sana, abang nak bincang sesuatu dengan Aiman,”jelas Akif lagi.
Nur Aiman mengangguk. Dia memegang tangan Akif sambil melentokkan kepalanya pada dada suaminya itu.
Hatinya membisikkan sesuatu. Sesuatu yang tidak dimengerti. Dayana bt Mohd Yusof. Terlintas nama itu dibenaknya dengan tiba-tiba. Mungkin hal yang ingin dibincangkan suaminya ada kaitan dengan Dayana. Akif telah menceritakan segalanya tentang Dayana kepadanya.
Dulu, emak dan ayah Dayana menghalang Akif dari bertemu dengan anaknya kerana Dayana masih bersuami dan suami Dayana sedang sakit. Kini, mungkin suami Dayana telah meninggal dunia dan Dayana telah menjadi janda. Tebak Nur Aiman. Hatinya pula seolah tersula. ‘Apakah telah tiba saatnya TUHAN akan mengambil Akif dariku? Ya ALLAH,’ tangis hati Nur Aiman.
“Aiman, abang mintak maaf kalau apa yang abang beritahu nanti akan melukakan hati Aiman,” bisik Akif dengan suara serak sambil memeluknya kuat-kuat. Di telinganya dia mendengar Akif teresak. Hujan airmata di hatinya juga semakin lebat.









Tiada ulasan: