CAHAYA matahari semakin cerah. Zaim sedang asyik mengelap keretanya. Hari itu dia
bercuti dan tinggal bersendirian di rumah. Alina isterinya pergi ke sekolah tempat anak mereka
belajar kerana mendapat surat panggilan dari pihak sekolah.
Menyisihkan kesunyian, suara radio di dalam kereta
sengaja dikuatkan. Zaim mengelap kereta sambil bersiul-siul riang, mengikut
irama lagu nasyid klasik yang sedang di dengarnya. Senikatanya juga menarik. Isterinya
suka sangat dengan lagu yang sedang didengarnya itu.
Sebentar lagi pasti Alina balik dari sekolah. Jika tidak
kerana memikirkan kepulangan isterinya itu, dia pasti mendengar irama dangdut. Mengelap
kereta sambil berdangdut. Buat latihan di rumah sebelum menari di kelab dangdut.
Zaim mengekek sendiri mengenangkan kecerdikannya. Memikirkan kebodohan
isterinya yang puas ditipu hidup-hidup.
“Hidup muda hanya sekali, beb!”Zaim bercakap sendiri. ‘Buat
jahat, kemudiannya melakonkan watak baik, berlagak suci, tiada siapa yang dapat
mengesan perangai jahatku,’bisik hatinya sambil membetulkan rambutnya yang menggerbang
panjang sampai paras pinggang. Zaim mengekek sendiri lagi.Rambut yang panjang
menggerbang itu akan disembunyikannya di dalam serban sewaktu hendak pergi bersembahyang
di masjid.
Serbannya yang berlingkar di atas kepala macam ular sawa sedang
mengeram itu akan menyembunyikan rambutnya. Alina pun tak pernah marah. Herot
saja bibir Alina, tersenyum senang apabila melihat penampilannya sewaktu hendak
ke surau atau masjid. ‘Macam orang alim-alim,’komen isterinya.
Isterinya itu semakin menyayanginya sejak peristiwa
pertengkaran mereka gara-gara menerima SMS daripada Dayana beberapa tahun dulu.
Zaim tiba-tiba teringatkan Dayana. RM3000 yang dipinjamkannya daripada wanita
itu belum dilunasinya lagi.
‘Lama aku tak jumpa dengan perempuan tu.Agaknya dah
mampus! Atau pindah ke tempat lain! Bodoh! Siapa berani nak tangkap aku? Kau
buat cerita tetapi tak ada bukti, sekarang dah malu dan lari! Masuk kubur
agaknya,’ bisik hati Zaim lagi.
“Abang!”pekik Alina sebaik sahaja keluar dari keretanya. Zaim
cepat-cepat menyiput rambutnya yang menggerbang.“Abang!”pekik Alina lagi sambil
berjalan laju menuju kepada Zaim.
“Ada apa awak, terpekik-pekik, kenapa?”tanya Zaim pula. Matanya
mengecil merenung Alina.
“Berjalan macam nak terbang aje,” perlinya pula. Wajah Alina
yang mencuka dan muncung meresahkannya.
“Awak tahu tak kenapa pihak sekolah panggil kita datang
ke sekolah?”soal Alina dengan nada marah. Mukanya pun sudah mewarna merah jambu.
“Mana saya tahu!Eh, kan awak yang pergi menghadap
Penolong Kanan HEM, tadi. Apa ceritanya?” soal Zaim kembali. Wajah marah Alina
ditenungnya.
“Aizad jadi murid cemerlang ke? Pihak sekolah dah calonkan
kita jadi ibubapa contoh agaknya!”tebak Zaim pula. Mendengarkan kata-kata itu Alina
terus merengus dan bercekak pinggang mendepani Zaim.
“Cemerlang? Kita nak jadi ibubapa contoh?”tempelak Alina
kuat. Zaim terkulat-kulat.
‘Hai lain macam angin Alina hari ni,’bisik hatinya.
“Kalau tidak?”soalan Zaim tergantung-gantung. Cuak
hatinya melihat Alina yang menyinga.
“Malu! Malu saya tadi, bang! Tak tahu nak sorokkan muka
kat mana!”adu Alina dengan suara kuat.
“Apa yang Aizad dah buat? Dia selak baju budak perempuan
ke?”teka Zaim. Dulu,sewaktu bersekolah rendah dia selalu melakukan aktiviti
sebegitu.
“Aizad tengok VCD lucah!”tempik Alina. Hampir saja
jantung Zaim meletup. Mulutnya melopong. Otak fikirannya mula terasa tegang.
“Dia cerita kepada kawan-kawannya. Lepas tu, dia bawa VCD
tu ke sekolah,” beritahu Alina dengan nada kuat dan marah. VCD dilambakkannya
di hadapan Zaim. Dihempasnya di atas penutup bonet kereta. Zaim terkedu dan
terkejut. ‘Mati aku kena marah dengan Alina,’bisik hatinya sambil memikir dalih
untuk melepaskan diri.
“Astaghfirullahalazim. Subahnaallah.Di mana Aizad dapat VCD
tu? Buat malu mak bapak aje! Malu muka abang dengan jemaah masjid nanti!”tukas Zaim
dan berpura-pura sedih. Berkali-kali dia beristihgfar sambil meraup wajahnya
dengan perasaan kesal. Bermacam kalimah zikir meniti bibirnya konon untuk
mententeramkan hatinya kala itu.
“Masya-Allah, mak bapak orang alim, anak pulak buat hal,”
katanya lagi sambil menggeleng dengan wajah kecewa palsu.
“Aizad!”panggil Alina kepada anak sulungnya yang di dalam
darjah 2. Aizad sedang menyorok di dalam kereta kerana takut dipukul oleh mama
atau abahnya.
“Aizad, keluar dari kereta tu! Mari sini cerita pada abah,
dimana kamu dapat VCD ni?”jerit Alina sambil memanggil anaknya. Aizad keluar
dari kereta takut-takut. Airmatanya
berlinangan.
“Aizad pernah nampak abah tengok cerita tu, kalau mama
tak ada di rumah! Selalu Aizad nampak. Aizad pun intai-intai. Cerita tu macam
seronok! Bila abah dan
mama tak ada di rumah,Aizad pun carilah VCD tu,”cerita Aizad tersangkut-sangkut.
Matanya merenung Zaim dan Alina silih berganti.
“Bila abah ada tengok?”nafi Zaim sambil menjegilkan matanya
kepada Aizad. Dia memberi isyarat mata kepada anaknya itu supaya tidak
bercerita lagi kepada mamanya.
“Abah tipu! VCD tu Aizad jumpa dalam sampul VCD orang
mengaji Quran! Aizad pun tengoklah, guna laptop!”cerita Aizad lagi.
Matanya yang sudah digenangi airmata mula memerah. Dia
menoleh ke arah jalan menghala masuk ke rumah mereka. Sebuah kereta polis
sedang menuju ke situ. Hati Aizad bertambah kecut dan takut. Pundi kencingnya
terasa penuh. Tadi Penolong Kanan HEM ada memberitahunya kalau dia mengulangi
kesalahannya itu, pihak sekolah akan membuat laporan polis. ‘Tetapi kenapa
polis datang sekarang?’bisik hatinya.
“Mama,polis! Polis datang, mama! Aizad tak mahu kena
tangkap! Aizad tak mahu masuk penjara!”Aizad tiba-tiba melolong dan menerpa
mamanya.Alina pun terkejut melihat polis yang sedang memarkirkan kereta
berhampiran pokok jambu di tepi rumah.
“Assalamualaikum, maaf, encik, puan! Ini rumah, Encik Zaim?”soal
salah seorang anggota polis sambil menghampiri mereka. Mereka datang berempat
termasuk pemandu kereta. Debaran dada Zaim bergemuruh.
‘Agaknya blog aku telah dapat dikesan oleh pihak berkuasa,’tekanya.
Blognya yang mengandungi fitnah yang macam-macam terhadap
parti pemerintah. Pilihanraya semakin hampir. Fitnah mesti terus ditaburkan
supaya rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan yang ada sekarang.
‘Kantoi!’bisik hatinya lagi. ‘Silap-silap haribulan kena
tahan dibawah akta hasutan,’tebak hatinya. Tubuhnya semakin menggeletar. “Ya...”jawab
Alina sepatah
sambil matanya merenung ke wajah Zaim.
“Encik Zaim, ada?”soal anggota polis lagi.
Tubuh Alina semakin terketar. Begitu juga Zaim. Tanah
yang dipijak terasa bergoyang tambahan pula dua orang anggota polis sudah siap
sedia berdiri di sebelahnya. Kiri dan kanan. Salah seorang daripada mereka siap
siaga memegang pistol dipinggang.
“Saya Zaim...”akui Zaim dengan suara menggigil. Serentak
dengan akuannya itu, tangannya terus dikilas ke belakang dan digari oleh
anggota polis yang berada di sebelah kanannya.
“Ikut kami ke balai!”kata mereka hampir serentak.“Ini,
waran dari mahkamah,” tunjuk anggota polis berpangkat sarjan kepada Alina yang
tergamam.
“Tapi apa salah saya?”soal Zaim sambil meronta.
Kulit mukanya terasa tebal. Badannya juga sudah bermandi
peluh. Dua tiga orang jiran yang lalu lalang sudah mula berhenti di
hadapan rumahnya. Zaim terasa malu. Hendak
menyerkup muka dengan rambut yang panjang dan mengerubu, tangan pula sudah
bergari. Rambut pula sudah ditoncit tinggi.
Anggota polis memaparkan waran tangkap di hadapan Zaim, membolehkan
dia membacanya. Nafas Zaim seolah terputus pada ketika itu. Dipaparkan juga laporan
polis yang dibuat oleh Dayana bt Mohd Yusof. Zaim bernafas kencang. Alina
bungkam.
“Jalan...”kata anggota polis kepada Zaim lalu membawanya
menuju ke kereta polis.
“Sayang, abang tak bersalah. Abang kena aniaya ni, tolong!”rengekZaim
spontan apabila melihat Alina terkelu lidahnya untuk berkata-kata.
“Beri penjelasan di balai dan di mahkamah nanti,” beritahu
anggota polis lalu menolak tubuh Zaim ke dalam kereta dan menutup pintu. Alina
mengiringi pemergian Zaim dengan deraian airmata. Tanpa kata-kata. SMS terakhir
yang pernah diterimanya daripada Dayana binti Mohd Yusof terbayang di mata.
Selagi Zaim tidak memberi penjelasan dan
meminta maaf kepada saya di atas perbuatan buruknya terhadap saya, perkara ini
tidak pernah selesai. ALLAH menjadi saksi. Wassalam.
“Mama, kenapa polis tangkap ayah?”soal Aizad yang sedari
tadi berdiam diri.
“Arrghh!”raung Alina lalu terjelepok di atas tanah sambil
merangkul anaknya.
SETELAH melalui pelbagai halangan, alhamdulillah, perbicaraan
kesnya akan bermula esok. Dayana singgah di pekan untuk mencari beberapa buah
buku yang boleh dijadikan panduan untuk dia menghadapi perbicaraan itu. Buku
yang dapat memotivasikan dirinya.
Memang peristiwa itu telah lama berlalu. Memang dia telah
memaafkan perbuatan Zaim. Namun, membebaskan lelaki itu daripada tindakan
undang-undang mungkin tidak ada kewajarannya. Demi maruahnya yang telah
tercemar, dia tetap akan meneruskan pendakwaannya. Mungkin, peristiwa ini
peristiwa yang memalu dan mengaibkannya tetapi dia tidak peduli. Si penjenayah tidak boleh
dibiarkan bermaharajalela! Biar hal ini menjadi pengajaran dan motivasi kepada
wanita-wanita lain. Itulah keputusan hatinya.
Apa pun yang terjadi dia tetap akan meneruskan niatnya
untuk mendakwa Zaim. Walaupun telah dirayu oleh isteri lelaki itu supaya
menarik balik tuduhannya. Saman RM1 juta di atas fitnah yang dilakukan oleh Zaim
terhadapnya pasti akan membelit lelaki itu. SMS yang dikirimkan oleh Alina
dengan tujuan menghinanya itu akhirnya menjadi jerat. Ikut mana pun Zaim pasti
akan dihukum.
Mungkin bukti terhadap pendakwaan yang dibuat, iaitu Zaim
telah mengajaknya melakukan zina, telah mencabul kehormatan, meliwat, memperkosa
tidak begitu kuat, jika bukti yang ada hanyalah SMS, e-mel.
Namun Zaim telah memfitnahnya dengan fitnah yang dahsyat.
Zaim telah memfitnah kononnya dia telah menunggu lelaki itu di dalam sebuah
hotel dalam keadaan berbogel. Itulah yang paling menyakitkan hatinya. Sedangkan
hakikatnya pada waktu Zaim
muncul di depan pintu bilik hotel itu, dia baru usai solat zuhur dan membaca
surah yasin. Masih bertelekung.Dia tidak mengajak Zaim datang ke bilik hotel
pun.
Zaim pasti tidak mampu untuk membuktikan kebenaran cerita
fitnahnya itu. Saman RM1 juta pasti tidak mampu dibayar, dan dia akan dihumban
ke penjara jika disabitkan dengan kesalahan itu. Paling penting, faktanya, dalam
SMS itu,Zaim telah mengaku kepada isterinya yang dia memang ada bertemu
dengannya di bilik hotel. Namun bersyukurlah kerana TUHAN telah mengaturkan
segalanya dengan bijaksana. Di kala dia tercari-cari bukti kukuh, Zulaika
datang menyerahkan rakaman video yang telah dipindah ke cakera padat. Kini
bukti yang ada sangat kuat.
“Uncle,saya nak
cari buku motivasi,”beritahunya kepada lelaki India pengurus kedai buku itu. Di
dalam kedai itu penuh dengan buku sehingga dia tidak tahu hendak mencari di
bahagian mana.
“Belakang sana,”jawab lelaki India itu lalu mengarahkan telunjuknya
ke belakang.
‘Wah, banyaknya buku,”bisik hati Dayana dengan mata yang
bercahaya. Satu demi satu buku diambil dan diteliti tajuk dan kandungannya. Sedang
dia asyik memilih buku yang dirasakan sesuai untuknya, lengannya tiba-tiba
dipegang seseorang. Dayana tersentak dan terkejut. Dadanya tiba-tiba bergemuruh.
Dia yang sedang menundukkan mukanya kerana membaca judul
buku menjeling batang tubuh yang berada disebelahnya. Lelaki itu masih lagi
memegang lengannya dengan kuat. Dada Dayana dipalu debaran kencang. Jantungnya
berdegup laju. Tubuhnya mula menggigil. Nafasnya seolah-olah terhenti. Dia
takut untuk menoleh dan mendongak serta melihat wajah lelaki yang sedang
memegang lengannya itu. Dia terasa hendak menangis. Susuk tubuh itu amat dikenalinya
benar.‘Tidak mungkin,’bisik hatinya. Enggan mempercayai siapa yang bakal
dilihatnya nanti.
“Yana...”bisik lelaki itu. Suaranya serak dan parau. Suara
itu? Hentaman debaran di dada Dayana semakin kuat. Lelaki itu menarik tubuh
Dayana perlahan supaya beralih menghadapnya. Mahu tidak mahu Dayana terpaksa
mendongak dan menatap wajah lelaki itu. Demi terlihat sahaja wajah lelaki itu, jantungnya
seolah-olah gugur.
‘Oh, tidak!’
“Akif?”tanya Dayana sambil tercengang beberapa seketika. Seluruh
dinding kedai buku itu seolah-olah runtuh dan menghempapnya. Pandangan matanya
terasa berpinar-pinar.‘Tak mungkin,’ kata hatinya. Dia terus menatap wajah
lelaki yang sedang merenung ke wajahnya. Bibirnya bergetar.
“Yana...”kata Akif pula yang seolah-olah ingin memeluknya.
Cengkaman tangannya kepada lengan Dayana semakin kuat seolah-olah tidak ingin dilepaskannya
sampai bila-bila. Kedua-duanya bertatapan seketika dan tidak mampu mengungkap
kata-kata lagi. Nur Aiman yang sedang memilih buku tidak jauh dari situ terus
menghampiri Akif dan memegang lengan suaminya pula.
“Kenapa ni, bang?”soalnya lembut. Pandangan matanya ke
wajah wanita dan Akif silih berganti. Bukankah wajah wanita itu seakan-akan
wajah wanita yang pernah dilihatnya di dalam bilik Akif beberapa tahun yang
lalu? Dada Nur Aiman berdebaran.
“Aiman, ini Yana! Yana, ini Nur Aiman, isteri Akif!”perkenal
Akif kepada Dayana. Dushhh!Bagaikan tusukan belati ke dasar hatinya, kenyataan
itu membuat Dayana terkesima. Hatinya bagai kena korek.
‘Oh, TUHAN, dugaan apakah ini, ya ALLAH,’bisik hati
Dayana. Dia tidak sanggup untuk berdepan dengan ujian yang sangat besar dan
hebat ini. Kolam matanya mulai pedih. Koyakan dihati yang kian lama tertimbus
mulai terbuka. Sakit dan bisanya kembali terasa.
‘Akif! Akif! Mengapa muncul kembali? Mengapa?’soal hati
Dayana. Dia bungkam tidak bersuara. Perbendaharaan kata di dalam mindanya
seolah terpadam. Mindanya kosong.
Tak dapat ditahan, airmatanya terus berhambur keluar. Dayana merentap
tangannya dari pegangan Akif lantas berjalan keluar dari kedai itu dengan
langkah deras. Tidak ingin dia menoleh lagi. Bumi yang dipijak bagaikan akan
hancur. Seluluh hatinya pada saat itu.
“Yana! Yana! Tunggu!”panggil Akif lalu mengejar wanita
itu yang hilang di celahan orang ramai. Dayana terus berlari menuju ke
keretanya. Masuk sahaja ke dalam kereta, dia terus meraung sekuat hatinya. Wanita
itu menghidupkan enjin kereta lalu memecut laju meninggalkan tempat itu. Pedal
minyak ditekannya kuat-kuat. Kereta yang dipandu semakin lama semakin laju. Dia
ingin segera sampai ke rumah.
‘Nur Aiman.’ Bukankah nama itu yang pernah dikhabarkan
oleh emaknya beberapa tahun lalu. Wanita mualaf yang ingin berkenalan dengannya.
Yang panggilan telefon daripadanya ditunggu-tunggu sehingga kini. Rupa-rupanya
dia berkahwin dengan Akif. Sampai hati Akif mempermainkan cinta dan hati aku. Tergamaknya
dia memungkiri janji, membiarkan aku tercari-cari. Ya ALLAH! Inikah ketentuan-MU
untuk hamba-MU ini. Subhanallah.’Dayana terus bermonolog sambil memandu dengan
laju.
PROTON Persona putih milik Dayana berhenti mengejut di halaman
rumah.Tanpa berlengah dia terus keluar dari kereta cepat-cepat. Matanya
meninjau ke arah jalan besar menuju ke rumah, bimbang lelaki tadi mengekorinya.
“Kenapa ni,Yana?”soal Mak Bedah yang melihat Dayana
keluar dari keretanya dengan pipi dibanjiri airmata. Dayana tidak menjawab. Dia
terus berlari memasuki bilik tidurnya. Sampai sahaja ke biliknya dia
menghumbankan dirinya di atas tilam lalu menangis teresak-esak.
Mak Bedah terpinga-pinga melihat telatah Dayana. Hatinya
bimbang. Belum sempat dia menaiki tangga ke tingkat atas, sebuah pacuan empat
roda meluncur laju ke halaman rumah dan terus berhenti di kaki tangga dengan
ciutan brek mengejut.
“Assalamualaikum!”laung Akif sebaik sahaja terjun dari
kenderaan yang dibawanya. Sampai sahaja kakinya di atas tanah, Akif menerkam ke
tangga rumah.
“Waalaikumussalam!Akif! Bila balik? Kenapa tergesa-gesa
ni?”soal Mak Bedah dengan nada terkejut.
Akif tidak menjawab, dia terus meluru menaiki tangga
rumah mengejar Dayana. Mak Bedah yang terkejut dengan tindakan Akif, mengekori
lelaki itu pula.
“Yana!”panggil Akif sambil mengetuk pintu bilik Dayana. Senyap.
“Yana!”ulang Akif lagi. Nafasnya mencungap. Kedegilan
Dayana menyebabkan perasaannya semakin tidak tentu arah.
“Buat apa Akif cari Yana lagi?”pekik Dayana dari dalam
biliknya sambil menangis. Mendengar Dayana yang menangis kuat itu hati Akif
semakin tidak keruan.
“Yana,tolonglah! Keluar dulu, Akif akan jelaskan
segalanya,” rayu Akif. Dia terus mengetuk pintu dengan kuat.
“Tak payah jelaskan apa-apa lagi! Yana tak mahu dengar!”jawab
Dayana kuat lantas menutup telinganya dengan bantal.
“Yana, jangan begini, sayang,”pujuk Akif hampir menangis. Dayana tidak
membalas kata-katanya lagi. Yang kedengaran di telinga Akif ialah bunyi sedu-sedan
Dayana yang menyayat hatinya.
“Yana! Yana!”panggil Akif bertalu-talu. Dayana terus
membisu.
“Yana tak mahu buka pintu ke?”soal Mak Bedah yang sudah
berada disisi Akif. Galau hatinya melihat lelaki itu sudah menekan-nekan
kepalanya ke daun pintu.
“Buka pintu ni, sayang!”pujuk Akif.
“Makcik,izinkan saya berjumpa dengan Yana.Tolonglah!”rayu
Akif. Dia kelihatan gelisah dan tak tentu arah.
“Saya bertembung dengan Yana di pekan tadi! Tapi dia
larikan diri dari saya. Makcik! Tolonglah, saya ingin berjumpa Yana walau satu
minit!”Rayuan Akif pada Mak Bedah berterusan.
“Ya, ALLAH!”bisik Mak Bedah sambil menggaru-garu
kepalanya. Bermacam-macam dugaan yang mendatang. Bagaimanalah Yana hendak
menghadapi segalanya di saat ini?
“Yana, keluarlah nak! Bincang elok-elok dengan Akif, ya,”pujuk
Mak Bedah. Situasi itu begitu mencemaskan hatinya. Fikirannya jadi kusut.
“Yana...”panggil Mak Bedah lembut. Harapannya biar hati anaknya
terpujuk.
“Yana tak mahu jumpa Akif!”tegas Dayana walau dipujuk
oleh emaknya.
“Tolonglah, mak! Jangan desak Yana. Beritahu Akif, Yana tak
mahu jumpa dia,” sambung Dayana lagi. Air mata sudah kering di pipi.
“Suruh dia jaga isteri dia elok-elok! Yana tak mahu jumpa
dia lagi, mak! Sampai hati Akif buat Yana begini! Mati-mati Yana sangka dia dah
tak ada lagi, mak! Tiap saat hati Yana menangis kerana merindui dan mengenang
dia!Rupa-rupanya dia berkahwin dengan perempuan lain!Kalau tak suka Yana, kenapa
tak berterus terang?”soal Dayana kepada Mak Bedah dari sebalik pintu biliknya. Akif
yang mendengar kata-kata itu meronta hatinya.
“Yana...”panggil Akif pula. Buntu fikirannya untuk
memujuk wanita itu. Dayana yang sudah terluka dan kecewa kerana tindakan
drastiknya.
“Yana,beri peluang Akif jelaskan segalanya kepada Yana. Sebenarnya
Akif ada datang ke rumah ni beberapa tahun yang lalu, tapi mak dan ayah yang
tak izinkan dia jumpa Yana,” beritahu Mak Bedah.“Sebab masa tu, Yana isteri
orang! Sedang menjaga Azmir yang sakit pulak.”
Dia pula berasa bersalah terhadap anaknya itu. Mendengar
penjelasan daripada emaknya, tangisan Dayana semakin kuat.
Nur Aiman yang dari tadi duduk di dalam kereta keluar lambat-lambat
dan terus naik ke rumah. Dia menghampiri Mak Bedah dan Akif. Memang betullah
tekaannya selama ini. Kitab Tafsir al-Quran yang pernah dihadiahkan oleh Mak
Bedah, milik Dayana tunangan Akif.
“Makcik...”sapanya sambil menghulurkan tangan.
“Nur Aiman?”soal Mak Bedah kebingungan sambil memandang
wajah Nur Aiman dan Akif. “Akif!”panggilnya. Matanya merenung Akif seolah
meminta jawapan.
“Makcik, Nur Aiman ni isteri saya,”jelas Akif. Mak Bedah
terus terlopong.
“Subhanallah, kenapa Aiman tak cerita kepada makcik yang
Akif ni suami Aiman?”soal Mak Bedah dengan suara kuat dan sesal. Nur Aiman
terkedu tidak terjawab, terus menangis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan