MALAM ini terasa hening. Akif masih duduk termenung di beranda
rumah orang tuanya. Kerusi rotan yang menampung tubuhnya digoyang-goyang ke
depan dan ke belakang. Hatinya resah. Saat ini dia rasa tertewas dengan situasi
yang menghimpitnya. Bukannya dia hendak menentang kehendak ALLAH. Tidak sama
sekali. Bahkan dia faham bahawa setiap perkara yang berlaku telah ditadbir
urus oleh DIA yang bijaksana. Hanya rasmi seorang manusia yang bersikap lemah
itu gagal menyingkap segala rahsia di sebalik perencanaan ALLAH.
“Akif jangan terlalu mendesak Yana tu,” nasihat ayahnya yang turut berada
di situ. Akif menoleh ayahnya seketika. Setelah itu dia melontarkan pandangannya
ke halaman rumah semula.
“Lapan tahun, Akif! Lapan tahun Akif terpisah dengannya. Bermacam
perkara yang terpaksa ditempuhinya, diharunginya sendiri,” tambah lelaki itu
lagi. Wajah muram anak sulungnya diamati. Bukannya dia tidak faham irama yang sedang
berdendang di hati anaknya itu. Faham sangat-sangat.
“Luka di hati Yana, hanya dia sahaja yang merasakannya,” kata
Pak Shukri perlahan.
“Sekarang ni, kita kena beri sokongan dan kekuatan
kepadanya untuk menghadapi kes itu,” nasihatnya bertali-tali. Sekali lagi Akif
menoleh kepada ayahnya.
Perkataan luka yang diungkapkan oleh ayahnya seolah-olah
menghiris hatinya juga. Sakit. Dia merasakan kesakitan itu mencucuk-cucuk dan
bisanya sampai memamah jantungnya.
“Ya, saya faham ayah! Cuma saya nak tebus dosa saya
kepada Yana! Kesilapan saya ialah terus mendiamkan diri dan tidak berterus
terang kepadanya,” kata Akif. Dia menyepi sekali lagi.Matanya terus menatap
langit yang ditaburi bintang. Bagai menatap diri sendiri. Menghadap diri
sendiri dan jiwa yang sedang resah.
“Ayah, saya pernah pergi ke rumahnya sebelum ini, tapi Pak
Yusof dan Mak Bedah jugak menghalang saya bertemu dengan Yana. Mereka tak mahu
Yana berasa menyesal kerana telah berkahwin dengan Azmir. Sekarang,
Azmir dah meninggal. Saya ingin nikahi Yana jugak!
Kepada Aiman pun saya dah beritahu,” sambung Akif pula. Serius kedengaran suaranya.
“Ayah dan mak pun mengharapkan perkara yang sama, Akif. Begitu
jugak dengan Pak Yusof dan Mak Bedah kamu, tapi biarlah Yana yang membuat
keputusannya, jangan dipaksa dia! Fahamilah perasaannya, Akif,” pujuk Pak
Shukri.
Akif terus mendiamkan diri. Sesalan yang menghinggapi
hatinya kerana tidak dapat berbicara dengan Dayana saat pertemuan mereka petang
tadi berbaur dengan rasa kecewa kerana bekas tunangannya itu, enggan
bertemu dengannya. Sedang rindu di hatinya semakin mendalam. Kerinduan yang
selama ini dibendung seolah meletus apabila dia terserempak dengan Dayana di
kedai buku.
“Aiman macam mana pulak?”soal Pak Cik Shukri. Pertanyaan
daripada ayahnya semakin mengusutkan fikiran Akif. Dia terdiam. Pelbagai
persoalan bermain di benaknya. Aiman. Yana. Aiman. Yana. Nama-nama itu bersilih
ganti diucapkan oleh suara hatinya.
“Tidakkah hatinya turut terluka nanti?”soal Pak Shukri. Bibir
Akif seakan terkunci. ‘Jika disebut perkataan terluka. Semua orang pun sedang
terluka. Aku. Aiman. Yana. Pak Yusof. Mak Bedah. Semua orang,’bisik hati Akif
sambil menelan airliurnya.
“Dia kena berkorban, ayah! Untuk menyembuhkan luka
orang-orang di sekelilingnya,” jawab Akif berkias.
“Tetapi dia tak bersalah,”balas Pak Shukri perlahan. Belas
pula kepada menantu Cinanya itu.
Tidak pasal-pasal hendak dimadukan pula. Namun,
mengenangkan nasib Dayana, perasaannya semakin tersula pula. Jika Akif tidak bertemu
dengan gadis Cina itu yang ingin membunuh dirinya dan terjun ke dalam sungai dalam hujan
lebat, pasti semua kekusutan ini tidak berlaku. Pak Shukri pula mengeluh berat.
Namun, semua ini kehendak yang di atas sana. Pujuk akalnya untuk mententeramkan
tasik hati yang berkocakan.
Belum sempat Akif menjawab, emaknya muncul dari arah
belakang.
“Akif,pergi tengok isteri kamu,”suruh Mak Esah yang
tiba-tiba muncul di beranda. Nada suaranya bimbang.
“Kenapa dengan Aiman, mak?”soal Akif sambil menoleh
kepada emaknya. Ingatannya kepada Dayana terganggu. Dia terus bangun dari
kerusi rotan.
“Pergilah tengok! Mak intai-intai dia dalam bilik tadi, nampak
macam sedang sakit dan mengerang aje! Pergilah tanya,”beritahu Mak Esah. Akif
terus menuju ke biliknya.
“Aiman, kenapa ni? Aiman tak sihat?”soal Akif sambil
menyentuh dahi isterinya. Wajah Nur Aiman yang berkerut seolah memberinya
isyarat yang isterinya itu memang sedang dilanda masalah.
“Abang, Aiman sakit perut,” adu Nur Aiman sambil mengerut
muka dan menekan-nekan perutnya. Akif memerhati cadar di bawah punggung Nur
Aiman. Dia menarik nafas panjang.
‘Astaghfirullahalazim,’bisik hatinya. Sudah acapkali
isterinya itu mengalami masalah yang serupa.
“Tunggu sekejap, abang panggil mak,” beritahu Akif lalu meninggalkan
Nur Aiman seorang diri.
“Mak, tolong tengokkan Aiman, mak!”ajak Akif lalu
berbisik kepada emaknya.
“Subhanallah! Kenapa dia tak beritahu mak,” rungut Mak
Esah. Dia terus meluru ke bilik Akif dan menerpa Nur Aiman.
“Aiman, tadi ada
terjatuh di mana-mana tak? Angkat paha kamu tu, mak nak tengok!”arah Mak Esah. Nur
Aiman pun mengangkat kedua-dua pahanya yang sudah lembab. Dia merintih
kesakitan.
“Aiman mengandung, mak!”beritahu Nur Aiman dengan suara
lemah.
“Lailahaillalah! Dah selambak darah atas tilam! Kamu
turun darah ni! Kenapa diam tak beritahu mak?”soal Mak Esah dengan nada kuat. “Akif,
yang kamu angkut isteri ke sana sini buat apa? Dah tau isteri mengandung dan
rahimnya lemah?Sekarang jom bawa Aiman ke hospital! Cepat!”desak Mak Esah.
“Yalah, mak!”jawab Akif. Dugaan demi dugaan datang
mengujinya.
“Aiman, tukar kain tu dulu. Dah basah lencun dengan darah,”kata
Mak Esah. Mahu tak mahu terpaksa dia membantu menantunya itu. Akif hanya
memerhati dan bersedia untuk mengangkat Nur Aiman ke kereta.
“Terima kasih, mak!”kata Nur Aiman dengan nada sebak. Perubahan
sikap emak mertuanya itu menyebabkan hatinya menguak lapang walaupun di dalam
kesakitan.
“Dah, Akif! Cepat bawa Aiman. Nanti kurang darah dalam
badan pulak. Bertambah lagi satu masalah,”rungut Mak Esah sambil membantu Akif
yang cuba mencempung Nur Aiman untuk dibawa ke kereta.
“Asyik turun darah tak habis-habis. Bila nak beranaknya?Aiman,
nanti kamu jangan ikut Akif balik Beijing. Duduk di sini dengan mak!”beritahu
Mak Esah dengan suara kuat. Akif dan Nur Aiman tidak menjawab, tetapi saling
berenungan sesama sendiri sambil mengukirkan senyuman.
LANGIT membiru. Gugusan awan bagaikan cebisan kapas yang
menghiasi angkasa. Alangkah eloknya jika cuaca cerah pada hari itu, biasan dari
sekeping hati seorang insan. Namun, tidak bagi Dayana yang masih berduka. Warna mendung masih
menabiri wajahnya. Dia yang masih lagi bercuti kelihatan murung.Tambahan
selepas kemunculan Akif dalam kehidupannya semula, hatinya bagai terumbang-ambing
sekali lagi. Kesedihan dan kekecewaan hatinya tidak tahu untuk diukur dengan
apa.
Deringan telefon yang meraung sedari tadi tidak
dihiraukan Dayana. Panggilan dari nombor yang tidak dikenali malas diberi
perhatian. Apatah lagi jika panggilan telefon itu daripada Akif. Lelaki yang
pernah dicintainya. Sejujurnya, cintanya kepada Akif tidak pernah terhakis,
namun untuk menerima Akif kembali dan mencantumkan impian mereka yang telah
terlerai dimamah takdir, hatinya tak mungkin terpujuk kembali.
“Jawab panggilan telefon tu, Yana,”suruh ayahnya dengan
suara lirih. Mata Pak Yusof menyorot ke wajah anak tunggalnya itu. Sudah
berulang kali telefon berbunyi, namun Dayana seperti telinga kuali.
“Nombor tu Yana tak cam, ayah! Lagipun Yana tak tunggu
panggilan daripada sesiapa,” jawab Dayana berdegil. Dia syak panggilan telefon
itu daripada Akif yang ingin memujuknya.
“Jawab Yana,”suruh emaknya pula apabila irama telefon
tangan Dayana tidak berhenti-henti berlagu.
“Akif agaknya tu! Kelmarin waktu dia datang ke sini, Yana
tak mahu jumpa dia. Mak dah bagi nombor telefon Yana kepada dia,” terang Mak
Bedah.
Kenyataan emaknya itu membengkakkan hati Dayana. Kini
bukan masanya untuk dia merenung hari-harinya yang lalu bersama lelaki itu. Akif
pun bukannya lelaki bujang lagi. Dia sudah menjadi suami orang. Untuk apa
menyingkap kenangan lama yang sudah diikat kemas dalam sanubarinya?
“Yana, jangan buat kepada Akif begitu, nak! Dia tak
bersalah! Yana pun tak bersalah. Berilah peluang dia ceritakan hal yang
sebenarnya kepada Yana. Kasihanlah kepada dia, nak,”pujuk Mak Bedah.
“Setiap orang yang mengakui dirinya beriman kepada ALLAH
dan Rasulnya serta kitab-kitab, pasti juga meyakini kepada qada dan qadar,”kata
Mak Bedah lagi. Mendengar nasihat emaknya itu Dayana mencapai telefonnya dan
cepat-cepat beredar dari situ.
“Helo,”kata Dayana sebaik sahaja masuk ke dalam bilik
tidurnya. Dia duduk di birai katil dengan perasaan yang gementar. Bunga-bunga
pilu mula mekar di jiwanya.
“Assalamualaikum, Yana,”jawab Akif dengan suara bergetar.
“Yana...” Tiba-tiba Akif tersedu. Dia tidak dapat menahan
sebaknya. Dayana terus menguncikan bibirnya, menunggu lelaki itu meneruskan
kata-katanya.
“Yana...”Suara Akif yang seolah membisik ditelinga
bagaikan menyiat-nyiat hatinya. Rasa pedihnya menjalar ke seluruh urat sarafnya.
Dayana terus menyepi.
“Yana... katakan sesuatu Yana, tolonglah,”rayu Akif
apabila tidak lagi mendengar suara wanita itu. Yang kedengaran di telinganya
hanyalah bunyi hembusan nafas yang perlahan.
‘Ya ALLAH, tolonglah hamba-MU ini. Berilah aku kekuatan,’rintih
Dayana di dalam hatinya. Perasaan yang bercampur aduk amat menyakitkan seolah
nyawanya akan berhujung pada detik itu.
“Yana, Akif mintak maaf,”bisik Akif perlahan.
Dayana menghela nafasnya panjang-panjang. Hati yang
sedang bergelora cuba ditenangkannya. Lidah yang terkelu akan dilenturkannya
kembali. Bibirnya bergetar menahan tangis.
“Yana...”rayu Akif lagi. Mendengarkan suara lelaki itu
yang bergetar tangis, timbul pula perasaan belas di hati Dayana. Mengapa dia
tidak mahu bercakap dengan lelaki itu, sedangkan hakikatnya dia sedang sarat
merindu. Rindunya yang tidak pernah berpenghujung.
“Yana... tolonglah maafkan Akif,”pujuk Akif lagi dengan
suara yang amat perlahan. Sungguh tidak diduganya hati Dayana berubah sekeras
itu.
“Akif...”Dayana berhenti berkata. Sesungguhnya dia tidak
tahu apakah kata-kata yang patut diungkapkan kepada bekas tunangannya itu.
“Akif tak pernah bersalah apa-apa pun kepada Yana,”kata-katanya
terhenti lagi. Dayana menghela nafas sekali lagi.
“Kalau begitu kenapa Yana tak mahu bertemu dengan Akif?Yana,kita
mulakan hidup baru, ya,” kata Akif terus terang. Peluang yang datang tidak
harus dibiarkan begitu sahaja.
“Akif, segala kenangan antara kita telah Yana semadikan
sejak lama dulu. Sejak Yana menganggap Akif telah pergi menghadap TUHAN,”
ungkap Dayana, sebak.
Tersentak Akif mendengar kata-kata itu. Kolam matanya
mulai terasa pedih. “Walau hati pilu, itulah kenyataan yang harus Yana terima
dan tanamkan ke dalam hati Yana,”kata Dayana sedih. Tubir matanya mulai merapuh.
Titisan air jernih mulai menitis perlahan.
“Yana, takdir yang telah memisahkan kita,”pujuk Akif
dengan penuh harapan. Suaranya bergetar pilu sewaktu menjelaskan peristiwa yang
telah berlaku.
“Yana faham dan Yana sudah menerima segalanya. Takdir
telah memisahkan kita untuk selamanya, Akif,” balas Dayana sambil menelan
airliur. Tekak yang sememangnya rasa kesat dan berpasir semakin ketat.
“Tidak,Yana.Takdir hanya memisahkan kita sementara saja, sayang,”bisik
Akif dengan suara yang semakin halus dan bergetar.
“Sekarang ni kita dah bertemu kembali! Kita mulakanlah
hidup baru,”pujuk Akif. Desahan nafasnya kedengaran di telinga Dayana. Permintaan
Akif itu menyebabkan Dayana senyum di dalam tangisnya. Begitu mudahkah Akif
membuat keputusan untuk hidupnya? Sedangkan selama ini dia membisu tanpa berita?
“Yana, maafkanlah Akif dan berilah Akif peluang menebus
dosa Akif terhadap Yana,”ungkap Akif dengan penuh emosi.
“Tidak, Akif! Kita tidak boleh...”Dayana seolah-olah
kehilangan kata-kata. Dia menangis teresak menahan keperitan hati. Tidak
mungkin dia memilih Akif untuk sekali lagi. Tidak! Tidak!Tidak!
“Mengapa tidak,sayang... tolong jangan
buat begini! Kita beri peluang untuk cinta kita sekali lagi, Yana.”Getaran suara
Akif menggoncangkan kalbunya. Namun, entah mengapa pintu hatinya seolah
terkunci.
“Yana, cinta sejati, tiada penamat. Kasih
yang suci, tiada penghujung,”pujuk Akif terus dengan harapan menggunung.
“Akif sudah beristeri. Yana pulak sudah
menjanda dua kali. Yana tak mahu lagi terikat dengan ikatan perkahwinan.Tolonglah,
Akif. Jangan desak Yana. Lupakanlah Yana. Lontarkanlah segala kenangan yang
telah terukir antara kita jauh-jauh dan jangan ganggu Yana lagi,” kata Dayana
sambil menekan butang merah di telefon bimbitnya. Tidak sanggup lagi hatinya
mendengar suara lelaki yang pernah dicintainya itu. Bahkan tetap dicintai
sehingga di saat itu. Getaran pada telefon didalam genggamannya memaksanya
membaca SMS yang tiba.
Maafkan Akif,
sayang. Tanpa Yana, hidup yang Akif lalui lesu...
Deraian airmata terus membasahi pipi Dayana. Hatinya
semakin keliru. Fikirannya bertambah buntu. Tidak sanggup rasanya dengan
sengaja melukakan perasaan lelaki yang pernah bertakhta di hatinya. Walaupun sebesar
kepala peniti. Justeru SMS daripada Akif tidak dibalas. Sekali lagi telefon
bimbitnya bergetar.
Yana, berilah kesempatan kepada Akif untuk bertemu dengan
Yana walaupun untuk 3 minit. Kita jelaskan perkara yang kabur. Kita jernihkan
kembali cerita yang keruh. Kita hilangkan luka yang membekas lama. Tolonglah, sayang...
Dayana
menyelusuri ke dalam hatinya. Lukanya masih dalam. Kehancuran hatinya masih
belum tercantumkan. Untuk apa bertemu lagi, seandainya isi pertemuan itu hanya
akan mencuramkan lagi jurang penderitaannya?
Lama Akif merenung telefon bimbitnya. Mengharapkan Dayana
membalas segala pesanan ringkasnya. Akhirnya dia kecewa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan