|
|
Astaghfirullahalazim...
kenapa Dania tidur di sini?” Ray terkejut. Sebaik sahaja menolak daun pintu
rumah, dia melihat Dania yang tergolek tidur di hadapan pintu. Sebuah buku teks
menyerkup muka adiknya itu. ‘Jangan-jangan Dania tunggu aku balik,’ tebaknya.
Ray mengeluh kesal. Matanya menjalar melihat jam di dinding usang. Jarum
jam menunjukkan angka 12.45 minit malam. Suasana di rumah pusaka ayahnya itu
pun sudah hening ditambat sepi. Sekali lagi dia memandang Dania. Entah mengapa,
kalbunya digamit rasa hiba. Tidak tergamak dia membiarkan Dania tidur di situ,
meringkuk kesejukan.
“Dania,” panggil Ray perlahan. Halus dengkuran gadis itu
singgah di telinganya. Buku teks yang menyerkup muka Dania diangkat perlahan.
Ray tertawa sendiri. Dania, tidur ternganga kelelahan.
“Dania,” serunya lembut sambil menepuk-nepuk pipi Dania.
“Abanggg...” panggil Dania serak, separuh mamai. “Abang
baru balik?” Pantas dia bangun lalu duduk bersila.
Ray menyengih melihat Dania yang tergaru-garu. “Buat apa
Dania tidur kat depan pintu ni? Ubat nyamuk pun tak pasang. Tengok tu...
celik-celik aje dah tergaru-garu macam monyet,” usik Ray. “Dengan
air liur basinya... eeii.” Lenyap terus keresahan yang menambat di hati sejak
insiden di restoran awal malam tadi, saat menatap wajah Dania.
“Alah, Abang Ray ni... orang tunggu dia,” rengek Dania
sambil menguap. Hujung jarinya mengesat hujung bibir. “Mana ada
air liur basi?” tanyanya cepat. Jari yang baru mengesat hujung bibir
disentalnya pada baju Ray. Sengaja hendak menyakat.
“Dah pukul berapa, hah?” tanyanya pula sambil meluruskan
kaki dan tangan. Ray pun sama. Dia yang memang kepenatan.
“Pukul satu lebih, cik adik... Pergi masuk bilik! Esok nak
bangun pagi, kan? Nak tolong emak bungkus nasi lemak lagi,” jawab Ray. Semua
adik-adiknya kena membantu emak mereka menyediakan nasi lemak untuk berjualan.
Dia juga tidak dapat lari daripada tanggungjawab membantu emaknya yang berjualan di gerai di hadapan rumah. Nasi
lemak buatan mereka memang laris!
“Jomlah makan, bang. Dania memang tunggu abang,” beritahu
Dania lalu menarik tangan Ray mengajaknya ke dapur.
“Makan apa dah tengah malam ni, Dania?” tanya Ray. Dia
yang keletihan ingin mandi dan segera tidur. “Nak bersahur
ke?” seloroh Ray.
“Tadi, Dania ada masak petola masak lemak. Ikan belanak
kering pun ada. Abang mandi dulu, biar Dania sediakan makanan untuk kita,”
umpan Dania manja.
“Dania belum makan ke?” tanya Ray sambil meredupkan
matanya saat merenung Dania.
“Orang tunggu abanglah...” beritahu Dania lemah sambil
menggaru-garu kepalanya. Kalaulah Ray
tidak mahu makan, dia tidak akan memaksa.
Terusik jiwa Ray mendengar jawapan yang jujur itu. Tidak
sampai hati pula untuk memberitahu Dania yang perutnya sudah senak kekenyangan.
Sebelum balik tadi, dia sudah makan kuetiau kung fu, resipi kegemarannya.
“Lah... kenapa tunggu abang? Makan aje. Kan abang kerja di
restoran,” kata Ray kesal sambil menguntum senyuman. “Lain
kali, gunalah...” sambungnya sambil mengetuk tepi kepalanya dengan hujung jari.
“Habis tu, abang dah makan ke?” tanya Dania hampir
merajuk. Tidak jadi kakinya melangkah ke dapur. Hampa hatinya untuk makan
bersama-sama Ray malam itu. Sudahlah perutnya terasa pedih sejak tadi.
“Kalau abang dah makan?” tanya Ray, sengaja menguji.
“Kalau abang dah makan, biarlah Dania masuk tidur aje.”
Perlahan Dania menjawab. Matanya merenung lantai, menyembunyikan kekecewaan.
Apa yang hendak dikatakan lagi, sudah nasib badan. Perut yang lapar terasa
kenyang, menelan kekecewaan.
“Memanglah abang dah makan tadi,” jawab Ray bersahaja.
Wajah kecewa Dania segera terkesan oleh matanya.
“Tapi... sekarang ni perut abang dah lapar balik,” sambung
Ray. Dia merapati Dania yang mula
menyengih. Pantas tangannya mencubit pipi Dania. “Dania
mesti dah masak petola yang abang petik pagi tadi, kan?” tanya Ray memujuk.
Dania angguk. “Pergi panaskan nasi, lepas abang
mandi kita makan sama,” beritahu Ray. Apa salahnya makan sekali lagi? Demi menjaga hati adiknya itu. Tidak
sanggup dia melihat Dania bersedih.
Dania terus ke dapur memanaskan nasi serta lauk-pauk yang
disimpannya tadi. Dia menggoreng dua ekor ikan belanak kering kerana inginkan
Ray menikmati ikan goreng yang masih panas.
Ray ketawa sebaik sampai ke dapur selepas mandi dan
menyalin pakaian. Dania sedang menunggunya.
“Kenapa,
bang?” tanya Dania pelik.
“Habis berbau satu kampung, Dania oii,” komen Ray lembut
lalu menarik kerusi di meja makan. Pinggan yang sudah berisi nasi ditarik rapat
kepadanya.
“Biarlah satu kampung tahu Dania menggoreng ikan belanak
kering,” balas Dania sambil menyengih senang. Ray sudah mencedok masak lemak
petola yang menjadi kegemarannya. Pinggan nasinya juga menjadi singgahan
cedokan masak lemak yang masih berasap.
“Makanlah... Tentu Dania lapar tunggu abang, kan?” soal
Ray. lalu menyuap nasi ke dalam
mulutnya. Walaupun perutnya masih kenyang, menu ringkas yang menjadi sajian
Dania pada malam itu, berjaya juga menarik seleranya.
“Lapar sangat,” akui Dania sambil ketawa. Dia mencubit isi
ikan belanak kering dan meletakkannya ke dalam pinggan Ray.
“Lain kali jangan bodohkan diri lagi tau! Tahan berlapar
nak tunggu abang balik. Bila Dania buat macam tu abang rasa macam dah beristeri
pulak. Balik dari kerja, isteri tunggu untuk makan bersama-sama,” gurau Ray
diselangi tawa.
“Hisy, macam tu pulak. Abang jangan nak cakap merapu! Apa salahnya Dania tunggu? Siapkan makan
minum abang. Itu maknanya Dania seorang adik yang tahu menghargai penat lelah
abangnya yang mencari rezeki untuk keluarga,” balas Dania panjang lebar. Ungkapan
Ray menyebabkan hatinya tidak keruan.
“Hai, kat dalam kampung ni tak ada lif, cik kak oii! Kalau
nak masuk dalam bakul pun, bakul yang ada kat rumah kita ni semua kecil-kecil,”
perli Ray. “Kalau Dania masuk dan duduk kat dalamnya... tak sempat
diangkat, rembus...”
“Alah... abang tu kalau nak menyakat Dania tak kira masa,”
balas Dania sambil merenung Ray. dengan jelingan manja. Dia menganga apabila
Ray mendekatkan seketul tauhu untuk disuapkan ke mulutnya.
“Amboi... akak dan abang makan bersuap-suap pulak kat
tengah malam buta ni. Macam pengantin baru aje.” Iwan yang tiba-tiba muncul di
dapur menyindir kuat. Lenanya terganggu kerana mendengar suara abang dan
kakaknya yang berbual dan bergurau di dapur. Hidung pula menangkap bau ikan
belanak goreng. Serta-merta pula perutnya berkeroncong.
“Iwan ni
datang buat kacau daun pulak,” usik Ray kepada Iwan yang sedang menuang air ke
dalam gelas. Mungkin adiknya berasa dahaga di tengah malam buta.
“Bukannya Iwan datang nak mengacau, tapi orang ikut
perintah perut ni. Asyik berbunyi.”
Ray dan Dania berbalas pandang sambil senyum. Sudah faham
sangat dengan perangai adik bongsu mereka itu. Kaki makan! Iwan menyengih saat
melihat Ray bangun mengambilkan pinggan nasi untuknya.
“Makan sikit aje, badan tu dah bulat abang tengok,” pesan
Ray. Iwan buat muka selamba.
“Padan muka!” usik Dania. Pinggan nasinya yang sudah
kosong dihantar ke singki. Ray pun bangkit sama menghantar pinggan ke singki.
“Pergi
tidur, Dania. Pinggan tu biar abang basuh. Abang nak temankan Iwan makan,” kata
Ray kepada Dania yang sudah mengambil span untuk membasuh pinggan. Span yang di
dalam genggaman Dania diambilnya.
“Abang Ray.... biarlah akak basuh pinggan tu. Tadi waktu
makan malam, Iwan dah basuh pinggan. Kat rumah ni, kan kita selalu buat kerja
rumah bergilir?” Iwan yang masih mengunyah sempat memprotes. Kemanjaan yang
ditunjukkan oleh abangnya kepada kakak membuatkan dia rasa cemburu.
“Dengkilah tu!” sahut Dania. “Jealous sebab
Abang Ray sayang akak lebih.” Semakin galak pula Dania menyakat apabila
dilihatnya bibir Iwan memuncung macam paruh itik.
“Eh,
eh... budak dua orang ni! Ada yang kena sekeh nanti ni,” marah Ray sambil
melihat Dania yang menyengih. Gembira dapat mengenakan Iwan.
“Pergi tidur, Dania,” suruh Ray lagi.
Dania cepat-cepat menghulurkan tangannya kepada Ray untuk
bersalaman. Apabila tangan Ray sudah digenggamnya, cepat-cepat dia mencium
tangan abangnya itu.
Ray senyum meleret. Saat itu, hatinya bagai bergetar.
Entah perasaan apa, dia pun tidak mengerti. Yang pasti, hatinya berbunga indah.
Penuh warna-warni.
“Iwan, pagi esok bangun awal tau. Tolong akak bungkus nasi
lemak ya?” pesan Dania sambil berlalu.
Sebaik kelibat Dania hilang dari pandangan, Ray
mengeluarkan dua biji mug dan meletakkannya di atas meja.
“Iwan nak minum kopi ’O’, kan?” tanya Ray.
Mendengar perkataan kopi, mata Iwan semakin segar. Abang
Ray memang baik. Pandai mengambil hati adik-adik.
“Terima kasih, bang. Esok, Iwan kena bangun awal, tolong
emak dan Kak Dania,” janjinya.
Ray menganggukkan kepala sambil tersenyum. Pagi esok, dia
pun akan bangun awal. Membantu emak menyediakan makanan untuk berjualan. Tok
Ketua pun ada memesan nasi lemak emaknya. Dialah yang akan menghantarnya ke
rumah Tok Ketua nanti.
Setelah itu, dia akan ke dusun Pak Seman untuk memanjat
pokok langsat dan menurunkan buah-buah yang sedang masak. Dua hari sudah, Pak
Seman ada memberitahu untuk mengupahnya melakukan kerja-kerja itu. Begitulah
perjalanan hidup mereka sekeluarga sejak kematian ayah empat tahun yang lalu.
Semua ahli keluarga harus mengembleng tenaga untuk menjana sumber pendapatan
demi sesuap nasi.
“Abang,” panggil Iwan yang sudah kekenyangan. Dia meniup
air kopi perlahan.
Ray menunggu Iwan meneruskan bicaranya. “Iwan
kasihanlah pada emak. Setiap hari kena bangun awal untuk masak,” kata Iwan
perlahan.
“Abang pun kasihan jugak. Abang pun tak suka tengok emak
buat kerja teruk-teruk. Dia pun bukannya sihat sangat,” balas Ray. Penyakit
asma emak walau hanya datang kadang-kadang, tetapi rasa bimbang tetap
bertenggek di kamar hatinya. Kata orang penyakit yang sesekali bertandang
itulah yang lebih memudaratkan.
“Kalau emak tak payah berjualan, tak boleh ke, bang?”
tanya Iwan. Sungguhpun dia baru berusia 15 tahun, namun dia sudah faham penat
lelah yang terpaksa ditanggung oleh emak mereka.
Ray tersenyum tipis. Cuba meneka apa yang ada di dalam fikiran
adiknya itu. “Dah itu sumber pendapatan kita, Iwan. Kos hidup sekarang
dah meningkat. Semua benda nak dibeli. Bergerak sikit saja dah menggunakan
duit. ”
“Hal tu Iwan fahamlah, bang. Tapi boleh tak kita sebagai
anak-anak ni berikhtiar sesuatu untuk menaik taraf kehidupan kita? Cari duit
lebih sikit supaya emak tak payah buat kerja,” kata Iwan meluahkan
pandangannya.
Perasaan Ray rasa terhiris. Seperti dia tidak
bertanggungjawab terhadap keluarga pula. Lalu, Iwan yang baru di tingkatan
tiga bersusah-susah memerah fikiran.
“Iwan rasa nak berhenti sekolah aje,” rungut Iwan. “Iwan rasa nak
pergi ke bandar cari kerja.”
Tersentak Ray. Tajam matanya merenung wajah Iwan. Namun,
kata-kata yang terungkap oleh adik bongsunya itu tidak boleh dipandang sepi.
“Jangan nak buat pasal, Iwan!” bantah Ray. “Itu
urusan abang. Tanggungjawab abang. Tanggungjawab Iwan sekarang, belajar dengan
tekun dan bersungguh-sungguh. Walau pendapatan yang kita peroleh sekarang
kecil, tetapi alhamdulillah... setiap hari kita ada rezeki untuk makan,” balas
Ray.
“Tapi, kita tak boleh beli handphone,”
rungut Iwan lagi.
Ray memandang adiknya sejenak. Tahulah dia apa yang
tersembunyi di dalam hati Iwan selama ini. Mahukan handphone
rupa-rupanya.
“Handphone? Nak buat apa?
Iwan ada bisnes besar ke?” tanya Ray mengusik. Apa-apa sajalah budak-budak
remaja zaman ini. Pendapatan pun belum ada, sudah mahukan itu dan ini.
“Alah, abang... handphone sekarang ni bukannya
barangan mewah lagi. Ia dah menjadi satu keperluan,” jawab Iwan. Kebanyakan
kawannya di sekolah sudah memiliki telefon mudah alih sendiri.
“Tapi itu keperluan orang lain, Iwan. Bukan keperluan Iwan
atau keperluan kita buat masa ini. Kalau perlu telefon sesekali pergi guna
telefon awam. Terimalah keadaan hidup kita seadanya. Cubalah tahu bersyukur
sikit,” lirih suara Ray menasihati.
“Bukannya Iwan tak tahu bersyukur, bang. Tapi, Iwan rasa
bosan dengan kehidupan kita macam ni. Banyak perkara yang orang lain dapat,
kita tak dapat. Banyak benda yang orang lain boleh beli, kita tak mampu nak
beli. Miskin sangat rasanya,” rintih Iwan. Bimbang kata-kata yang terlontar
dari bibirnya akan mencalar perasaan orang lain.
“Iwan, dah banyak kali abang beritahu. Jangan tengok orang
yang lebih daripada kita. Renungkan orang yang tak memiliki apa-apa. Apa yang
Iwan nak lagi? Kita ada sebuah rumah untuk berteduh. Ada bekalan letrik dan
air. Makan minum cukup aje. Belanja sekolah Iwan, tak pernah putus pun. Pada
abang itu dah kira kaya dah. Kalau dari sudut agama pun, macam tu jugak
pendapatnya...”
. “Sabarlah
sikit. Baru Tuhan uji dengan
sedikit kekurangan dah nak mengeluh,” leter Ray.
“Iwan nak motorlah, bang...” jelas
Iwan.
Bulat mata Ray mendengar permintaan adik bongsunya itu.
Hal telefon bimbit belum selesai sudah menagih motosikal pula. Harga motosikal
pada waktu itu hampir lima ribu. Manalah dia mampu hendak mengadakannya.
Lainlah kalau gaji yang diperoleh daripada Abang Ba, tiga ribu sebulan!
“Takkan nak guna basikal buruk itu sampai bila-bila. Tak
ada peningkatan langsunglah, abang...” terang Iwan lagi.
“Iwan tak ada lesen lagi,” balas Ray. Dia tidak terus
menolak permintaan adiknya itu kerana faham sangat jiwa remaja seperti Iwan itu
selalu menginginkan sesuatu. Tambahan pula rkawan-kawannya
di kampung itu sudah bermotosikal ke sana dan ke sini. Mesti dia berasa rendah
diri. Sebagaimana perasaannya sewaktu dihina di restoran tadi.
“Kalau keputusan peperiksaan SPM nanti Iwan dapat A1 untuk
semua subjek, abang belikan Iwan motor,” janji Ray. Keinginan Iwan tidak boleh
dipersendakan. Mana tahu, janjinya itu menjadi dorongan kepada adiknya.
“Abang nak belikan Iwan motor?” tanya Iwan kembali.
Ray menganggukkan kepalanya dengan yakin.
Iwan menundukkan kepala merenung kopi O di dalam mug
yang masih berbaki. Rasa macam tidak percaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan