|
|
kokokan ayam jantan yang tidur bertenggek di dahan rambutan
serta-merta menjagakan Fazidatul. Biasanya ayam jantan itu berkokok pada pukul
4.00 pagi. Perlahan-lahan dia bangun, bimbang menjagakan Dania yang sedang
tidur lena. Anak gadisnya itu memang tidur dengannya setiap malam. Ini kerana
di rumah usang itu hanya ada dua buah bilik. Bilik yang sebuah lagi digunakan
oleh Iwan dan Ray.
“AllahuAkhbar,” keluh Fazidatul sambil menguap beberapa kali. Matanya
masih mengantuk. Pernafasannya juga tidak begitu selesa sejak selepas makan
malam. Namun cuba diatasi dengan menyapu minyak panas ke dadanya. Syukur, dapat
juga dia tidur lena. Namun apabila matanya tercelik, rasa sesak nafasnya
kembali semula.
Fazidatul
keluar dari bilik menuju ke bilik air dengan langkah perlahan. Kebiasaannya dia
akan menunaikan solat sunat tahajud dua rakaat, sebelum memulakan tugasnya di
dapur. Setiap hari, dia kena menyediakan juadah untuk berjualan. Biasanya pada
waktu pagi, dia akan memasak nasi lemak dan merebus telur sahaja. Sambalnya
sudah disediakan oleh Dania semalam dan akan dipanaskan pada pagi ini. Setelah
itu, bolehlah dibungkus dengan nasi lemak yang telah masak nanti.
Selesai
berwuduk, Fazidatul mula terbatuk-batuk kecil. Nafasnya mencungap sebaik sahaja
dia sampai ke biliknya semula. Kedinginan subuh itu agak luar biasa. Rongga
nafasnya mula terasa sempit. Namun digagahkan juga diri untuk menunaikan
solatnya. Mengadap Rabbul Izzati.
“Alhamdulillah...”
bisiknya perlahan sebaik sahaja usai tahajudnya. Sebelum mengakhirkan solatnya,
dia tetap akan berdoa untuk kesejahteraan roh suaminya. Doa untuk anak-anaknya.
Biar dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat. Dimurahkan rezeki
walau di mana mereka berada. Sentiasa disayangi oleh Tuhan, para malaikat dan sekalian makhluk yang diciptakan
oleh-NYA.
Saat
telekung ditanggalkan dari tubuhnya, Fazidatul tidak lagi gagah. Nafasnya bagai
tersangkut-sangkut pula walau dihela panjang-panjang, lantas mengeluarkan bunyi
termengah-mengah.
“Mak!
Mak, kenapa ni?” tanya Dania cemas. Dia yang sudah bangun, terkejut melihat
emaknya tersandar di dinding sambil mengangakan mulutnya untuk bernafas. Pasti
emaknya tidak mampu untuk menjawab
pertanyaan. Emaknya sedang cuba menselesakan kembali helaan nafasnya supaya jantungnya dapat berfungsi
dengan normal.
“Emak...”
Dania menerpa dan mengusap-usap dada emaknya perlahan dengan perasaan cemas.
“Emak susah nak bernafas ke?” tanyanya dengan suara terhimpit.
Fazidatul
mengangguk lemah sambil menghela nafas panjang dan amat payah. “Tolong mak,
Daniaa...” rintih Fazidatul sambil menunjukkan ke botol minyak angin. Redup
pandangannya mengharapkan simpati, saat tangannya dihulurkan kepada Dania.
Wajah berkerutnya memanggil rasa cemas sesiapa yang melihatnya pada ketika itu.
“Emak...”
tangis Dania kebimbangan, dibenam perasaan cemas. Cepat-cepat dia mengambil
minyak panas cap helang dan menuang minyak ke tapak tangannya.
“Dania
sapu minyak kat dada mak, ya...” beritahunya. Helaan nafas emaknya semakin
panjang dan payah. Tangannya juga mula mendingin. Hati Dania tidak tersabar
lagi. Melihat emaknya semakin sukar
untuk bernafas, rasa takut dan cemas semakin bermaharajalela.
“Abang!
Iwan! Tolong! Mak sesak nafas!” laungnya kuat.
Ray
yang buntu fikiran tidak ada jalan lain lagi, terpaksa menuju ke rumah lelaki
itu untuk meminta bantuan. Waktu itu baru pukul 5.00 pagi.
“Tapi, saya tak ada lesen,
Pak Seman,” beritahu Ray terus terang. Bimbang pula akan mengundang masalah
lain jika memandu kereta tanpa lesen.
“Bawa aje, Ray! Dah
darurat. Pak Seman tak boleh nak bawa kereta subuh-subuh ni. Mata tak nampak.
Nanti tak sempat nak bawa emak kamu ke hospital, dengan Pak Seman sekali kena
masuk wad... sebab melanggar tiang letrik,” kata Pak Seman terus mendesak.
“Kamu pun selalu bawa
kereta pergi ke pasar, kan?” tanya Pak Seman.
Ray
mengangguk. Memang benar, kerap juga Abang Ba menyuruhnya pergi ke pasar untuk
membeli keperluan restoran pada awal pagi.
“Cepat pergi hospital.
Nanti semakin mudarat pula sesak nafas emak kamu tu. Tak usah bimbanglah, Ray.
Subuh-subuh macam ni, tak ada roadblock,” kata Pak Seman sambil
menghulurkan kunci kereta Proton Wiranya kepada Ray.
Ray
menyambutnya dengan berat hati. Namun kepercayaan Pak Seman terhadapnya
mengusik jiwa.
“Kalau kamu bimbang sangat
sebab tak ada lesen, biar Pak Seman ikut sekali,” ujar Pak Seman.
“Terima kasih, Pak Seman... ” ucap Ray sebak. Pengakuan Pak Seman itu melegakan
hatinya.
“Sama-sama, Ray. Kita
hidup berjiran kena tolong-menolong,” balas Pak Seman. Dengan anak muda itu,
dia tidak akan lokek bantuan. Ray, anak janda itu banyak berjasa kepadanya.
Sentiasa ringan tulang untuk menolong apa saja, jika diminta.
“Pergi ambil emak kamu,
lepas tu kamu datang ke sini balik. Biar Pak Seman dan Mak Yam temankan kamu ke
hospital,” tawar Pak Seman.
Ray
semakin terharu. Dia menganggukkan kepala. Setelah itu, cepat-cepat dia
menghidupkan enjin kereta dan meluncur perlahan untuk mengambil emaknya di
rumah.
“Iwan, cepat tolong akak!”
kerahnya. Jantungnya berdetak laju.
“Nak tolong apa, kak? Eh!
Sempat ke kita nak sediakan semua ni sebelum ke sekolah?” tanya Iwan agak ragu
dengan masa yang ada. “Hari
ini Iwan ada lawan bola, akak,” adu Iwan pula. Bola sepak memang minatnya
nombor satu. Dialah pemain harapan sekolah untuk pasukan bola sepak 15 tahun ke
bawah.
“Yalah, nak lawan bola tu
di sekolah nanti. Sekarang ni, subuh lagi. Kita masih ada kat rumah. Kenalah
tolong akak,” balas Dania.
“Yalah, nak tolong apa?
Jangan lambat-lambat. Iwan tetap nak pergi ke sekolah juga hari ni,” tegas
Iwan.
“Kakak pun,” sahut Dania.
Rugi rasanya jika tidak pergi ke sekolah walaupun satu hari. Banyak pelajaran
yang dia akan ketinggalan nanti.
“Habis tu, cepatlah beri
arahan! Iwan tak tahu nak rancang kerja kalau keadaan kalut-kalut macam ni,”
kata Iwan. Dia berdiri tercegat menunggu perintah kakaknya.
“Tolong panaskan sambal
tumis yang akak dah buat semalam. Lepas tu, bawa keluar kertas untuk bungkus
nasi lemak tu,” arah Dania sambil menenggek periuk nasi ke atas dapur.
“Aik... tak mahu guna daun
pisang ke, kak?” tanya Iwan. Nasi lemak mereka memang sudah dikenali kerana
dibungkus dengan daun pisang dan berlaukkan sambal tumis ikan bilis serta telur
ayam kampung rebus. Sedap dan wangi nasi lemak mereka.
“Kalau nak gunakan daun
pisang, lambatlah. Nak kena potong, lap lagi. Masa tak cukup ni!” tukas Dania
mulai panik. Matanya tidak berhenti merenung jam. Pergerakan jarum jam terlalu
cepat pula dirasakannya. Hatinya yang sedang merusuh kerana bimbangkan emak
yang sedang dibawa ke hospital dipujuknya sendiri. Di bahunya kini ada amanah
yang harus dilunaskan. Ray sudah berpesan macam-macam sebelum ke hospital tadi.
“Iwan tak kisah. Tapi,
akak sanggup ke nak kena marah dengan Abang Ray nanti?” tanya Iwan sambil
menyakat kakaknya. “Abang
Ray kata, kita kena kekalkan kualiti nasi lemak tu supaya terus laris. Kat
kampung ni, emak aje yang jual nasi lemak guna daun pisang,” omel Iwan. “Lainlah kalau daun pisangnya tak
ada.”
“Yalah! Yalah! Guna daun
pisang! Cepat-cepat tolong gunting dan lap! Macam mak nenek pulak dia
membebel.” Akhirnya, Dania mengalah bimbang dimarahi Ray.
Iwan
menyeringai tanda menang.
Nasi
lemak yang dimasak pun hampir mengering. Dania menutup periuk dan mengecilkan
api dapur. Sementara nasi mengering dan masak, dia akan mandi dan solat subuh.
Setelah itu bolehlah dia bersedia dengan pakaian sekolah sebelum membungkus
nasi lemak.
Iwan
sedang mengupas telur rebus sewaktu Dania muncul di dapur semula. Walau hati
sedang walang mengingatkan emaknya, Dania senyum panjang. Di atas meja sudah
tersedia daun pisang yang sudah digunting dan pasti sudah dilap juga. Telur
ayam rebus pun tinggal dua biji sahaja lagi yang belum dikupas. Dania mengambil
pisau dan membelah telur rebus yang sudah siap dikupas kulitnya. Setiap biji
telur dibelah empat dan dimasukkan ke dalam mangkuk.
“Cepatlah akak buat
kerja.” Iwan pula mengerah. Dia mencapai kain buruk untuk mengangkat periuk nasi
dan meletakkannya di atas meja.
Dania
segera mengambil bekas-bekas plastik yang terisi dengan kacang tanah dan ikan
bilis goreng. Nafas Dania semakin melaju. Nampaknya, dia boleh mula membungkus
nasi lemak sekarang. Matanya meliar, memeriksa jika ada keperluan yang
terkurang.
“Akak... timun belum
potong!” beritahu Iwan. Kalut menyediakan daun pisang terlupa pula dia mengupas
timun.
“Tolonglah potong. Timun
ada dalam peti ais tu. Ambil yang kecil ya? Yang muda sikit,” pesan Dania. Nasi
lemak lebih sedap berulamkan timun yang masih muda. Bijinya masih halus dan
rangup.
Daun
pisang beralas kertas mula disusunnya di atas meja. Disusunnya 10 keping sekali
gus. Selepas itu, dia mencedok nasi ke dalam mangkuk kecil sebagai acuan, juga
sebagai penyukat dan menuangkannya di atas daun pisang dengan berhati-hati.
“Cepatlah, Iwan...” kata
Dania. Selepas mancedok nasi, dia mencedok sambal tumis dan diagihkannya di
atas nasi lemak tadi. Begitu juga dengan telur rebus serta kacang dan ikan
bilis goreng.
Iwan
meletakkan pinggan yang sudah berisi dengan timun yang telah dipotong. “Akak, Iwan dah masak air, akak
tolong tengok atas dapur tu. Nanti tolong bancuh kopi O. Nasi lemak, Iwan nak
bawa ke sekolah tiga bungkus.” Iwan sempat berpesan itu dan ini dengan suara
kuat sambil berjalan ke bilik air.
“Huh! Iwan ni,” rungut
Dania.
‘Orang tak menang tangan ni, nak
suruh layan dia pulak. Buatlah sendiri!’ bebelnya dalam hati. Pagi itu, kerja
membungkus nasi lemak pasti lambat sebab hanya dia seorang yang membungkusnya.
Selalunya kerja membungkus dilakukan empat orang. Masing-masing sudah tahu dan
faham tugas sendiri.
“Amboi! Ada bela jin ke,
akak? Cepatnya siap!” usik Iwan yang sedang menuangkan kopi O untuk dia
bersarapan.
“Dah! Jangan banyak cakap
lagi. Tak adanya nak guna jin segala. Akak buat sendirilah,” balas Dania. Tiga
bungkus nasi lemak dimasukkannya ke dalam beg plastik.
“Akak pergi sekolah dulu
ya! Iwan nanti kunci pintu, tau. Lepas tu, anak kunci letak kat tempat biasa.
Tadi, Abang Ray tak bawa kunci!” Dania terjerit dari anjung mengingatkan Iwan
tentang perkara yang harus dibuat sebelum meninggalkan rumah nanti.
Perasaannya
berasa lapang kerana berjaya melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan oleh
abangnya. Ray yang sangat disayangi. Pasti emak juga akan gembira.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan