|
|
Senyuman Ray dan Fazidatul menyatu apabila balik ke rumah dan
masuk ke dapur. Keadaan dapur berselerak macam tongkang pecah. Serentak mereka
mengelengkan kepala.
“Budak-budak dua orang
ni...” keluh Fazidatul perlahan. Namun, dia bangga apabila melihat susunan nasi
lemak di dalam bakul. Siap berlabel pula bakul-bakulnya.
50
bungkus tempahan tok ketua.
30
bungkus untuk jual.
“Alhamdulillah. Sempat
juga mereka siapkan nasi lemak ni. Ray dah risau, mak. Bukannya apa, Tok Ketua
dah berhajat sangat hendak menyajikan nasi lemak ni kepada penduduk kampung
yang bergotong-royong nanti,” kata Ray.
Segera tangannya mencapai satu bungkus nasi lemak dan membukanya.
Setelah melihat isi di dalamnya dan berpuas hati, Ray membalutnya kembali dan
memasukkannya ke dalam bakul semula. Nampaknya, Dania dan Iwan sudah boleh
diharap. Ray segera menarik kerusi untuk emaknya.
“Budak-budak tu dah boleh
diharap, Ray. Cuma Iwan tu yang kadang-kadang nakal dan loyar buruk,” puji
Fazidatul.
Ray
terdiam sejenak. Terkenangkan perbualannya dengan Iwan tengah malam semalam.
“Semua anak-anak emak pun
begitu. Emak rasa bangga, Ray...” ungkap Fazidatul perlahan dan lesu suaranya. “Sepatutnya emak yang buat
semuanya,” sambung Fazidatul. Kini suaranya bagaikan tersepit pula.
“Emak duduk. Kita makan
ya? Emak nak makan ubat,” suruh Ray cepat-cepat. Bimbang emaknya akan sesak
nafas lagi jika bercakap banyak.
“Emak nak makan roti aje,
Ray,” beritahu Fazidatul lemah. Alhamdulillah, pernafasannya kembali normal.
Ray menghidangkan kopi O dan dua keping roti untuk emaknya. Dia sendiri
mengambil sebungkus nasi lemak yang ada ditinggalkan oleh Dania di dalam
pinggan di atas meja.
“Sedap!” pujinya. Suapannya semakin laju.
Fazidatul
memerhati sambil tersenyum. Ray, macam tidak pernah makan nasi lemak yang
dimasak Dania pula lagaknya.
“Ray
hendak ke mana pagi ni?” tanya Fazidatul apabila melihat Ray kalut-kalut
menghabiskan nasi lemaknya.
“Hari ni, Ray nak turunkan buah-buah kayu Pak Seman, mak!
Langsat dan rambutan banyak yang dah masak,” beritahu Ray.
“Ray tak penat ke? Semalam
balik pukul berapa? Pagi ni dah sibuk melayan emak yang buat hal...” ujar
Fazidatul mulai sebak.
“Tak ada penatlah, mak,”
balas Ray. “Lagipun kalau muda-muda
begini asyik bermalas dan berlingkar kat tempat tidur tak habis-habis, tak
boleh jadi kaya, mak!” sambungnya lagi cuba bergurau.
“Malam nanti dah nak kerja
di restoran tu pulak!” kata Fazidatul sesal.
Ray
menyengih. “Bukannya susah, mak. Kat
restoran tu Ray hanya ambil pesanan dan hantar kepada pelanggan. Bukannya pikul
kayu balak pun...” gurau Ray cuba meredakan kerunsingan di hati emaknya.
“Emak jangan buat apa-apa
kat rumah tau,” pesan Ray. Berat hatinya untuk meninggalkan emak seorang diri
di rumah.
“Ray cepat-cepat balik ...” pesan Fazidatul.
“Yalah, mak. Selesai
turunkan buah-buah tu, Ray balik ke rumah cepat-cepat. Emak tak usah buat kerja
berat, ya. Dapur yang berselerak ni biar Ray kemaskan nanti,” kata Ray. “Tadi budak-budak itu mesti tak
sempat nak buat. Jika tak, takkan ditinggalkan lintang-pukang macam ni,”
katanya lagi.
“Emak tahu, Ray. Biarlah
emak yang kemas. Tak banyak mananya,” balas Fazidatul berkeras. Dia bangun dari
kerusi perlahan-lahan dengan memegang bucu meja.
“Tak usah, mak!” Larang
Ray. Tangannya menahan emaknya daripada bangun. “Emak duduk kat situ. Biar Ray buat sekarang. Sekejap
aje, 10 minit pun boleh siap. ”
“Dapat banyak buahnya, Ray...
Irul?” tanya Pak Seman tiba-tiba. Dia
senyum puas. “Banyak juga!” tukasnya gembira, mempamir rasa senang hatinya.
Petang nanti apabila Ah Seng, peraih buah-buahan datang mengambil buah-buah
itu, adalah juga rezekinya.
“Ray... Irul, rehat dulu. Mari
makan ni,” kata Pak Seman sambil meletakkan bakul yang dibawa di atas tanah.
Tikar plastik tebal berwarna biru yang dibawa bersama dibentang di bawah pokok
rambutan.
“Apa tu, Pak Seman?” tanya Irul
terus merapati Pak Seman yang sedang mengeluarkan bekalan dari dalam bakul.
“Mak Yam kamu ada buat pulut
durian. Minuman serbat,” beritahu Pak Seman.
Ray dan Irul senyum teruja. Mereka
terus duduk di atas tikar plastik dan mengambil bekalan yang sudah disaji oleh
Pak Seman. Irul yang kaki makan tidak menunggu walaupun seminit terus membedal
pulut durian.
“Emak kamu macam mana, Ray?” tanya
Pak Seman. Matanya merenung anak muda itu yang makan dengan sopan, tidak macam
Irul.
“Pagi tadi nampak dah lega sikit,
Pak Seman.”
“Alhamdulillah. Syukur. Pagi tadi,
nampak teruk sangat. Kasihan Pak Seman tengoknya. Susah
benar hendak bernafas. Risau Pak Seman dan Mak Yam kamu...” ungkap Pak Seman.
“Saya terlebih lagi risaunya, Pak
Seman. Sebab itulah saya nak mencari kerja kat tempat lain tertangguh-tangguh,”
beritahu Ray.
Pak Seman mengangguk-anggukkan
kepalanya tanda faham dan berkongsi rasa sedih anak muda itu. “Saya bimbang
adik-adik tak tahu nak menguruskan emak yang sakit,” tambah Ray lagi. Suaranya
perlahan sambil menundukkan mukanya.
“Selalu ke emak kamu jadi begitu?”
tanya Pak Seman. Walaupun mereka berjiran, hal-hal kesihatan wanita itu
tidaklah dia tahu sangat. Lagipun Fazidatul, orangnya bukanlah suka bercerita
tentang diri atau keluarganya kepada jiran-jiran. Dia agak pendiam, tapi baik
hati.
“Selalu?” ulang Pak Seman.
“Kadang-kadang...” Ray terdiam
sejenak seolah-olah berfikir. “Tapi membimbangkan,” sambungnya.
“Oh... Pak Seman ingatkan, kerap
dia diserang sesak nafas macam pagi tadi,” sampuk Pak Seman. “Sebenarnya bila
umur dah meningkat sikit, memang banyak penyakit yang datang. Tak boleh
dielakkan lagi,” beritahunya. “Macam Pak Seman ni, semua penyakit dah datang
singgah! Dengan darah tinggi dan kencing
manisnya,” beritahu Pak Seman seolah-olah mengeluh. Ray senyum.
“Tapi Ray, janganlah pulak sebab
emak kamu tak berapa sihat, kamu nak duduk terperap di kampung ni. Cubalah
intai-intai peluang yang lain. Kamu kena fikirkan tentang diri kamu sendiri,
Ray. Tentang masa depan kamu,” nasihat Pak Seman ikhlas. “Dulu pun, kamu dah
tolak peluang untuk sambung belajar, kan?”
Ray menggangguk. Pertanyaan Pak
Seman itu menggamit rasa sayunya. Terkenangkan musibah yang telah melanda
hidupnya dan mereka sekeluarga.
“Waktu tu, ayah meninggal dunia,
Pak Seman. Kami tak ada duit. Duit yang ayah simpan untuk pengajian saya,
terpaksa digunakan untuk menguruskan jenazahnya. Lepas itu, emak pula
sakit-sakit. Pasti emak tak mampu nak kerja kuat buat menyara keluarga. Mau tak
mau, terpaksa saya lupakan segala cita-cita. Nak buat macam mana,” beritahu Ray
sambil tersenyum pahit.
“Sebenarnya, Pak Seman dah anggap
kamu tu, macam anak Pak Seman sendiri. Teringin tengok kamu berjaya. Dulu
sewaktu bersekolah, kamu budak yang paling pandai di dalam kampung ni. Takkan
kamu tak mahu gunakannya untuk kejayaan diri sendiri. Biar ada segulung ijazah.
Kerja yang bagus. Dapat pula gaji besar. Boleh bina rumah untuk emak yang dah
membesarkan kamu tu. Pakai kereta mewah...”
“Zaman sekarang ni, Ray... manusia
akan dimuliakan kerana kekayaan zahir yang dia ada. Harta yang boleh dilihat
orang. Dan berasa megah kerananya. Mereka lupa yang sebenarnya manusia yang
lebih mulia itu ialah yang baik akhlaknya pada pandangan ALLAH...”
“Saya faham, Pak Seman. Kekurangan
atau miskin harta menyebabkan diri kita akan dihina oleh orang yang tidak
mengerti kemuliaan itu harus ditempatkan di mana,” balas Ray. Sekali lagi dia
terkenangkan espisod peristiwa pahit semalam. Bukankah semalam dia dihina oleh
seorang gadis kaya yang cantik? Gadis yang mungkin berasa dirinya mulia kerana
kekayaannya.
“Pak Seman yakin, jika kamu jadi
orang yang berjaya atau kaya, peribadi kamu tetap begini jugak. Kamu merendah
diri dan sederhana dalam serba-serbi. Tapi, bab kerja begini!” puji Pak Seman sambil menaikkan ibu jarinya.
“Pak Seman dah lama kenal kamu...”
“Terima kasih, Pak Seman.
Alhamdulillah. Setiap kali solat, saya sentiasa doakan supaya Tuhan terus membimbing dan memandu
hati saya, Pak Seman,” jawab Ray tenang. Sendawa Irul yang kuat menyebabkan
mereka berdua menoleh kepada pemuda itu. Irul yang sedang menyental mulutnya
dengan telapak tangan, baru selesai makan.
“Hai, Irul kenapa dah berhenti?
Banyak pulut yang Pak Seman bawa tadi,” tegur Pak Seman.
“Saya
dah tak larat, Pak Seman. Saya dah makan pulut dua pinggan. Durian lapan ulas.
Serbat dua gelas! Rasa nak pecah perut saya ni,” jawab Irul sambil mencungap
kekenyangan.
Pak
Seman dan Ray ketawa melihat Irul yang merebahkan dirinya di atas tikar plastik
macam ular sawa kenyang. ‘Manalah badan tak lebar.
Selepas makan terus tidur,’ rungut hati Pak Seman.
“Saya nak baliklah, Pak Seman.”
Irul yang berpura-pura tidur
bingkas bangun. Tangannya ditadah kepada Pak Seman, menuntut upah.
“Oh ya... terlupa,” kata Pak Seman
sambil menyeluk poket bajunya. Dia sudah faham sangat dengan telatah Irul.
Kalau soal upah atau duit, tak pernah lupa.
“Esok atau lusa datang lagi.
Tolong turunkan buah dukung kat hujung sana,”
pesan Pak Seman.
“Terima kasih, Pak Seman. Saya
balik dululah. Saya nak pergi ke pekan sekejap,” kata Irul lalu bangun.
“Saya pun nak balik, Pak Seman,”
kata Ray terus bangun lalu mengeliat.
“Terima kasih, Ray. Ambil
buah-buah tu bawa balik, ya...” suruh Pak Seman.
“Yalah, Pak Seman. Saya nak ambil
buah pulasan sebiji dua untuk Dania. Dia suka,” jawab Ray. Pasti Dania akan
senyum senang apabila dia balik dari sekolah nanti, dilihatnya di atas meja ada
tersaji buah pulasan.
Pak Seman memasukkan buah-buah
pulasan dan rambutan ke dalam beg plastik lalu menghulurkannnya kepada Ray. Beg
plastik bertukar tangan.
“Ini untuk kamu,” kata Pak Seman
lagi lalu menghulurkan RM50 kepada Ray.
“Eh! Eh! Banyak sangat ni, Pak
Seman,” tolak Ray. Dia rasa segan pula hendak menerima pemberian daripada orang
tua itu. Pekerjaan yang dibuat pun tidaklah sebanyak mana, tetapi upah yang
diberi begitu banyak. Rasa tidak berbaloi dengan kudrat yang telah dikeluarkan.
“Minggu lepas kamu tolong tebas
kat bawah pokok durian di belakang sana,
Pak Seman belum bayar lagi, kan?
Ambil!” desak Pak Seman apabila dilihatnya Ray keberatan.
“Terima kasih. Banyak ni...” Dalam
berat hati, Ray terpaksa juga menerima. “Ada
apa-apa lagi yang aya boleh tolong Pak
Seman, sebelum saya balik?” tanya Ray sambil melihat jam tangannya. Hampir 12.00
tengah hari.
“Tak ada apa-apa lagi, Ray. Kamu
nak balik masak untuk adik-adik yang akan balik dari sekolah, ya?” tanyanya.
Ray mengangguk. Apabila emaknya
tidak sihat dan adik-adik pula bersekolah, dialah yang akan mengambil
tanggungjawab di dapur. Dia tidak berasa segan untuk mengakui melakukan
kerja-kerja itu. Bahkan berasa bangga. Hanya itu cara yang dapat dilakukan
untuk membalas budi emaknya yang tidak akan terbalas.
“Fikir-fikirkan nasihat Pak Seman
tadi, Ray,” pesan Pak Seman dengan suara kuat kerana langkah Ray sudah menjauh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan