Sunyinya malam ini mencengkam ke ulu hati. Ray balik dari Restoran Abang Ba saat rumahnya sudah
diselubungi sepi. Naik sahaja ke rumah, dia terus melepaskan lelah dan duduk di
kerusi rotan tinggalan arwah ayah mereka. Fikirannya terus berlegar. Teringat
perbualannya dengan Pak Seman di dusun pagi tadi. Terkenang pula kata-kata
penghinaan yang diterima daripada gadis bongkak kelmarin. Lantas, dia menyeluk
saku seluar dan mengeluarkan sapu tangan yang bergumpal-gumpal.
|
Sapu
tangan sutera berwarna biru muda itu ditayangkan di hadapan matanya. Di satu
bucu sapu tangan itu terjahit nama Jasmin. Bayangan wajah pemiliknya juga
menari-nari di ingatan. Ray menghela nafas perlahan. Kedua belah tangannya
diletakkan di belakang kepala sambil menyandar di atas kerusi malas. Tubuhnya
digoyang perlahan. Ingatannya terus menjalar pada peristiwa malam kelmarin.
“Sapu
tangan tu memang aku punya! Tapi kau dah pegang, kan? Aku jijik... eeii!”
“Kalau
kau kemaruk sangat, kau simpanlah sapu tangan tu! Sekarang blah! Aku nak undur kereta!”
Nafas
Ray turun naik. Emosinya berubah marah. Seumur hidupnya belum pernah sekali dia
dimarahi begitu. Dua kali dia dimalukan oleh gadis itu. Kali pertama di dalam
restoran. Kedua, di tempat parkir kereta.
“Wajah
saja cantik! Budi bahasa macam hampas!
Kalau perempuan macam kau tu, bagi percuma pun aku tak ingin! Kalau aku
dah jadi jutawan nanti, perempuan macam kau tu, cuci kuku kaki aku pun tak
layak!” rengus Ray. Sapu tangan dikepal-kepal dengan perasaan geram.
“Abang! Tolong ajar Dania buat home
work!”
Terjahan
suara Dania menyentak lamunan Ray. Cepat-cepat dia menyorokkan sapu tangan di
dalam poket seluarnya. Nasib baik Dania tidak perasan dia sedang menyorokkan
sesuatu. Jika tidak, riuh mulutnya ingin
mengambil tahu.
“Alahai,
kan dah tengah malam ni, Dania? Petang tadi kenapa tak buat?” tanya Ray. Wajah
Dania direnungnya. Dania yang sedang meningkat remaja. Pada dia, Dania gadis
yang paling cantik. Senyuman yang terlukis di bibirnya selalu manis. Sentiasa
manja.
“Alah...
Dania tunggu abang.” Buku latihan Matematik Tambahan dihulurkan kepada Ray.
Lambat-lambat
Ray menyambutnya. “Petang tadi, kan abang ada kat rumah?” Pukul 6.30 petang,
baru dia memulakan tugas di Restoran Abang Ba.
“Petang tadi lepas balik dari sekolah, Dania
penat sangat. Nak buat kerja sekolah pun takut tak fokus,” jawab Dania
sepatah-sepatah.
“Lagipun
emak dah bagitau...abang penat... jangan ganggu abang...”
“Ada
saja alasan dia. Kalau abang tak balik tadi?” Ray pura-pura marah.
Dania
menggaru-garu pipinya sambil menyengih. Dia tahu Ray hanya pura-pura marah
kepadanya.
“Takkan
abang tak balik,” balas Dania manja. Ray diam. Daripada wajah Dania, bola
matanya beralih dan menari-nari di permukaan buku latihan pula. Dania hanya
memerhati sambil menggigit hujung batang pensel.
Mata
Ray terus memerhati angka-angka yang tercoret pada buku latihan. “Alahai,
Dania! Masalah Matematik yang simple macam ni pun tak tahu nak selesaikan,”
kata Ray. Pensel di tangan Dania diambil. Ray menconteng-conteng di atas kertas
lain sambil menunjuk ajar Dania.
“Eh,
eh... mudahnya. Tadi Dania dah cuba selesaikan setengah mati. Kenapa tak dapat
jawapan?” Dania teruja. ‘Abang Ray memang cekap Matematik!’
pujinya dalam hati.
“Formula tak tahu, itu pasallah!”
perli Ray sambil hujung jarinya menunjal dahi Dania.
Dania tersipu-sipu. Dia terus
menjarakkan dirinya dengan Ray. Bukannya apa, emak selalu berpesan begitu.
Jangan rapat sangat dengan orang lelaki. Dania sudah jadi anak dara.
“Dania...” panggil Ray perlahan..
“Ya, bang,” jawab Dania sambil
menoleh. Dari tadi dia melihat abang kesayangannya itu seolah-olah ingin
mengatakan sesuatu.
Ray diam agak lama. Hujung jarinya
menggosok-gosok dagunya sendiri.
“Kenapa bang? Abang dah nak kahwin
ke?” Agak bosan menunggu jawapan daripada abangnya, Dania menyoal lagi. Kali
ini pertanyaannya berganda.
Bibir Ray menyimpul senyuman.
Langsung dia tidak menduga fikiran Dania akan menjalar sejauh itu. Diri sendiri
dan keluarga pun tidak mampu diberi kesenangan lagi, inikan pula hendak
mengahwini anak dara orang. Buat mencari masalah.
“Hisy, ke situ pulak!” bantah Ray.
Jarinya sempat mencuit pipi Dania. “Kalau nak kahwin, abang nak cari anak gadis
yang cun macam Dania,” selorohnya.
Dania tergelak. Perasan pula bila
dipuji begitu. “Habis tu?” celah Dania. Wajah abangnya nampak serius seperti
sedang memikirkan sesuatu yang berat.
“Kalau abang tak ada kat rumah ni,
Dania boleh tak tolong jaga emak dan Iwan?” Jelas kedengaran suara Ray. Dia
melemparkan pandangan ke luar jendela. Kegelapan malam membayangkan masa
depannya. Jika dia tidak berusaha untuk memperbaiki kehidupan, kesusahan dan
kemiskinan akan kekal setia mengurungi hidup mereka. Pasti gelap macam suasana
malam. Jadi, dia harus memulakan langkah pertama untuk berubah.
Mendengar
pertanyaan Ray, perasaan Dania menjadi sayu. Hatinya bagai dicengkam-cengkam.
Kegembiraan yang melakari kehidupannya selama ini, seolah-olah terbang
perlahan-lahan.
“Abang
nak pergi mana?” Dada Dania mula diasak rasa sebak. Belum pernah lagi dia
berpisah dengan abangnya itu. Semenjak dia lahir ke dunia ini, Ray telah berada
bersamanya. Mereka tidak pernah berpisah walaupun sehari.
“Kalau
abang tak ada, siapa nak ajar Dania Matematik?” Suaranya mula bergetar. Air
mata yang bergenangan terus meleleh di pipi. Tidak sanggup rasanya untuk
berpisah dengan abangnya itu. Entah-entah hidupnya jadi tidak menentu. Layu
bagai pepohon di musim kemarau.
“Abang...”
rengek Dania, terus menangis macam budak kecil sambil mengesat mata dengan
belakang tapak tangan.
“Eleh,
macam budak-budak tadika, Dania ni! Abang cakap macam tu pun dah nangis,” ejek
Ray. Jarinya menguis air mata di pipi Dania.
“Nangislah!
Abang cakap abang nak pergi tinggalkan rumah, kan? Abang nak pergi ke mana?”
desak Dania terus.
“Abang nak cari kerja kat
tempat lain,” beritahu Ray selamba. Nafas dihela lambat-lambat.
“Kerja
di kedai
Abang Ba tu, kenapa? Dah lama juga abang bekerja kat situ, kan?” tanya Dania.
“Restoran tu, Abang Ba
punya. Bukan abang punya,” jawab Ray sambil membetul-betulkan lehernya yang
sengal. Kakinya yang lenguh diurut
perlahan.
“Selama ini pun, abang
kerja kat situ jugak. Boleh jugak kita makan,” balas Dania masih cuba
menghalang keinginan abangnya itu. Kalau Abang Ray tiada di rumah, pasti
hatinya akan berasa sunyi. Dia akan berasa kehilangan. Kotak rasanya pasti akan
dihuni oleh kesunyian dan kerinduan.
“Memanglah boleh makan.
Tapi, abang tak boleh jadi kaya kalau asyik kerja kat restoran tu aje. Takkan
abang nak jadi pembantu restoran sampai bongkok tiga. Dah lama abang kerja kat
restoran tu. Dari sekolah menengah lagi. Kita mesti berusaha untuk memajukan
diri sendiri, Dania...” terang Ray.
“Contohnya, kalau kita
kerja jaga lembu. Takkan nak jaga lembu, berus badan lembu, gosok gigi lembu
sepanjang hayat. Kita mesti ada cita-cita untuk menjadi usahawan yang menternak
lembu. Kita pula yang sediakan kerja untuk orang lain. Kita jadi tauke.”
Panjang hujahan Ray.
“Kita jadi orang kena
selalu gunakan...“ Ray mengetuk kepala dengan hujung telunjuknya. Memang nasib
setiap manusia telah ditentukan ALLAH, tetapi setiap manusia ada hak untuk
memilih nasibnya. Pasti ALLAH Yang Maha Pengasih dan Penyayang akan memberikan
kejayaan atau nasib, berdasarkan apa yang diusahakan oleh hamba-NYA.
Dania
ketawa kecil mendengar penjelasan abangnya itu. Kedengaran lucu, tetapi padat
dengan mesej. Dia seolah-olah terlupa pada tangisannya sebentar tadi
“Kalau hidup miskin orang
benci, tau tak?” rungut Ray lagi seolah merajuk. Hatinya bagai dicucuk-cucuk.
Telinganya masih terngiang kata-kata penghinaan yang diterimanya. Renungan
gadis itu yang amat menyakitkan hatinya, abadi terakam di sanubari.
“Lah... sebab kita dah tak
ada ayah. Memanglah hidup susah sikit,” tukas Dania. Hatinya juga diintip pilu.
Teringat kepada arwah ayah yang begitu penyayang. Namun, perginya tidak kembali
lagi. Di saat mereka adik-beradik sedang memerlukan kasih sayang dan perhatian
seorang ayah, beliau meninggal dunia kerana serangan jantung.
“Sebab itulah abang kena
berusaha untuk mengubah paksi kehidupan kita. Abang tak mahu terus berkiblatkan
kemiskinan dan kesusahan. Keluarga kita dah jadi tanggungjawab abang,” jelas
Ray perlahan. Cita-cita dan impian tak mungkin tercapai dengan berangan-angan. “Takkanlah nak biar orang hina
abang sepanjang hidup.” Ray seolah-olah merintih. Seiring dengan rasa sayu yang
menyelubungi hatinya pada saat itu.
“Siapa yang hina abang?”
soal Dania. Dia sempat menoleh ke arah Ray yang nampaknya sedang gelisah.
Ray
tidak menjawab. Tidak perlulah dia
bercerita kepada Dania peristiwa di restoran semalam. Mengingatkan wajah
gadis yang sombong itu menyebabkan hatinya seperti dibakar.
“Tapi, dulu abang kata
takkan tinggalkan kami. Takkan tinggalkan emak. Abang nak duduk di kampung
sampai bila-bila,” ungkit Dania. Buku latihan Matematik segera diletakkan di
atas pangkuannya.
“Dulu,
emak tak berapa sihat selepas ayah pergi, sebab itulah abang tak mahu pergi ke
mana-mana,” jelas Ray apabila tidak mendengar suara Dania. “Pada waktu tu,
Dania dan Iwan pun kecil lagi. Tak sampai hati abang nak tinggalkan,” ungkap
Ray lagi.
“Kerjalah
di restoran tu, bang... sampai Dania habis SPM,” pujuk Dania manja. Lehernya
dilintukkan sewaktu merenung Ray. “Lagipun... kawan-kawan Dania dah pakat-pakat
hendak tuisyen dengan abang. Mereka akan bayar duit pada abang,” umpan Dania.
Abangnya di antara pelajar terpandai sewaktu bersekolah dulu, pasti tidak lokek
untuk mengajar dia dan kawan-kawannya. Subjek Sains, Matematik dan Bahasa
Inggeris memang abangnya pakar.
“Kawan-kawan
Dania nak tuisyen dengan abang?” tanya Ray. Dia senyum singkat sambil
menggelengkan kepala. Idea Dania dan kawan-kawannya memang bernas, tetapi sudah
terlewat. Dia sudah membuat keputusan untuk berhijrah. Muktamad. Mustahil dia
membiarkan dirinya terbelenggu di dalam kepompong kesusahan buat selamanya.
“Abang...
tak usahlah pergi ya?” rengek Dania memujuk. “Sekarang pun emak tak begitu
sihat juga, kan?” tanyanya meraih simpati. Pandangannya singgah pada wajah Ray.
“Abang
tahu,” jawab Ray. Keluhan kecil dilepasnya lagi. Jari-jemarinya menggaru
pelipis yang tiba-tiba terasa gatal. “Kerana emak tak sihatlah, abang kena
tambahkan lagi pendapatan kita. Memang doktor di hospital kerajaan bersepah,
tetapi sakit emak mungkin perlukan rawatan pakar.” Perlahan suara Ray.
Dania
terdiam. Terkebil-kebil dia memandang Ray.
“Tetapi
bukan pasal penyakit emak saja yang menyebabkan abang kena berhijrah. Perkara
ini memang dah lama sangat abang fikirkan, Dania. ”
Bicara
Ray terhenti lagi. Memang sudah beberapa bulan dia memikirkan tentang hal itu.
Dia perlu menghidu peluang kerja di tempat lain untuk menambah pendapatannya.
Jika ada peluang, dia ingin menyambung pengajiannya. Cita-cita yang diimpikan
tidak akan dibiarkan berkubur tanpa nisan.
“Kalau
Dania lulus cemerlang SPM nanti, Dania pun nak sambung belajar, kan? Perlu
banyak duit juga,” jelas Ray. Dia harap Dania akan memahami tujuannya untuk
merantau itu. Bukan sekadar suka-suka.
“Dari
sekarang, abang kena kumpul duit. Persekolahan Iwan tu, kena abang fikirkan
juga. Dia nak masuk sekolah berasrama. Perlu pakai duit,” terang Ray lagi.
“Abang...
duduklah kat kampung ni dulu,” rayu Dania.
Sekali
lagi Ray mengeleng. “Kat sini pun boleh dapat rezeki jugak,” kata Dania lagi
terus memujuk. Dengan sikap rajin abangnya itu, di mana-mana pun boleh dia
mencari rezeki. Selama ini, rezeki mereka tidak pernah putus pun!
“Tidak
boleh, Dania. Abang faham. Kat mana-mana pun boleh kita mencari rezeki walaupun
di kampung ini,” kata Ray sambil mengeluh dalam. “Kalau kita ada tanah seekar
dua, abang sanggup untuk usahakan tanah itu dan terus kekal di kampung ini,”
sambungnya dengan nada sayu.
“Hal
itu Dania tahulah,” balas Dania, tapi untuk membenarkan abangnya pergi
meninggalkan mereka, hatinya bagai ditoreh. Fikirannya berputar ligat mencari
idea untuk terus memujuk abangnya itu.
“Abanggg...”
rayu Dania. Tangan Ray dipegangnya kuat-kuat. Harapannya menggunung. Biarlah hasrat
hati abangnya itu dapat dihalang dengan pujukannya.
“Dania...”
Ray memegang tangan adiknya itu seketika. Setelah itu, dilepasnya kembali.
“Kalau abang pergi, sebulan sekali abang
baliklah,” janjinya bersahaja.
Dania
hanya mendengar sahaja kata-kata yang terungkap oleh bibir abangnya itu.
Hatinya disinggahi rasa kecewa. Nampaknya, Ray tidak akan terbentur dengan
pujukannya.
“Abang
dah bagitau emak?” tanya Dania dengan suara bergetar.
“Esok atau lusa, abang beritahulah,” jawab
Ray. Mustahil emaknya menghalang. Emaknya sangat memahami cita-citanya. Hanya
kerana kehidupan mereka yang susah, pengajiannya tergendala. Namun, dia kena
terus berusaha. Usianya baru 21 tahun.
“Bila abang nak pergi?” Kini, dia
faham maksud kata-kata abangnya itu.
“Hujung bulan ni, insya-ALLAH,”
bisik Ray. Wajah polos Dania ditatapnya lembut. Bila mereka berpisah nanti, dia
pasti akan merindui gadis itu. Dania, adiknya yang manja dan menghiburkan hati.
Rasa rindunya pasti tidak akan lumat. Entahlah, perasaan kasih yang tersemai
terhadap Dania begitu aneh dirasakannya.
“Abang nak pergi ke mana? Nak
duduk di mana?” tanya Dania lagi. Ada
nada bimbang dalam pertanyaannya itu. Hujung bulan hanya berbaki beberapa hari
sahaja lagi.
Lamunan Ray tercantas.
“Entah,”
jawabnya selamba. Segalanya masih kabur. Hanya yang jelas di matanya ialah
wajah gadis bermulut celopar dan sombong. Hati yang terkoyak rasa pedih.
Kata-kata penghinaan yang diterimanya daripada gadis itulah yang menyebabkan
dia bersemangat untuk meninggalkan kampung halaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan