|
|
Petang itu, angin bertiup lembut. Langit pun kelihatan
cerah. Sengaja Fazidatul membiarkan jendela bilik ternganga sedikit. Biar angin
petang membelai tubuhnya. Selepas menunaikan solat asar, dia termenung
seketika. Fazidatul mengeluh perlahan. Dia terkenangkan Ray. Teringatkan
perbualan dengan anaknya tengah hari tadi.
“Mak... Ray nak pergi merantau.
Ray nak cari kerja di tempat lain,” beritahu Ray. Bukannya untuk meminta
keizinan daripadanya. Wajah Ray pada saat itu sugul dan muram. Fikirannya
seolah memberat.
“Mak, Ray tak nak kerja di Restoran
Abang Ba tu lagi.” Belum sempat dia membalas kata-kata anak muda itu, Ray telah
menyuarakan kehendaknya lagi.
“Ray nak pergi ke mana?” tanyanya.
Ray tidak terus menjawab. Wajah Ray ditatap dari jauh. “Ray nak cari kerja di
mana?” soalnya lagi apabila melihat Ray terus hanyut dengan khayalannya.
“Mungkin ke kota,
mak.” Jelas dan ringkas jawapannya. Tenang suara yang didengarinya, namun bagai
menggoncang seluruh jiwa raganya.
“Nanti emak tak ada duit nak
bekalkan, Ray,” beritahunya terus terang. Tekaknya terasa kesat. Kehidupan
mereka memang susah amat sejak suaminya meninggal dunia. Walau Ray kerja tidak
berhenti, tetapi pendapatan yang diperoleh sangat kecil.
“Tak apa, mak! Hal itu emak tak
payah bimbangkan,” jawab Ray. “Sepatutnya Ray yang bimbang. Nak tinggalkan
rumah tanpa tinggalkan duit belanja untuk emak dan adik-adik,” sambung Ray
lagi.
Sebak hatinya mendengar kata-kata
Ray itu. Untuk keluarga, Ray sanggup berkorban apa saja. Dia menjadi denyut
nadi keluarga itu. Hati Fazidatul meraung hiba saat fikirannya menjelajah
sejarah hidup anak muda itu.
Sejak lahir Ray berada di depan matanya.
Apabila Dania hadir di dalam keluarga mereka,
Ray sudah berumur empat tahun. Ray yang petah dan cerdik pada zaman
kanak-kanaknya, kini dia sudah remaja. Sudah menginjak usia 21. Dania, adiknya
juga sudah remaja. Sudah cantik. Ray juga sudah semakin tampan jika tidak
kerana susuknya yang kurus. Disebabkan mereka sudah semakin dewasa, keinginan
Ray itu tidak mungkin dihalang.
Kebelakangan ini dilihatnya Dania
dan Ray tidak boleh berenggang. Jika mereka ada di rumah, di mana ada Dania, di
situ ada Ray. Di mana ada Ray, di situ ada Dania. Dania satu-satunya saudara
perempuan yang ada, selalu sahaja menjadi mangsa usikan Ray. Disakatnya
sehingga menangis macam budak perempuan berumur empat tahun. Setelah itu,
dipujuknya kembali. Adegan pujuk-memujuk itulah meresahkan hatinya. Malah, rasa
resah itu semakin kuat apabila melihat Ray mengusap-ngusap pipi Dania dan
memeluknya mesra.
Dalam keresahan melihat perilaku mereka,
hatinya berasa bahagia pula. Melihat kasih yang terjalin antara mereka tiga
beradik, Ray, Dania dan Iwan. Dia bersyukur. Senyuman terukir di bibirnya saat
mengenangkan telatah anak-anaknya yang bermacam ragam. Merekalah penghibur hati
dan pengubat kesunyian setelah kematian suaminya.
‘Esok, Ray sudah hendak bertolak,’
beritahu hatinya. Rasa kesayuan serta-merta menjengah. Mengasak ke kamar
hatinya. Tak tersedar butiran air mata mengalir di pipi.
Dania
menoleh melihat emaknya. Emak yang sedang tidur mengiring membelakangkannya
berdengkur halus. Dania cuba memejamkan matanya kembali. Memaksanya supaya
lelap semula. Namun, matanya tetap terbeliak, sebesar telur ayam. Selepas Ray
memberitahu yang dia akan pergi meninggalkan desa, Dania sudah tidak gembira
lagi. Seakan-akan segala kegembiraannya juga dibawa pergi.
Malam
tadi sebelum tidur sempat lagi air matanya berderai dan membasahi bantal. Nasib
baik tidak dilihat emaknya. Jika tidak, pasti emak akan runsing dan susah hati.
Tanpa
disedari, air matanya mula bertakung sekali lagi. Hidungnya mula mengetat.
Bunyi esakan yang tertahan mula kedengaran. Dania bangun lambat-lambat bimbang
mengejutkan emaknya. Apabila tangisannya semakin lebat, dia turun dari katil
dengan senyap dan berjalan keluar bilik,
terjengkit-jengkit.
Kerusi
rotan usang di anjung pula menjadi singgahannya. Dia duduk di situ sambil
melayan tangisan. Segala nostalgia bersama Ray tertayang di hadapan mata bagai
layar filem.
“Dania...”
Dania menoleh. Ray tiba-tiba
berdiri di sisinya. Dalam cahaya suram, Ray perasan mata Dania basah. Melihat Dania yang bersedih bagai ada
sesuatu yang menjalari hatinya pula. ‘Mesti Dania sedih sangat sebab aku nak
tinggalkan kampung.’ Hati Ray berbicara sendiri.
“Dania buat apa kat sini?” tanya
Ray perlahan.
Dania tidak segera menjawab. Dia
mengelap matanya dengan baju yang dipakai.
“Kenapa ni, Dania?”
“Dania tak boleh tidur.” Dania
memalingkan mukanya kerana tidak mahu bertemu pandang dengan mata Ray.
“Habis tu, kenapa nangis?” tanya
Ray berlagu. Hujung jarinya mengesat air mata yang masih meleleh di pipi Dania.
“Dania menangis sebab tak boleh
tidur ke atau Dania tak boleh tidur sebab menangis?” soal Ray.
Dania terkesima mendengar soalan
itu. Abang Ray memang pandai menjerat orang dengan pertanyaannya.
“Abang...” Ray merenungnya dan
mengisyaratkan supaya dia meneruskan bicaranya. “Abang jangan pergi ya...”
“Oh! Dania tak dapat tidur sebab
cakap-cakap kita kelmarinlah?” soal Ray kembali.
Dania menganggukkan kepalanya.
“Kenapalah Dania fikirkan sangat?
Dania tak mahu berpisah dengan abang ya?” tanya Ray bertalu.
Sekali lagi Dania mengangguk.
“Dania tak mahu berpisah dengan abang. Dari kecil, Dania tak pernah hidup tanpa
abang.” Alangkah rindu hatinya nanti pada kasih sayang dan kemanjaan yang
selalu dihulur Ray kepadanya selama ini.
“Kalau boleh abang pun tak mahu
kita sekeluarga berpisah. Kalau boleh abang nak berada di sisi emak, Dania dan
Iwan sampai bila-bila,” ungkap Ray. Perlahan suaranya.
Lega perasaan Dania sejenak.
Harapan di hatinya mulai mengembang. Nampak macam Ray termakan pujukannya.
“Tanpa emak, Dania dan Iwan di
depan mata abang, hidup pun macam tak sempurna, Dania,” ujar Ray lagi.
Hati Dania semakin berbunga mekar.
“Kalau begitu usahlah abang pergi! Dania...”
“Dania pergi tidur, ya. Kalau tak
boleh tidur juga pergi ambil wuduk. Kita solat sunat tahajud sama-sama
sementara tunggu waktu subuh,” kata Ray terus bangun.
Ray tidak sanggup berlama-lama
lagi mendengar pujukan adiknya itu. Air mata Dania membuat hatinya menangis.
Sama seperti Dania, jika boleh dia pun tidak mahu berpisah buat selamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan