|
|
Selesai bercukur,
dia membelek wajah di cermin. Paling ke kiri. Paling ke kanan. Bibirnya
mengukir senyuman. “Masih kacak.” Dia memuji diri sendiri. Usianya sudah mencecah lebih 50 tahun. Namun, tubuh badan segak bagai
lelaki berumur 30 tahun. Datuk Wahab tersenyum tanpa menyedari isterinya
asyik memerhati dari tadi.
“Abang balik makan tengah hari tak hari ni?” tanya
Datin Julaidah.
“Kenapa?” tanya Datuk Wahab kembali. Baju kemeja lengan panjang yang dihulurkan oleh isterinya
itu diambil lantas disalut ke tubuh dengan bantuan isteri yang sangat dikasihi.
“Kan awak dah janji dengan anak manja awak,” jawab
Datin Julaidah. Jasmin satu-satunya anak mereka, begitu manja dengan papanya.
“Janji? Janji apa?” tanyanya sambil merenung Datin
Julaidah yang berada di sisinya. Pagi itu isterinya memakai celana panjang
warna putih dipadankan dengan blaus berlengan panjang warna kuning telur. Awal
pagi lagi isterinya sudah kelihatan anggun. Cantik. Persis anak dara lagi
walaupun umur sudah hampir 50 tahun.
“Dah lupalah tu! Nanti Jess merajuk lagi,” tukas
Datin Julaidah.
“Janji apa?” tanya Datuk Wahab lembut apabila gagal
mengingati. Matanya menjeling cermin lagi. Semua butang pada baju kemeja telah
dikenakan. Sekali lagi dia memerhati diri di cermin.
“Kan abang janji dengan dia, nak belikan dia kereta
baru,” terang Datin Julaidah sambil memerhati suaminya yang asyik senyum
sendiri sewaktu melihat cermin.
“Oh ya, terlupa pulak! Macam nilah! Jun aje pergi
dengan dia ke kedai kereta tu,” saran Datuk Wahab. Dia terus mengenakan tali
pinggangnya pula. “Hari ini, saya nak melawat tapak projek,” jelasnya lagi.
Sebagai pengarah urusan syarikatnya sendiri, dia
perlu memantau perjalanan projek. “Projek Awana Mall tu,” terangnya lagi.
Bimbang isterinya kebingungan kerana syarikat mereka memang sedang menjalankan
banyak projek. “Dah dua, tiga minggu saya tak pergi tengok.”
“Melawat tapak projek? Ada apa-apa masalah ke, bang?”
tanya Datin Julaidah. Suaminya diam. Sebaliknya wajah Datin Julaidah diperhati
melalui cermin. Datuk Wahab menyisir rambutnya yang mula memutih sehelai dua.
“Takkan nak tunggu ada masalah baru nak pergi
melawat,” jawab Datuk Wahab sebaik selesai menyikat rambut. Dia berpaling
melihat Datin Julaidah.
“Mukhriz pergi mana? Kan kerja-kerja Wafa
Construction tu di bawah tanggungjawab dia? Takkan semuanya abang yang kena
pantau?” Pelik dengan kenyataan suaminya tadi.
“Mukhriz? Anak kawan baik awak tu?” Senyum nipis
terpahat di bibir Datuk Wahab. Tidak perlulah bercerita tentang perjalanan
syarikat kepada isterinya berlebih-lebih. Mukhriz memang tidak ada potensi
untuk mengepalai apa-apa syarikat pun. Dia sepatutnya jadi tukang bancuh simen
di tapak pembinaan saja!
“Kalau tak kerana memikirkan yang dia tu anak Sarah,
dah lama saya campak dia dari syarikat tu!” jelas Datuk Wahab. Sempat matanya
mengerling Datin Julaidah.
“Awak tunjuk ajarlah dia,” pujuk Datin Julaidah.
Datuk Wahab mencebik. Sakit kepalanya jika awal pagi
lagi sudah memikirkan tentang Mukhriz. Nama saja ada ijazah dalam bidang
pengurusan, tetapi kebolehan bekerja, sama taraf dengan buruh-buruh yang
berkelulusan sekolah rendah.
“Awak pergi dengan Jess nanti ya?” kata Datuk Wahab.
Cuba mengingatkan isterinya itu. Persoalan Mukhriz dilontarnya jauh-jauh. Jika
boleh sewaktu bersama isterinya itu, dia tidak ingin mengingatkan hal kerja.
“Saya seorang nak kena pergi dengan Jess?” tanya
Datin Julaidah. Dia agak keberatan.
Datuk Wahab hanya mengangguk. “Apa salahnya! Bukannya
susah. Pergi tengok dan suruh Jess pilih kereta yang dia berkenan. Yang
lain-lain saya uruskan,” jelas Datuk Wahab. Dia sudah siap berpakaian. Kemeja
lengan panjang warna biru muda berjalur halus. Seluar panjang biru tua. Briefcase
di atas katil dicapainya. Sekali lagi dia merenung cermin pada almari solek sambil
menggayakan briefcase.
“Hai, pecahlah cermin tu, bang. Dah handsome
dah!” seloroh Datin Julaidah. Dari tadi dia
memerhatikan suaminya asyik merenung cermin.
“Dah tua pun nak bergaya aje,” perlinya pula.
Menyembunyikan rasa bangga melihat suami yang kacak dan bergaya. Tangannya
pantas menyambar botol minyak wangi dan menyemburkannya ke tubuh suaminya itu.
“Kalau kacak bergaya pun, suami Jun jugak,” balas
Datuk Wahab sambil senyum kambing. “Wangi pulak tu,” selorohnya dengan senyuman yang meleret. Sempat hujung
telunjuknya mencuit pipi isterinya itu.
“Yalah, kacak
bergaya sangat takut ramai pulak perempuan yang nak goda abang di luar sana,”
balas Datin Julaidah. Pantas tangannya membetulkan kolar baju kemeja Datuk
Wahab yang tidak sempurna di matanya. Suaminya sempat menjeling, manis.
“Jomlah kita turun,”
ajak Datuk Wahab.
“Abang turunlah dulu,” kata Datin Julaidah.
Dia terus masuk ke bilik air sebaik saja suaminya keluar dari bilik tidur
mereka.
“Assalamualaikum,”
balas Datuk Wahab. Dia memerhati Jasmin yang hanya berseluar pendek kain denim
biru muda dan baju-T putih tidak berlengan.
Air muka Jasmin
serta-merta berubah apabila ucapan good
morning dibalas dengan
ucapan salam.
“Good morning,” kata Datuk Wahab pula apabila melihat
wajah anak gadis itu menjadi keruh. Mendengar sapaan itu, senyuman manja
terukir di bibir Jasmin. Wajahnya berseri semula. Datuk Wahab menjeling.
“Lain kali berilah
salam. Kita kan orang Islam,” nasihatnya perlahan. Langkahnya terus diatur.
“Alah... apa
bezanya, pa?” balas Jasmin.
Datuk Wahab tidak
mengambil pusing jawapan anaknya itu. Takkan Jasmin tidak faham perbezaan
antara ucapan salam mengikut ajaran Rasulullah dengan ucapan ‘Good Morning.’
“Mama tak turun ke,
papa?” tanya Jasmin sambil menarikkan kerusi untuk papanya. Datuk Wahab segera
duduk.
“Sekejap lagi mama
turun,” beritahu Datuk Wahab. Jasmin terus duduk di sebelahnya. Matanya
merenung permukaan meja.
“Bibik!” laungnya.
Pembantu rumah mereka segera dipanggil apabila melihat meja makan masih lagi
kosong. Dua tiga kali dia memanggil, namun pembantu rumah mereka tidak juga
muncul.
“Bibik cuti,”
beritahu Datuk Wahab.
Jasmin terlopong. “Dia balik kampung sebab emaknya sakit,” jelas Datuk Wahab
lagi. Bibik Misrah pembantu rumahnya berasal dari Bogor, Indonesia.
“Kenapa papa bagi dia cuti pulak? Susahlah
kalau macam ni,” rungut Jasmin sambil mencebir. “Bibik
cuti siapa yang nak masak nanti?” soalnya.
Datuk Wahab hanya
menyorot ke wajah anak gadis itu. Nampak benar sikap Jasmin yang begitu
mementingkan diri sendiri.
“Sepatutnya papa jangan benarkan dia
bercuti!” rungut anak gadis itu lagi.
“Kenapa pula papa nak halang kehendak bibik
melawat emaknya? Sewaktu ada nyawa emaklah, seorang anak wajib berbakti dan
mengambil berat kepadanya. Kalau dah tak ada esok, baru nak teringat dan
terkenang dah tak berguna lagi,” jawab Datuk Wahab panjang lebar.
Jasmin rasa
tersindir. “Kalau dah nak berbakti kepada emak dia, tak payahlah datang kerja
kat sini. Duduklah di celah ketiak emaknya,” balas Jasmin dengan suara
perlahan.
“Alah, Jess yang duduk di celah ketiak
mama pun belum tentu dapat berbakti kepada dia,” perli Datuk Wahab.
“Papa...” rengek Jasmin yang rasa
tersindir.
“Jess tak tolong bancuh air untuk papa
ke?” tanya Datin Julaidah yang baru masuk ke ruang dapur.
“Jess?” soal Jasmin
kembali sambil menuding jari kepada dirinya sendiri. Dia tergaru-garu. Seumur
hidupnya, dia tidak pernah pun membancuh air untuk sarapan mereka. Sedari kecil
lagi, yang dia tahu duduk di kerusi dan semua makanan telah terhidang.
“Belajar-belajarlah,”
nasihat Datuk Wahab. Wajah manja Jasmin ditatap seketika.
“Takkan dah jadi anak gadis, air kopi pun
tak tau nak buat,” sambung Datuk Wahab lagi. Sekaya mana atau setinggi mana pun
pelajaran seorang wanita itu, dia mesti tahu tugas-tugas di dapur. Itulah
pendapatnya.
“Nanti kalau kahwin
dengan Iskandar macam mana?” tanya Datin Julaidah lembut.
“Agaknya Iskandar
akan sediakan dia dayang setengah dozen,” seloroh Datuk Wahab. Cuba menduga
hati Jasmin. Entah ia entah tidak Iskandar akan menyuntingnya. Dia tidak begitu
yakin dengan percintaan mereka itu. Entah-entah cinta gorila sebab nak kata
cinta monyet pun kedua-duanya sudah masuk fasa dewasa. Bukan anak belasan tahun
lagi.
“Itu pun kalau bernasib baik! Kalau
Iskandar ada pencetak wang kertas atau pokok duit,” gurau Datuk Wahab lagi.
Megah Enterprise, syarikat yang dimiliki oleh keluarga Iskandar hanya menanti
masa untuk gulung tikar. Itulah khabar angin yang didengarnya. Bibirnya menguntum senyum sinis.
Menyembunyikan perasaan yang tergigit. Begitulah putaran hidup manusia di atas
muka bumi ini.
“Atau dia nak suruh suami dia tatap
wajahnya aje dari pagi sampai petang. Tak payah minum, tak payah makan.”
Sindiran Datuk Wahab semakin tajam.
“Alah, papa ni...
nanti Jess belajarlah,” rajuk Jasmin. Dia paling tidak suka mendengar orang
membebel.
“Bagus!” puji Datuk
Wahab, sempat menjeling ke wajah anaknya itu. “Sementara tu, ambilkan papa air
suam,” mintanya pula. Sekadar menduga Jasmin sebab anak gadis itu selain
daripada perangainya yang manja dan mengada-ngada, bukannya perajin juga.
“Hah, kalau yang
itu, boleh,” jawab Jasmin. Pantas sahaja dia beredar dari situ. Datuk Wahab
merenung wajah isterinya. Mereka berbalas renungan beberapa ketika.
“Nanti awak
pujuk dia. Suruh dia sambung belajar balik. Asyik buang masa aje,” kata Datuk
Wahab.
“Yalah,
bang. Nanti saya pujuk. Tapi kalau dia tak mahu, takkan kita nak paksa pulak,”
jawab Datin Julaidah. Jasmin yang terlalu manja dan terbiasa hidup dengan
kemewahan memang keras kepala.
“Kena
paksa!” tegas Datuk Wahab.
“Abang ajaklah dia
kerja di syarikat kita,” cadang Datin Julaidah, lembut memujuk.
“Nak kerja apa di sana? Jadi tukang bancuh
air ke atau jadi tukang sapu?” tanya Datuk Wahab. Sebal. Geram. Segalanya
berbaur.
“Nak jadi tukang bancuh air, bancuh air
kopi pun tak tahu,” koyok Datuk Wahab. “Atau
tukang cuci tandas. Yang itu bolehlah. Mak Cik Jamadiah tukang cuci tandas kat
pejabat itu pun dah nak berhenti hujung bulan ni.” Selamba sahaja kata-kata itu
terungkap oleh bibirnya.
“Abang!” Datin Julaidah terjerit. Langsung
tidak menduga suaminya akan berkata begitu. Begitu rendah Jasmin pada pandangan
suaminya itu. “Jess itu satu-satunya anak yang kita ada!
Takkanlah nak suruh dia jadi tukang bancuh kopi, tukang sapu atau tukang cuci
tandas pulak?” marah Datin Julaidah.
“Habis tu, nak suruh dia jadi apa? Manager? Apa yang dia tahu? Semuanya tak reti. Tahunya melaram, bercinta, shopping! Lagipun tak usah pandang rendah pada kerja-kerja kuli. Ada jugak
tukang cuci pada asalnya, sudah menjadi usahawan dan tokoh korporat berjaya!”
tegas Datuk Wahab.
“Abang dulu pun kuli jugak. Tapi setiap
orang yang berakal, mesti ada cita-cita untuk menambah baik taraf kehidupannya.
Dulu abang belajar kelas malam dan bekerja sebagai pencuci bangunan. Abang
berdikit-dikit. Simpan duit. Lepas tu, abang beli tanah. Ada orang berminat
hendak mengusahakan pertanian tetapi tak ada tempat, tanah itu abang
sewakan...”
“Alah, bang! Jun tahulah tentang itu. Dah
banyak kali abang cerita. Tapi, Jess tu perempuan.” Datin Julaidah masih
membela anak gadisnya. “Lainlah kalau anak kita tu lelaki,
bolehlah diharapkan untuk mengambil alih syarikat,” sambungnya lagi.
“Alah, zaman sekarang ni untuk menempa
kejayaan tak disempadankan oleh gender! Tapi, Jess tu tak ada keinginan. Dia
perasan dia anak orang kaya. Saya sendiri pun tak pernah rasa yang saya ni
kaya,” rungut Datuk Wahab.
“Tak usahlah berkira sangat. Tawarkanlah
dia jawatan yang baik sikit kat ofis tu,” pujuk Datin Julaidah dengan harapan.
“Sebab itu dia kena
sambung pengajiannya. Kalau dia tak ada ilmu macam mana nak menguruskan Perkasa
Holding bila saya dah mati nanti?” tanya Datuk Wahab. Serius sekali suaranya. “Sekurang-kurangnya ada diploma dalam pengurusan sumber
manusia, jika otaknya dah bengap sangat tidak mahu belajar tentang bisnes.
Jangan nanti bila saya mati mengejut esok, dia tak tahu nak buat apa-apa. ”
“Hisy! Abang ni, ke
situ pulak!” protes Datin Julaidah. Perkataan mati memang menggerunkannya.
Kehilangan orang yang disayangi amat menakutkannya.
“Mati itu tetap
datang,” ujar Datuk Wahab perlahan. “Setiap yang hidup pasti akan mati. Tidak
perlu digusarkan.” Leteren Datuk Wahab berpanjangan pula.
“Tak apa, bang.
Nanti Jun pujuk dia, ya?” kata Datin Julaidah mengelakkan perbalahan dengan
suaminya di awal pagi. “Jun pergi sediakan sarapan dulu,” beritahunya lagi.
Nampak gaya angin suaminya tidak betul pada pagi itu. Jarang-jarang suaminya itu
naik angin semenjak perkahwinan mereka yang sudah menjangkau usia dua dekad.
“Maaf,
papa. Lambat bawakan air untuk papa. Jess tak tahu Bibik Misrah simpan gelas
kat mana. Kena cari pulak,” adu Jasmin lembut.
“Dah
Jess rajin sangat pergi ke dapur. Sebab itu semuanya tak tau,” perli Datuk
Wahab.
“Papa,” panggil
Jasmin merengek.
“Hmm...
nak bodek apa pagi-pagi ni?” tanya Datuk Wahab dengan suara sedikit tegang.
“Papa jadi
tak nak belikan kereta baru untuk Jess?” tanya Jasmin. Janji papanya pasti
dituntut sehingga dia memperoleh kereta yang menjadi idamannya.
“Yes,
dengan syarat!” jawab Datuk Wahab tegas. Jasmin anak yang terlalu dimanjakan
dengan kemewahan. Sesekali dia perlu bertegas agar gadis itu tidak lupa
daratan.
“Anything! Asalkan papa tak suruh Jess sambung
belajar.Jess tak naklah pa... boring...”
Air mukanya berubah muram. Sudah acapkali mama dan papanya memujuk supaya dia
menyambung pengajiannya.
“Boring? Habis tu,
duduk-duduk di rumah ni buang masa, tak boring ke?” tanya Datuk Wahab.
Jasmin menggaru-garu
pipinya sambil merenung wajah papanya dengan pandangan jengkel.
”Kalau
boring duduk kat rumah, Jess boleh pergi shopping,” balasnya sambil menundukkan muka.
Bibirnya digigit perlahan tanda protes.
“Asyik shopping tak boring?” duga Datuk Wahab lagi.
“Alah!
Papa sengaja nak jerat Jess. Jess tetap tak mahu sambung studi lagi. Jess tak
suka! Nak baca buku! Nak exam! Eh, macam neraka! Dulu, papa dah janji...
kalau dapat keputusan bagus dalam SPM, Jess boleh enjoy! Jess dah tunaikan
hajat papa. Kenapa sekarang ni papa suruh Jess studi balik?” tanya Jasmin
sambil mengungkit.
“Tak mahu dengar
kata papa, tak ada kereta baru! Gunalah
kereta yang ada tu sampai reput! Sampai masuk dalam neraka!” tengking Datuk
Wahab. Kedegilan Jasmin kadangkala membuatkan dia hilang sabar.
“Bencilah!” bentak
Jasmin. Terus dia berlari ke tingkat atas. Perasaannya benar-benar tersinggung.
“Jess mana, bang?”
tanya Datin Julaidah yang datang ke situ membawa dulang berisi sajian sarapan
untuk mereka bertiga. Datuk Wahab buat tak dengar.
“Abang
tak jadi belikan Jess kereta baru,” beritahu Datuk Wahab tanpa menjawab
pertanyaan isterinya.
“Kenapa
pulak?” Sekali lagi pertanyaan Datin Julaidah tidak mendapat respons.
Datuk Wahab
cepat-cepat menghirup Nescafe yang dituang oleh isterinya. Setelah itu,
cepat-cepat dia bangun dan meninggalkan meja makan. “Abang nak pergi pejabat ni,”
beritahunya sambil berjalan deras.
“Abangg,”
panggil Datin Julaidah sambil mengekori suaminya.
“Jess
tu jangan diberi muka sangat. Semakin lama semakin biadap!” pesan Datuk Wahab
sebelum melangkah keluar pintu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan