Jam buruk di atas almari solek yang usang dikerlingnya
sekilas. Sudah 9.00 malam. Ray masih belum pulang dari masjid sejak waktu
maghrib tadi. Ray sudah dua hari berhenti kerja dari Restoran Abang Ba.
Nampaknya, Ray sudah bertekad untuk mencuba nasibnya di perantauan.
Pandangan Fazidatul terlempar di
atas katil. Ada
beberapa helai baju Ray yang sudah dilonggokkan di situ. Dia mencapai dua baju
kemeja dan beberapa helai baju-T yang paling elok. Kemudian, dia mencapai beg
pakaian dari bawah katil. Beg kanvas berwarna hitam itu sudah berdebu. Puas dia
menepuk-nepuk permukaan beg itu untuk membuang habuk dan debu. Fazidatul
terbatuk-batuk. Bunyi derap tapak kaki yang memijak papan lantai menuju ke
bilik tidak diendahkannya.
“Mak
siapkan pakaian untuk Ray ke? Tak payahlah, mak. Nanti Ray buat sendiri,” tegur
Ray sebaik melihat emaknya sedang memasukkan pakaian ke dalam beg.
“Tak
apalah, Ray. Tak banyak pun kain baju yang emak bekalkan,” jawab Fazidatul.
Matanya merenung Ray yang merebahkan diri di atas tilam nipis. Dia nampak
keletihan. Wajahnya juga sugul.
“Ray
nak pergi cari kerja di mana, nak?” tanya Fazidatul. Anak muda itu nampaknya
sedang berfikir-fikir.
“Belum
tahu lagi, mak,” jawab Ray bersahaja. Kalau mengikut kapal, dia akan bertarung
ombak di lautan. Kalau ke kota, dia akan bersaing dengan manusia. Baginya, di
bumi mana pun dia berada nanti, dia harus melakukan segalanya dengan
bersungguh-sungguh demi merealisasikan cita-citanya.
Fazidatul
mengerling. Berderau darahnya sejenak. Jawapan itu melemaskannya. Ungkapan
’belum tahu’ yang dilontarkan Ray bermaksud dia akan terumbang-ambing di rantau
orang. Matanya merenung Ray yang masih berbaju Melayu dan berkain pelikat.
“Ray
ada kawan-kawan yang boleh membantu ke?” tanya Fazidatul lagi. Jika Ray
berteman sewaktu di rantau
berkuranganlah sedikit rasa bimbangnya.
“Tak
ada juga,” jawab Ray. Kali ini, jawapannya diiringi tawa kecil. Ray bangun lalu
duduk di birai katil bujangnya. Dia menyorot pandang ke wajah emaknya.
“Kenapa,
mak? Mak risau ke?” soalnya lalu berdiri. Setelah itu, dia menyelak tilam dan
mengambil sampul surat besar berwarna putih yang sudah kekuningan. “Mak tak
usah risau ya, mak” pujuknya apabila pertanyaannya tadi tidak mendapat jawapan.
“Mestilah
mak risau. Nanti Ray nak tidur di mana? Makan di mana? Mandi di mana?” tanya
Fazidatul. Dahinya dikerutkan sewaktu memandang Ray yang nampak tenang dan
selamba.
“Ray
lelaki, mak. Tahulah Ray nak hidup,” jawab Ray lalu memasukkan sampul surat
tadi ke dalam beg pakaian yang sudah dizip oleh emaknya. Di dalam sampul surat
itu tersimpan segala sijil persekolahannya. Dokumen-dokumen penting itu mungkin
diperlukan untuk dia melamar pekerjaan di kota nanti.
Fazidatul
hanya memerhati. Sesuatu melintas di fikirannya dengan tiba-tiba.
“Betul
tak, mak! Kalau anak gadis, lainlah,” tukas Ray lagi mempertahankan
pendiriannya. “Orang lelaki ni, tidur kat masjid pun boleh.” Lebar senyuman
yang terukir di bibirnya.
“Hmm,
macam mudah aje,” sinis kata-kata emaknya. Ray senyum. Fazidatul bangun lalu
mengambil sesuatu dari dalam laci almari pakaian. Di hadapan almari, dia
mengamati dokumen di tangannya berulang kali. Hatinya berbelit-belit. Sama ada
terus menyimpan atau menyerahkannya kepada Ray. Akhirnya, keputusan dibuat. Setelah itu, dia kembali
duduk di sisi Ray.
“Ini surat beranak, Ray.
Simpanlah sekali dengan sijil-sijil sekolah tadi. Esok-esok nak cari kerja
senang,” katanya.
“Terima kasih, mak...”
ucap Ray. Sampul surat besar yang telah disimpan di dalam beg dikeluarkan
semula. Tak sempat membaca, sijil beranak itu disumbatnya ke dalam sampul
surat.
“Simpan elok-elok, Ray.
Nanti habis berkedut semua sijil-sijil tu,” tegur emaknya. Ray menyeringai.
Sampul surat yang berlipat dibetulkan semula. Setelah berpuas hati, beg pakaian
dizipkan kembali.
“Pagi esok, Ray bertolak
ya, mak?” beritahu Ray. Beg yang berisi pakaiannya direnung sekilas.
Perasaannya jadi sayu. Di saat perpisahan mereka esok, janganlah hatinya
tersungkur sedih.
Fazidatul
mengangguk. Walaupun hati terasa berat, dia terpaksa melepaskan Ray pergi.
“Ray nak ambil gambar emak
dan ayah sekeping ya,” pinta Ray. “Untuk ditatap sewaktu sedang rindu.”
Fazidatul
menganggukkan kepala. Dadanya mula diasak sebak. Perasaannya tiba-tiba
meruntun. Lantas, dia tidak dapat bersuara dan membalas kata-kata Ray.
“Ray bawa gambar Dania dan
Iwan juga,” beritahu Ray sambil senyum meleret. Perhubungan mereka tiga beradik
memang akrab. Gambar adik-adiknya ditatap seketika sebelum dimasukkan ke dalam
beg.
Fazidatul
menahan perasaan apabila melihat Ray mengucup gambar Dania beberapa kali
sebelum menyimpannya.
“Kenapa
Ray cium gambar Dania tu?” duganya. Jiwanya dipasung bimbang. “Macam cium
gambar kekasih aje,” usiknya pula.
Berdebar
dada Ray mendengar usikan emaknya itu. Naluri halus emaknya seolah-olah dapat
membaca riak di hatinya pula.
“Mak
ni. Itu pun mak nak tanya. Sebab sayanglah, Ray cium gambarnya. Kami, kan
rapat, mak?” tanya Ray sambil ketawa. Pipinya tiba-tiba menghangat. Entah
mengapa, dia tidak perasan yang
kelakuannya diperhatikan oleh emaknya.
“Gambar
emak dan ayah, Ray tak cium pun,” gurau Fazidatul. Ray terkumpal-kumpal. “Ray
tak sayang pada emak atau ayah ke?” usik Fazidatul lagi.
Hanya
ketawa kecil yang membalas ungkapan emaknya itu. Sekali lagi dia rasa termalu.
“Emak ni sengaja nak usik Ray,” kata Ray cuba mematikan kata-kata emaknya.
“Takkanlah
Ray tak sayang pada mak dan ayah. Tanpa mak dan ayah, tak ada Ray kat dunia ni,
mak!” sambung Ray.
“Ray, di tempat orang
nanti pandai-pandailah bawa diri. Sembahyang jangan ditinggal. TUHAN jangan
dilupa,” pesan Fazidatul dengan suara bergetar.
“InsyaALLAH, mak. Tak
usahlah mak bimbang,” janji Ray. “Mak dan ayah dah beri didikan agama pada Ray.
Walau apa pun yang terjadi, ALLAH mesti diutamakan. Kita ni hanya hamba ALLAH
yang menumpang di atas muka bumi. Jangan lalai menyediakan bekalan untuk hari
akhirat,” balas Ray panjang lebar.
“Walau
apa pun yang terjadi, cita-cita utama Ray tetap ingin mendapat kejayaan dunia
dan akhirat. Meskipun tujuan berhijrah dan merantau untuk mencari rezeki bagi
mengubah kehidupan kita, keredhaan tuhan
masih menjadi matlamat Ray, mak.”
Wajah
emaknya dipandang lama. Walaupun hati berasa berat untuk meninggalkan emak dan
adik-adik, dia terpaksa tahankan juga. Segala bisikan dan pujukan hati yang
mungkin menggagalkan keinginannya itu ditentang dan dilawan habis-habisan. Dia
harus berani melawan cabaran dan dugaan yang bakal mendatang.
“Baguslah,
Ray. Sentiasa ingat dan berpegang pada tali ALLAH ya, nak,” pesan Fazidatul
lagi. Hatinya terasa damai mendengarkan kata-kata Ray tadi.
“Nanti Ray tulis surat
untuk mak,” katanya lagi. Tanggungjawab menyara keluarga terletak di atas
bahunya. Dia bertekad sebaik sahaja bekerja dan mendapat gaji, dia akan
mengirimkan duit kepada emaknya.
“Dania dan Iwan dah tahu
ke Ray nak pergi esok, mak?” tanya Ray.
Fazidatul
mengangguk. Dania menangis sebaik sahaja diberitahu yang Ray akan meninggalkan
mereka esok. “Iwan tu
tak apalah. Hati budak lelaki ni lain,” ujar Fazidatul. Suasana menyepi
seketika.
Ray
seolah dapat meneka apa yang akan diungkapkan oleh emaknya sebentar lagi. “Tapi, Dania menangis.” Suara
Fazidatul hampir tidak kedengaran. “Dia sedih...”
Ray
diam sejenak. Dia faham perasaan Dania. Maklumlah, mereka sangat rapat.
Beberapa hari yang lalu pun, Dania menangis di subuh hari. Hampir terbentur
juga hatinya. Namun apabila terkenangkan kata-kata penghinaan yang pernah
diterima, semangatnya bangkit semula. Dia tidak mahu keluarganya dipandang
rendah oleh sesiapa sampai bila-bila.
“Mula-mula memanglah Dania
akan rasa kehilangan,” balas Ray lembut. Dia pun begitu juga. Pasti selepas ini
rasa sunyi akan menjadi temannya. Tanpa Dania, hidupnya tentu rasa asing.
“Lama-lama nanti Dania
akan biasa, mak. Selama ini, kita berempat tak pernah dipisah-pisahkan. Tapi
untuk kehidupan keluarga kita dan diri Ray sendiri... Ray harus pergi,” sambung
Ray dengan penuh semangat. Sekali dia berazam untuk melangkah ke depan, dia tak
akan berundur.
“Ray jangan bimbang pasal
Dania. Nanti mak pujuklah. Mak nasihat dia elok-elok. Dia sedang merajuk tu,” janji Fazidatul.
Ray
menekur lantai beberapa ketika. Menyembunyikan rasa duka yang telah tercanai di jiwa.
Sehari dua ini, hati kecilnya rasa tidak gembira. Macam-macam hal yang
mendatangi fikiran. Boleh atau tidak dia berpisah dengan Dania lama-lama?
Kadang-kadang dia rasa ragu dengan keperkasaan jiwanya sendiri.
Fazidatul
menjeling. “Apa yang Ray fikirkan
lagi?” soalnya. Wajah anak muda kesayangannya itu ditatap lembut.
“Risau
pulak, Ray. Takut persekolahan Dania terganggu.” Ray mengusap kepalanya
perlahan. Meredakan ketegangan fikiran. Kalau persekolahan Dania terganggu akan
menjejaskan keputusan SPMnya.
“Kalau begitu, pergilah
Ray nasihatkan dia,” cadang Fazidatul. Wajah Ray disoroti. Wajah anak muda itu
juga nampak sugul. Mungkin fikiran Ray juga sedang kusut. Sama seperti dia.
Sama macam Dania.
“Baiklah, mak. Biar Ray
bagi khutbah kat dia sekejap,” gurau Ray. Kesugulan di wajahnya terus lenyap.
Fazidatul turut ketawa. Suasana sayu bertukar ria. Ray memang pandai meredakan
kegelisahan hati orang di sekelilingnya.
“Abang ni, kenapa?” tanya
Dania tanpa berpaling melihat Ray. Cuma kakinya sahaja bergoyang-goyang menahan
rasa geli.
“Dania,” panggil Ray
lembut. Dania tidak menjawab. “Pagi esok, abang dah nak pergi,” beritahu Ray. Dania buat tak dengar. “Dania tak kisah, kan?” tanya Ray.
Mendengar
pertanyaan Ray itu, Dania segera berpaling. Tajam renungannya pada Ray. “Siapa cakap Dania tak kisah?” Dia
bangun dan duduk bersila di hadapan Ray. “Selama Dania hidup, abang sentiasa ada di samping Dania,”
rengeknya. Air matanya pula bergenang. Dia mula teresak.
“Eeii... macam budak darjah satu! Mata Dania ni, macam paip bocor
pulak, asyik meleleh aje,” seloroh Ray.
Dania
berasa lucu dengan kata-kata itu. Tangisannya berubah menjadi tawa pula.
“Hah! Kalau Dania ketawa
begitu, barulah Abang Ray bersemangat untuk pergi merantau,” tukas Ray.
“Alah... abang tu memang
tak pernah menghargai air mata Dania,” balas Dania seolah merajuk. Bibirnya
yang nipis comel dimuncung-muncungkan.
“Abang tak suka pada air
mata kesedihan!” tegas Ray. Dia senyum puas apabila melihat adiknya kembali
ceria.
“Macam tak sayang pada
Dania aje! Orang kalau sayang dia mesti hargai segalanya. Air mata sedih ke,
gembira ke,” balas Dania. Esakannya kedengaran jarang-jarang.
“Tak sayang pulak! Dania
tu yang tak sayang abang, kalau iringi pemergian abang dengan air mata,” kata
Ray.
“Siapa kata Dania tak
sayang? Selepas mak, abanglah orang yang paling Dania sayang, tau tak...”
beritahu Dania.
“Bagus! Kalau sayang pada abang mesti buktikan,” balas Ray sambil menyengih.
“Okey,
nanti Dania buktikan,” janji Dania. Dia senyum-senyum sambil mengesat pipi yang
basah.
“Macam mana?” soal Ray sambil
senyum sumbing.
“Dania janji akan score
9A1 untuk SPM nanti,” jawab Dania.
“Bagus...” balas Ray.
Sepantas kilat bibirnya singgah di ubun-ubun Dania. Berderau darah Dania.
Tubuhnya menghangat. Belum pernah lagi Ray menciumnya sejak mereka sudah menjadi
besar panjang.
“Ray... Dania!” pekik
Fazidatul. Sejak tadi dia memerhati dari jauh telatah dua beradik itu.
Fazidatul mengusap dadanya perlahan.
“Kenapa, mak?” tanya Dania
dan Ray serentak.
Fazidatul
terkumpal-kumpal untuk menjawab. “Err... tak ada apa-apa,” ungkap Fazidatul akhirnya.
“Mak nak suruh Dania siapkan makan malam untuk kita ke?” tanya Dania pula.
Suaranya kuat.
“Eloklah tu, Dania! Sekejap lagi Iwan balik, kita boleh
makan sama-sama,” jawab Fazidatul. Dia terus beredar ke bilik semula. Ray dan
Dania pandang-memandang.
“Abang tolong Dania, ya,”
bodek Dania seraya bangun. Buku-buku yang berserakan disusun di tepi dinding. “Abang tolong goreng ikan bilis,”
suruh Dania, tanpa melihat Ray. Mereka memang selalu masak bersama-sama jika
abangnya ada di rumah.
“Okey, Dania punya pasal,
jangan kata ikan bilis, ikan jerung pun abang boleh tolong gorengkan,” balas
Ray sempat bergurau. Ketawanya semakin kuat apabila tamparan manja Dania
hinggap di lengannya.
“Nak
goreng ikan jerung konon! Tak sempat nak gorengkan, abang yang kena ngap!”
tempelak Dania.
Ray ikut
ketawa.
“Jom!”
kata mereka sama-sama. Mereka berjalan bertolak-tolak menuju ke dapur. Masih
berseloroh. Suara mereka yang bercakap kuat sambil ketawa singgah di telinga
Fazidatul. Perasaannya terus berbaur. Anyaman duka dan ukiran resah
terpintal-pintal. Lautan hati terus dilanda gelora rasa serba salah. Dia pula
menuju ke dapur untuk bersama-sama Dania dan Ray yang sedang
menyediakan hidangan untuk makan malam mereka. Dania
dan Ray yang akan berpisah esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan