Industri pembinaan
merupakan suatu industri yang amat penting dalam menggerakkan pembangunan
sesebuah negara. Malaysia merupakan salah sebuah negara membangun yang semakin
meningkat ke arah menjadi sebuah negara maju. Selaras dengan peningkatan dan
kemajuan yang dicapai untuk ke arah negara maju, industri pembinaan memainkan
peranan penting dalam proses pembangunan, terutamanya dalam sektor perumahan,
pusat perniagaan, infrastruktur dan sebagainya.
Sebaris demi sebaris tulisan pada
majalah yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan menjadi jamahan anak mata
Ray. Dia yang sedang dalam perjalanan menuju ke ibu kota. Masih lagi berada di dalam bas ekspres.
Majalah yang sedang dibaca bertajuk WAWASAN 2020 itu mungkin telah ditinggalkan
oleh penumpang lain di tempat duduknya.
Sejenak Ray memejamkan mata.
Rencana yang dibaca sebentar tadi terus berlegar-legar di fikiran. Industri
pembinaan! Ray seolah-olah mendapat ilham. Dia terus membayangkan
bangunan-bangunan yang berprestij di Kuala
Lumpur dan di negara ini. Menara Kuala Lumpur. Menara
Berkembar Petronas. Seri Perdana dan bangunan-bangunan di Putrajaya. Semuanya
bangunan indah yang menjadi mercu tanda kemajuan negara ini. Bibirnya mengukir
senyuman. Mungkin dia boleh cuba
mencari rezeki di dalam industri itu?
Tambahan pula, dia pernah
bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek. Jika hari ini dia belum berjaya
lagi mencapai cita-citanya, apa salah jika dapat melakukan kerja yang
menghampirkan dirinya dalam bidang itu?
Bidang pembinaan bangunan!
Otak
Ray terus mengatur rancangan sambil berjalan. Akhirnya, langkah kaki Ray tiba
di tangga sebuah masjid di tengah kota. Dia senyum. Rumah ALLAH itu memang
sentiasa terbuka untuk seluruh umat manusia.
“Ya ALLAH Ya TUHANku,
permudahkanlah segala urusanku pada hari ini dan hari-hari seterusnya.” Titipan
doanya, selesai solat pada tengah hari itu.
Matanya
meliar ke sana dan ke sini mencari ruang yang sesuai untuk melepaskan lelah
sejenak. Malam ini, dia akan tidur di masjid itu. Ray merebahkan dirinya di
atas simen dan mengalas kepalanya dengan beg pakaian yang dibawa, di sudut
ceruk yang terpencil. Di situ, ada seorang tua yang sedang tidur lena.
Teriknya
matahari pada saat itu walaupun baru pukul 10.30 pagi. Tiada kedengaran irama
merdu di tapak pembinaan itu. Yang kedengaran hanyalah hingar-bingar bunyi
jentera pembancuh simen. Bunyi paluan besi mengasak bumi. Sesekali terdengar
jeritan buruh sesama sendiri. Suara mereka yang sedang melakukan kerja.
Ray
melangkah dengan hati-hati. Matanya memerhati bongkah-bongkah simen yang
mengeras dan bertabur di sana sini. Puing-puing kayu berserakan. Lopak-lopak
kecil yang berada di mana-mana, pastinya memanggil nyamuk dan menjadi tempat
pembiakan jentik-jentik pula. Kotor. Sesekali dia mendongak ke atas. Melihat kerangka
bangunan yang sedang di dirikan. Timbul rasa kagumnya.
Dua
tiga buah lokasi projek binaan Ray jejaki pada hari itu. Namun, tiada kerja
kosong buatnya. Meskipun begitu, dia tidak berputus asa. Keazaman dan
semangatnya tidak mungkin menjadi gerhana.
‘Agaknya projek tu dah lama.
Mungkin akan siap tak berapa lama lagi. Tenaga buruh yang ada pun mungkin akan
dikurangkan,’ kata hatinya, memujuk diri sendiri. Keringat halus mula memercik
di lehernya.
Mahu
tak mahu, Ray terpaksa mencari tapak lokasi projek pembinaan yang nampaknya
baru dimulakan. Mudah sahaja untuk mengetahui projek yang baru. Pasti
pekerja-pekerja atau jentera sibuk melakukan kerja tanah. Atau cari sahaja
papan tanda yang biasa terpacak berdekatan dengan lokasi projek. Pasti ada
maklumatnya. Nama projek dan syarikat yang mendapat tender. Tarikh mula dan
tarikh projek patut disiapkan.
Ray
terus berjalan sambil memerhati. ‘Alhamdulillah,’ bisik
hati kecilnya. Nampaknya ada sebuah projek yang sedang dibangunkan di atas
sebidang tanah yang luas tidak jauh dari situ. Ray terus menghampiri.
Namun, dia mesti mencari papan tanda
berhampiran lokasi projek itu terlebih dahulu untuk mendapatkan sedikit
maklumat.
Wafa
Construction SDN. BHD. Secalit senyuman meniti di bibir Ray sewaktu membaca
tulisan yang terpamir pada papan tanda bersaiz besar. Secara kebetulan namanya
ada perkataan Wafa di hujungnya. Namanya Ahmad Raiyan Wafa. Ray mula memasang
angan-angan. Satu hari nanti, dia akan memiliki syarikat yang besar dan
berprestij seperti itu.
Setelah
puas mengamati dan membuat sedikit catatan pada buku yang dibawa di dalam beg
galasnya, Ray meninggalkan papan tanda. Dia berjalan masuk ke kawasan tanah
tapak projek Awana Mall itu. Wafa Construction Sdn. Bhd. akan membina Awana
Mall, bangunan setinggi 20 tingkat. Sebuah kompleks perniagaan yang akan
dilengkapi dengan prasarananya.
“Kau nak minta kerja kat
sini?” tanya seorang lelaki berambut kerinting kepada Ray. Anak muda itu yang
baru sahaja bertanyakan kerja kosong di situ.
“Kau ni rakyat Malaysia ke
pendatang asing?” soal lelaki berambut kerinting itu lagi. Wajah Ray terus
diamati. Anak muda itu berkulit cerah berwajah bujur. Rambutnya melepasi bahu
tersisir rapi dan ditocang. Penampilannya bersih dan kemas. Usianya mungkin
baru 21 tahun kurang lebih.
“Saya rakyat Malaysia,
bang!” jawab Ray.
“Kerja di sini, susah!
Panas! Kau tak nampak tu? Sekejap lagi matahari bersinar garang habis kulit
kau!” kata Lelaki berambut kerinting seolah keberatan. Matanya terlempar pada
lengan Ray yang berkulit cerah.
“Lebih baik kau kerja
kilang. Ada aircond,” komentar lelaki itu masih belum selesai. “Tempat kerja pun bersih,”
tukasnya lagi. Pandangan matanya kepada Ray belum berkalih. Sejenak bibirnya
melukis senyuman.
“Saya minat kerja kat
sini, bang...” balas Ray bersahaja. Memberitahu sejujurnya. Harapan dan doanya
menggunung.
“Rupa handsome
macam hero Malaya, takkan nak kerja kat sini! Baik kau jadi artis. Lagi banyak
dapat duit. ”
Kata-kata
yang diungkapkan lelaki tadi mula merapu pada pendengaran Ray. Tidak pernah ada
di dalam angan-angan atau mimpinya untuk menjadi artis!
“Aku takut nanti kau
terhempap bata atau tertimbus tanah...” balas lelaki tadi sambil membelek-belek
tubuh Ray yang kurus tinggi. “Kurus tinggi, handsome macam ni elok jadi model saja,” perlinya
lagi.
“Jadi tak adalah kerja
kosong di sini, bang?” tanya Ray. Ingin segera menghindar dari situ. Telinganya
jadi sakit mendengar kata-kata lelaki itu. Memperlekehkan tubuh badannya pula.
Satu pertanyaan yang diajukan, namun sepuluh jawapan yang diberikan langsung
tidak bertepatan dengan soalan.
“Kau
pergi jumpa dengan lelaki yang di hujung sana. Dia penyelia kat sini,” sarannya
sambil menudingkan jarinya.
Ray
merenung ke arah lelaki yang ditunjuk.“Terima kasih, bang...” ucap Ray sebelum
beredar.
“Ya?”
tanya lelaki berkepala botak itu sebaik menyedari kehadiran Ray. Ucapan salam Ray
tidak dijawab. Lelaki botak merenung Ray sekilas. Baju-T putih yang dipakai Ray
sudah dibasahi peluh. Wajah bujurnya nampak bersih, tetapi sedikit cengkung.
Renungan mata Ray yang tajam bak burung helang menjadi sasaran pandangannya.
“Err...
err...” Ray tergagap. Tiba-tiba pula dia berasa cuak melihat sikap acuh tak
acuh yang ditunjukkan oleh lelaki itu. ‘Ke mana lenyapnya budi
pekerti manusia di zaman milenium ini?’
tanya hati Ray.
“Kalau
kau nak minta sedekah, aku tak ada masa nak layan!” herdik lelaki itu
tiba-tiba. Berdesing telinga Ray.
“Saya
nak minta kerja, encik,” jawab Ray cuba bersabar. Masih tenang dan lembut
suaranya. Jika mahu orang menabur budi, diri sendirilah terlebih dahulu kena
berbahasa.
“Oh,
kenapa tak cakap awal-awal?” jerkah lelaki itu. Matanya mengitar ke sana dan ke
sini. “Betul kau nak kerja kat sini?” soalnya tidak percaya.
“Betul,
bang!” tegas Ray.
“Kalau
begitu nanti sekejap,” beritahunya. Suaranya berubah nada. “Kerja kat sini
berat. Kau sanggup?” tanyanya kepada Ray.
Ray
mengganggukkan kepala. Jika tidak sanggup buat apa dia datang ke situ? “Kau
jangan lari pulak! Selalu budak-budak Melayu baya-baya kau ni cabut lari bila
kerja dua, tiga hari,” rungut lelaki itu.
“Orang-orang
kita bukannya mau kerja kontrak macam ni! Tak ada standard kot,” sambungnya
menyindir bangsa sendiri.
“Saya
cuba, bang,” janji Ray. Sindiran lelaki itu tadi, termakan juga di fikirannya.
Kalau pemuda-pemuda negara ini sanggup memerah keringat bekerja di tapak projek
pembinaan bangunan, tak perlulah kerajaan mengimpot warga asing. Namun apakan
daya, mungkin disebabkan keselesaan hidup yang dikecapi dalam negara yang
makmur ini menyebabkan sebilangan anak muda sebayanya lebih suka membuang masa
dengan perkara yang tidak berfaedah. Walaupun bukan majoriti, tetapi jumlahnya
ramai.
“Sebelum
dapat kerja semua orang cakap begitu,” balas lelaki itu sinis. Ray diam. Masih
bersabar. Lelaki tadi merenungnya sekali lagi. “Kau tunggu kat sini kejap.”
Ray
menurut. Dia mencapai sebiji bata lalu duduk menanti. Lima minit kemudian,
lelaki berkepala botak muncul semula bersama seorang pemuda. Ray terus bangun.
“Nanti
kau ikut dia,” beritahu lelaki itu.
Ray
hanya mengangguk. “Boleh mula kerja hari ini?” tanya lelaki tadi kepada Ray. Di
sisinya ada seorang pemuda. Ray meneka yang pemuda itu mungkin warga Indonesia
berdasarkan raut wajahnya.
“Boleh,
bang,” setuju Ray. Dia lega. Tidak perlu lagi memutar-mutar keliling kota untuk
melamar pekerjaan. Hari pertama sahaja dia sudah memperoleh apa yang
diinginkannya. Bukankah itu satu rahmat daripada ALLAH? Ray mengucapkan
kesyukuran di dalam diam.
“Jani,
nanti kamu ajar dia!” arah lelaki itu kepada pemuda yang bersamanya tadi.
Jani
berjabat tangan dengan Ray. “Dia ketua kamu nanti!” beritahu lelaki botak lagi.
“Ray...”
Ray memperkenalkan diri. Dia mengukir senyuman mesra.
“Jani...”
ungkap pemuda itu. Tangan Ray diramasnya kejap. “Saya dari Indonesia...” beritahunya.
Ray
menganggukkan kepalanya. Tepat sekali tekaannya.
“Jani,
mula-mula kamu suruh dia buat kerja-kerja menggali dulu,” beritahu lelaki itu
lagi. “Biar
dia buat kerja kat bawah ni,” arahnya berterusan.
“Baik, bapak!” setuju Jani.
“Ayuh,
Ray! Ikut saya,” ajak Jani mesra.
“Baik,”
kata Ray terus mengekori warga Indonesia itu. Dia terpaksa rela walau hati rasa
tergigit. Dia rakyat negara ini. Pemuda yang sedang diekori, yang akan menjadi
ketuanya, bukan rakyat tempatan. Namun saat itu bukan waktunya dia
menyemarakkan semangat patriotisme yang terpendam di dalam jiwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan