|
|
Apabila tapak binaan terdiri daripada tanah lembut dan
keupayaan bebannya tidak mencukupi, tindakan hendaklah diambil untuk menguatkan
keadaan tanah. Salah satu caranya ialah menggunakan cerucuk. Cerucuk terbahagi
kepada dua kumpulan iaitu cerucuk tanggung hujung (end bearing pile) iaitu cerucuk
ditahan oleh lapisan tanah keras atau batu. Cerucuk ini merupakan tiang-tiang
yang terletak pada tapak yang kukuh untuk menanggung kesemua beban bangunan.
Ray menggaru-garu kepalanya cuba mengingati
kembali segala penerangan yang diperolehnya sewaktu di tapak pembinaan tadi.
Ilmu yang dapat secara percuma itu amat berharga. Ray tidak lupa untuk mencatat
segalanya di dalam buku catatan yang selalu dibawa.
“Hei! Apa yang kau tulis? Surat untuk pacar?” tegur
Jani. Buku catatan di tangan Ray dirampas. Laju bola matanya membaca. “Buat apa
kau tulis ni semua?” duganya. Dia cuba membaca walaupun hanya
memahaminya sedikit.
“Ini ilmu pertama yang saya
peroleh daripada Abang Jani,” jawab Ray jujur. Lelaki itu tersenyum lebar.
Terasa ilmunya dihargai. Dibuat catatan, untuk ingatan. Buku catatan Ray
dikembalikan.
“Bagus!” pujinya.
Ray senyum. Buku catatan
disimpannya kembali. Setelah itu, dia duduk menyandar ke dinding. Matanya
mengitari seluruh dinding di hadapannya. Di sana sini bergantungan baju dan seluar penghuni
rumah kongsi itu.
“Ilmu yang kau dapat daripada
pengalaman lebih terkesan daripada kau dapat di dewan kuliah,” kata Jani lagi.
“Betul,
bang,” setuju Ray. Kehidupan itu adalah sebuah universiti. Selalu dia mendengar
orang membicarakan begitu. Universiti Kehidupan. Semua orang boleh menjadi
siswa atau siswinya. Tanpa mengisi borang. Tak perlu membayar yuran. Tiada
sempadan tahap kelulusan.
“Aduh!”
keluh Ray perlahan sambil melunjurkan kakinya. Rasa sengal-sengal seluruh
tubuhnya. Kalau dia berada di kampung, dia boleh menyuruh Iwan memicit-micit
kakinya. Kadang-kadang Dania juga ada menawarkan diri. Hanya dia yang menolak.
“Penat?”
soal Jani. Malam itu, Ray dipelawa untuk bermalam di rumah kongsi. Ada 20 orang
buruh dari Indonesia menetap di situ.
“Mesti!”
jawab Ray sepatah. Persoalan yang tidak sepatutnya diajukan. Namun, mungkin itu
satu cara untuk Jani beramah mesra dengannya.
“Hari
pertama memang meletihkan,” balas Jani. Sebatang rokok tersepit di bibirnya.
“Lama-kelamaan nanti menjadi biasa,” beritahunya pula. Dia menghulurkan kotak
rokok kepada Ray.
“Terima
kasih, saya tak hisap rokok,” tolak Ray. Belum pernah sekali dia menyedut
rokok. Tabiat merokok menjurus kepada pembaziran.
“Nanti
kamu akan hisap juga,” balas Jani sambil tersengih.
Ray
diam. Biarlah Jani berpegang pada pendapatnya sendiri. Tidak perlu berbalah
dengannya. Asalkan dirinya sendiri berpegang teguh pada prinsip hidupnya.
Jangan melakukan sesuatu yang tidak mendatangkan keuntungan.
“Buat
apa kamu kerja di sini?” tanya Jani. Sedari tadi dia ingin menyoal begitu.
Namun, bimbang pula Ray akan berkecil hati. Dari pengamatannya, pemuda itu
masih muda. Sepatutnya dia menjadi mahasiswa, sibuk dengan kuliah. Tinggal di
kampus. Bukannya bekerja menjadi buruh binaan.
“Entah,”
jawab Ray sepatah sambil melumur seluruh betis dan kakinya dengan minyak panas
yang diberi Jani. Rasa berangin menyebabkan dia rasa lega.
“Tiba-tiba
saja saya mendapat ilham untuk menceburkan diri dalam industri ini. Apabila
melihat bangunan-bangunan yang cantik dan berdiri megah,” sambung Ray
tenang.Perkataan yang keluar daripada bibirnya diatur satu per satu.
“Kau tahu, Ray. Selama aku bekerja di sini,
kau yang pertama,” beritahu Jani.
“Maksudnya?” tanya Ray.
“Kau pasti lihat di tapak
pembinaan tadi. Semua buruhnya warga asing. “Dari Indonesia, dari Bangladesh,”
cerita Jani lagi. “Selalu
pemuda sepertimu enggan bekerja di sini,” sambungnya. Disebabkan keengganan
rakyat tempatan bekerja menjadi buruh di tapak-tapak pembinaan, kerja-kerja itu
dimonopoli oleh warga asing termasuk dia.
“Tak payah memilih kerja untuk mendapatkan rezeki yang halal.” Terungkap
pula kata-kata itu daripada bibirnya Ray. “Lebih baik menjadi kuli atau
buruh di tapak pembinaan, daripada membuang masa tidak menentu,” sambungnya
lagi dengan suara perlahan.
“Betul sekali, Ray.
Bertuahlah kamu kerana menjadi rakyat negara ini. Negaranya kaya dan makmur.
Aman damai lagi. Hendak mencari rezeki pun mudah. Pokok pangkalnya di sini...”
sokong Jani sambil menunjukkan ke dadanya di sebelah kiri dengan jari
telunjuknya.
“Betul, bang!” setuju Ray.
Kata-kata yang diungkapkan oleh pemuda Indonesia itu benar belaka. Memang
bertuah menjadi rakyat Malaysia!
“Seperti kamu. Disebabkan
kamu tidak memilih pekerjaan, hari pertama berada di sini, kamu sudah ada kerja,
kan?” soal Jani.
Ray
mengangguk. “Abang
Jani...” Kata-kata Ray terhenti sejenak. Jani merenungnya dan menunggu anak
muda itu meneruskan bicara. “Saya pernah membaca kata-kata bijak pandai,” ungkap Ray lagi. Matanya
merenung ke wajah Jani yang memberi isyarat mata kepadanya. Mungkin meminta dia
meneruskan bicara.
“Apabila kita inginkan
kejayaan, janganlah kita hanya mengira anak tangga, tetapi kita kena memanjat
anak tangga itu satu per satu,” sambung Ray sambil senyum penuh makna. “Saya tak kisah bekerja apa pun
walaupun menjadi buruh. Mungkin dari situ, saya dapat belajar banyak perkara.
Sumbangan buruhlah yang menyebabkan sesebuah negara itu membangun dan maju,”
sambung Ray lagi. Semua bangunan berprestij di dunia dibina oleh buruh kasar.
“Betul! Jika ingin
mendirikan bangunan sehingga ke kaki langit sekali pun, masih perlu tenaga
buruh kasar. Walau sudah banyak teknologi tercipta dan kepakaran, tetapi masih
perlu tenaga buruh juga,” sampuk Jani.
“Jadi, saya akan belajar
dari bawah,” kata Ray bersungguh. “Peribahasa orang dahulu, berakit-rakit
ke hulu, berenang-renang ke ketepian.”
“Bagus!” puji Jani. Dia
menepuk bahu Ray mesra. “Prinsip itulah yang harus kau pegang, Ray! Insya-allah, berjaya kamu nanti atau mungkin juga kaya!”
Bicara
Jani diakhiri dengan tawa. Ray juga ketawa. Hampir lapan jam dia bekerja
bersama lelaki itu tadi. Mereka mulai mesra.
“Sudah lewat malam ni.
Ayuh, tidur!” gesa Jani. Dia merebahkan tubuhnya yang kurus, tetapi berotot di
atas pangkin. “Tidur,
Ray! Esok, awal pagi kita sudah mahu ke tapak bangunan itu. Lagian pula esok
hari Khamis. Biasanya Datuk Wahab akan datang melawat,” ceritanya lagi.
“Datuk Wahab?” soal Ray.
Pasti dia orang kaya! Tebak hatinya. Mungkin seorang yang berpengaruh di situ.
“Saya tak kenal dia,” beritahu
Ray perlahan. Seolah bercakap untuk dirinya sendiri.
“Ray,
memanglah kamu belum kenal dia,” balas Jani sambil menjeling. Senyuman terpahat
di bibirnya yang menghitam. Jawapan Ray agak lucu pada pendengarannya.
“Dia
pemilik Perkasa Holding. Bangunan yang sedang kita bina tu, projek anak
syarikat milik dialah,” beritahunya.
Ray
mengangguk tanda faham.
“Syarikat
kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembinaan bangunan tu, anak syarikatnya.
Wafa Construction,” beritahu Jani.
Ray
mengangguk lagi. Tidak kisah syarikat mana yang dia bekerja, asalkan dia tidak
bekerja percuma. Gajinya dibayar. Walaupun tidak banyak, setidaknya lebih sikit
dari gaji yang diterima daripada Abang Ba. Hanya lima belas ringgit sehari.
“Ayuh, tidur!” gesa Jani sekali
lagi. “Siang-siang tadi banyak kudratmu sudah lebur, harus rehat...”
sambungnya.
“Abang Jani tidurlah dulu,” suruh Ray. “Saya
nak solat isyak.” Selagi tidak menunaikan kewajipannya kepada Maha Pencipta,
dia tidak sanggup merebahkan tubuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan