|
|
Datuk Wahab mendongak. Setelah itu, dia memandang ke
sekitar tapak projek. Bangunan 20 tingkat yang sedang didirikan oleh Wafa
Construction baru mencapai 18%. Dia mencekak pinggang. Dagunya yang tidak gatal
digaru-garu. Datuk Wahab terus memerhati buruh-buruh yang sedang melakukan
kerja-kerja pembinaan. Kepalanya digeleng beberapa kali. Dua minggu lepas
sewaktu dia datang memantau, kerja yang sedang dilakukan pada tahap itu juga.
Datuk Wahab mengira bilangan buruh yang ada. Tidak sampai pun 25 orang.
Buruh merupakan salah satu sumber terpenting dalam sesuatu proses pembinaan.
“Mukhriz, kenapa lambat sangat ni? Dah enam bulan,” keluhnya kuat.
Tajam renungan matanya.
Mukhriz berlagak selamba. “Baru enam bulan, Datuk,” jawab Mukhriz, cuba membela diri. “Lagipun cuaca tak menentu. Kalau
hari hujan, kita tak boleh buat kerja,” semakin banyak alasan yang diberikan
Mukhriz.
“Pekerja kurang. Tambahlah lagi,” desak
Datuk Wahab. Dengan jumlah buruh 25 orang itu, bangunan 20 tingkat yang sedang
dibina mahu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan. Melebihi tempoh yang
ditetapkan iaitu tiga tahun.
“Awak bukan tak tahu tenaga buruh sangat
diperlukan! Tengoklah tu!” Datuk Wahab menudingkan jarinya ke arah beberapa
orang pekerja yang kelihatan sedang mengukur-ukur tanah di blok utama bangunan
yang akan didirikan.
“Earth work di bangunan hadapan pun belum
selesai?” tukas Datuk Wahab dengan nada kesal. Matanya sempat melihat seorang
anak muda yang sedang menulis sesuatu. Datuk Wahab menggelengkan kepala lagi.
Hatinya terpanggil untuk melihat apa yang sedang ditulis oleh anak muda
bertubuh kurus itu. Namun hal yang sedang dibincangkannya dengan Mukhriz jauh
lebih penting.
“Cepat buat sesuatu, Mukhriz! Awak
pengurus projek! Kalau kita tak sempat
buat serahan mengikut jadual yang telah ditetapkan nanti, macam mana? Kalau
mereka tuntut ganti rugi atas kelewatan tu, siapa yang nak bayar?” tanya Datuk
Wahab. Ada nada kecewa di hujung kata-katanya.
“Memang dalam proses, Datuk! Saya dah
berurusan dengan ejen. Mungkin hujung bulan baru sampai. Hmm...80 orang dari
Indonesia,” pintas Mukhriz. Walaupun Wafa Construction anak syarikat Perkasa
Holding, tetapi syarikat itu di bawah tanggungjawabnya.
“Hari ni baru satu hari bulan. Nak kena
tunggu lagi 29 hari? Rakyat tempatan tak
ada ke?” tanya Datuk Wahab lagi.
“Budak-budak kita mana nak kerja kontrak
macam ni, Datuk,” balas Mukhriz. Setelah itu dia diam seketika. Matanya
terlontar kepada seorang pemuda kurus. Pemuda itu nampaknya sedang menulis
sesuatu di dalam buku.
“Lebih baik mereka duduk melepak! Kalau
ada motor boleh merempit...” Sinis kata-kata Mukhriz sambil memerhati pemuda
tadi. Pemuda itu masih asyik dengan buku catatannya.
“Kalau ejen tak tepati janjinya, macam
mana?” tanya Datuk Wahab. Dia benar-benar tidak puas hati dengan kondisi
bangunan yang sedang dibina. Matanya terus meliar. Hanya ada sebuah sahaja
jentera pengangkut sedang mengangkut bahan-bahan ke seluruh lokasi projek.
Sekali lagi Datuk Wahab menggaru-garu kepalanya.
“Mana jentera yang lain, Mukhriz?”
soalnya terus. “Kalau harapkan buruh aje tanpa bantuan jentera, alamat 10
tahunlah baru nak siap bangunan ni, Mukhriz!” tempelaknya.
“Err... err...” Mukhriz
tergagap-gagap hendak menjawab.
“Mukhriz, awak kenalah uruskan projek ni
dengan cekap. Jika tak, macam mana nak
pastikan yang projek ni akan siap dalam masa yang telah ditetapkan?” tanya
Datuk Wahab, masih tidak puas hati. Awana Mall projek terbesarnya dalam tahun
itu. Sekiranya telah siap dengan sempurna dan dikomersialkan, Perkasa Holding
pasti akan mendapat labanya. Nama Wafa Construction dan Perkasa Holding terus
meningkat. Nama yang baik mempunyai nilai yang besar dan berpengaruh untuk
mendapatkan tender projek pembangunan.
“Saya tengok kerja yang sedang
dijalankan lintang-pukang! Tak sistematik langsung! Kalau awak ada masalah,
perlukan pembantu beritahu dengan saya. Saya boleh carikan! Atau kalau awak
rasa tak mampu lagi! Berterus terang!” leter Datuk Wahab.
“Jentera-jentera yang kita ada, sedang
diguna untuk projek di tempat lain, Datuk!” jawab Mukhriz. Telinganya mulai
sakit mendengar leteran Datuk Wahab.
“Cuma jentera pengangkut tu aje yang
boleh dipindahkan ke sini,” sambungnya
lagi. Walaupun tahu dia akan dimarahi, dia kena berterus terang.
Kemarahan yang bakal diperoleh boleh diabaikan jika dia boleh bersikap telinga
kuali.
“Itu maknanya perancangan kerja tak
bagus! Mana perginya jentera yang lain? Jentera kerja tanah?” tanya Datuk
Wahab, marah. “Sekarang ni, kita kena guna semua jentera kerja tanah dengan
lebih intensif! Traktor, jentolak, jengkaut, backhoe dan lain-lain!” jelas
Datuk Wahab sambil bernafas kuat.
“Bahagian cerucuk tu takkan nak
suruh pekerja-pekerja korek tanah dengan cangkul! Kerja gila tu!” jerkah Datuk
Wahab dengan suara meninggi. “Kalau mereka tertimbus dalam lubang yang mereka korek nanti,
awak nak ambil tanggungjawab?”
Mukhriz terus dimarahi. Namun lelaki itu
buat pekak.
“Kalau ada pekerja mati tertimbus?
Siapa yang nak jawab?” Bertubi-tubi soalan terhambur daripada mulut Datuk
Wahab. Panas benar hatinya dengan sikap Mukhriz itu. Bena tidak bena dengan
tugas yang diamanahkan kepadanya.
“Itu maknanya awak tak menitik
berat aspek keselamatan pekerja! Salah besar tu, Mukhriz...” jelasnya.
“Jentera pengorek mana?” tanya
Datuk Wahab. Matanya meliar ke sekitar tapak projek.
“Semua jentera tu syarikat lain sewa,”
beritahu Mukhriz selamba. Meskipun dia tahu kenyataannya itu bagaikan simbahan
petrol pada api yang sedang marak.
“Apa?” tanya Datuk Wahab sambil
menggaru-garu kepalanya. Terbakar hatinya mendengar kenyataan Mukhriz.
Kenyataan yang tidak boleh diterima oleh akalnya yang waras.
“Siapa yang sewa? Kenapa awak sewakan! Ya
ALLAH!” keluh Datuk Wahab. Pipinya semakin menghangat. Mengapa Mukhriz tidak
berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan?
“Jess yang suruh! Syarikat yang sewa
semua jentera tu milik Datuk Jalal. Bakal besan Datuk jugak,” jelas Mukhriz
dengan suara yang tenggelam timbul.
“Yang awak dengar cakap budak tu, buat
apa?” marah Datuk Wahab. Dia mula hangat hati dengan anak gadisnya juga. Kenapa
Jasmin menyibukkan diri dalam urusan Wafa Construction?
“Saya pun jadi serba salah, Datuk! Saya
nak tolak, bimbang Jess merajuk. Maklumlah, anak Datuk Jalal, Iskandar tu
kekasih dia,” dalih Mukhriz lagi. Iskandar pula sepupunya.
“Alasan tu saya tak nak dengar, Mukhriz!”
pintas Datuk Wahab. “Kenapa mereka tak sewa dari tempat lain? Yang awak pun
satu! Takkan itu pun tak boleh nak fikir? Projek sendiri sedang berjalan,
segala equipment yang awak
perlukan, awak sewakan kepada orang pulak!” marah Datuk Wahab.
“Tak logik langsung. Mentang-mentanglah Datuk Jalal tu laki
emak saudara awak. Awak ingat company ini, awak punya?!” tempelaknya sinis.
Puas hatinya dapat menghamburkan segala amarahnya. Dengan Mukhriz, dia
kena berterus terang.
“Maafkan saya, Datuk!” Kata Mukhriz. Walaupun telinga berdesing
mendengar kata-kata lelaki itu, dia terpaksa juga bermanis mulut. Maklumlah,
dengan syarikat milik lelaki itu, dia mencari makan.
“Dengan maaf awak tu, awak ingat semua kerja boleh siap?” Datuk Wahab
semakin naik angin. Kalau boleh, dia tidak mahu ada apa-apa perhubungan dengan
Datuk Jalal! Cukuplah pengalamannya yang lalu.
“Sekarang ni, takkan awak tak boleh ikhtiar cara lain! Awak tak bosan
ke tengok projek ni berjalan lembab macam ni! Minggu
lepas saya tengok pekerja-pekerja tu buat kerja acuan konkrit di situ! Minggu
ni, saya datang mereka masih buat kerja itu jugak! Walau di lokasi yang lain!
Yang lain-lain tu bila nak siap? Bila masanya nak sampai ke bumbung?” Panjang
lebar leteran Datuk Wahab.
“Awak faham tak, Mukhriz? Projek ni projek besar! Pelan projek, maklumat asas projek semua awak
dah studi, kan?”
soal Datuk Wahab dengan nada marah.
“Kalau tak tahu nak rancang kerja, tanya pendapat
orang lain! Jurutera ada... arkitek ada! Kenapa tak duduk semeja dengan
mereka?” Macam bertih perkataan yang keluar dari mulutnya.
“Buat kerja kenalah ikut prosedur! Kalau nak buat
kandang kambing pun kena ikut step! Inikan pula nak dirikan bangunan
komersial!” Datuk Wahab semakin geram.
“Kerja-kerja pembinaan ni mana boleh buat cepat-cepat,
Datuk. Semuanya hendak diukur dan dihitung. Bukannya main hentam sahaja! Kena
teliti,” balas Mukhriz apabila merasakan telinganya semakin pedih. Tidak kebal
lagi.
“Tahu pun awak? Yang awak lambat bertindak nak tambah
pekerja pasal apa? Dah tahu, buat kerja
kena teliti. Lambat! Kenalah guna ramai
pekerja! Cari yang mahir!” bidas Datuk Wahab.
Mukhriz menggaru-garu dalam telinganya. Berdiam diri mungkin lebih baik
agaknya. Jika tidak, lelaki itu asyik menyerangnya bertubi-tubi. Dia mengekori
Datuk Wahab yang berjalan perlahan-lahan. Segala kata-kata yang didengarinya
tadi masuk melalui telinga kiri keluar melalui telinga kanan.
“Datuk nak melawat ke sebelah sana
ya?” tanyanya berpura-pura tenang.
Datuk Wahab mengangguk. Memang setiap kali dia melawat ke tapak projek,
dia akan mengambil masa berjam. Muka Mukhriz yang nampak resah dipandangnya.
“Mukhriz, awak nak balik ke
pejabat dulu ke?” tanya Datuk Wahab.
“Nampak gayanya kena baliklah. Saya ada mesyuarat dengan pembekal pasir
11.00 pagi nanti, Datuk,” beritahu Mukhriz. Matanya sempat mengerling ke arah
pemuda tadi.
“Tak apa, baliklah,” setuju Datuk Wahab. Walaupun tidak begitu yakin
tentang mesyuarat yang dikatakan oleh Mukhriz itu. Dasar pekerja suka curi
tulang, memang banyak alasan!
Dia beredar dan melangkah perlahan menuju ke lokasi lain. Sekali lagi
pandangannya terlempar ke arah pemuda kurus yang sedang asyik dengan pen dan
sebuah buku. Hajat di hatinya ingin bertemu dengan pemuda itu. Hatinya bagai
ditarik-tarik untuk mengetahui apa yang sedang dicatatnya sehingga begitu
ralit. Baru kakinya melangkah ke arah pemuda itu, terdengar namanya dipanggil
oleh seseorang.
“Datuk!”
Datuk Wahab menoleh, mencari arah suara dan orang yang memanggilnya.
“Datuk! Encik Daud tu,” beritahu Mukhriz.
Daud, jurutera projek baru sampai ke situ. Langkah Datuk Wahab berkalih
ke arah Daud pula. Sebaik sahaja Datuk Wahab beredar, Mukhriz melangkah menuju
kepada pemuda yang mencuri perhatiannya sejak tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan