|
|
"Budak!” panggilnya kuat.
Pemuda yang dipanggil, buat tidak peduli. Dia meneruskan kerjanya menyusun
papan lapis ke atas palet. Mukhriz tidak puas hati. Dia rasa tercabar.
“Budak!” laungnya lagi. Senyap. Dia
terus menghampiri pemuda yang masih tidak bena pada laungannya. “Hoi!” marah
Mukhriz. Pemuda yang dipanggil sudah memanjat palet yang bersusun papan dan
sedang diangkat naik oleh kren. Mukhriz bercekak pinggang. Matanya terus
memerhati jentera yang sedang menaikkan palet yang penuh berisi papan untuk
membuat acuan dan budak kurus itu. Mukhriz menoleh ke sana sini. Dia melangut
ke atas dan terlihat Jani yang sedang memanjat.
“Jani!” panggilnya. “Turun!” kerahnya
garang. ‘Apa aja orang ini! Datang ke sini saja bikin ribut,’ rungut Jani
sambil menggelonsor turun. Dia memang tidak suka dengan sikap Mukhriz. Bukan
dia sahaja bahkan ramai lagi pekerja yang bekerja di situ tidak menyenangi
sikap Mukhriz yang ego. Suka marah tidak tentu pasal.
“Ada apa, bapak?” tanya Jani. Dia
menyapu-nyapu telapak tangan membuang debu yang melekat.
“Ada budak penagih dadah kerja di sini?”
tanya Mukhriz. Wajahnya serius. Suaranya tegang.
“Penagih dadah?” soal Jani kembali. Dia
menggelengkan kepala. “Penagih dadah mana
boleh bikin kerja, bapak! Tulang-tulangnya sudah mereput,” jawab Jani sendiri
sambil ketawa. Mukhriz terasa diperbodohkan.
“Siapa cakap? Ada penagih dadah yang tenaganya macam gajah,”
balas Mukhriz. Keras suaranya.
“Lalu.... kenapa bapak harus bimbang?” tanya Jani.
“Ah, sudah! Pergi buat kerja kamu
semula,” arah Mukhriz. Tidak guna bertegang leher dengan Jani. Pasti ada sahaja
jawapannya.
Matanya sudah melihat kren sedang
menurunkan palet yang kosong. Pemuda kurus terjun dari palet, belum sempat kren
menurunkannya rapat ke tanah.
“Hoi, si kurus!” panggil Mukhriz kuat. Lega hatinya bila panggilannya mendapat
respons. Pemuda itu menoleh kepadanya. Mukhriz terus menggamit. Tidak sampai 10
saat, pemuda itu tercegat di hadapannya. Mukhriz terus memerhati. Pandangannya
penuh curiga.
“Budak! Tadi aku panggil kau, mengapa tak
jawab?” tanyanya dengan lagak angkuh.
“Nama saya, Ray...”
Mukhriz merenung tajam pemuda yang
mengenalkan dirinya sebagai Ray. Dia mencebik mengejek.
“Ray?” perlinya. “Raymond?” tanyanya
pula.
Ray diam. Padanya tidak perlulah hendak
menjawab pertanyaan lelaki itu. Pertanyaannya tidak ikhas. Bukan untuk
mengetahui nama dia yang sebenarnya. Sebaliknya hanya untuk mengejek.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Mukhriz
terus.
“Kerja,” jawab Ray sepatah. Wajah Mukhriz
direnungnya tepat. Hatinya berasa tidak selesa.
“Tengok buku kau!” kata Mukhriz sambil
menghulurkan tangannya. Apabila Ray tidak mengendahkan permintaannya, buku yang
bergulung di dalam poket seluar Ray direntap.
“Ini buku catatan saya. Tak ada orang
yang faham.” “Ray cuba membantah tindakan Mukhriz. Buku catatan itu hak
milik peribadinya. Orang lain tiada hak untuk menceroboh atau membaca apa-apa
yang tertulis di dalamnya.
“Tak ada orang yang faham? Kau ingat aku
tak sekolah?” tanya Mukhriz. Dia memerhati Ray dari atas dahi sehingga ke
hujung kasutnya.
Melihat tubuh kurus dengan wajah cengkung
dan rambut panjang bertocang, hati Mukhriz terasa benci. Tidak tahu apa
sebabnya. Sedangkan pemuda di hadapannya itu tidak kelihatan comot atau selekeh
pun. Bahkan rambut bertocang tersisir rapi ke belakang. Rambutnya tidaklah
sepanjang mana pun. Sekadar melepasi bawah lehernya sahaja. Kulitnya yang cerah
menyebabkan pipinya memerah kerana kehangatan. Keringat yang mengalir di
pipinya dan membasahi tubuhnya tidak membuatkan dia berbau hapak pun! Jika hal-hal itu yang menimbulkan kebencian
dan rasa tidak senangnya. Namun perasaan Mukhriz benar-benar rasa tidak senang.
Sepintas lalu aura wajah pemuda itu bagaikan sudah biasa sangat dalam hidupnya.
“Jangan-jangan kau melakar peta untuk mencuri,” tuduhnya
sinis. Lakaran gambar rajah yang dilukis Ray terus diamati. Kekejutannya
disembunyikan. Tulisan tangan yang kemas dan cantik serta lakaran tapak
bangunan yang sedang dibina lengkap dengan ukurannya menyebabkan Mukhriz
terkesima. Keterangan ringkas dicatat dalam Bahasa Inggeris pula!
“Kau edar dadah kat sini, ya?” tuduhnya
lagi. Mengusir rasa kagum yang mengintip di sanubari.
Ray diam. Matanya merenung tajam.
Bibirnya diketap rapat. Membenamkan kemarahan yang meruap.
“Saya kat sini kerja,” jawab Ray
perlahan. Bibirnya bergetar ingin mengungkap kata-kata yang lebih menyakitkan
hati, tetapi terpaksa ditahan.
“Edar dadah tu bukan kerja ke? Bodoh!” sergah Mukhriz.
“Saya tak buat kerja haram, encik...” jawab Ray. Bibirnya
digigit kecil menahan perasaan. Marah bercampur geram yang dibenam dalam-dalam,
timbul kembali.
“Kau tipu! Kau sengaja pura-pura bekerja
di sini. Nanti kau ajak kawan-kawan datang curi barang-barang kat sini dan
jual!” Mukhriz terus menuduh. “Kawan-kawan kau yang hisap dadah!” sambungnya.
Ray terpana seketika. Masih ada lagi
manusia sekeji itu hatinya. Busuk!
“Rokok pun saya tak hisap, encik!”
Mukhriz mencebik. “Tapi kau hisap dadah,
kan? Tengoklah rupa kau ni, dengan kurus keringnya. Rambut panjang. Aku jamin
kau memang hisap dadah,” kata Mukriz lagi.
“Kau tak boleh kerja kat sini! Aku tak
percaya,” terang Mukhriz.
Ray terdiam. Matanya terkebil melihat
lelaki angkuh di hadapannya itu. Mindanya terus menerawang. Ke mana langkah
kakinya selepas ini untuk mencari rezeki?
“Kau nampak tak papan tanda yang kat
depan tu? Bangunan ni sedang dibina oleh
Wafa Construction...” ungkap Mukhriz.
Ray mengangguk. “Syarikat tu, bapa
saudara aku punya,” terang Mukhriz dengan angkuh.
Ray buat tak dengar. Mukhriz menjeling
tajam lalu menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan dompet.
“Tapi, aku bos syarikat tu!” jelasnya
lagi. Nada sombongnya masih belum habis. Keangkuhannya semakin ketara. “Dah
berapa hari kau kerja di sini?” tanyanya sambil merenung wajah Ray. Tangannya
mengelebek dompet.
“Tanyalah pada Abang Jani,” jawab Ray
serius.
Jani menghampiri mereka setelah
dipanggil.
“Dia sudah kerja di sini tiga minggu,
bapak,” beritahu Jani. Matanya melirik kepada Ray. Lirikan itu dibalas Ray
dengan menjongketkan keningnya. Dia hairan dengan kenyataan Jani. ‘Tiga minggu? Aku
baru bekerja dua minggu!’ Suara hatinya memekik.
“Err...” Ray cuba membetulkan kenyataan,
tapi rusuknya disiku oleh Jani.
“Sebelum ni, aku tak nampak pun!” tukas Mukhriz.
“Betul bapak,” tegas Jani. Suaranya ditekan sedikit. “Gaji
minggu lepas sudah dapat?” soal Mukhriz. Pandangan matanya terhala kepada Jani
sekali lagi. Apabila dia cuba merenung Ray, pemuda itu pula merenung ke arah
lain.
“Belum bapak,” jawab Jani sambil
menggaru-garu lehernya yang berpeluh. Bibirnya menyungging senyuman. ‘Apalah orang ini.
Masakan tidak ingat tentang gaji kuli-kulinya. Sedangkan hal itu dia yang
uruskannya,’ bisik hati Jani.
Ray terdiam sekali lagi. Malas memikirkan
helah lelaki Indonesia itu.
“Hei!” panggil Mukhriz. Ray buat tak
tahu. “Hei, budak! Ambil ni! Kau boleh pergi,” kata Mukhriz kasar sambil
merapati Ray. Segumpal wang kertas disumbatkan ke dalam genggaman pemuda itu. “Aku tak mahu tengok muka kau lagi! Berambus dan cari kerja kat tempat lain,”
usir Mukhriz. “Pekerja macam awak ni akan menyusahkan
majikan,” sinis kata-katanya bagai sengaja hendak menyakitkan hati Ray.
Setelah itu, terus dia beredar sambil
membuat panggilan dengan telefon bimbitnya.
“Ray, kenapa kau dipecat?” tanya Jani.
Ray mengangkat kedua belah bahunya.
“Kenapa Abang Jani beritahu kepada encik tu, saya kerja di sini
sudah tiga minggu?” tanya Ray, mengalih tajuk perbualan. Telapak tangannya yang
tergenggam dibuka. Gumpalan wang kertas dikeluarkan. Ada 300 ringgit.
“Apa salahnya?” soal Jani kembali.
“Kita kena jujur,” kata Ray perlahan. Sedari kecil emaknya sudah mengajar.
Siakap senohong gelama ikan duri. Bercakap bohong lama-lama mencuri!
Jani senyum sinis. Ada
lagikah kejujuran di zaman ini? Di kota
ini? Di saat manusia sudah melupai TUHAN?
“Aku cuba
membantumu. Kau baru datang ke sini, mesti butuh wang,” jawab Jani
mempertahankan tindakannya. “Kejujuran itu kadangkala perlu dinyahkan...
kalau... hidup di kota,”
sambungnya lagi. Suaranya perlahan kerana terasa malu dengan ungkapan yang
sedang meniti bibirnya. “Kalau terlalu jujur mungkin kita akan kebulur,” sambungnya
lagi.
“Lebih baik mati kebulur daripada meleburkan sikap jujur, melakukan
penipuan untuk mendapatkan makanan...”
“Saya mahu wang titik peluh saya saja,” balas Ray. Wajah Jani direnung
lembut. Jani yang sedang tergaru-garu. Mungkin termalu sendiri.
“Saya pergi dulu, bang. Terima kasih!” ucap Ray lagi. “Saya singgah ke
rumah kongsi untuk ambil pakaian, ya...” beritahunya.
Jani mengangguk lesu. “Ini untuk abang.” Gumpalan wang kertas disumbat
ke dalam genggaman Jani. Tangan Jani digenggam erat.
“Terima kasih atas segala tunjuk ajar abang,” kata Ray. Tekaknya terasa
kesat. Senyuman pahit terukir di bibir Ray. Cuba menyembunyikan rasa sebak.
Banyak juga ilmu yang telah diperolehnya daripada pemuda Indonesia itu.
Walaupun dia hanya buruh kasar.
“Ketemu lagi, Ray. Semoga kamu berjaya mencapai cita-cita,” ungkap
Jani. Lambat-lambat tangan Ray dilepaskan.
“Insya-ALLAH,” jawab Ray. Dia kini bagaikan layang-layang terputus
tali. Tidak tahu bumi mana yang akan mendakap tubuhnya apabila terdampar nanti.
Namun, dia tidak gentar. Peristiwa yang dilalui pada hari ini, takkan mungkin
melemahkan semangatnya. Dia tetap akan terus mencuba sehingga berjaya. Berhenti
mencuba, pasti akan menempa kegagalan.
Saat mentari sedang bersinar cemerlang, Ray meninggalkan tapak
pembinaan itu dengan langkah longlai. Dia sekadar mengikut langkah kakinya. Dia
ingin mencari kejayaan. Mengumpul kekayaan untuk dunia dan akhirat. Dengan
ilmu, tanpa melacurkan kejujuran. Bukan jadi mangsa penghinaan. Ray membuka
genggaman tangannya. RM200. Itulah nilai upah yang diambilnya sebagai buruh
binaan selama 10 hari bekerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan