Jasmin yang baru keluar
dari bilik mandi menyanyi riang. Selesai mengeringkan badannya, dia
mengeluarkan baju dari dalam almari. Gaun putih yang dihadiahkan oleh Iskandar
pada hari jadinya yang lalu menjadi pilihan. Jasmin menayang-nayang gaun itu
beberapa kali. Perasaannya tiba-tiba menjengkel. Matanya membesar melihat kesan
kotoran yang masih melekat pada bajunya.
“Alamak!” keluhnya kuat. Serta-merta gaun
itu dicampakkannya ke atas katil dengan perasaan geram.
“Bibik!” pekiknya. “Bibik!” panggilnya lagi dengan darah yang mula menggelegak.
Apabila bibik tidak kunjung tiba, dia pula menuruni tangga sambil
menghentak-hentakkan kakinya.
“Kenapa ni, Jess?” tegur papanya yang
secara kebetulan baru balik dari pejabat. Matanya merenung wajah Jasmin yang
tercebir-cebir menahan tangis dengan wajah masam.
“Bibik basuh gaun Jess tak bersih,”
adunya terus menangis.
Datuk Wahab menggeleng kepala.
“Jess nak pakai baju tu, nak sambut Is balik dari US,” rengek
Jasmin pula. Mimik wajahnya juga dipelbagaikan. Sekejap memuncung. Sekejap
mencebir.
“Apa masalahnya? Jess basuhlah sekali
lagi,” kata Datuk Wahab. Perangai Jasmin yang semakin hari semakin manja dan
mengada-ngada merimaskannya.
“Jess nak pakai baju tu petang ni, papa. Takkan nak basuh
sekali lagi?” tanyanya meradang. Wajah papanya direnung dengan perasaan tak
puas hati. “Mana sempat nak kering,” rungutnya
mengharapkan perhatian.
“Kalau
nak cepat kering, bakar aje...” perli Datuk Wahab.
“Papa
ni, mengajar entah apa-apa!” marah Jasmin dengan perasaan sakit hati.
“Jess yang nak pakai sangat baju tu, kan? Apa kisah kering
atau basahnya,” balas Datuk Wahab. “Kalau tak nak basuh
sendiri, pakai baju lain,” suruhnya pula apabila melihat Jasmin memasamkan
mukanya. Wajah yang cantik pun jadi hodoh jika mencuka begitu.
“Dalam bilik tidur Jess tu, kain baju ada dua, tiga almari,”
sindir Datuk Wahab lagi. Langkah kakinya terhenti di pertengahan tangga.
“Tak gunalah ada orang gaji kalau kain
baju Jess kena basuh sendiri!” tingkah Jasmin kasar.
Datuk Wahab mengelengkan kepalanya sekali
lagi. Jika diikutkan hatinya mahu sahaja dia merotan anak gadis itu kerana
sikap kurang ajarnya.
“Orang gaji tu bukan untuk cuci kain
baju, Jess! Papa suruh bibik bekerja di
rumah ini untuk bantu mama,” beritahu Datuk Wahab bersahaja. “Papa tak mahu
isteri papa bersusah payah melakukan kerja rumah,” katanya lagi. Dia terus
mendaki anak tangga untuk ke biliknya. Entah mengapa kebelakangan ini telatah anak
gadis itu kerap menaikkan darahnya.
“Habis tu, anak papa ni boleh pula
bersusah-susah?” sanggah Jasmin.
Datuk Wahab tidak menjawab. Bimbang
jawapan yang diberikan menyebabkan gadis itu pitam lalu pengsan.
“Papa!” laung Jasmin. Dia mengekori
papanya pula. “Papa,” rengek Jasmin. Walau kata-kata papanya tadi mencalarkan
hatinya, dia cepat melupakan. Tilam empuk di bilik papanya menjadi mangsa
hempasan pinggulnya.
“Papa...” panggilnya lagi.
Datuk Wahab buat tak dengar. Kehadiran
Jasmin di dalam bilik tidurnya menyebabkan dia berasa tidak selesa. “Papa...”
kata Jasmin sambil menggoyang-goyangkan lengan papanya.
“Nak apa lagi, Jess?” tanya Datuk Wahab
cuba berlembut. Matanya merenungi Jasmin. Gadis itu yang hanya berseluar pendek
dan bersinglet nipis.
“Cuba berpakaian senonoh sikit, Jess...”
nasihatnya lalu memandang ke arah lain. Dia pula berasa malu melihat anak gadis
berpakaian menjolok mata.
“Alah, apa salahnya Jess pakai macam ni
kat dalam rumah?” tanya Jasmin. Dia memang suka membantah cakap orang tuanya.
“Dalam rumah atau luar rumah, cubalah
pakai sopan sikit! Jangan menjolok mata lelaki walau pada papa,” balas Datuk
Wahab.
Jasmin tergelak. “Jess seksi ke? Takkan
papa tergoda pulak?” tanyanya tanpa segan-silu.
Datuk Wahab mengecilkan mata sewaktu
merenung anak gadis itu yang tersengih-sengih. Memang kurang sopan!
“Hmm! Apa cerita tentang Is tadi?” Malas
dia hendak melayani kerenah anak gadis itu lama-lama.
Jasmin tersenyum-senyum. “Is nak balik
hari ni,” beritahu Jasmin dengan mata bersinar. Tidak sabar rasa hatinya untuk
bertemu dengan kekasih hati.
“Is nak balik? So...
apa kena-mengenanya dengan papa?” tanya
Datuk Wahab sambil menanggalkan baju kemejanya lalu diserahkannya kepada
Jasmin.
“Papa, Jess nak pergi bercuti dengan Is
boleh?” tanya Jasmin. Dia sudah bercadang hendak ke Pulau Redang bersama
Iskandar. Janganlah hendaknya nenek pemuda itu membuat hal dan mengacau daun di
dalam perancangan mereka untuk bercuti.
“Kalau papa kata tak boleh pun... Jess
tetap nak pergi juga, kan?” soal Datuk Wahab. “Bukannya Jess nak dengar nasihat papa pun,”
sambungnya lagi. Dia beredar ke bilik air dengan sehelai tuala di tangan.
Jasmin itu tidak perlu dilayan. Tambahan pula, dia ada urusan lain petang itu.
Zarina sudah berkali menghantar sms.
“Alah, papa ni! Suka nak sakitkan
hati Jess! Bencilah!” rengus Jasmin. Dia meninggalkan bilik itu dan menuju ke
biliknya kembali. Gaun tadi diambilnya semula lantas dihumban ke dalam bakul
sampah. Wajah pemuda yang menumpahkan air kopi panas ke bajunya terbayang di mata.
Dia mengetap bibir kegeraman. ‘Kalau aku jumpa kau lagi, siaplah!’ bisik hatinya.
*************
*************
“Okey! Sini... sini,” katanya lalu
menyambar pemegang bagasi dan menurunkannya dari atas conveyer
yang bergerak perlahan. Tiga buah begnya
yang agak besar. Iskandar mengambil troli yang terletak tidak jauh dari situ
lalu memindahkan bagasinya ke atas troli pula. Setelah itu, dia mula melangkah
dengan perlahan meninggalkan balai ketibaan itu.
“Is!
Hei!”
Iskandar segera menoleh. Langkah kakinya
terhenti apabila melihat gadis yang sedang berlari ke arahnya.
“Jess!” panggilnya pula sambil
melambaikan tangan dengan gembira. Troli cepat-cepat ditolak ke arah Jasmin
yang sedang merapat kepadanya.
“Lama dah Jess tunggu, tau...” Rengek
Jasmin hampir menangis. Mereka berjalan beriringan menuju ke pintu keluar dari
situ.
“Maaf, sayang! Bukan Is yang jadi pilot,” gurau Iskandar. Matanya meliar seolah-olah sedang mencari
seseorang. Namun, wajah orang yang dicari tidak kelihatan pula.
“Is, lepas ni kita terus pergi
makan. Jess dah laparlah,” ajak Jasmin manja. Sebelah tangannya memaut lengan
Iskandar. “Okey,
sayang! Is pun lapar jugak ni,” setuju Iskandar.
“Jess ada nampak nenek Is tadi?” tanya
Iskandar.
Jasmin menggelengkan kepala. ‘Nenek? Buat apa
orang tua tu nak datang ke sini? Buat kacau daun saja!’ rungut hatinya. Dia
memang tidak suka kepada nenek pemuda itu. Namun, disebabkan rasa sayangnya
kepada Iskandar, dia terpaksa berpura-pura menyayangi orang tua itu.
“Nenek janji nak jemput Is ke?” soal
Jasmin lembut. Kalau ada nenek Iskandar bersama mereka, dia kena menjaga
tingkah lakunya. Tidak boleh mengada-ngada atau bermanja-manja. Apatah lagi
hendak menyentuh-nyentuh anak muda itu. Jasmin merenung Iskandar yang kelihatan
kacak bergaya.
“Mestilah! Is, kan cucu kesayangan dia,”
jawab Iskandar bersahaja.
“Nenek sakit agaknya,” teka Jasmin. Dalam
hatinya dia terus berharap supaya nenek kekasih hatinya itu tidak muncul di
situ. Sempatlah dia hendak berlama-lama dengan buah hatinya itu.
“Tak apa! Biar Is telefon dia,” kata Iskandar
lalu mengambil telefon bimbitnya. Bimbang pula kalau terjadi apa-apa kepada
neneknya dalam perjalanan ke situ.
“Tak payahlah telefon! Kan Jess ada ni. Jess boleh hantar Is sampai
ke dalam rumah,” pujuk Jasmin cuba menghalang hasrat hati Iskandar.
Iskandar tidak mengendahkan larangannya
itu dan terus menekan nombor-nombor di telefon bimbitnya.
“Iskandar!” panggil satu suara. Belum
sempat jarinya menekan punat-punat di telefon bimbit sehingga habis, neneknya
muncul di hadapan mereka.
“Nenek!” pekik Iskandar terus menerpa dan
memeluk neneknya. Bibirnya singgah di pipi tua yang sudah mula berkedut itu
beberapa kali.
Mahu tak mahu, Jasmin terpaksa
menghulurkan tangannya kepada nenek Iskandar. “Apa khabar, nek?” tanyanya
sambil mencium tangan wanita itu.
“Baik,” jawab nenek sepatah. Matanya
merenung tajam kepada Jasmin yang berseluar jean ketat dan berblaus putih kain
jarang. Terbayang colinya yang bertali halus. Berbulu orang tua itu melihat
pakaian Jasmin yang menjolok mata.
“Kenapa nenek pandang Jess begitu?” soal
Iskandar manja sambil memeluk bahu gadis itu. “Cantik! Mestilah nenek tengok
kekasih cucu nenek yang cantik lawa ni!,” sinis kata-kata nenek.
Iskandar perasan wajah Jasmin yang
berubah warna.
“Alah, nek! Dah Jess memang gadis cantik,
pakai baju yang macam mana pun kecantikannya tetap terserlah,” balas Iskandar
cuba menyelamatkan keadaaan yang mulai keruh. Jaket kulit yang berada
ditangannya sejak tadi, disarung ke tubuh Jasmin dengan selamba.
“Terima kasih, sayang,” kata Jasmin
sambil tersenyum manja. Dia membetulkan jaket yang sudah tersalut ke tubuhnya.
Nenek senyum menyembunyikan perasaan meluat.
“Mama tak datang ke, nenek?” tanya
Iskandar sambil berjalan perlahan. Jasmin yang berjalan di sisi, sama-sama
menolak troli yang mengisi bagasinya.
“Mama tunggu di rumah! Nenek datang
dengan Pak Din saja,” jawab nenek sambil menarik tangan Iskandar supaya cucunya
itu berjalan bersama dengannya.
“Jomlah cepat, Is! Kat rumah kita ada
majlis kesyukuran,” beritahu nenek sambil menjeling ke arah Jasmin. Wajah gadis
itu berubah kelat.
“Kenduri kesyukuran?” tanya Iskandar
tidak percaya. Hatinya mula dibalut resah. Dia pasti saat itu, hati Jasmin
sedang marah. Tambahan pula beberapa cubitan kecil daripada jejari gadis itu
sudah singgah di lengannya. Tadi, mereka sudah berjanji untuk makan malam
bersama-sama.
“Ya, Is... kenduri kesyukuran! Takkan
mama tak beritahu pada Is lagi. Nenek dah pesan tau,” terang nenek lembut.
Iskandar menggaru-garu kepala dengan
tangan kirinya. Tangan kanannya masih memegang troli.
“Buat kenduri kesyukuran untuk apa,
nek?” soal Iskandar. Mustahillah nenek membuat kenduri kesyukuran semata-mata
menyambut kepulangannya yang pergi bercuti.
“Sengaja nenek buatlah. Untuk
menyambut kepulangan cucu kesayangan nenek ni,” jawab Nenek Kamariah.
Iskandar yang berasa serba salah
mematikan langkahnya. Pandangannya tumpah ke wajah Jasmin yang nampak mendung
dan beralih pula ke wajah neneknya. Dia mengeluh sejenak. Keluhannya tidak
diendahkan oleh wanita-wanita yang berada di sisinya.
“Kenapa tiba-tiba tercegat pulak ni, Is?
Cepatlah jalan! Di sana kereta kita,” desak nenek sambil menudingkan jarinya ke
arah kereta.
“Nenek, boleh tak Is naik kereta Jess!
Kasihan dia, nek. Penat-penat dia datang jemput Is... tiba-tiba Is naik kereta
dengan nenek pulak,” minta Iskandar takut-takut. “Sia-sia aje Jess datang ke sini, kalau dia balik
bersendirian,” sambung Iskandar lagi. Harapannya menggunung. Biarlah nenek
memahami perasaan dia dan Jasmin pada saat itu.
“Tak boleh,” jawab nenek tegas. “Penat
Jess aje yang kamu fikirkan? Penat nenek ni macam mana pulak?” marah nenek
dengan tiba-tiba. Air mukanya tiba-tiba berubah keruh. “Mentang-mentanglah nenek dah tua!
Nak diketepikan saja, macam barang buruk...”
“Alah, nek,” rayu Iskandar pula. Dia memberi
isyarat mata supaya Jasmin membantu dirinya yang sedang tersepit. Namun, Jasmin
pula buat acuh tak acuh dan membuat muka. Memberi isyarat yang dia sedang marah
dan kecewa. Terlebih hampa lagi jika pemuda itu menurut kata-kata neneknya.
“Cakaplah,” bisik Jasmin. Mendesak
Iskandar supaya berterus terang dengan neneknya.
“Sabarlah,” bisik Iskandar pula.
“Cepatlah cakap,” desak Jasmin
sambil mengancing gigi gerahamnya sewaktu berbisik. Mereka bertelagah sesama
sendiri sambil cuit-mencuit. Nenek hanya memerhati dengan ekor matanya.
“Apa masalahnya kau orang ni?” tanya
nenek. Tangannya sempat memberi isyarat kepada Pak Din supaya memasukkan bagasi
yang dibawa oleh Iskandar ke dalam boot kereta.
“Jess bukannya tak boleh pandu kereta
sendiri! Dia ikutlah kereta kita dan hantar Is sampai ke rumah! Itupun kalau dia mahu! Kalau dia rasa
keberatan, dia baliklah terus ke rumah dia atau pergi ke mana-mana yang dia
suka,” sambung nenek dengan panjang lebar.
‘Banyak cantik! Aku nak jadi kuli, escort kereta kau pulak!’ gerutu Jasmin dalam hati. Bibirnya
digigit kecil. Ada kesempatan sahaja dia melemparkan jelingan maut buat nenek
kekasihnya itu.
“Tak apalah, nek! Is... biar Jess balik
ke rumah aja,” beritahu Jasmin tiba-tiba. Suaranya serak menyimpan sebak. Tubir
matanya juga hampir merebak.
“Bye!” Mendadak ucapan itu
terlontar daripada bibirnya. Kakinya terus diatur dan melangkah meninggalkan
Iskandar. Nenek Iskandar senyum puas hati.
“Jess!” panggil Iskandar kuat. Dia cuba
mengejar Jasmin yang pergi tidak menoleh.
“Iskandar!” panggil neneknya pula.
Langkah kaki Iskandar terhenti serta-merta. Perasaannya terhimpit. Yang di
sana, kekasih. Yang di sini, nenek. Aduh! Iskandar mengusap-usap kepalanya cuba
meredakan ketegangan perasaan.
“Cepat masuk dalam kereta!” arah
neneknya. Perlakuan cucu kesayangan dan kekasihnya nyaris membuat dia hilang
sabar. “Lain kali jumpa dengan Jess! Macamlah tak ada hari esok lagi!” leter
nenek.
“Tak baiklah buat Jasmin macam tu nenek! Yang nenek tak suka sangat pada dia tu,
kenapa?” tanya Iskandar sambil menghenyakkan punggungnya di tempat duduk
belakang.
“Nenek memang tak suka pada dia! Jangan
harap nenek bersetuju kalau Is nak kahwin dengan dia!” tegas nenek lagi.
Sebab-musabab dia tidak menyukai gadis itu tidak perlulah diperjelaskan kepada
cucunya itu. “Isteri Is, nenek
yang akan cari calonnya!”
“Nenek!” Iskandar cuba menyanggah.
Renungan tajam neneknya membuatkan dia kehilangan kata-kata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan