|
|
Sudah berkali-kali
Zarina meninjau ke pintu pagar rumahnya. Namun, orang yang ditunggu belum
kunjung tiba. Sebaliknya, dia hanya dapat melihat kereta jiran-jirannya yang
lalu-lalang. Eisha Safiya, anak perempuannya yang berumur empat tahun sudah
merengek-rengek sejak dari tadi.
“Mama! Mana papa ni?” tanya Eisha Safiya.
Air matanya tergenang. Badannya juga sudah berpeluh kerana dia asyik berlari ke
sana sini sementara menunggu papanya datang.
“Sabarlah, sayang! Sekejap lagi papa
sampai,” pujuk Zarina. Dia faham dengan perasaan anak tunggalnya itu. Pasti
sedang merindui papanya. Maklumlah, sudah dua minggu suaminya tidak balik ke
rumah. Mereka hanya sempat berhubungan melalui telefon sahaja. Suaminya yang
begitu sibuk kebelakangan ini. Perkasa Holding yang sedang meningkat maju,
perlukan tumpuan daripada suaminya itu.
“Kenapa papa tak duduk sini... dengan
kita?” tanya Eisha Safiya petah. Wajah mamanya direnung lama-lama. Zarina terus
memeluk tubuh Eisha Safiya dan mencium pipi anaknya bertalu.
“Papa tu sibuklah, sayang! Nanti bila
papa tak sibuk, papa duduk sekali dengan kita,” beritahu Zarina.
“Papa tidur di pejabat ke, mama?” tanya
Eisha Safiya lagi. Matanya yang besar dan bulat serta hitam itu seolah bersinar
sewaktu merenung ke arah mamanya. Eisha Safiya yang mengharapkan jawapan.
“Hah, itupun papa dah sampai,” beritahu
Zarina dengan suara gembira sebaik sahaja mendengar bunyi kereta masuk ke
pekarangan rumah. Eisha Safiya terus berlari-lari menuju ke pintu. Ketawanya
riang apabila melihat susuk tubuh yang dirindui.
“Papa!” jeritnya manja sambil
menghulurkan tangan minta didukung.
“Hai, assalamualaikum, Eisha.” Datuk
Wahab terus menyambar tangan Eisha Safiya. Lantas tubuh kecil itu diangkat dan
didukungnya. Hidungnya terus menyinggahi pipi anak kecil itu yang ketawa
mengekek kesukaan.
“Dah nak merajuk dah budak tu,” beritahu
Zarina yang menghampiri Datuk Wahab.
“Anak merajuk ke emaknya yang merajuk?”
tanya Datuk Wahab sambil menghulurkan tangannya kepada Zarina.
“Dua-dua sekali,” jawab Zarina sambil
mencium tangan suaminya itu. “Tapi, emaknya yang lebih sikit,” sambungnya
sambil ketawa kecil.
“Abang balik dari pejabat lewat sikit
tadi,” beritahu Datuk Wahab sambil menuju ke sofa. Eisha Safiya masih
didukungnya.
“Habis tu, sekarang ni macam mana? Nak
terus bertolak ke atau abang nak bermalam di sini dulu?” tanya Zarina sambil
berjalan ke dapur.
Datuk Wahab bangun dari sofa mengekori
isterinya pula. “Kita bertolak dalam masa 30 minit lagi, boleh?” tanya Datuk
Wahab lembut.
Zarina hanya menganggukkan kepala dan
mengambil segelas fresh orange yang memang telah tersedia di dalam peti sejuk.
“Kita pergi ke Bukit Merah saja, ya!”
beritahu Datuk Wahab.
“Abang kata nak pergi ke Johor!” ungkit
Zarina. Dia mengambil Eisha Safiya dari dukungan Datuk Wahab. Gelas yang
diletakkan di atas meja terus dicapai oleh suaminya itu sebaik sahaja Eisha Safiya
lepas dari dukungannya.
“Pergi ke Johor kalau tiga hari tak
cukup. Bulan depanlah kita pergi. Secara kebetulan Perkasa Holding akan
mengadakan mesyuarat dengan beberapa buah syarikat di sana,” jelas Datuk Wahab.
Negeri Johor sebagai sebuah negeri yang sedang pesat membangun memang banyak
peluang niaga untuk syarikatnya.
“Setuju tak?” tanya Datuk Wahab sambil
mencubit pipi isterinya itu. Zarina memegang tangan Datuk Wahab yang mendarat
di pipinya sambil tersenyum manja.
“Setuju! Kat mana-mana pun boleh, bang!
Asalkan kita sekeluarga dapat bersama tanpa gangguan,” jawabnya lembut. “Kak
Jun tak syak apa-apa ke?” tanya Zarina pula.
Datuk Wahab mengelengkan kepala sambil
senyum penuh makna. ‘Bagi duit untuk dia pergi membeli-belah, senyaplah
mulutnya!’ getus hati Datuk Wahab.
“Jess macam mana pulak? Dia tak syak
apa-apa ke papanya asyik out station?” soal Zarina lagi. Terbayang di matanya wajah Jasmin yang
cantik. Sayang sekali perangainya yang mengada-ngada menyebabkan dia kadangkala
jadi getik. Walaupun mereka tidak pernah bertemu, suaminya selalu berceritakan
tentang gadis itu.
“Jess? Apa dia kisah papanya ada di rumah
atau tak! Janji, segala kemahuannya kita
ikut!” komen Datuk Wahab. Jasmin yang sudah dimandikan dengan kemewahan
nampaknya sudah mulai lupa diri. Sikapnya yang mengada-ngada menyebabkan dia
jadi rimas. Nampak gayanya segala kemewahan yang biasa ditaburkan kepada anak
gadisnya itu terpaksa disekat, sedikit demi sedikit.
“Lebih baik abang pergi bercuti dengan
sayang papa yang ini...” kata Datuk Wahab sambil mengangkat Eisha Safia lalu
menciumnya bertalu.
“Jomlah kita bertolak, bang! Nanti
lambat,” ajak Zarina. “Kita singgah solat maghrib di mana-mana masjidlah, ya?”
cadangnya lagi.
Datuk Wahab mengangguk. Mereka sama-sama
berjalan keluar rumah.
*****************
Is minta maaf, sayang. Lain kali kita
pergi holiday ya.
Pesanan ringkas daripada Iskandar
dibacanya berulang kali dengan perasaan yang membakar.
‘Tak guna punya jantan! Senang-senang aje berjanji. Lepas tu mungkiri.
Lepas tu, minta maaf! Senang betul hidup
kau orang,’ gerutu hatinya tak habis-habis.
Bermanjalah dengan nenek you tu sampai dia mati.
Itulah balasan mesej pesanan ringkasnya
kepada Iskandar. Melontarkan perasaan marahnya yang menggunung. Mungkin bengang
dengan smsnya itu, Iskandar
menyepikan dirinya sudah berhari-hari.
‘Nak dipujuk? Maaflah!’ Hati kecilnya terus bersuara. Keegoannya tidak
mungkin direputkan oleh rajuk seorang lelaki.
Jasmin menekan punat-punat di telefon
mudah alihnya. Hati yang sedang sepi benar-benar mengharapkan seorang teman.
Namun, apalah dayanya kerana dia tidak punya ramai teman-teman sebaya yang sudi
rapat dengannya. Melintas bayangan wajah Nora di matanya.
‘Ah, Nora pun Noralah...’ Lantas hujung
jarinya terus menekan-nekan nombor telefon mudah alih Nora.
“Nora, datang ke rumah aku!” rayu Jasmin sejurus Nora
menjawab panggilannya. Setelah mereka saling bertanya khabar.
“Nak datang ke rumah kau?” tanya Nora. Ketawanya meleret. Tak
pernah-pernah Jasmin mempelawanya datang ke rumah sebelum ini. Belum pernah
sekali.
“Kau mengigau, eh?” tanya Nora. “Betul ke kau nak aku datang ke
rumah kau ni? Layak ke kaki aku pijak rumah kau,” kata Nora dalam tawa
perlahan.
“Yalah, datanglah! Temankan aku!
Boring sangat rasanya. Kita pun dah lama tak jumpa, kan?” pujuk Jasmin.
“Memang dah lama tak jumpa. Sejak
malam itulah,” setuju Nora. Sikap Jasmin yang mengada-ngada dan manja serta
bongkak itu telah menjarakkan mereka.
“Lepas peristiwa hari itu, kita
macam terputus hubungan,” tambahnya lagi. Kali terakhir mereka bersama ialah
sewaktu mereka singgah makan di Restoran Abang Ba dekat Tanjung Malim. Waktu
itu, mereka dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang.
“Betul tu, Nora,” sahut Jasmin. “Aku marah sangat pada kau sebab
nasihatkan aku supaya jangan berkasar pada mamat tu. Mamat yang tumpahkan kopi
atas gaun aku tu,” ungkit Jasmin. Serta-merta dia teringatkan sapu tangan
kesayangannya. Sapu tangan sutera berwarna biru langit. Sapu tangan itu pun
hadiah daripada Iskandar juga.
Nora diam. Bukannya apa, dia malas hendak
mengenang peristiwa hari itu. Lama juga mereka bergaduh di dalam kereta kerana
dia cuba menasihatkan Jasmin supaya jangan suka menghina orang lain. Tak usah
bongkak dengan kekayaannya.
“Dia tu memang patut kena marah
pun,” sambung Jasmin tanpa rasa bersalah. “Kau kan tahu, Nora... gaun yang
aku pakai tu pemberian Iskandar! Aku sayang sangat dengan baju tu. Dah dicuci
pun kotorannya tak hilang,” adu Jasmin.
“Alah, Jess... tak usahlah nak
ungkit perkara yang telah berlaku. Kalau mamat tu rasa sakit hati pun, bukannya
kau boleh cari dia balik untuk minta maaf,” pintas Nora.
“Apa juga benda jika dicemari
kekotoran, memang susah nak bersih kembali. Macam hati manusia jugak,” kiasnya.
“What? Minta maaf? No Way! Apa hal pulak aku nak minta maaf kat budak
tu! Dia yang salah, Okey! Aku takkan merendahkan diri aku untuk meminta maaf
daripada sesiapa pun,” balas Jasmin. “Hati aku tak pernah kotor. Hati budak tu yang kotor!”
tukasnya pula. “Kau, tak usah nak berdakwah kepada aku pulak,” tegasnya.
Nora terdiam sejenak. Dia mengelengkan
kepalanya. Kenapalah anak gadis itu berbeza sangat dengan sikap mama dan
papanya? Datuk Wahab seorang yang dihormati bukan sahaja kerana pengaruh dan
kekayaannya, tetapi kerana sikap rendah diri yang dimilikinya. Begitu juga
dengan Datin Julaidah. Orangnya lemah lembut dan berbudi bahasa. Tapi Jasmin,
sombong dan bongkaknya bukan main.
“Nora, kenapa kau ni? Dah bisu ke?”
sergah Jasmin. Lama dia menunggu respons daripada temannya itu, namun tidak ada
suara yang menjengah ke telinganya.
“Eh! Eh! Kau ni, Jess! Pukul sama
rata aje! Semua orang kau nak sergah-sergah ya!” perli Nora. Bengang pula
hatinya, tiba-tiba disergah begitu.
“Aku pelik jugak sebab tiba-tiba
kau telefon aku dan ajak aku datang ke rumah! Itu yang aku sedang
fikirkan, Mimpi ke aku ni? Mimpi di siang hari. Atau kau pulak dah buang
tebiat?”
“Nora, kau ni... aku belum nak mati
lagilah!” Jasmin terpekik kecil.
“Aku dengar boyfriend kau Iskandar tu dah balik,” sambung Nora. “Biasanya kau asyik berkepit dengan
dia aje,” katanya sengaja menduga. Bukannya dia tidak tahu tentang perhubungan
pasangan itu yang tidak direstui oleh nenek Iskandar.
“Huh!” rengus Jasmin. Perasaannya
tiba-tiba bergelodak. “Sekarang ni, aku tengah bengang dengan dialah!” beritahu
Jasmin dengan suara yang agak kuat. “Aku bosanlah! Dia tu asyik nak duduk celah ketiak nenek dia
aje! Kau tahu, dia dah janji nak pergi
bercuti dengan aku ke Pulau Redang, tapi disebabkan nenek dia, langsung tak jadi!”
marah Jasmin. Lantas, dia menceritakan peristiwa yang dialaminya sewaktu
menyambut kepulangan Iskandar di KLIA sebelum ini.
Nora yang mendengar ketawa sehingga
berair matanya. “Salah kau jugak,
Jess,” tempelak Nora. “Kalau kau pandai ambil hati nenek dia, takkan jadi berebut
begitu! Kalau kau dah ego sangat, kesudahannya nenek dia yang akan menang!”
perli Nora. Selagi ada peluang untuk
menyindir gadis itu, dia akan menggunakannya dengan sebaik-baiknya.
“Hisy! Kau ni tak boleh dibuat
kawanlah! Asyik nak sokong pihak lain aje!” marah Jasmin. Memang menjadi
kepantangannya jika dia sedang bercerita tentang seseorang yang tidak
disukainya, teman yang diajak bercerita menyokong pihak yang menjadi musuhnya.
Pantang!
“Jess, seorang sahabat yang baik
takkan menyokong perbuatan salah kawannya, tau tak?” bidas Nora. “Kau nakkan cucunya, neneknya kau
tak mahu hormati! Dengan orang tua,
sepatutnya kita sayang dan merendah diri kepada mereka,” nasihat Nora.
“Eleh! Nak hormat macam mana lagi! Nak cium telapak
kaki dia? Sorry!” balas Jasmin. “Kau ni kalau asyik
nak menasihatkan aku aje tak payahlah datang ke rumah aku,” sambungnya lagi.
Bibirnya diketap menahan perasaan geram.
“Jess... Jess... Memang aku tak dapat datang ke rumah
kau hari ni. Mungkin kita tak dapat nak
jumpa lagi,” beritahu Nora lembut. Walaupun tersinggung dengan kata-kata gadis
itu tadi, dia tetap sabar melayani Jasmin. “Tak tahulah dalam tempuh berapa
tahun, mungkin untuk selamanya,” sambung Nora dengan nada sayu.
“Nora, aku main-main ajelah,” pintas Jasmin. Dia
mencubit mulutnya yang telah terlajak kata. Walaupun tahu dengan cubitannya itu
kata-kata yang telah terlanjur tidak mungkin disedutnya kembali.
“Sama ada kau main-main atau sungguh-sungguh, apa yang
aku akan beritahu ini adalah satu fakta.” Serius kedengaran suara Nora.
“Amboi!”
sampuk Jasmin. Keseriusan Nora sewaktu berbicara menyuntik perasaan ingin tahu
di benaknya. “Apa
hal kau lain macam aje hari ni, Nora?” soalnya terus.
“Jess, sebenarnya aku di airport ni,” jelas Nora perlahan.
“Airport? Kau nak ke mana?” tanya Jasmin. Dadanya
berdebar.
“Kan dulu aku dah beritahu kau, aku
sedang tunggu tawaran untuk sambung studi,” jawab Nora lembut.
“Oh
ya! Jadi?” soal Jasmin.
“Aku akan berangkat ke Korea dalam beberapa minit lagi,”
balas Nora.
“Nora..,” tangis Jasmin. Tiba-tiba dia berasa
kehilangan. “Tak
adalah kawan aku nanti,” rengeknya setelah itu.
“Kau anak orang kaya, kan? Kau
boleh beli kawan.” Sempat lagi Nora bergurau. “Dulu pun, kau pernah cakap pada
aku! Kau ada banyak duit! Bila-bila masa saja orang nak kawan dengan kau. Kau
ingat tak, Jess?” tanya Nora.
Jasmin terkesima. Pipinya panas. Dia
berasa malu pada dirinya sendiri. “Nora...” rayunya
kesal.
“Jess, memandangkan kau telefon aku ni, aku nak minta maaflah
jika ada kekasaran bahasa atau kata-kata sewaktu kita bersama, ya? Manalah tahu
kalau-kalau kita tak berpeluang untuk berhubung lagi. Esok-esok bila aku dah
balik ke Malaysia, entah-entah kau dah kahwin dengan mamat yang tercurah air
kopi kat baju gaun kau tu,” kata Nora sambil melambakkan tawa melindungi
kesedihan yang mendatangi dada.
“Nora! Kalau aku jumpa dia lagi, aku... aku tonyoh-tonyoh
dia!” jerit Jasmin terus menggeram.
Nora yang mendengar, semakin kuat
tawanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan