|
|
|
|
Datin
Julaidah memandang ke wajah Datuk Wahab
tepat-tepat. Jasmin turut bersama dengan mereka. Dia pun memandang papanya tak
berkelip sejak dari tadi.
“Kenapa
dengan awak dua beranak ni?” tanya Datuk Wahab. Dia terus mencapai sudu dan
garpu. Nasi lemak yang dihidangkan oleh Bibik Misrah di atas meja begitu
membangkitkan seleranya. Tanpa mengendahkan renungan isteri dan anak gadisnya,
dia terus menyuap nasi lemak.
“Sedapnya,
makanlah Jun! Takkan boleh kenyang perut tu kalau asyik menatap wajah abang,”
seloroh Datuk Wahab. “Atau Jun dah sental roti canai di gerai kat simpang masuk
ke taman perumahan ni sewaktu berjoging tadi?” tanyanya, masih cuba bergurau.
Namun, gurauannya itu tidak mendapat respons daripada Datin Julaidah.
Jasmin
pun buat endah tak endah gurauan papanya itu. Hatinya menjengkel. ‘Pandai
pura-pura! Hipokrit!’ getus hatinya.
“Jun
nak abang suapkan ke?” tanya Datuk Wahab lagi sambil merenung wajah Datin
Julaidah. Namun, wanita itu juga buat
tak layan pada gurauan suaminya. Sebaliknya terus merenung ke wajah suami
dengan perasaan bercampur aduk.
“Abang....”
panggilnya dengan suara yang agak tegang.
Datuk
Wahab merenung isterinya sambil mengunyah. Malang, isterinya buat muka
bersahaja pula. Tidak lagi mesra bagai selalu. Fikiran Datuk Wahab cuba
menghidu sesuatu.
“Ada
hal apa, Jun? Cuba cerita elok-elok. Kita bincang baik-baik,” ujar Datuk Wahab
tenang.
“Jun
nak tanya pasal Eisha,” kata Datin Julaidah lagi. Serius kedengaran suaranya.
Datuk
Wahab menelan nasi lemak yang ada di dalam mulutnya cepat-cepat. “Eisha?”
tanyanya kembali. Tiada kekejutan tergambar pada raut air mukanya. Terbayang di
matanya wajah Eisha Safiya yang comel.
“Kenapa
dengan Eisha?” soalnya lagi. Wajahnya
tetap tenang. Tangannya mencapai mangkuk berisi sambal tumis udang. Semakin
diterjah dengan soalan semakin berselera pula tekaknya.
“Betul
ke abang dah ada isteri baru bernama Eisha?” soal Datin Julaidah.
Datuk
Wahab terbelahak. Suapannya terhenti. “Eisha isteri baru saya? Kat mana Jun dapat cerita ni?” tanya Datuk
Wahab kembali. Nescafe yang di dalam cawan disisipnya perlahan untuk meredakan
batuk-batuk kecilnya.
“Alah,
papa berterus terang dan mengaku sajalah,” sampuk Jasmin. “Sampai hati papa
madukan, mama!” katanya lagi.
“Siapa
yang cerita?” soal Datuk Wahab. Pandangannya silih berganti. Senyuman di
bibirnya berpanjangan.
“Mukhriz,”
beritahu Jasmin. Roti bakar dikoyak dengan perasaan geram.
Datuk
Wahab tergelak. Baru dia teringat yang dia ada menyebut nama Eisha di hadapan
Mukhriz sewaktu menyuruh Ray mengambil anaknya itu dari sekolah. Pada waktu
itu, mereka bersama-sama di dalam kereta.
‘Macam mulut orang
perempuan Mukhriz ni,’ gerutu hati Datuk Wahab
“Eisha
bukan isteri sayalah, Jun...” terang Datuk Wahab. Tenang dan lembut suaranya.
“Kalau tak percaya, Jun dan Jess boleh pergi menyiasat di pejabat agama. Pernah
tak mereka keluarkan sijil nikah Abdul Wahab bin Talib dengan wanita yang
bernama Eisha,” cadang Datuk Wahab. Ketawanya berleretan. “Ataupun tanya pada
Mukhriz! Dia yang pandai-pandai bawa cerita, kan...” sambung Datuk
Wahab lagi.
“Habis
tu yang abang selalu pergi outstation tu abang pergi ke mana? Bukan ke
rumah isteri muda?” tanya Datin Julaidah. Dia
mula terpengaruh dengan cerita Puan Sarah.
“Sekerap
mana yang abang pergi ke luar daerahnya. Tiga bulan sekali. Takkan abang nak
jumpa isteri muda tiga bulan sekali!
Mana ada perempuan yang tahan kalau dibuat begitu! Jun sanggup?”
tanyanya pula. Cuba berteka teki.
“Alah,
papa tu sengaja nak tegakkan benang yang basah, mama! Tak usah percaya dengan
kata-kata orang lelaki ni,” hasut Jasmin pula. “Jess yakin sangat yang papa dah
kahwin dengan perempuan yang bernama Eisha tu! Jika tak takkan Mukhriz
suka-suka nak tanya pada Jess!” sanggah Jasmin mempertahankan pendapatnya.
“Apa
yang Mukhriz tanya?” soal Datuk Wahab. Terasa kelakar pula melihat dua orang
hawa yang di hadapannya itu sedang monyok kerana isunya beristeri muda. Dengan
Eisha pula tu!
“Mukhriz
tanya, Jess dah ada mak tiri ke?” cerita Jasmin. “Nama Eisha tupun Mukhriz
jugak yang bagitau,” sambungnya lagi sambil menjeling tajam ke arah papanya.
“Betul ke, bang?” Datin Julaidah
inginkan kepastian sekali lagi. Saat itu, hatinya bagai dimamah sesuatu.
“Kalau pun abang berkahwin lain,
pernah Jun rasa terabai?” tanya Datuk Wahab.
Datin Julaidah menggeleng. Memang,
suaminya itu tidak pernah mengabaikannya. Namun jawapan daripada suaminya itu
menimbulkan persoalan di mindanya. Seolah-olah ada udang di sebalik batu.
Mengaku tidak, menafikan jauh sekali.
“Tapi, papa dah abaikan Jess
sebagai anak papa,” sampuk Jasmin. Melengking suaranya.
“Papa tanya pada mama! Yang paling
penting, papa tak abaikan mama. Dia isteri papa!” balas Datuk Wahab sambil
menekan suaranya.
Datin Julaidah mulai bimbang.
Takut suaminya itu naik radang dan berkata sesuatu yang akan menggores hati
anak kesayangannya itu.
“Kebelakangan ni papa macam tak
peduli saja pada Jess,” rengek Jasmin. “Semua orang pun dah tak peduli Jess!”
Suaranya bergetar. “Macam Jess anak orang lain,” rengek Jasmin sambil menangis.
Pilu benar rasa hatinya.
“Memang...” Kata-kata Datuk Wahab
terhenti apabila melihat Datin Julaidah mengisyaratkan jari telunjuk ke
bibirnya.
“Memang papa tak suka orang
degil!” tegas Datuk Wahab. Sekelip mata terpaksa menukar ayat yang ingin
diungkapnya tadi. Wajahnya serius sewaktu memandang Jasmin.
“Alah! Papa memang dah tak sayang
pada, Jess!” bentak Jasmin tiba-tiba. Serta merta dia bangun dari kerusi tanpa
sempat menghabiskan minumannya. Entah mengapa, dia begitu cepat berjauh hati.
“Mentang-mentanglah papa dah ada
budak haprak tu!” tempiknya. “Dia tu bukan siapa-siapa dengan papa, kenapa papa
layan dia baik sangat? Entah-entah papa ada hubungan sulit dengan dia! Eeii...
Jess benci!” jerit Jasmin sambil meninggalkan ruang makan. Dia berlari ke
biliknya sambil menangis.
“Apa yang Jess merepekkan tu,
bang?” soal Datin Julaidah pula. Lagi sekali wajah Datuk Wahab direnungnya.
“Siapa budak haprak yang dimaksudkannya tu?” Macam-macam perkara pula yang
berbangkit pada pagi itu. Perkara yang tidak pernah diduganya sebelum ini.
“Ray...” jawab Datuk Wahab
sepatah. Tidak guna berahsia tentang pemuda itu. Dia sangat yakin dengan nalurinya.
Hati kecilnya selalu membisikkan yang Ray akan menjadi orang penting di dalam
hidupnya. Ray akan menerajui segala syarikat miliknya. Perkasa Holding menjadi
semakin kuat dan teguh serta disegani beberapa tahun lagi.
“Siapa Ray?” tanya pula Datin
Julaidah. Tidak pernah dia mendengar nama itu sebelum ini.
“Abang...”
Datin Julaidah tidak puas hati selagi soalannya tidak mendapat jawapan.
“Ray
tu salah seorang pekerja abang! Seorang anak muda yang ada wawasan dan
cita-cita. Abang nak bantu dia sehingga dia berjaya menggenggam cita-citanya,”
sambung Datuk Wahab.
“Puas
hati awak? Suka sangat terikut-ikut dengan ragam Jess itu. Cepat sangat awak
nak melatah,” omel Datuk Wahab.
Datin
Julaidah senyum lega. Ketenangan yang dipamerkan oleh suaminya itu menghakis
sangka buruknya yang baru membenih. Mustahil suaminya beristeri baru.
“Abang
nak pergi ke ofis,” beritahu Datuk Wahab sambil menghulurkan tangannya kepada
Datin Julaidah. “Oh ya!
Cadangan Jun nak pergi melancong ke Eropah tu... abang setuju! Jun pergilah
ya... bawa Jess sekali. Pujuk hati dia!
Lain kali kita pergi sama-sama! Sekarang ni, abang sangat sibuk dan tak
boleh tinggalkan ofis,” kata Datuk Wahab.
“Yalah,
bang. Jun minta maaf. Jun syak wasangka kepada abang,” kata Datin Julaidah.
Datuk Wahab senyum singkat.
“Tak apa, Jun. Sedangkan lidah lagi tergigit.
Kita dah lama jadi suami isteri. Lupakan saja, ya...” jawab Datuk Wahab. “Air yang jernih jangan sengaja
kita kocak-kocakkan,” sambungnya lagi dengan kata berkias.
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
9. 00
pagi. Terminal di ruang menunggu sudah dibanjiri orang.
“Ray tunggu di sini! Tolong jaga Eisha,” pesan
Datuk Wahab. Ray mengangguk. Datuk Wahab menarik lengan Zarina dan mengheret
wanita itu supaya mengekorinya.
“Eisha,”
panggil Ray. Dia menarik Eisha Safiya supaya merapatinya. Eisha Safiya nampak
comel dengan pakaian yang membalut tubuhnya. Sehelai seluar panjang dari kain
denim warna biru muda dengan blaus warna merah jambu. Rambutnya yang ikal halus
keperangan ditocang satu.
“Sejuk,”
beritahu Eisha Safiya. Tubuhnya tergigil perlahan. Walaupun telah dibaluti
sehelai jaket, namun kedinginan dari alat hawa dingin di pagi itu menembusi
juga kulitnya. Eisha Safiya berdiri di hadapan Ray sambil dipeluk oleh anak
muda itu. Ray juga berasa sejuk. Tambahan pula dengan hanya memakai baju kemeja
lengan pendek. Ray mengambil peluang untuk melihat di sekitar kawasan itu
sementara menunggu Datuk Wahab dan isterinya kembali ke situ semula. Bola
matanya terus memerhati tetamu lapangan terbang itu yang datang dan pergi.
‘Alamak!’
getus hati Ray. Dia terpandang Mukhriz dan Iskandar sedang menuju ke situ.
Mereka bersama seorang wanita yang agak tua. Ray memusingkan tubuhnya ke arah
lain. Cuba mengelakkan dirinya daripada dilihat oleh Mukhriz. Bukan bermakna
dia takut kepada tiga orang manusia itu. Tidak sekali-kali. Jika dia
bersendirian, dia rela berdepan dengan sesiapa saja. Tetapi, yang ada di dalam
pelukannya ialah Eisha Safiya. Eisha Safiya itu amanah Datuk Wahab kepadanya.
“Hai,
Ray!” sapa suara lelaki. Ray menoleh. Mukhriz sudah berdiri di belakangnya. Iskandar dan wanita
tua tadi sudah tiada bersamanya lagi.
“Awak
buat apa kat sini pagi-pagi?” tanya Mukhriz sambil memerhati wajah Ray.
“Saja,”
jawab Ray selamba. Mukhriz yang tidak berpuas hati dengan jawapannya bercekak
pinggang. Eisha Safiya yang dalam pelukan Ray mula-mula mendongakkan wajahnya
melihat Mukhriz, namun tiba-tiba melarikan diri apabila ternampak mamanya yang
sedang menghampiri mereka.
“Maaf,
Encik Mukhriz. Saya hantar mak cik saya,” kata Ray terus meninggalkan Mukhriz
untuk mengejar Eisha Safiya. Dia sempat menoleh dan melihat Mukhriz masih
bercekak pinggang memerhatinya.
“Ray,
tolong hantar beg tadi ke sana,” arah Zarina sambil menunjukkan tangannya ke
tempat himpunan beg penumpang yang akan menaiki kapal terbang yang sama
dengannya. Beberapa orang pekerja di lapangan terbang sedang memasukkan beg ke
troli besar atas forklift dan akan memindahkannya ke ruang bagasi dan
dihantar terus ke kapal terbang.
“Datuk
pergi ke tandas pulak,” beritahu Zarina.
‘Fuh!
Nasib baik!’ kata hati Ray. Jika tidak pasti tembelang Datuk Wahab akan pecah
pada hari itu.
“Encik
Mukhriz ada kat sinilah, auntie...” beritahu Ray. Bukannya apa, biar Zarina
berjaga-jaga.
“Tak apa,” jawab Zarina. Dia tidak perlu takut
kepada sesiapa lagi. Pernikahannya dengan Datuk Wahab bukannya menyalahi
undang-undang agama atau undang-undang negara.
“Biar
auntie sms Datuk. Suruh dia
tunggu kat tempat pemeriksaan pasport,” sambungnya lagi sambil mengeluarkan
telefon bimbit dari beg tangan.
“Cepat
Eisha! Salam dengan Abang Ray, sayang! Cepat!” gesa Zarina lalu merapatkan
Eisha Safiya kepada Ray. Tangannya sempat menekan butang-butang pada telefon
mudah alih untuk mengirim pesanan ringkas buat suaminya.
“Selamat
tinggal, Abang Ray,” ucap Eisha Safiya sambil menggoyang-goyangkan tangannya
yang comel. Ray merendahkan dirinya dan memeluk Eisha Safiya.
“Selamat
jalan, Eisha...” balas Ray. Dia menghalakan pipinya untuk dicium oleh Eisha
Safiya. Pantas sahaja bibir kanak-kanak itu memagut pipinya. Kiri dan kanan.
“Jangan
nakal-nakal ya?” pesan Ray lalu membalas ciuman daripada Eisha Safiya. Eisha
Safiya hanya menyeringai.
Zarina
cepat-cepat memegang tangan Eisha Safiya dan beredar dari situ setelah
berpamitan dengan Ray. Ray pula cepat-cepat bergerak menuju ke tempat simpanan
beg-beg yang dibawanya tadi. Setelah tugasnya selesai, dia melangkah laju
menuju ke tempat pemeriksaan pasport. Dia ingin mengucapkan selamat jalan
kepada Datuk Wahab jika sempat. Ray cuba mencari Datuk Wahab di celah orang
ramai.
“Ray,
sini!” panggil Datuk Wahab agak kuat. Dia pasti anak muda itu sedang
mencarinya.
Ray
yang hampir hampa senyum lega. Datuk Wahab yang sedang beratur di tempat
pemeriksaan pasport melambai padanya.
“Kunci
rumah ni awak pegang,” kata Datuk Wahab.
Ray
terpaksa menyambut. “Yang ni untuk awak! Terlupa nak bagi tadi.”
Sebuah
telefon bimbit disumbat dalam poket baju Ray. Ray terkejut. Dia baru bercadang
hendak membeli telefon bimbit pada hari itu. Belum sempat dia berkata sesuatu
Datuk Wahab menggenggam tangannya pula.
“Okey!
Saya pergi. Assalamualaikum,” kata
Datuk Wahab. Dia bercakap laju-laju. Sudah berulang kali suara pengumuman
memberitahu kapal terbang bakal dinaiki akan berlepas beberapa minit sahaja
lagi. Semua penumpang dikehendaki berada di dalam kapal terbang.
Ray
terpacak dalam posisi tadi sambil memerhatikan kelibat Datuk Wahab yang semakin
menghilang. Tangannya yang kiri meraba poket baju kemeja yang terisi telefon
bimbit. Manakala tangan kanannya menggenggam gugusan kunci banglo mewah dua
tingkat yang dihuninya selama ini.
Gugusan kunci itu disumbatkan ke dalam poket seluar. Setelah itu, dia
meraba-raba kocek seluar di sebelah belakang. Ray mengeluarkan kunci kereta.
Dia memainkan kunci kereta dengan jarinya. Dipusing berulang kali.
‘Kenapa
Datuk Wahab percaya sangat dengan aku ni?’ tanya hatinya lagi.
“Bawa
kereta tu bila balik kampung nanti”
“Saya
dah tempah tiket bas ekspres, Datuk! Lagipun bukannya jauh sangat Kuala Lumpur
dan Tanjung Malim.”
“Sebab dekatlah, awak kena bawak
balik kereta tu. Buat apa awak tempah tiket bas ekspres pulak?”
Terngiang-ngiang suara perbualannya dengan Datuk Wahab sewaktu dalam perjalanan
ke lapangan terbang tadi. Tak tersedar langkah kakinya sudah menghampiri kereta
Honda Accord yang menjadi pacuannya selama ini.
“Ray!”
Ray menoleh. Terbatal niatnya
untuk memasuki kereta. Mukhriz berjalan laju menghampirinya.
“Encik Mukhriz...” tegur Ray
bersahaja. Pintu kereta ditutupnya semula. Setelah itu, dia bersandar pada
kereta menanti Mukhriz. Sempat tangannya membetulkan rambut yang digugah angin.
“Datuk mana?” tanya Mukhriz kasar.
Ray mengangkat kedua bahunya.
Sejak mula lagi, dia sudah berasa kurang senang dengan lelaki yang berlagak
itu.
“Kau hantar Datuk dan bini muda
dia, ya?” soal Mukhriz lagi dengan suara tegang.
Ray masih belum menjawab. Pesanan
Datuk Wahab terukir kukuh di hati. Pernikahannya dengan Zarina masih
dirahsiakan daripada pengetahuan isteri pertama dan orang sekelilingnya.
“Kau ingat aku tak tahu,” kata
Mukhriz pula.
Ray diam. ‘Kalau sudah tahu tak usah banyak
cakap lagi!’ getus hati Ray.
“Kau jadi barua Datuk, ya?
Patutlah semakin bergaya dan mewah!” tuduh Mukhriz. Matanya sempat mengerling
telefon bimbit yang dipegang Ray. Telefon model terbaru itu tidak layak dipakai
oleh seorang budak hingusan seperti Ray. Kereta yang dipandu Ray menyebabkan
hatinya semakin terbakar. Pasti Datuk Wahab membeli kereta baru buat kegunaan
anak muda itu. Kereta Honda Accord berwarna putih bercermin gelap itu harganya
melebihi 100 ribu.
“Maaf, Encik Mukhriz saya hanya
seorang drebar. Saya datang ke sini untuk jalankan tugas yang diamanahkan,”
jawab Ray terus memasuki kereta dan menutup pintu.
Mukhriz yang masih belum berpuas
hati dengan jawapan itu mengetuk cermin tingkap berkali-kali. Ray menurunkan
skrin tingkap kereta perlahan.
“Ray, kau jangan nak bercita-cita
lebih. Tak usah berangan-angan macam Mat Jenin. Sedar diri kau sikit! Entah keturunan dari mana! Kalau kau cuba-cuba
nak mengipas Datuk Wahab tu... kau silap! Tak lama lagi bila aku jadi
menantunya, kau akan merempat macam pengemis di jalanan,” bisik Mukhriz keras.
Menjadi kepantangannya jika ada orang lain yang merebut perhatian Datuk Wahab.
Walaupun dia dimarah hari-hari oleh orang tua itu, dia rela. Asalkan
perhatiannya tidak beralih kepada orang lain.
“Tak apa,” jawab Ray ringkas.
Mukhriz
meninggalkannya serta-merta. Ray faham. Mukhriz bengang dengan jawapannya yang
selamba. Nasibnya bukan di tangan Mukhriz. Nasibnya di tangan TUHAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan