|
|
Jasmin merebahkan tubuhnya di atas katil. Hari ini hari
ketiga mereka berjauhan dengan bumi Malaysia. Dari KLIA kelmarin mereka
meneruskan penerbangan ke Frankfurt. Dari Frankfurt pula bertolak ke Viernherm.
Sekarang, dia dan mama sedang berehat di hotel di bandar yang bernama Lucerne.
Jasmin mencapai kamera yang
dibawanya tadi. Sekali lagi dia melihat gambar-gambar yang telah terakam. The
Rhinefalls. Air terjun yang terbesar di Eropah. Suasana yang nyaman dengan
pemandangan yang amat indah. Bibirnya mengukir senyuman. ‘Kalaulah Iskandar ada
bersama,’ bisik hatinya. Rasa rindu bergelodak di dalam dada.
‘Bip!
Bip!’ Baru sahaja dia ingin mencipta angan-angan bersama Iskandar, telefon
bimbitnya bergetar. Melihat nama yang terpapar di skrin hatinya berbunga indah.
Is bertembung dengan papa Jess
dalam pesawat ke Jakarta semalam. Ada seorang wanita muda dan kanak-kanak
perempuan bersamanya.
“Mama!”
jerit Jasmin terus melompat dari katil dan menerkam mamanya yang sedang
memeriksa barang-barang yang baru dibelinya tadi. Sungguh dia tidak menduga
yang Iskandar masih ingin mengirimkan sms
buatnya. Perhubungan mereka agak dingin
kebelakangan ini.
“Mama,
bacalah sms ni,” rengeknya sambil
menghulurkan telefon bimbitnya kepada Datin Julaidah.
“Hisy!
Mama tak percayalah, Jess,” kata Datin Julaidah. Cepat-cepat dikembalikan
telefon bimbit itu kepada Jasmin.
“Tapi
Is dah nampak, ma,” pujuk Jasmin lagi.
Datin
Julaidah buat tidak peduli. “Jangan-jangan wanita dan kanak-kanak perempuan tu
penumpang kapal terbang tu jugak. Secara kebetulan mereka duduk berderet,”
sanggah Datin Julaidah. Dia tetap menolak dakwaan Iskandar dan Jasmin.
“Janganlah
mama buat andaian yang bukan-bukan pulak.Agaknya mama dah kena mandrem dengan
papa ni. Mama percaya bulat-bulat pada dia,” balas Jasmin. Perasaan geram dan
marah kepada mamanya semakin merimbun.
“Dah
banyak cerita yang sampai di telinga Jess dan telinga mama. Dah selalu sangat
kita dengar cerita papa dah kahwin lain.” Jasmin cuba mempengaruhi mamanya.
“Sebelum
ni kan Mukhriz ada cerita pasal, Eisha. Jess dah beritahu mama, kan? Entah-entah wanita yang bersama papa tu Eisha,”
tebak Jasmin.
“Alah,
mulut orang, Jess! Bukannya Jess tak faham sikap buruk masyarakat kita ni.
Tambahan pula, papa tu seorang yang berjaya. Mungkin ramai orang yang dengki,”
balas Datin Julaidah. Selagi tidak melihat sendiri sijil nikah suaminya itu
dengan wanita lain, selagi itulah dia tidak akan mempercayai cakap-cakap orang.
“Ya
ALLAH, mama... kalau tak ada angin, takkan pokok bergoyang!” tegas Jasmin.
Hampa benar apabila mamanya langsung tidak mempercayai kata-katanya.
“Peribahasa
tu dah tak boleh digunakan lagi, Jess. Kalau ada sikap benci dan cemburu, pokok
tu bukan saja boleh bergoyang-goyang bahkan boleh tercabut terus akar
tunjangnya kerana tangan manusia,” balas Datin Julaidah.
“Hisy, mama ni!” rengus
Jasmin. Kecewa dengan respons yang diberi oleh mamanya. “Papa pergi ke Jakarta ada tak dia
minta izin daripada mama?” soal Jasmin bersungguh-sungguh. Datin Julaidah
tergelak seketika.
“Apa hal pulak papa nak
minta keizinan mama? Seorang suami tak perlu minta keizinan daripada isterinya
kalau nak ke mana-mana pun, faham? Jess ingat bila Jess kahwin dengan Iskandar
esok, Iskandar kena beritahu dan minta izin daripada Jess segala
pergerakannya?” tempelak Datin Julaidah berjela.
“Mestilah, mama! Is mesti
dengar cakap Jess!” tegas Jasmin. Suaranya penuh semangat. “Biar kita jadi queen qontrol,
mama. Jangan suami kita kena rembat dek perempuan lain,” sambung Jasmin lagi
sambil berpura menyinsing lengannya.
“Jess,
dah lebih 20 tahun mama hidup dengan papa!
Kalau papa sudah beristeri lain, mustahil hati mama tak dapat sebarang
isyaratnya.” Datin Julaidah masih mempertahankan pendiriannya.
“Alah!
Sebenarnya bukan hati mama tak pernah rasa, tapi mama sengaja sembunyikan
daripada Jess. Mama sengaja tak endahkan bisikan hati mama tu, kan?” duga
Jasmin.
Datin
Julaidah terdiam sejenak. “Mama tak suka keruhkan perhubungan mama dan papa,
Jess...” jelas Datin Julaidah perlahan. “Lagipun, mama bukan seorang wanita
yang sempurna. Ada perkaranya mama tak mampu lakukan untuk papa,” sambungnya
dengan suara sebak. Rasa pilu dan hampa menghimpit batinnya.
“Apa
ma? Jess tak dengar!” kata Jasmin. Fokusnya pada perbualan mereka tiba-tiba
hilang. Jasmin perasan, salah satu barang yang dibelinya untuk dihadiahkan
kepada Iskandar, tiada di dalam beg yang sedang dipunggahnya.
“Tak
ada apa-apa, Jess. Sudahlah tu. Jangan ribut soal papa dan mama! Kami sentiasa
bahagia. Alhamdulillah. Sekarang ni, papa dah suruh kita bercuti di sini...
kita enjoy! Okey, sayang,” kata
Datin Julaidah sambil mencubit manja pipi anak gadisnya.
“Okey,”
jawab Jasmin sambil melontarkan senyuman manja kepada mamanya. Namun, dia sudah
nekad. Dia akan menyiasat habis-habisan segala dakwaan Iskandar sebaik sahaja
balik ke Malaysia nanti.
********************************
“Dania bubuh halia muda
lebih sikit,” pancing Dania. Masakan yang ringkas pun kadangkala menyelerakan
orang yang sedang sakit.
“Masaklah,
Dania... mak teringin pula nak makan sup ikan bilis Dania tu,” kata Fazidatul.
Anak gadisnya itu memang sudah boleh diharap membuat kerja-kerja di dapur. “Macam sedap aje,” guraunya
singkat.
“Tapi,
untuk subjek esok Dania dan bersedia ke? Dah ulang kaji?” tanya Fazidatul.
Dengan kudrat yang semakin menyusut, dia bangun dari tilam yang lusuh dan
menipis.
“Alhamdulillah,
mak! Dania dan banyak kali ulang kaji. Lagipun esok kertas yang terakhir,”
jawab Dania dengan suara ceria. Apabila melihat emaknya sudah boleh bangun dari
katil, hatinya berasa lega.
“Iwan
pergi ke mana?” tanya Fazidatul. Suasana rumah hening dan menyepi tanpa suara
anak-anak lelakinya.
“Dia
pergi sekolah, belum balik lagi, mak...” jawab Dania sambil memimpin tangan
emaknya sewaktu menuruni tangga untuk ke dapur.
“Iwan
tu, periksa dah habis pun asyik duduk di sekolah,” rungut Fazidatul.
“Iwan
tu pengawas pusat sumber, mak. Walaupun periksa dah habis dan musim cuti
sekolah, dia kena bertugas jugak.Lagipun, Dania rasa Iwan tu yang nak bertugas
secara sukarela,” terang Dania.
“Dania,
ambilkan bekas bawang tu,” suruh Fazidatul sambil menarik kerusi di meja makan.
“Mak
nak buat apa? Nak tolong Dania masak? Tak payahlah, mak. Biar Dania buat semua.
Mak rehat saja, ya.” Segelas air suam dihulurkan untuk emaknya apabila emaknya
asyik terbatuk-batuk.
“Alah,
esok kita mesti pergi ke hospital, ya mak? Nanti Abang Ray marah Dania pulak.
Dia dah pesan supaya jaga mak elok-elok,” leter Dania perlahan. Teringat pula
pesanan Abang Raynya.
“Mak!
Mak rasa Abang Ray dah berubah ke?” tanya Dania tiba-tiba.
“Berubah
macam mana maksud Dania?” Pertanyaan Dania itu agak pelik pada pendengarannya.
“Berubah
perangai! Mana tahu... kalau-kalau dia dah lama duduk di bandar... dia jadi
sombong! Tengoklah... dah banyak bulan Abang Ray tak balik,” kata Dania.
“Entahlah,
Dania. Perubahan itu pasti akan dilalui oleh setiap manusia. Abang Ray pasti
akan jadi lebih dewasa dan matang,” ujar Fazidatul.
“Alah...
bukan itu yang Dania maksudkan. Yang Dania bimbang, Abang Ray jadi berlagak dan
bongkak! Ramai orang jadi macam tu. Baru ada kejayaan sikit, lupa daratan,”
sambung Dania.
“Apa
yang Dania repekkan ni? Abang Ray di bandar tu jadi drebar aje. Takkan nak jadi
tak sedar diri pulak!” tukas Fazidatul. Mustahil Ray akan berubah sedemikian
rupa.
“Dia
bukan tak mahu balik tu. Dia tak ada cuti! Kan dia baru hantar surat dua hari
lepas,” omel Fazidatul. Hatinya berasa kurang senang apabila mendengar Dania
mengata yang bukan-bukan terhadap Ray.
“Mungkin dia segan nak minta cuti,” sambungnya
lagi. Fazidatul terus mempertahankan Ray.
“Yalah, Dania tahulah, mak.
Tapi...”
“Tapi apa, Dania? Jangan fikirkan
yang bukan-bukan! Jika ada peluang,
pasti Abang Ray akan balik,” pujuk Fazidatul. Wajah muram Dania ditatapi. Dia
tahu Dania begitu menyayangi Ray. Ray pun begitu juga.
“Bila Abang Ray tak bersama dengan
kita, Dania rasa lainlah, mak,” balas Dania. Hatinya rasa kosong tanpa Ray.
Hidupnya terasa sunyi.
“Lain macam mana pulak? Dania ni ada-ada saja,” komen Fazidatul cuba
mencantas perasaan yang tidak sepatutnya tersemai di dasar hati anak gadis itu.
“Abang Ray tu takkan jadi milik kita selamanya. Suatu hari nanti, dia akan ada
kehidupannya sendiri. Kita akan berpisah dengan dia jugak,” sambung Fazidatul.
Terpaan kesedihan menyesak dadanya.
“Mak janganlah cakap macam tu.
Dania sedih,” tangis Dania sambil memeluk emaknya.
Fazidatul membalas pelukan Dania.
Pelukannya kuat bagaikan menguatkan benteng hatinya yang semakin merapuh
kebelakangan ini. Ray yang semakin menginjak dewasa harus berpijak pada bumi
yang nyata. Dia harus tahu sejarah hidupnya. Begitu juga dengan Dania. Tapi,
sanggupkah dia membongkarkan segalanya?
“Mak, kenapa Dania rasa macam tak
mahu berpisah dengan Abang Ray selamanya?” Tidak diduga pertanyaan itu
terungkap oleh bibir Dania.
Mendengarkan pertanyaan itu, mata
Fazidatul terus menerbitkan butiran jernih.
“Dania...” rintihnya sambil
membalas pelukan Dania. Bukannya dia tidak perasan jiwa anak-anak itu. Perasaan
yang sedang menumbuh di dasar hati masing-masing. Dia mengerti. Sudah lama dia
mengerti. Tapi, sengaja dia buat-buat tidak tahu untuk mengelakkan kesulitan
pada kemudian hari. Kesedihan yang masih belum luruh menyebabkan air mata
Fazidatul terus meleleh.
“Tak usah menangis, mak! Dania pasti Abang Ray takkan lupakan kita.
Takkan melupakan mak! Dia takkan
berubah, mak. Abang Ray sayang sangat pada kita, mak,” pujuk Dania setelah
menyedari emak menangis di atas bahunya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan