Rabu, 13 September 2017

SAPU TANGAN BIRU-BAB 29




Alhamdulillah. Hari ini, emak sudah boleh sembahyang macam selalu. Tengah hari tadi selepas makan bubur nasi bersama sup ikan bilis tubuh emaknya bermandi peluh. Setelah itu, dia memaksa emaknya menelan dua biji ubat dan menyuruh emaknya berehat dan berselimut. Semakin bermandi peluhlah emaknya pada petang itu. Sebaik masuk waktu asar tadi, emaknya bangun dengan cergas. Kini, emaknya sedang menunaikan solat asar. Dania terus memerhati emaknya yang masih berada di atas sejadah.
“Akak, ada orang datanglah,” beritahu Iwan dengan suara agak kuat.
Dania segera menoleh. “Siapa yang datang?” Iwan yang hanya bertuala dan tidak berbaju menggelengkan kepalanya.
“Pergilah akak tengok! Iwan nak ke tandas ni,” dalih Iwan sambil mengerut dahi dan memegang perutnya. Dania mengintai dari celah dinding. Sebuah kereta sudah terparkir di hujung halaman. Hatinya tertanya-tanya.
“Assalamualaikum...” Suara lelaki itu amat dikenalinya. Alangkah terkejutnya Dania melihat Ray sudah berada di dalam rumah.
“Waalaikumussalam,” jawab Dania. Hatinya terus berdebar-debar. “Mak! Abang Ray balik!” pekiknya gembira. Tangan Ray terus disambar dan diciumnya bertalu.
“Mak mana, Dania?” tanya Ray. Sempat mencubit hidung Dania dan memicitnya spontan.
“Abang Ray ni sampai-sampai aje dah nak menyakat!” bentak Dania manja. Laju pula tangannya menampar Ray yang tergelak.
“Rindu!” jawab Ray sepatah. Mata kirinya dikenyitkan. Beg kertas yang dibawa dihulurkan kepada adik kesayangannya itu. “Buah tangan untuk Dania.”
Dania menyambutnya dengan gembira.
“Terima kasih, bang,” kata Dania dengan wajah riang. Sehelai blaus berwarna merah jambu di dalam beg itu membuatkan senyuman di bibirnya mekar bagaikan bunga-bunga mawar yang ditanamnya di hujung halaman.
Abang ada hantar surat,” beritahu Ray. Dia merenung Dania yang sedang membelek beg yang baru diberinya. Dania dah terima ke belum?” tanya Ray mesra.
Alah, abang...” rengek Dania kesal.
Kenapa?” tanya Ray sambil merenung Dania yang menahan tangis. Surat abang jatuh dalam air lecah,” adu Dania sedih.
Ray menjongketkan kedua keningnya dan merenung Dania tajam. Abang tulislah lain,” rayu Dania. Ray ketawa besar mendengarkan permintaan adik manjanya itu.
Ada ke nak buat macam tu? Kalau buku bolehlah diulang cetak...” balas Ray.
Hmm... abang tulis lainlah, ya...” rayu Dania dengan ekspresi wajah manjanya. Tangannya menarik-narik lembut tangan Ray. Memujuk. Hisy! Surat cinta tiada ulanganlah...” jawab Ray dalam tawa yang masih lebat.
Dania nak baca jugak surat yang dulu,” rengek Dania lagi. Ketawa Ray masih belum berhenti.
Dania tulislah sendiri,” usik Ray.
Apa yang abang tulis?” tanya Dania.
Mindanya berputar ligat mencari ilham untuk menyakat adiknya itu.
 Abang...” gesa Dania cuba menarik tali pinggang Ray.
Ray berpaling menghadapnya. Kedua-dua bahu Dania dipegangnya lembut dan merenung adiknya itu dengan mata bersinar nakal.
Abang tulis... Dania, I love you so much! Forever and ever,” kata Ray sambil ketawa mengekek.
Dania mengetap bibir dan menjeling tajam. Menyembunyikan perasaan yang berdebar.
“Iwan mana?” soal Ray sambil berjalan menuju ke bilik emaknya. Kehendak Dania tadi tidak mendapat layanan.
“Dia... err... err... tambah pelaburan!” gurau Dania sambil mengekori abangnya.
“Mak,” sapa Ray terus menerpa emaknya yang sedang menanggalkan telekung.
“Baru sampai Ray?” tanya Fazidatul lalu mengusap-usap pipi Ray. Setelah itu ditepuknya manja. Bibirnya senyum sewaktu mencubit lengan anak kesayangannya itu.
“Alhamdulillah... lega hati mak, Ray...” katanya. Anak bujangnya itu kelihatan segak. Tubuhnya yang sederhana dan tinggi kelihatan tegap. “Dah bertambah kacak anak mak ni...” pujinya gembira.  “Agaknya sebab badan Ray dah berisi sikit,” katanya lagi. Tubuh Ray terus dibelek-belek.
“Ray belajar tae kwan do, mak! Lepas tu, seminggu sekali Ray pergi gym. Setiap pagi Ray buat senaman kat rumah.  Makan pun berselera,” adu Ray. Bahagia rasanya melihat emak ketawa.
“Abang dah beli kereta ke?” tanya Iwan yang tiba-tiba muncul.
Ray ketawa besar. Dia menggeleng sambil merenung adik lelakinya itu yang  masih bertuala dan tidak berbaju. “Kereta sewa ke?” tanya Iwan lagi. Selesai urusannya di tandas tadi sempat dia meninjau kereta yang terparkir di hujung halaman.
“Manalah abang ada duit nak sewa kereta.  Satu hari sewa dalam 150 ringgit. Baiklah abang bagi duit tu pada mak.”
“Habis kereta tu? Kereta baru tu... Nanti abang bawa Iwan ronda-ronda dalam kampung dan ke bandar ya?” bodek Iwan sambil menyengih.
“Hisy, mana boleh buat macam tu? Kereta tu, Datuk punya. Takkan abang nak buat macam harta sendiri pulak,” terang Ray.
“Habis tu, kenapa abang bawak balik? Naiklah bas tadi!  Iwan boleh ambil kat depan tu dengan basikal,” balas Iwan sambil ketawa. Dania menjeling tajam.
“Alah, jarak tepi jalan dengan tangga rumah ni adalah dua tiga depa,” perlinya sambil mengejek Iwan. “Memanglah abang nak balik dengan bas,” cerita Ray. Tiket bas pun dah dibeli, tetapi desakan Datuk Wahab menyebabkan dia akur dengan kehendak lelaki itu.
“Ray cuti lama ke?” sampuk Fazidatul yang sedari tadi mendengar perbualan dan gurau senda anak-anaknya.
“Datuk pergi Jakarta seminggu, mak,” beritahu Ray. “Tapi, Ray nak balik KL, lusa,” sambungnya lagi.
Dania merenung wajah emaknya. Telahannya menjadi kenyataan. Abang Ray sudah berubah. Tambahan pula fizikal Abang Ray sudah banyak yang berubah. Penampilannya juga sudah berbeza. Abangnya nampak sangat tampan dan ceria.
“Kenapa nak balik cepat sangat? Dah tak suka duduk kat rumah buruk ni ke?” tanya Dania spontan.
Ray tersentak. Pertanyaan Dania menusuk kalbunya.  “Rumah buruk? Apa yang Dania tanya ni? Dania ingat abang dah berubah?” soal Ray kembali.
“Manalah tahu,” sinis jawapan Dania. Sekilas matanya melihat Ray yang meredupkan wajahnya sejenak.
“Abang tak suka Dania cakap macam tu. Duduk di rumah cantik dan besar, belum tentu bahagia dan gembira,” tegas Ray. Rumah buruk nilah tempat abang dibesarkan. Mendapat kasih sayang daripada emak dan ayah. Rumah ini banyak menyimpan sejarah hidup abang dan kita semua.”
“Abang nak balik awal sebab nak tengok rumah Datuk!  Dia dah serahkan semua kunci. Walaupun dia tak suruh abang jaga rumah dia, tetapi abang kenalah bertanggung jawab,” jelas Ray pula apabila melihat air muka Dania diwarnai mendung.
“Maaflah, bang...” kata Dania sambil tersipu. “Ingatkan, abang dah berubah macam orang lain tu. Baru duduk di bandar dua, tiga hari dah lupa daratan,” tukas Dania lagi.
“Dania... Dania. Nak samakan abang macam orang lain pulak,” sindir Ray lembut. Dagu Dania dicubitnya mesra. Tawa Dania kembali bergema. Jawatan abang pemandu kereta saja, bukannya pemandu kapal terbang,” sambung Ray.
”Maksudnya kalau abang jadi pilot abang akan berubahlah?” duga Dania.
 “Kalau Dania kat tempat abang?” Ray menyoal balik sambil mencubit cuping telinga Dania. Hanya sengihan lebar yang menjadi jawapan Dania. Ray menjeling sambil senyum kambing.
“Tuhan tak suka kepada hamba-NYA yang bersikap bongkak dan meninggi diri, faham tak? Segala harta kekayaan, pangkat dan kedudukan, sekiranya ada hanya pinjaman daripada Dia dan takkan kekal selamanya. Bila tiba Dia nak ambil balik, Dia ambil, tahu?” nasihat Ray.
“Oh ya.” Beg kertas segera dihulurkan kepada emaknya.
“Ini, hadiah untuk emak. Sebagai tanda kenangan untuk mak,” beritahu Ray. “Hanya ni yang mampu Ray beli.” Suara Ray seakan sebak.
Fazidatul mencium telekung yang dihadiahkan oleh Ray berulang kali. “Tak payah susah-susah belikan untuk mak, Ray. Tapi, terima kasihlah. Cantik...” Berlinangan air mata Fazidatul menerima hadiah daripada Ray.
“Yang ni untuk Iwan! Maaflah... Abang Ray beli barang murah aje,” beritahu Ray.
Menyeringai Iwan menerima hadiah daripada abangnya itu. Dia melihat dengan penuh teruja. “Terima kasih, abang. Iwan memang suka sangat baju-T yang abang beli ni.”
“Mak, Ray ingat nak cari kerja kat tempat lain,” beritahu Ray tiba-tiba. Dia sangat yakin dapat mencari kerja lain dalam masa yang terdekat ini. Banyak kerja yang boleh dipohon. Negara Malaysia sebuah negara yang makmur. Banyak peluang pekerjaan jika rajin mencari dan tidak memilih. Mustahil tidak ada kerja yang lebih baik untuk dia yang berkelulusan STPM itu.
“Kenapa pulak?” soal Fazidatul. Hairan dengan keputusan Ray.
“Perhatian Datuk kepada Ray... tidak disenangi orang, mak. Ray rasa tak selesa,” jelas Ray. Perasaan dengki dan cemburu akan memakan akal budi manusia. Bimbang keselamatan dirinya menjadi taruhan. Jika terjadi malapetaka  terhadapnya, siapa yang akan menjaga emak dan adik-adik?  Hal itulah yang memberatkan fikirannya.
“Siapa pula yang tak senang tu, Ray?  Bekerja di mana-mana pun serupa. Pasti ada dugaan dan cabaran. Pada pendapat mak, lebih baik Ray bersabar kerja di situ. Lagipun, Ray tak ada masalah dengan Datuk tu, kan?” tanya Fazidatul.
“Memanglah, mak. Ray memang tak ada masalah apa-apa dengan Datuk atau Auntie Zarina. Anak mereka yang Ray ambil dan hantar ke sekolah tu pun, Ray dah rasa sayang sangat,” akui Ray. Bibirnya melukis senyuman apabila terkenangkan Eisha Safiya yang nakal dan manja dengannya.
“Mereka sekeluarga terlalu baik. Tak menyombong dan tak memandang rendah kepada Ray...” puji Ray lagi.
Fazidatul mengangguk tanda senang hati.
“Siapa nama Datuk tu yang sebenarnya, Ray?” tanya Fazidatul selepas itu. Ray senyum.
“Secara kebetulan namanya sama macam arwah ayah!  Abdul Wahab,” jawab Ray dengan perasaan senang.
“Abdul Wahab?” soal Fazidatul kembali. Renungannya menjurus kepada Ray. “Ya, mak! Abdul Wahab bin Talib,” beritahu Ray lagi.
Jantung Fazidatul seolah-olah melantun keluar dari tubuhnya.

Tiada ulasan: