Rabu, 13 September 2017

SAPU TANGAN BIRU-BAB 30




Waktu berlalu dengan sangat cepat. Cuti persekolahan telah berakhir. Pekikan kanak-kanak yang ketawa bermain membuatkan Ray senyum lebar. Dia sedang berjalan menuju ke kelas Eisha Safiya untuk menjemput anak itu pulang dari tadika. Dari jauh lagi, dia lihat Eisha Safiya terlari-lari apabila perasankannya.
Eisha Safiya tersengih manja melihat Ray datang. Setiap hari, Ray akan datang menjemputnya di dalam kelas. Beg sekolahnya akan dijinjing oleh Ray sehingga ke kereta. Kadangkala Ray berbaik hati pula  mendukungnya sepanjang jalan sehingga ke tempat parkir.
“Abang Ray!” jerit Eisha Safiya lantas merapati Ray sambil mencungap. Lehernya bermanik peluh. Rambut ikal lembut yang ditocang hampir terurai.
“Eisha, kenapa berlari ni?” tanya Ray. Peluh yang mengalir di pipi Eisha Safiya dikesatnya dengan sapu tangan. Lain kali jangan berlari-lari lagi tau. Berpeluh ni,” pesannya dengan lembut. Penuh kasih sayang.
Cikgu kita kata, kalau banyak peluh... sihat,” balas Eisha Safiya petah. Badan sihat otak cerdas. Itulah kata cikgunya berulang kali.
Mendengar jawapan Eisa Safiya itu, Ray ketawa kecil. Yalah, jom!” ujar Ray sempat mencium pipi Eisha Safiya yang sudah berbau hamis.
Hisy! Ashemlah bau adik abang tengah hari ni,” komen Ray. Ubun-ubun Eisha Safiya diusapnya perlahan. Beg galas berwarna merah jambu itu disangkut ke atas bahunya. Tangan kirinya memegang tangan kanan gadis kecil itu.
“Abang Ray...”
Ray tunduk merenung Eisha Safiya sejenak. Langkahnya diperlahankan. “Kaki kita penat,” rengek Eisha Safiya sambil mendongak. Ray senyum, tanda faham dengan kehendaknya. Sudah lama dia melayani keletah anak kecil Datuk Wahab itu. Eisha Safiya yang semakin hari semakin manja dengannya.
“Hmm...” gumam Ray lantas mengangkat Eisha Safiya ke atas dukungnya. Setelah itu, dia meneruskan langkah menuju ke tempat keretanya diparkir. Pandangan matanya sempat dilontar ke seberang jalan.
“Cepat masuk, Eisha...” gesa Ray sebaik membuka pintu kereta untuk anak majikannya. Dia perasan ada seseorang yang asyik memerhatikan mereka. Seorang lelaki yang berpura-pura membaca surat khabar sambil duduk di atas boot keretanya.
Ray kelam-kabut memasuki kereta. Lelaki berkenaan juga nampaknya melakukan perkara yang sama. “Siapa pulak tu?” keluh Ray sendiri. Matanya memerhati ke seberang jalan. “Kalau dia ikut sampai ke rumah nanti, macam mana?” Ray membebel sendirian.
“Kereta rosak ke, abang?” tanya Eisha Safiya apabila Ray masih belum menggerakkan kereta. Mata bulatnya memerhati Ray.
“Sabar sekejap, Eisha. Abang Ray sedang fikirkan sesuatu,” beritahu Ray. Tangannya menggenggam lengan Eisha Safiya yang comel.
“Kalau kereta jalan, otak Abang Ray tak boleh jalan-jalan ke?” tanya Eisha Safiya, petah. Dia mula berdiri di atas kerusi.
Ray ketawa. Soalan yang terpacul daripada bibir mungil anak kecil itu tidak diduganya sama sekali.
“Pandainya dia!” tukas Ray. Hidung Eisha Safiya dicubitnya geram. Penjuru matanya sempat menjeling ke seberang jalan. Lelaki tadi sudah menggerakkan keretanya dan berlalu dari situ. Ray lega.
Okey Eisha, sekarang kita pergi,” beritahu Ray lalu melepaskan brek tangan kereta.
Kita nak pergi mana, Abang Ray?” soal Eisha Safiya.
Ray ketawa lagi. Balik ke rumahlah, sayang...”
Duduk elok-elok. Tali pinggang keledar tu pakai,” suruh Ray. Sebelah tangannya memegang tubuh Eisha Safiya yang sedang berdiri dan menariknya lembut supaya Eisha Safiya duduk.
Lampu isyarat berhampiran sekolah tadika menyala merah sebaik sahaja kereta yang dipandu Ray memasuki lorong. Mahu tak mahu, dia terpaksa berhenti. Sah! Memang lelaki dalam kereta tu nak ikut aku,” desis hatinya. Kereta Wira putih yang dilihatnya tadi mengekor rapat di belakang keretanya. Ray cuba memerhati pemandu yang memandu kereta Wira putih itu melalui cermin. Namun, dia gagal kerana kereta tersebut bercermin gelap.
Telefon bimbit di dalam poket bergetar. Ray segera menyambar. DATUK. Paparan nama di skrin menyebabkan dia cepat menekan butang hijau. “Waalaikumussalam,” katanya sebaik mendengar suara Datuk Wahab.
Tolong ambil saya di pejabat, Ray,” arah Datuk Wahab. “Pak Man pergi ambil Datin dan Jess di airport,” jelasnya. Hari ini, anak dan isterinya balik dari percutian mereka.
“Baik, Datuk! Saya datang sekarang,” setuju Ray. Matanya sempat menjeling Eisha Safiya yang sudah terlelap.
Eisha mana? Dia dah balik dari sekolah?” soal Datuk Wahab. Baru dia teringat yang anaknya bersekolah hari itu.
Eisha ada dengan saya sekarang, Datuk,” jawab Ray. Sekali lagi matanya menjeling Eisha Safiya setelah itu berkalih kepada cermin pandang belakang pula. Melihat kereta yang masih mengekorinya.
Kalau begitu, hantar dia balik ke rumah dulu sebab saya nak ke tapak pembinaan Awana Mall,” arah Datuk Wahab lagi.
“Datuk, err... err...” Tergagap-gagap Ray untuk memberitahu. Bimbang telahannya tidak tepat.
Kenapa, Ray?” soal Datuk Wahab.
Saya rasa ada seseorang sedang ekori saya ni,” cerita Ray. Matanya sempat lagi memerhati ke cermin di sisinya. Kereta Wira putih tadi masih mengekorinya.
Sejak bila?” tanya Datuk Wahab ingin tahu. Fikirannya mula menerawang. Siapa manusia yang suka mengganggu hidup anak muda itu?
Dari tadika tadi, Datuk,” jawab Ray.
Datuk Wahab tersentak. Sekali lagi fikirannya berlegar-legar. Meneka motif Ray diintip. ‘Mengintip Ray atau Eisha?  Atau percubaan untuk menculik Eisha sekali lagi?’ tebak hati Datuk Wahab. Dia mula cemas.
Ray, terus datang ke sini!” tegas Datuk Wahab.
Baik, Datuk,”  setuju Ray lantas menekan butang merah di telefon bimbitnya. Dia menoleh ke belakang sekali lagi. Kereta Wira putih tadi masih mengekorinya dengan jarak yang sama.
Nak ikut aku, ya!” rungut Ray sendiri. Bermacam-macam perkara yang mendatangi fikirannya. Ray senyum sendiri sambil memecut. Dia sudah mendapat idea untuk mengajar pemburunya itu.
Ray terus memandu dengan tenang dan mengubah kelajuannya berkali-kali. Dari 110/km ke 80/km sahaja. Senyumannya semakin lebar apabila melihat bangunan berwarna biru tua dan putih yang tersergam dari jauh. Ray terus meloloskan keretanya melalui pagar yang sedia terbuka. 



&&&&&&&&&&&&&&&
Mukhriz menghempas fail ke atas mejanya. Dia masih memegang telefon bimbit yang melekap di telinganya. Suruh buat kerja mudah pun tak boleh!” marahnya kuat.
Bukannya tak boleh, Mukhriz!” tingkah Bob cuba mempertahankan diri. “Aku dapat ikut dia sampai ke tadika!  Lama aku tunggu kat tengah panas terik di depan tadika tu macam orang tongong!  Aku sangka dia terus balik ke rumah lepas ambil seorang budak perempuan kat sana.”
Mukhriz mendengar cerita Bob dengan perasaan geram. “Habis tu, dia pergi ke mana?” tanya Mukhriz yang tidak sabar mendengar cerita Bob seterusnya.
Kau tahu tak, dia bawa aku ke mana?” soal Bob.
Mana aku tahu! Bukan aku yang ikut dia! Aku dah bayar duit, suruh engkau ikut dan siasat kat mana dia tinggal. Yang kau tanya aku pulak, apa hal?” tanya Mukhriz semakin bengang. Habis tu, kau  jumpa rumahnya?” soal Mukhriz.
Dia bawa aku ke balai polis! Selamba aje dia masuk ke sana. Takkan aku nak ikut lagi?  Aku terus blah!”
Hei, kau ni! Budak hingusan macam tu pun tak boleh nak handle!” perlekeh Mukhriz. Sia-sia aje aku upah kau,” katanya lagi. Bagi balik duit aku 300 tu,” ungkit Mukhriz.
Bob buat-buat tak dengar. Yang kau beria nak tahu pasal budak tu, kenapa? Aku tengok dia dengan budak perempuan tadi bukan main mesra lagi! Entah-entah anak dia,” teka Bob.
“Itu urusan aku!” jawab Mukhriz kasar. Ketukan di pintu merenjatkan perbualannya dengan Bob. Mukhriz mengetap bibir  seketika. “Tunggu kejap,” beritahunya kepada Bob.
“Masuk!” Parau suaranya menyuruh. Daun pintu tertolak dari arah luar. Mukhriz tersentak. Jantungnya seolah-olah mahu gugur.
“Datuk!” tegurnya. Matanya merenung tajam kepada Ray yang berdiri di sebelah Datuk Wahab. Ray berbaju kemeja lengan pendek warna beige tua polos senada dengan warna seluar yang dipakainya. Wajah bersahaja Ray semakin menyakitkan hatinya.
“Mukhriz, apa awak buat kat sini?” tanya Datuk Wahab. Tanpa dijemput, dia terus menarik kerusi di hadapan Mukhriz lalu duduk.
“Saya ada kerja sikit, Datuk,” jawab Mukhriz.
“Dah berapa lama awak tak pergi tapak pembinaan? Saya cuti, awak pun cuti?” jerkah Datuk Wahab.
“Baru hari ni, Datuk,” jawab Mukhriz lembut. Dengan Datuk Wahab, dia kena menjaga tingkah laku.
“Saya baru balik dari sana, Mukhriz...” beritahu Datuk Wahab. Pandangannya terlempar ke arah Ray yang berdiri berhampiran jendela sambil merenung ke bawah.
Mukhriz gugup seketika. Hatinya mula berasa pijar.
“Ada dua, tiga orang aje yang bekerja,” khabar Datuk Wahab lagi. “Mereka kata dah dekat 10 hari tak ada barang,” beritahu Datuk Wahab dengan suara semakin meninggi.
 “Err... ya... ya, Datuk! Saya dah order, tapi belum sampai,” dalih Mukhriz.
“Macam mana pulak awak tak tahu stok barang-barang yang diperlukan? Bila nak habis... bila sepatutnya dipesan?” tanya Datuk Wahab. “Siapa penyelia kat tapak pembinaan tu? Dia tahu buat kerja atau tak? Hal-hal macam ni tak boleh dibiarkan berlarutan,” bebel Datuk Wahab sambung-menyambung.
“Dia cuti, Datuk! Hantar isteri balik kampung. Nak beranak anak sulung,” jawab Mukhriz terus mencipta alasan.
“Sebelum cuti tak boleh beritahu awak apa masalah yang sedang dihadapi di sana?” soal Datuk Wahab.
Mukhriz menggaru-garu kepala. Bukannya penyelia tapak tidak memberitahunya tentang bekalan barang-barang pembinaan sudah semakin susut. Dia yang leka sebenarnya.
“Berapa lama dia cuti? Seminggu? Sebulan? Setahun?” Soalan Datuk Wahab bertalu-talu. Jika penyelia tapak yang dipilih oleh Mukhriz tidak berminat dengan kerjanya lagi, dia sudah ada penggantinya.
“Sebulan, Datuk...” jawab Mukhriz tergagap-gagap.
“Tak apa, biarkan dia bercuti,” ujar Datuk Wahab. “Nak cuti selamanya pun tak apa,” tegasnya lagi. Perangai manusia yang tidak mengambil berat akan tugas yang telah diamanahkan, paling dibenci.
Ray!” panggil Datuk Wahab.
Ray terus mendekatinya. Ray ada SPM?” tanya Datuk Wahab.
Ray mengangguk. Wajah serius lelaki itu mencuakkan hatinya. Selama ini, Datuk Wahab tidak pernah bertanyakan tentang kelulusan yang dimilikinya. Sijil-sijil SPM, STPM yang di dalam sampul surat besar, sudah lama tidak ditatapnya.
Ray boleh menulis, membaca dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dengan baik? Pandai Matematik?” soal Datuk Wahab lagi.
InsyaALLAH, Datuk,” jawab Ray perlahan. Tidak perlulah dia menyenaraikan semua keputusan yang diperoleh dalam setiap subjek.  Matanya terkejip seketika. Teringat pada sijil-sijil persekolahannya. Semuanya cemerlang sama ada akademik atau kokurikulum. Namun, sijil-sijil itu kini terpengap di bawah tilamnya. Hatinya diintip tanda tanya dengan persoalan yang diajukan oleh Datuk Wahab itu.
Bagus!” balas Datuk Wahab. Bibirnya dilebarkan tanda puas hati.
Mukhriz bertambah panik. ‘Takkan Datuk nak suruh budak ni ganti tempat aku pulak?’ kata hatinya. Wajah Ray dipandang dengan perasaan membengkak.
“Mukhriz! Suruh staf you keluarkan surat tawaran kerja penyelia tapak,” arah Datuk Wahab.
Arahan daripada Datuk Wahab itu menyebabkan Mukhriz terkesima sejenak. “Surat tawaran kerja, Datuk? Tapi kita belum buka iklan lagi!” pintas Mukhriz.
Datuk Wahab senyum singkat. “Tak payah iklan... saya dah ada calonnya,” balas Datuk Wahab. Matanya menyorot ke wajah Mukhriz yang mulai kelat.
“Siapa, Datuk? Boleh ke sesuai dengan saya?” soal Mukhriz pula. Hatinya mula meneka bermacam-macam.
“This young man! Ray...” jawab Datuk Wahab sambil menunjukkan dengan ibu jarinya ke arah Ray. Mukhriz tersandar di kerusinya. Ray yang mendengar tergamam.
“Ray,” panggil Datuk Wahab. Ray yang masih berdiri di sebelahnya menoleh.
Dada Ray mula diamuk perasaan resah. “Ya, saya, Datuk...” jawab Ray. Sedari tadi, dia hanya tercegat dan mendengar perbualan antara Datuk Wahab dan Mukhriz.
“Ray pergi jumpa kerani perempuan yang saya kenalkan tadi. Saya akan telefon dia dari sini,” kata Datuk Wahab. Nada suaranya serta-merta bertukar menjadi lembut dan lunak. Berbulu hati Mukhriz mendengarnya!
“Nanti Ray bekerja di tapak pembinaan juga, ya! Sebagai penyelia tapak,” beritahu Datuk Wahab dengan mesra. “Saya yakin awak boleh,” katanya sambil menepuk bahu Ray. “Pergi jumpa kerani kat luar,” ulangnya lagi.
Ray tidak membantah terus beredar ke pintu walaupun tanda tanya terus memburu.
“Kenapa Datuk buat saya macam ni?” soal Mukhriz sebaik Ray menghilang di sebalik pintu. Mula-mula Datuk Wahab menyuruh Ray menguruskan soal pembayaran gaji kepada pekerja kontrak di tapak pembinaan yang diselenggarakannya. Sekarang, Ray ditawarkan sebagai penyelia tapak pula. Mukhriz mengeluh perlahan.
“Mengapa awak mengeluh pulak? Sebab saya suruh Ray jadi penyelia di tapak pembinaan tu? Jadi, peluang awak nak mengular tersekat?” tanya Datuk Wahab. Dia mencapai gagang telefon dan menghubungi kerani yang dikatakannya tadi. Setelah memberi arahan, gagang telefon diletakkannya semula.
“Mukhriz! Wafa Construction ni anak syarikat saya! Saya lantik awak jadi pengurusnya kerana nak bimbing awak! Sementelah pulak awak anak kawan baik isteri saya... tapi...prestasi awak tak menyerlah,” kata Datuk Wahab dengan nada kecewa. “Kebelakangan ni, Wafa Construction susah sangat nak dapat projek! Ikutkan hati, saya nak tutup aje syarikat ni.  Tapi, saya kasihan pula kepada staf yang lain,” ujar Datuk Wahab meluahkan perasaannya yang terbuku.
“Ray tu budak mentah, Datuk! Takkan dia mampu nak buat kerja penyelia tapak tu? Nak urus pekerja! Ramai pulak tu pekerjanya. Sekarang ni dah 150 orang. Nak uruskan barang-barang!  Nak baca pelan,” kata Mukhriz cuba memberi pendapat. Sejujurnya, dia tidak suka kepada Ray.
“Penyelia tapak yang sedia ada tu, ada diploma dalam senibina. Ray hanya ada SPM. Entah-entah semua subjek dia gagal,” tuduh Muhkriz.
“Jangan pandang rendah pada orang lain, Mukhriz. Kita cuba dulu. Dia boleh! Saya sangat yakin,” puji Datuk Wahab. Ray ibarat harimau yang sedang menggenggam kuku. Itulah yang terbenam di benaknya kian lama. Sejak dia berkenalan dengan pemuda itu.
“Kebolehan dan kebijaksanaan seseorang menguruskan sesuatu, bukan diukur pada ijazah atau diploma yang dimilikinya... tetapi di sini,” sambung Datuk Wahab sambil mengetuk tepi kepala dengan hujung  jarinya.
“Atau dia memang calon menantu, Datuk! Nak dijodohkan dengan Jess.” Akhirnya kata-kata itu yang terungkap di bibirnya. Kelancangan mulutnya menyuarakan soalan maut menyebabkan dia bangga sendiri.
“Siapa cakap?” tanya Datuk Wahab.
“Jess cerita pada saya. Datuk pernah beritahu dia yang budak itu akan menjadi orang penting dalam keluarga Datuk!” Kata-kata yang terlontar daripada bibir Mukhriz semakin berani.
Datuk Wahab senyum sinis. Tidak sangka, rupa-rupanya selama ini Ray menjadi isu bualan Mukhriz dan Jasmin pula.
“Kalau nak jadi orang penting, sudah tentulah dia akan menjadi menantu Datuk, sebab Jess tu anak tunggal Datuk, kan?” tanya Mukhriz lagi.
“Jadi menantu? Kalau setakat jadi menantu taklah penting sangat.” Bersahaja kata-kata Datuk Wahab. “Ray akan menjadi orang yang lebih penting daripada itu,” sambung Datuk Wahab.
Ungkapan kata-kata itu hampir meletupkan bisul di hati Mukhriz. Dia memegang bucu meja kuat-kuat cuba untuk membendung perasaan sabar yang hampir terburai.
“Saya nak balik! Saya harap awak sudi tunjuk ajar Ray nanti,” beritahu Datuk Wahab lalu bangun dari kerusi. Esok, dia akan mula bekerja di sana! Ray di bawah arahan saya, bukan awak!” tegasnya lagi.
“Tapi...” Mukhriz cuba membantah. Bukankah dia yang menguruskan Wafa Construction? Mengapa pula Ray kena ikut arahan Datuk Wahab? Hati Mukhriz semakin bergelodak. Ray akan menjadi saingannya walaupun jawatan yang dipegang berbeza. Dia pengurus. Ray penyelia tapak. Jangan-jangan, dia akan jadi pengurus boneka sahaja.
“Mukhriz... awak dah lupa ke? Wafa Construction tu anak syarikat Perkasa Holding. Perkasa Holding tu milik mutlak saya, jadi apa masalahnya?” soal Datuk Wahab. Tangannya dihulurkan kepada lelaki lewat 20-an itu. “Mukhriz, tolong jaga Wafa Construction betul-betul. Kalau tak kerusi yang awak sedang duduk sekarang... orang lain yang akan duduk. ” Datuk Wahab senyum sinis sebelum beredar ke pintu.
Mukhriz mengetap bibir. Sebaik daun pintu biliknya tertutup, tangannya mencapai diari tebal di atas meja lalu melemparkannya ke pintu. Tanda protes! Ray, awas kau! jerit hatinya kuat-kuat.

Tiada ulasan: