|
|
Hari itu keputusan SPM akan diumumkan. Dania berdebar-debar
menantikan keputusannya. Walaupun sudah berusaha bersungguh-sungguh dan yakin
akan mencapai keputusan seperti yang diharapkan, keresahan tetap
menghentak-hentak di dasar hatinya. Sehingga makan pagi pun, dia tidak begitu
lalu hendak menelannya.
“Kenapa Dania tak makan, nak?”
tanya Fazidatul lembut. Dania hanya merenung wajah emaknya.
“Dania risau tentang keputusan
periksa ya?” teka emaknya. Dania mengangguk.
“Dania bimbang akan hampakan
harapan emak dan Abang Ray,” beritahu Dania perlahan. “Lagipun Dania dah janji
dengan abang, mak,” ujarnya, sebak. Keputusan 9A1 menjadi taruhan sebagai bukti
kasih dan sayang kepada abangnya itu.
“Dania janji apa?” tanya Fazidatul
sambil menyorot ke wajah anak gadis itu.
“Dania janji dengan Abang Ray
untuk dapatkan 9A1, mak...” beritahu Dania sambil menyengih.
“Oh... insya-ALLAH, Dania. Emak
dan abang selalu doakan Dania. Tapi kalau Dania tak berjaya memperoleh
keputusan yang Dania hajatkan, Dania sabar ya...”
“Dania faham, mak. Kita manusia
hanya boleh merancang, berharap, menaruh impian dan berusaha. Tetapi kuasa
mutlak tetap di tangan ALLAH,” jawab Dania.
“Kalau dah tahu begitu, kenapa nak
susah hati lagi? Makanlah dulu sebelum pergi ke sekolah. Jom, mak temankan
Dania makan,” pujuk Fazidatul.
“Mak suapkan, boleh?” rengek Dania
ingin bermanja. “Jomlah, mak suapkan. Emak suap yang besar-besar,” usik
Fazidatul. “Dania ingat tak cerita Pak Pandir dan Mak Andeh yang menyuapkan
nasi ke dalam mulut anak gergasi?” tanyanya sambil ketawa.
“Mak! Suka nak mengusik Dania!”
pekik Dania manja. Matanya merenung tangan emaknya yang sedang menjemput nasi
untuk disuapkan ke mulutnya.
Fazidatul senyum meleret.
Anak-anaknya memang teramat manja. Bukan sahaja Dania yang kadang-kadang ingin
makan disuap, malah Ray anak sulungnya begitu juga. Ray, kadangkala kalau ada
perkara yang merunsingkan fikiran, dia langsung tidur di ribaannya pula.
“Mak ni senyum-senyum dari
tadi! Dania dah menganga macam anak
burung aje...” rengek Dania apabila tangan emaknya tidak sampai-sampai ke
mulutnya.
“Tak ada apa. Cepat makan! Nanti
nak ke sekolah ambil keputusan periksa, kan?” balas Fazidatul.
“Mak...” panggil Dania.
Harap-harap pertanyaan yang akan terlontar dari bibirnya tidak mengejutkan
emak.
“Agaknya Abang Ray di Kuala Lumpur
dah ada girlfriend tak?” tanyanya perlahan.
“Kenapa? Dania tak suka kalau
Abang Ray ada makwe? Cemburu ya?” tanya Fazidatul kembali. Sengaja menduga hati
anak gadisnya.
“Mestilah cemburu, mak! Abang Ray
tu satu-satunya abang yang Dania ada. Dari segi psikologinya perasaan cemburu
adik perempuan kepada saudara lelakinya memang perkara biasa, mak,” jelas
Dania.
“Ya ke? Sebab apa jadi macam tu pulak?” tanya Fazidatul pura-pura tidak tahu.
“Sebabnya, adik perempuan tak mahu
kasih sayang abangnya beralih kepada orang lain. Tambah-tambah pula kalau
abangnya itu selalu memanjakan dia... macam Abang Ray tu,” terang Dania lagi.
Kebelakangan ini dia banyak
membaca buku tentang psikologi gadis remaja sepertinya. Harap-harap segala
perasaan yang sedang melanda hatinya terhadap Ray hanyalah sementara. Sementara
dia belum mendapat tempat lain untuk melabuhkan hatinya. Mungkin suatu hari
nanti apabila dia semakin menginjak dewasa, dia akan bertemu dengan lelaki
lain. Mungkin agaknya pada waktu itu, kasihnya terhadap Ray akan berubah cuaca.
Dania mengeluh. Tidak mungkin dia akan sayang lelaki lain lebih daripada Abang
Raynya.
“Pandainya anak mak. Mak pasti
keputusan SPM hari ini Dania akan dapat cemerlang!” balas Fazidatul sambil
mencuit hidung Dania dengan jari tangan kirinya. Tak tersedar dia sudah menyuap
nasi ke mulut Dania sepinggan penuh.
“Mak, agaknya siapa yang akan jadi
jodoh Abang Ray nanti ya?” tanya Dania. Tiba-tiba sahaja soalan itu terhambur
daripada bibirnya.
“Manalah emak tahu, Dania. Tapi,
emak rasa abang Dania tu cerewet orangnya dalam hal memilih calon isteri.”
“Tapi mesti bertuah, kan mak?
Mana-mana gadis yang dapat tawan hati abang tu,” celah Dania.
“Kenapa Dania cakap macam tu?” Dia
nampak bibir Dania sedang melarik senyuman.
“Abang tu bertanggungjawab. Dia
amat mengambil berat kepada orang yang dia sayang. Macam Dania ni...” jawab
Dania sambil ketawa. Segala memori indah sewaktu abangnya ada bersama,
terbayang di matanya.
“Dania ni kalau dapat bercerita
tentang Abang Ray, sambil emak menyuap nasi ni, mau habis nasi satu gantang,”
balas Fazidatul sambil ketawa.
“Mak...” Dia sempat menjeling
mangkuk nasi di atas meja. Mangkuk yang tadinya penuh berisi nasi sudah licin.
“Alah, emak ni... suapkan Dania nasi sampai satu mangkuk besar!” tukas Dania
manja.
“Alah... dah Dania tu asyik
menganga tak berhenti,” kata Fazidatul.
Dania mencapai air lalu minum.
“Mak, Dania nak siap-siap pergi ke sekolah ya. Terima kasih sebab suapkan Dania
makan. Harap-harap dapat keputusan cemerlang!” tukas Dania lantas mencium pipi
emaknya sebelum beredar dari dapur.
“Assalamualaikum, cikgu!” sapanya
sempat bersalaman dan mencium tangan Cikgu Juriah. Dadanya semakin berdebar
melihat Cikgu Juriah menyelak-nyelak mencari
slip keputusan SPM untuknya. Cikgu Juriah pun satu hal juga, bagai
sengaja melambat-lambatkan tangannya untuk mengambil slip untuk Dania. Sengaja
hendak menyakat bekas anak muridnya itu.
“Hah, ada pun! Saya ingatkan murid
lain dah terambil tadi,” kata Cikgu Juriah sambil menatap slip keputusan. Dia
menarik nafas panjang. Matanya merenung tepat kepada Dania. Lama-lama.
Dania bertambah cemas. Terasa
hendak menangis.
“Dania, saya harap awak tak
kecewa,” kata Cikgu Juriah perlahan dengan wajah sedih. Slip keputusan
diserahkannya kepada Dania. Setelah itu, dia melayani murid yang lain pula.
Mendengar kata-kata cikgunya itu,
Dania rasa hendak meraung. Kepalanya seperti ditimpa bumbung dewan yang
berkecai. Menggeletar tubuhnya sewaktu melihat tulisan yang tercetak di atas
slip keputusan.
Berulang kali Dania melihat slip
keputusan SPM yang baru diperolehnya. Setelah itu, dia meloncat-loncat
kegembiraan. Ya ALLAH. Syukur, ALHAMDULILLAH.
Dihitungnya jumlah A yang diperoleh
bertalu-talu. “Satu dua tiga...” bisiknya sambil
menunjuk-nunjuk dengan jarinya di permukaan slip keputusan peperiksaan.
“9A!” jeritnya. Kegembiraannya pada waktu itu setinggi
langit. Keputusan 9A1 yang diidamkan sudah dalam genggaman. Terus dia menerkam
dan memeluk Cikgu Juriah yang sudah sedia berdiri di hadapannya.
“Tahniah, Dania! Tadi tu, saja
saya nak usik awak,” beritahu Cikgu Juriah sambil memeluk dan mencium pipi
Dania bertalu-talu.
“Horei!” sorak Dania bersama dengan teman-teman sekelas
yang lain. Ucapan tahniah dan pelukan daripada teman-teman silih berganti.
Dania sudah tidak sabar hendak pulang ke rumah. Emak dan Abang Ray mesti
gembira dengan kejayaannya itu. Janjinya kepada Ray sudah tertunai.
‘Abang Ray, Dania dapat 9A!’
jeritnya di dalam hati.
“Kawan-kawan, kita jumpa lagi ya? Dania dah nak balik
ni!” ucap Dania sambil melambaikan tangan kepada kawan-kawannya.
Dari dewan sekolah, Dania
berlari-lari anak menuju ke tempat parkir basikal. Jika dia bersayap rasa ingin
terbang ke hadapan emaknya pada waktu itu juga.
Langkahnya diatur perlahan. Pintu
bilik air yang sudah berkarat dan usang dibukanya lambat-lambat. Dua bakul kain yang sudah dibasuh oleh Dania
terperuk berhampiran kolah.
“Harap-harap cuaca panas sehingga ke petang! Sempatlah kain ni kering.” Fazidatul bercakap
sendiri lalu mengangkat sebuah bakul membawanya keluar.
“Mak!”
Baru Fazidatul meletakkan bakul
berisi kain di bawah ampaian, kedengaran suara memekik memanggilnya. “Mak!” pekik Dania lagi sambil mengayuh basikalnya
laju-laju. Habis lecah-lecah dan bongkah-bongkah tanah dilanggarnya.
Sampai berhampiran emaknya, dia
terus merebahkan basikal di atas tanah. Tak sempat basikal mendarat ke atas
permukaan tanah, basikal dilepaskannya.
“Mak!” pekik Dania terus meluru ke arah emaknya.
Fazidatul cemas melihat telatah
Dania yang lepas laku pada hari itu. “Hah! Macam mana keputusan periksa?” tanya Fazidatul tidak
sabar.
“Mak...” Dania terus
menangis.
Tangisan
Dania menyebabkan Fazidatul menjadi cemas.
“Mak, maafkan Dania. Dania
tak dapat nak tunaikan keinginan, mak,” beritahu Dania sambil teresak.
“Dania! Sabarlah, nak...
semua ni kehendak ALLAH. Dania dah berusaha bersungguh-sungguh, kan? Mak tahu,
jangan sedih lagi nak. Redha saja, ya?” balas Fazidatul lalu memegang tangan
Dania dan menggoncang-goncangnya perlahan. Walaupun dia rasa kecewa juga,
tetapi sebagai hamba ALLAH kena akur kepada segala rencana-NYA. Setiap perkara
yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Alhamdulillah, mak...”
balas Dania terus memeluk emaknya sambil menangis bercampur ketawa. Tidak
tertahan hatinya hendak menyimpan rahsia lama-lama dan menyakat emaknya itu.
“Terima kasih kerana
doakan Dania. Dania dapat 9A1 makk!” beritahu Dania sambil mengambil slip
keputusan peperiksaan untuk ditunjukkan kepada emaknya.
“Dania... pandai mengusik
emak, ya! Nakal betul!” balas Fazidatul dengan suara kuat. Sebagai hadiah,
telinga Dania dipiat manja. “Tahniah, Dania. Syukur, alhamdulillah...” Slip keputusan peperiksaan
dikucupnya bertalu. Mereka berbalas renungan dan akhirnya ketawa dan berpelukan sekali lagi.
“Abang Ray mesti bangga dengan keputusan yang
Dania dapat ni,” kata Dania.
Fazidatul
menganggukkan kepalanya. Rasa gembira dan sedih bercampur. Gembira melihat
kegembiraan Dania menerima keputusannya yang cemerlang. Sedih kerana bimbang
tidak mampu menyediakan wang untuk Dania yang pastinya ingin meneruskan
perjuangan ke menara gading.
“Mak!
Kalau Dania nak masuk universiti macam mana?” tanya Dania. “Duit simpanan kita
ada sikit aje, kan?”
“Alah,
Dania! Tak usah bimbang pasal tu. Dania buat aje permohonan. Nanti ada rezeki,
insya-ALLAH... ALLAH akan bukakan lorongnya untuk beri kemudahan kepada Dania,”
nasihat Fazidatul.
“Nak
harapkan Abang Ray, dia pun susah jugak. Lagipun dia baru saja kerja. Kalau ada
simpan duit tentu tak banyak,” ujar Dania sayu.
“Kenapa
Dania ni fikir macam tu pulak! Kerajaan kita takkan biarkan rakyatnya yang
hidup miskin macam kita tak dibantu. Tambahan pula, Dania dapat keputusan
cemerlang! Ada rezekinya nanti!” nasihat
Fazidatul lagi.
Dania
senyum-senyum. “Mak! Dania nak pergi ke kedai,” mintanya. Berhampiran kedai
runcit kampung itu ada telefon awam. Bolehlah dia menghubungi abangnya untuk
memberitahu tentang keputusan peperiksaannya itu.
Fazidatul
tidak menjawab. Dia masih asyik dengan kain baju yang hendak dijemur.
“Mak,
bolehlah. Dania nak telefon abang,” terang Dania lagi dengan wajah berseri.
“Pergilah,
Dania! Cepat balik,” balas Fazidatul tanpa menoleh. Mengerti dengan perasaan
Dania yang tidak sabar lagi untuk berkongsi berita gembiranya dengan Ray.
“Terima
kasih, mak!” kata Dania sambil berlalu dari situ. Basikal yang mendakap tanah
diangkatnya semula.
“Kirim
salam mak pada Abang Ray!” pekik Fazidatul.
Dania
terus mengayuh laju. Tudungnya terangkat-angkat disapa angin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan