Rabu, 6 Jun 2018

SAPU TANGAN BIRU - BAB 32




Hembus angin dingin malam ini melekakan Ray yang terus mengelamun. Keputusan SPM yang diperoleh oleh Dania amat membanggakannya. Fikiran Ray terus berlegar. Otaknya mencongak-congak jumlah simpanannya. Tempoh bekerja tidak sampai setahun dengan gaji 1150 sebulan, dia baru menyimpan duit sebanyak RM 2000 sahaja.
Gembira hatinya menerima panggilan telefon daripada Dania tengahari tadi. Kerinduan yang tergumpal, sedikit berkecai. Ray menggaru-garu dadanya yang tidak berbaju. Malam yang semakin menyepi melingkarnya di dalam sunyi. Tiada radio atau televisen di dalam ruang bilik itu. Ray menghabiskan waktunya yang senggang sebelum melelapkan mata dengan membaca.
“Assalamualaikum...” Suara perempuan memberi salam di muka pintu menyebabkan Ray bingkas bangun dari katil bujangnya. Sehelai tuala dicapai buat menutup tubuh yang terdedah sebelum membuka pintu.
“Waalaikumussalam,” jawab Ray. Senyuman mesra dilemparkan kea Bibik Temah yang berdiri di muka pintu.
“Kamu sedang buat apa?” tanya Bibik.
Ray menunjukkan buku yang di tangannya.
“Tak habis-habis dengan buku. Balik dari kerja saja, terus memerap di kamar macam anak gadis,” komen Bibik Temah sambil senyum meleret.
“Ada apa, bibik?” soal Ray.
“Datuk panggil,” jawab Bibik Temah. “Cepat datang ya, Ray,” ujar Bibik Temah selanjutnya.
“Ya, bibik. Saya nak pakai baju dulu,” balas Ray. Bibik Temah segera beredar dari situ. Ray tergesa-gesa menyalin kain pelikat kepada seluar sukan berwarna putih. Tubuhnya disarungkan dengan baju-T berkolar. Setelah itu, dia cepat-cepat keluar dari bilik dan menuju ke rumah utama.
“Abang Ray!” pekik Eisha Safiya apabila nampak pemuda itu berada di muka pintu.
“Masuk Ray,” pelawa Datuk Wahab yang sedang menunggu di ruang tamu. Perlahan Ray mengayunkan kakinya menuju ke ruang itu.
“Duduklah, kenapa tercegat di situ?” ajak Datuk Wahab lagi apabila melihat Ray masih malu-malu.
“Tak apa, Datuk.” Ray masih segan. Dia sempat memerhati ruang tamu yang serba mewah. Bagaikan tidak layak dia berada di situ.
“Saya ada banyak perkara yang nak dibincangkan.”
Mahu tak mahu, Ray terpaksa duduk di sofa yang paling hampir dengan Datuk Wahab.
“Bibik!” panggil Datuk Wahab.
Bibik Temah terkocoh-kocoh datang. “Buatkan air untuk Ray dan saya sekali. Lepas tu panggil Ina ke sini,” arah Datuk Wahab kepada pembantu rumahnya.
“Baik, Datuk,” akur Bibik Temah.
“Ray,” panggil Datuk Wahab sebaik sahaja Bibik Temah menghindar.
“Ya, saya...” jawab Ray. “Dalam minggu ni banyak tugas yang Ray perlu buat untuk saya,” beritahu Datuk Wahab.
Ray hanya mengangguk.
“Macam mana tugas-tugas di tapak pembinaan tu? Mukhriz ada tunjuk ajar tak?” duga Datuk Wahab. “Dia tu saya dah lantik sebagai pengurus projek Awana Mall tu,” jelasnya lagi.
Ray menganggukkan kepala sekali lagi. Tidak perlulah menimbulkan kekeruhan di antara Datuk Wahab dan Mukhriz di peringkat awal ini.
“Ada ajar sikit-sikit, Datuk! Encik Mukhriz tak ada masa, tapi saya selalu bertanya kepada pekerja-pekerja di situ,” jelas Ray.
“Bagus! Jangan malu untuk bertanya kepada sesiapa juga. Buruh-buruh di sana banyak pengalaman. Ilmu yang mereka ada, tak kalah dari apa yang anak muda kita peroleh di dewan kuliah,” nasihat Datuk Wahab penuh semangat.
“Dua tiga minggu sekali ada arkitek dari Perkasa Holding datang memantau. Azlan namanya. Ray boleh bertanya daripada dia jugak,” pesan Datuk Wahab.
Ray mengangguk. “Saya dah berkenalan dengan Encik Azlan tu, Datuk,” beritahu Ray.
“Bagus,” puji Datuk Wahab. “Jika ada masalah boleh berbincang dengan saya atau mereka,” pesannya pula.
 Zarina datang ke ruang tamu sambil menjinjit sebuah beg. Dia menyerahkan beg itu kepada Datuk Wahab.
“Sebulan sekali Ray kena buat laporan dan serahkan kepada saya berkenaan status kerja-kerja di tapak pembinaan tu,” beritahu Datuk Wahab.
Ray menggangguk. Tanpa diarah pun, dia sudah mula mencatat tentang kerja-kerja di tapak pembinaan.
“Insya-ALLAH, Datuk. Memang dari hari pertama kerja, saya dah rekodkan semua aktiviti dan status kerja-kerja yang sedang dan telah dilakukan,” jelas Ray perlahan.
Datuk Wahab tersenyum. Anak muda di hadapannya itu akan menggenggam kejayaan satu hari nanti jika meneruskan disiplin kerja yang begitu.
“Syabas, Ray! Teruskan disiplin kerja begitu,” pujinya dengan semangat. Selepas itu, dia terdiam sejenak kerana Bibik Temah sedang menghidangkan minuman untuk mereka.
“Yang ni hadiah untuk Ray,” kata Datuk Wahab sambil menghulurkan beg yang dibawa oleh Zarina tadi.
“Apa ni, Datuk?” tanya Ray. Pura-pura tidak tahu isi yang terkandung di dalam beg itu. Lambat-lambat tangannya menyambut pemberian Datuk Wahab.
 “Oh ya, Ray!  Dalam beg tu ada komputer riba untuk kegunaan Ray. Bolehlah hilangkan kesunyian dengan melayari internet dan belajar apa yang patut,” beritahu Datuk Wahab.
Berkali-kali Ray mengucapkan terima kasih. “Urusan internet tu semua company dah daftar dan segalanya akan ditanggung, tapi...” Kata-kata Datuk Wahab terhenti sejenak.
“Tapi apa Datuk?” soal Ray. Tidak sabar ingin tahu.
“Jangan pula Ray gunakan untuk urusan kerja saja. Ray gunalah secara optimum ya? Melalui jalur lebar ni, banyak pengetahuan yang boleh dapat. Maklumat di hujung jari,” terang Datuk Wahab dengan panjang lebar.
“Terima kasih, Datuk...” ucap Ray dengan senang hati. Kepercayaan Datuk Wahab menyebabkan dia berasa dirinya begitu dihargai.
“Ini untuk Ray.” Sampul surat yang memang tersedia di atas meja dihulurkannya kepada pemuda itu. “Gaji untuk bulan ni,” beritahunya.
Ray senyum. Terus disimpan sampul itu di dalam kocek seluar. “Terima kasih, Datuk.”
Datuk Wahab menganggukkan kepalanya. Dia meng­hulurkan tangannya untuk berjabat salam dengan pemuda itu. Ray lega. Huluran tangan itu membawa maksud yang dia boleh beredar ke biliknya semula. 


Ray meletakkan komputer riba di atas katil bujangnya. Sampul surat yang diberi oleh Datuk Wahab tadi dikeluarkan isinya. Sekeping cek yang tertera namanya dengan nilai cek RM2650. Jumlah yang tertera menyebabkan dia tersentak. Sekali lagi dia memerhati tulisan yang tertera seolah tidak percaya. ‘Mesti kerani Datuk dah salah tulis ni!’ getus hatinya. Cepat-cepat dia keluar dari biliknya dan menuju ke rumah utama semula.
“Ada apa, Ray?” tanya Datuk Wahab yang baru hendak menutup pintu.
“Cek ni,” jawab Ray sambil menghulurkan cek kepada Datuk Wahab
Lelaki itu menyambutnya. “Kenapa dengan cek ni?” Dia mengamati cek itu. Tidak ada kesalahan apa-apa pun yang terkesan oleh matanya. Pandangannya terus singgah pada wajah Ray pula.
“Bukan untuk saya cek tu,” ujar Ray lagi dengan bersungguh-sungguh.
“Betullah ni! Ahmad Raiyan Wafa bin Abdul Wahab,” balas Datuk Wahab.
“Tapi jumlahnya lebih 1500 ringgit, Datuk...” terang Ray. “Gaji saya 1150 ringgit aje,” jelasnya lagi dengan tenang.
“Ray... awak dah lupa ke yang awak ada jawatan lain selain daripada jadi drebar? Penyelia tapak tu, takkan saya tak perlu bayar gaji?” tanya Datuk Wahab menyembunyikan tawa. Sikap Ray yang kadangkala lurus bendul itu mencuit hatinya.
“Lagipun awak juga membantu Mukhriz menguruskan pembayaran gaji kepada pekerja di tapak pembinaan!” tegas Datuk Wahab.
“Maaf! Saya tak tahu, Datuk,” beritahu Ray, tersipu malu.
“Lain kali kalau dapat tawaran kerja, tanya gajinya,” pesan Datuk Wahab.
Ray mengangguk menahan perasaan.
“Pergilah berehat, Ray...” kata Datuk Wahab.
Ray terus beredar. Datuk Wahab memerhatikan anak muda itu dari belakang sehingga dia menghilang ke biliknya semula.

Tiada ulasan: