Rabu, 6 Jun 2018

SAPU TANGAN BIRU-, BAB 33




Mentari bersinar garang. Iskandar meraba-raba kaca mata hitamnya di dalam poket kemeja. Dengan sebelah tangan, dia cuba memakai cermin sambil sebelah tangan lagi memegang stereng kereta.
Jasmin terus mengambil kaca mata di tangan Iskandar dan memakaikannya. “Berlagak! Tak reti-reti nak minta bantuan orang? Tersodok kereta kat depan baru padan muka!” omel Jasmin berpura-pura marah. Iskandar menyeringai.
“Terima kasih, sayang. Panas betul cuaca hari ni. Kalau dapat minum cendol sedap jugak!” kata Iskandar. Tiba-tiba pula dia rasa terliur.
“Cendol! Hmm... Jess suka minum lai chee kang,” beritahu Jasmin pula.
Iskandar memandu dengan tenang sambil matanya memerhati restoran yang ada di tepi jalan.
“Is nak bawa Jess lunch kat mana ni? Takkan restoran tepi jalan aje? Mana ada kelas,” kata Jasmin. Tidak habis-habis dengan perangai berlagak dan angkuhnya.
“Makan di hotel dan restoran yang ada kelas tu kita dah biasa, apa salahnya sesekali bertukar selera pulak,” balas Iskandar sambil menjeling Jasmin yang memuncung. Emosi gadis itu cepat sangat berubah. Bagaikan debu. Pantang dihembus angin.
“Jess tak naklah makan kat sini, Is!” rengek Jasmin mengada-ngada. Ekspresi wajahnya pun mula berubah kelat.
Iskandar senyum sendiri.
“Is... kita pergi ke tempat lainlah,” rayu Jasmin.
“Apa salahnya kita makan di sini, Jess. Lagipun tadi, Jess kata nak minum lai chee kang, kan? Kat sini semuanya ada...” beritahu Iskandar.
“Okeylah, alasan tu Jess boleh terima!” setuju Jasmin yang mengalah akhirnya. “Tapi, ni yang terakhir tau!” ugutnya pula sambil menjeling.
“Jess, nanti kalau papa you kahwinkan you dengan budak Ray tu, you ajaklah dia makan di hotel dan restoran mewah 24 jam!” usik Iskandar sengaja hendak menyakitkan hati Jasmin.
“Is, rasakan!” pekik Jasmin sambil mencubit lengan Iskandar kuat-kuat. “Budak tak ada keturunan tu... erk! Apa kelas nak jadi suami I? Beli kain baju sendiri pun dia tak mampu!” ejeknya sambil mencebik.
“Sekali lagi you giat-giatkan I dengan budak tu, I cubit you sampai terkeluar daging lengan ni tau,” kata Jasmin dengan suara manja dan mengada-ngada.
“Janganlah cubit-cubit, Jess! Nanti I tak call, you jugak yang bising dan sangka yang bukan-bukan,” ujar Iskandar.
“Memang dah betul, kan? Lama sangat you menyepikan diri,” balas Jasmin. Dia berasa hampa setiap kali Iskandar menjauhkan diri. Diri dan cintanya bagaikan tidak ada nilai pada pandangan lelaki itu.
“Mesti nenek you dah cucuk you supaya menjauhkan diri daripada I, kan?” soal Jasmin lancar.
“Hah, dah sampai pun restoran yang menyajikan masakan kegemaran Is,” beritahu Iskandar. Dia memberhentikan kereta. Pertanyaan Jasmin tadi tidak perlu dilayan.
Ikan keli masak tempoyak. Sambal belacan. Ikan tenggiri masin goreng. Masak lemak rebung. Semuanya sudah terhidang di atas meja.
“Hisy, Jess tak pernah makanlah lauk macam ni,” komen Jasmin sebaik sahaja pelayan restoran selesai menghidang makanan yang dipesan Iskandar.
Jasmin memekup hidungnya menghalang bau yang tidak enak menerjah ke hidungnya.
“Eeii... Is, Jess tak lalu nak makanlah,” adunya manja. Tekaknya terasa kembang melihat ikan keli yang mengerikut di dalam piring. Melihat kepala ikan keli mengingatkan dia kepada sesuatu yang menggelikan.
“Alah, belum cuba belum tahu,” kata Iskandar. Dia terus memasukkan nasi ke dalam pinggan dan mencedok ikan keli masak tempoyak ke atas nasi. Seleranya sudah terbuka luas.
“Makanlah Jess! You ni, tak baiklah depan rezeki nak pekup-pekup hidung macam tu,” nasihat Iskandar. Tanpa mempedulikan kerenah gadis itu, dia terus menyuap nasi dengan penuh selera.
Jasmin hampir termuntah. Merah-merah matanya menahan rasa loya yang semakin bergelodak di anak tekaknya. Tak sangka tekak you ni tekak kampung!” perli Jasmin.
“Uwekkk!” Sekali lagi Jasmin rasa anak tekaknya bagai dijolok. Iskandar membulatkan mata merenungnya.
“Maaf, Is.  I tak sengaja. Tapi, I betul-betul tak tahan dengan bau tempoyak dan gulai buluh tu,” terang Jasmin.
“Gulai rebunglah, Jess!” Sempat lagi Iskandar membetulkan percakapan Jasmin. “Kalau you tak nak makan nasi, lebih baik you pesan makanan lain. Kat sini makanannya semua sedap. You tak nampak ke berapa ramai pelanggannya?” tanya Iskandar.
“You pergi order nasi goreng kampung kat hujung tu,” suruhnya. “Lai chee kang pun ada kat sana,” beritahunya sambil menunjukkan gerai yang ada menjual minuman yang diinginkan oleh Jasmin.
Opss!” kata Iskandar tiba-tiba. Pandangannya terlempar ke arah seorang wanita yang sedang melayani seorang kanak-kanak perempuan. Jika tidak silap, wanita itulah bersama dengan Datuk Wahab di dalam kapal terbang tempoh hari.
“Jess! Cuba you tengok perempuan yang pakai blaus warna biru tu,” suruh Iskandar.
Jasmin segera berpaling. “Yang pakai blaus biru dan tudung kelabu tu ke?” soal Jasmin inginkan kepastian. Sekali lagi, dia menoleh. Kali ini, dia melihat wanita itu lama-lama.
“Ya, sayang. Is rasa perempuan tu yang duduk sekali dengan papa you dalam flight ke Jakarta tempoh hari,” balas Iskandar. Wajah wanita yang cantik itu masih terlekat dalam kenangannya kerana dia ada iras-iras wajah seorang pelakon wanita popular di negara ini.
“Yang you cerita dalam sms tu ke?” soal Jasmin lagi.
Iskandar mengangguk. “Biar I pergi tanya dia,” kata Jasmin sambil mencapai beg tangannya. “Kalau betul dia isteri muda papa, I nak cakar mukanya.” Darahnya tiba-tiba mendidih. Segera dia bangun dari kerusi dan ingin meluru kepada wanita itu, namun tangannya segera ditarik oleh Iskandar.
“Hisy, you ni janganlah gopoh!” tempelak Iskandar. “Kalau tersilap orang nanti tak pasal-pasal pula muka you kena simbah dengan sambal belacan,” katanya.
Jasmin duduk kembali di bangkunya. Bimbang juga  hatinya dengan ancaman Iskandar itu.
“Sabarlah dulu!  Perhatikan dia dari sini,” cadang Iskandar. Tangannya terus menyuap nasi. Gulai tempoyak ikan keli pun sudah licin mangkuknya.
“Berhentilah makan tu! Tengoklah, dia pun dah selesai makan,” gesa Jasmin. Matanya terus memerhati wanita berblaus biru.
Iskandar hanya tergelak kecil dan terus makan. Setelah licin nasi di dalam pinggan baru dia cepat-cepat membasuh tangannya.
“Biar I pergi ke kereta dulu, ya, ” beritahu Jasmin apabila melihat Iskandar melambai pelayan restoran meminta bil.
“Okey! Kalau sempat catat nombor keretanya,” pesan Iskandar. Dia tergesa-gesa mengeluarkan duit dari dompet untuk membayar bil yang sudah dihulurkan kepadanya.
Matahari sedang menggalah sewaktu Zarina memasuki pekarangan rumahnya. Kereta yang dipandu terus diparkir di bawab porch. Setelah itu, dia cepat-cepat membuka pintu dan keluar dari perut kereta.
“Bibik Temah, tolong tutup pagar, ya,” suruhnya lembut sambil berjalan menuju ke pintu utama. Mereka baru balik dari klinik membawa Eisha Safiya yang demam. Dalam perjalanan pulang tadi, mereka singgah di Restoran Masakan Kampung untuk makan tengah hari.
“Eisha, cepat! Mari masuk dalam rumah,” pekiknya kepada Eisha Safiya yang berlari ke sana dan ke sini. “Eisha!” jeritnya lagi apabila tidak melihat kelibat anak kecilnya itu.
“Bibik, tolong tengok Eisha. Entah ke mana pulak perginya!” Riuh suara Zarina memarahi Eisha Safiya yang nakal.
Kedengaran pula suara Bibik Temah terpekik mengejar Eisha Safiya. Budak itu terus berlari ke arah bilik Ray. Pantas sahaja tangannya menolak pintu yang memang tidak berkunci. Eisha Safiya masuk ke dalam bilik dan terus memanjat ke atas katil bujang Ray.
“Jangan main dalam bilik Abang Ray!” jerit Bibik Temah. Segera dia menangkap Eisha Safiya yang sudah berguling-guling di atas katil bujang Ray.
“Nak main! Nak main kat sini!” pekik Eisha Safiya sambil meronta. Bibik Temah memeluknya kuat lalu mendukung Eisha Safiya yang melekap di dadanya.
“Cepat, bibik! Cepat lari!” gesanya pula kepada Bibik Temah yang sedang mendukungnya. Eisha Safiya ketawa terkekek-kekek apabila terasa badannya terhenjut-henjut dibawa berlari atas dukungan. Bibik Temah membawanya berlari ke pagar kerana pintu pagar masih belum dikunci lagi.
“Nah! Turun! Nanti Bibik dukung lagi! Bibik mahu kunci pagar dulu,” kata Bibik Temah dengan loghat Indonesianya yang hampir terhakis. Baru tangannya menekan mangga, sepasang insan menegurnya dari sebalik pagar.
 “Tumpang tanya mak cik, boleh?” tanya  yang lelakinya.
“Nak tanya apa?” soal Bibik Temah kembali. Matanya merenung curiga.
“Ini rumah Eisha ke?” tanya yang perempuan pula. Bibik Temah melihat wajah wanita muda itu. Cantik, tetapi nampak angkuh dan sombong.
Eisha? Mustahil ada orang bertanyakan anak kecil yang sedang dipegangnya itu. Kecuali orang berkenaan berniat tidak baik! Teringat kembali cerita daripada majikannya yang Eisha Safiya pernah cuba diculik.
“Pekak ke orang tua ni! Rumah Eisha ke ni?” tanya wanita muda itu lagi. “Mana Eisha?” soalnya lagi dengan ekspresi wajah berlagaknya. “Aku nak jumpa Eisha,” katanya dengan nada sombong dan kurang ajar.
Bibik Temah terpempan seketika. Kesombongan wanita muda di depannya itu seolah mencuit rasa marahnya.
“Kamu mahu buat apa?” sergahnya pula. Matanya terus merenung wanita yang tidak dikenalinya itu.  “Kamu mahu menculik ya? Nyah dari sini sebelum saya panggil polis!” gertak Bibik Temah dengan berani. Setelah itu, cepat-cepat dia meninggalkan pintu pagar tanpa mempedulikan laungan wanita muda itu.

Tiada ulasan: