Rabu, 6 Jun 2018

SAPU TANGAN BIRU- BAB 34



Dengan perasaan yang terbakar, terkocoh-kocoh Jasmin memasuki kereta. Rumah bunglo dua tingkat berwarna merah bata muda dan beige muda itu diamatinya betul-betul. Warna dan reka bentuknya dirakam dalam ingatan.
“Tak guna betul perempuan tua tu!” rungutnya tidak puas hati.
Iskandar tersenyum apabila melihat wajah cemburut yang dipamerkan oleh gadis itu. “Hah! Sekarang ni Is dah tahu.” Dengan perlahan keretanya digerakkan.
“Apa yang you tahu?” tanya Jasmin. Jelingan tajam dilemparkan kepada Iskandar. Setelah itu, matanya terus merenung deretan rumah mewah yang di kiri kanan jalan.
“Yang kita pergi tadi memang rumah isteri nombor dua papa you! Budak perempuan tadi memang anak dia. Adik youlah,” teka Iskandar.
“I ingat lagi budak perempuan yang duduk sebangku dengan papa you dalam flight tempoh hari.” Memang dia pasti sangat-sangat hal itu kerana budak yang duduk sebangku dengan Datuk Wahab kelmarin sangat comel wajahnya.
“Adik? Erk! Bencilah!” pekik Jasmin. Jiwanya mula bergelodak.
“Adik sebapa,” sambung Iskandar lagi sambil ketawa lucu melihat muncung Jasmin bagai boleh diikat.
Jadi, perempuan berblaus biru tadi tu...” Jasmin cuba meneka.
“Emak tiri youlah,” pintas Iskandar. “Lawa orangnya. Patut papa you terpikat,” katanya lagi. “Kalau I pun tak tolak juga. Wajahnya lembut penuh nilai keibuan. Wajah wanita macam tulah menjadi dambaan lelaki, tau tak!” ujar Iskandar.
Tapi, kenapa papa nak kahwin lagi? Mama tu apa kurangnya?” tukas Jasmin. Jika hendak dinilai dari segi kecantikan, mamanya pun tak kalah dengan wanita tadi. Walaupun umur mamanya sudah menghampiri 50, potongan badannya kekal cantik. Wajahnya masih manis menarik. Sentiasa berseri ala-ala penyanyi Yusni Hamid saja.
Entah ya! Agaknya dia mahu zuriat sendiri,” teka Iskandar.
Zuriat? Hai... bukan ke Jess ni anak dia?” soal Jasmin dengan mata terjojol. Kenyataan daripada Iskandar itu seolah merodok hatinya. 
Manalah tahu kalau-kalau dia inginkan anak lelaki pulak,” sambung Iskandar.
Apa bezanya anak lelaki atau anak perempuan?” tanya Jasmin marah. Tapi, budak tadi pun bukannya lelaki, perempuan macam I jugak!” bentaknya.
Kenapa Jess nak marah-marah ni! Semua itu tekaan I saja! Tapi kalau papa you betul dah ada anak lain dengan isteri yang lain, adik  you akan jadi saingan,” ujar Iskandar.
Saingan apa? Nak rebut you daripada I?” tanya Jasmin. Tiba-tiba saja dia ketawa. Dia cuba membayangkan budak perempuan yang dilihatnya tadi cuba menggoda Iskandar, kekasihnya.
Ke situ pulak fikiran you!” tempelak  Iskandar. “Yang I maksudkan persaingan dalam pembahagian harta papa you, lah!” jelasnya lagi.
“Eeii...  I dah kata, I waris tunggal!” bentak Jasmin. Walau apa pun yang terjadi, dia tetap tidak boleh menerima sesiapa lagi di dalam keluarga mereka. “Semua harta benda papa, I yang akan mewarisinya bila dia dah mati nanti!” tegasnya lagi.
“You dah tengok wasiat ke?” tanya Iskandar pula.
Jasmin menggelengkan kepala. “Takkan papa dah tulis surat wasiat. Dia bukannya nak mati lagi,” jawabnya terus.
Iskandar ketawa. “Jess... Lebih baik you ambil hati papa you. Jangan membantah cakap dia lagi. Kalau tak, satu sen pun you tak dapat,” nasihat Iskandar.
“Nak ambil hati macam mana lagi? Papa I sekarang ni dah berubah. Tak macam dulu lagi!” balas Jasmin.
“So... you carilah punca yang menyebabkan papa you berkalih sikap terhadap you,” pesan Iskandar.
“I perasan sangat sejak dia ada hubungan dengan budak haprak tu! Ray? Entah nak sebut namanya pun I geli! Ray konon! Entah keturunan dari mana tiba-tiba datang menempel kat papa I...” rungut Jasmin.
Iskandar geli hati mendengar kenyataan gadis itu. “Hubungan apa yang you maksudkan ni?” tanya Iskandar pura-pura tidak tahu.
“Hai Is... takkanlah you tak faham apa yang I maksudkan. Pemuda-pemuda zaman ni bukan kisah sangat tentang hal yang akan dilakukan, asalkan mendapat duit,” balas Jasmin.
“Papa you gay ke? Melampau betullah you ni. Buat tuduhan melulu! Tapi budak Ray tu boleh tahan jugak!  Handsome! Kalau digaya-gayakan kalah Tom Cruise, aktor kesukaan you tu,” giat Iskandar lagi.
“Bila masa you berjumpa dengan Ray, yang puji dia bagai nak rak?” tanya Jasmin.
Iskandar menggaru-garu telinganya cuba mengingati. “Kat airport. Tapi, I nampak dia dari jauh saja. Masa tu Mukhriz pun ada. Dia yang hantar I dan nenek ke KLIA. Tapi nampak dia dari jauh pun dah boleh terpikat,” puji Iskandar.
I takkan terpikat,” pintas Jasmin. Bibirnya dijuihkan.
I tak suka dia!  Benci sangat! I tak suka dia wujud di sekeliling keluarga I. I rasa nak upah orang aje,” kata Jasmin. Tidak tahu apa sebabnya dia berasa benci kepada pemuda itu.
“Kita ni asyik bincang soal budak tu saja. I rasa tak selesalah!  Sekarang ni lebih baik kita bincang pasal kita...”
“Pasal bila nak menikah?” tanya Iskandar.
Jasmin menganggukkan kepalanya. “Habis tu, Ray you nak campak ke mana?” soal Iskandar sengaja hendak menyakitkan hati.
“Stop it! Jangan sebut nama Ray lagi!” Laju tangan Jasmin mengutil paha Iskandar yang sedang memandu.
“Jom, kita pergi ke pejabat papa,” ajaknya pula.
Iskandar menganggukkan kepalanya.
Ray memasuki laluan menuju ke Kuala Lumpur semula. Mereka di dalam perjalanan balik dari Tapah. Datuk Wahab tersandar di tempat duduk belakang. Orang tua itu sempat membaca surat khabar dalam perjalanan mereka.
“Kita pergi ke pejabat dulu, Ray!” arah Datuk Wahab.
“Baik, Datuk...” setuju Ray.
“Tadi Ray ada cerita dengan saya pasal adik Ray yang baru ambil keputusan SPM tu.  Kalau Ray nak balik kampung sekejap, jenguk emak dan adik-adik, Ray baliklah,” kata Datuk Wahab.
“Betul ke, Datuk?” soal Ray tidak percaya. Dia cuba merangka-rangka di dalam kepala. Kalau dapat sejam dua dia berada di samping emak dan adik-adik pun sudah memadai. Untuk melepas rindu. Yang paling dirindui tentulah emak dan Dania. Hatinya melara duka menanggung rindu pada Dania, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Seutas rantai tangan telah dibeli untuk Dania sebagai hadiah. Harapannya menggunung agar Dania suka dengan hadiah yang dibelinya di kedai aksesori wanita. RM55 harganya. Hatinya tertarik dengan rekaan rantai tangan itu. Jika digayakan oleh Dania, pasti adiknya itu nampak comel!
“Datuk kata nak pergi ke Kajang tu, bila?” tanya Ray perlahan.
“Kita pergi petang esok. Ray ambillah masa sekejap untuk bersama emak dan adik-adik,” kata Datuk Wahab lagi. “Emak Ray tak kerja, kan?” tanya Datuk Wahab. Terus merisik rahsia. “Emak berniaga secara kecil-kecilan, Datuk! Jual pisang goreng dan kuih-muih kat tepi jalan aje,” jawab Ray.
“Pagi-pagi jual nasi lemak,” terangnya dengan suara perlahan. Terasa rindu pula pada nasi lemak buatan emaknya dan Dania.
“Nanti sampaikan salam saya kepada emak dan adik-adik,” kata Datuk Wahab. Dia tersenyum apabila melihat bangunan PERKASA HOLDING berdiri megah dari kejauhan. Itulah simbol kejayaannya. Sebagai anak Melayu rakyat jati negara Malaysia ini. Banyak bantuan daripada kerajaan telah diperoleh. Itu pun kerana usaha gigihnya. Tanpa bantuan kerajaan mustahil dia dapat mengembangkan perniagaannya. Kalau dulu dia hanya menceburkan diri dalam perniagaan pembinaan, kini perniagaannya sudah semakin berkembang.
Ray memasuki porch khas untuk Pengarah Urusan Perkasa Holding dan memarkirkan keretanya. Pantas dia keluar dari kereta dan membuka pintu belakang buat Datuk Wahab. Beg di tangan Datuk Wahab pun diambil.
“Papa!” Pekikan suara gadis menghentikan langkah mereka.
Jasmin terus menerpa dan memeluk papanya.
“Jess dari mana ni?” tanya Datuk Wahab sambil meleraikan pelukan Jasmin dari tubuhnya.
“Pergi lunch dengan Is...” jawab Jasmin lambat-lambat dengan gaya mengada-ngada. Dia memandang Ray yang tercegat di sebelah papanya. Tiba-tiba air mukanya berubah.
Ray cepat-cepat membuang pandangan apabila mereka bertentang mata.
“Ray... awak boleh bergerak sekarang,” kata Datuk Wahab lalu mengambil begnya dari tangan Ray. “Baik, Datuk...” kata Ray sambil menghulurkan tangannya untuk berjabat salam.
“Nanti dulu,” kata Datuk Wahab. Dia mengambil dompet dan mengeluarkan not 100 dan not 50 beberapa keping.
Jasmin memerhati telatah papanya dengan perasaan berbulu.
“Ini hadiah daripada saya untuk adik Ray yang dapat 9A1 dalam SPM,” kata Datuk Wahab lalu menyumbatkan not-not itu dalam genggaman tangan Ray sambil berjabat salam.
Ray rasa serba salah.
“Pergilah sekarang,” kata Datuk Wahab lagi.Tidak terkutik di hatinya untuk mengenalkan Ray kepada Jasmin atau Iskandar.
“Baik, Datuk. Terima kasih.” Tangan Datuk Wahab digenggam erat. Ray menundukkan kepala lalu mencium tangan lelaki itu.
Datuk Wahab senyum. Sebelum beredar, Ray sempat berjabat salam dengan Iskandar. Jasmin hanya direnung dengan ekor matanya.
Langkah kaki Ray yang teratur dan penuh gaya menuju ke kereta Honda Accord berwarna putih diiring dengan penjuru mata. Tidak semena-mena hatinya dipalu debaran yang menggoncangkan. Jasmin terus merenung Ray yang memasuki kereta dan memakai kaca mata hitam.
“Assalamualaikum, Datuk,” kata Ray sambil bergerak perlahan. Dia senyum dan melambaikan tangannya.
Hati Jasmin seolah-olah sedang dicakar. 


Hujan yang menderu menyebabkan hati Fazidatul bimbang. Angin yang bertiup kencang membuatkan jiwanya bertambah walang. Kepingan zink yang mengatap rumah berkeriut-keriut bunyinya berentap dengan angin.
“Mak, hujan lebat sangatlah. Dania takut,” kata Dania sambil merapati emaknya.
Fazidatul terkelu. Ketakutan yang dirasai Dania menjalar ke hatinya juga. Jika hujan lebat sahaja tidak mengapa. Namun, kedatangan hujan yang garang dan angin yang rakus sekali gus, bimbang akan meruntuhkan rumah mereka yang daif dan uzur.
“Dania pergi tengok dalam bilik tidur. Ada atap yang bocor lagi tak,” suruh Fazidatul. 
“Dah, mak! Tadi Dania dah tengok tempat yang selalu bocor tu. Dah tak ada bocor lagi! Cuma dekat dapur tu bocornya teruk sangat,” cerita Dania.
“Tak apa, kalau ada rezeki nanti, mak ganti atapnya. Kita kumpul duit dulu,” cadang Fazidatul. Walaupun harga zink tidak semahal mana dan boleh dibeli dengan duit kiriman Ray, tetapi dia kena berbelanja dengan berhemat. Tambahan pula mengenangkan persekolahan anak-anak yang masih jauh perjalanannya.
“Iwan ke mana ni, Dania?” tanya Fazidatul. Dalam keadaan cuaca buruk begitu, hatinya ditamui rasa bimbang.
“Ada mak! Ada kat bawah rumah! Dia sedang betulkan basikalnya. Biar Dania pergi tengok dia,” tawar Dania.  Belum sempat kakinya melangkah pintu dan memijak anak tangga kelihatan kereta memasuki halaman rumah. Titisan hujan melebat semula. Menderu kembali diiringi angin kencang.
Mak, abang Ray balik, mak!” jerit Dania. Gembira hatinya menyebabkan dia memekik kuat. Lantas, dia berkejar ke dalam bilik untuk mengambil payung.
Ray memarkirkan kereta  di halaman rumah, di kawasan yang dijangkanya tidak berselut dan becak. Dania sudah siap menunggunya di situ.
Abang Ray,” sapa Dania sebaik sahaja Ray turun dari kereta.
Ray menyeringai. Dania mencium tangan yang dihulurkan Ray. Setelah itu dia memayungkan Ray.
Alahai Dania, tak payahlah nak payung-payungkan abang! Macam abang ni putera raja pulak. Bukan tak biasa kena air hujan,” kata Ray sambil senyum.
Hujan masih lebat, nanti abang demam,” balas Dania. Tangan kirinya membelit pinggang Ray sambil tangan kanannya memegang payung.
Alah... demam kena hujan, takkan membawa sampai ke kubur,” usik Ray. “Sayang sangat kat abang?” duga Ray.
“Dania cinta,” jawab Dania sambil ketawa.
Ray ketawa besar mendengar gurauan adiknya itu. Dia membuka pintu belakang dan mengeluarkan beberapa buah beg plastik. Matanya sempat mencuri pandang ke wajah Dania yang bersahaja. Dania bertambah cantik dan menawan dengan senyumannya yang sentiasa manis.
Bak sini payung tu. Biar abang pegang!  Dania tu pendek!  Ada hati pulak nak payungkan abang yang tinggi macam galah ni,” seloroh Ray lalu mengambil payung dari tangan Dania. Bawa beg ni,” suruh Ray sambil menghulurkan beg plastik ke tangan Dania.
Kini, tangan dia pula membelit di pinggang Dania. Mereka berjalan perlahan menuju ke tangga rumah.
Abang... tengok tu mak intai kita. Mesti mak tak suka kita berpayung sama-sama,” bisik Dania sambil melangkah perlahan-lahan. Tangannya memegang tangan Ray yang memegang payung.
Jantung Ray berdetak laju dengan tiba-tiba.
Dania ni sangka buruk pada mak pulak! Kita kan adik-beradik! Bukan ada salahnya,” jawab Ray. Namun kenyataan Dania tadi mengusik juga fikirannya. Tak semena-mena pula lautan hatinya dilanda badai. Apabila berjalan berdua-duaan begitu di dalam hujan lebat di bawah satu payung, degupan jantungnya luar biasa.
Assalamualaikum, mak,” ucap Ray dari bawah tangga. Cepat-cepat dia menanggal kasut dan mendaki dua anak tangga sekali gus.
Waalaikumussalam,” jawab Fazidatul yang menunggu di muka pintu. Iwan pun ada sekali.
Hujan lebat tadi, mak. Nak bawa kereta pun susah. Penglihatan jadi kabur semuanya,” adu Ray.
“Ray cuti berapa hari?” tanya Fazidatul.
Ray sudah melunjur kaki dan menggeliat beberapa kali. “Ray tak cuti, mak. Datuk suruh balik jenguk emak dan adik-adik,” beritahu Ray sambil senyum senang.
Ya ke...” balas Fazidatul. Bertuah anak bujangnya kerana bekerja dengan majikan yang baik hati. Tadi, Ray bawa dia pergi ke Tapah.  Dalam perjalanan tu, Ray ada bercerita pasal Dania, sebab Datuk jugak yang tanya tentang adik-adik. Ray cerita pada Datuk yang Dania baru saja dapat keputusan SPM,” cerita Ray dengan panjang lebar.
Macam dia tahu aje hati Ray sedang bergelodak hendak balik jenguk mak dan adik-adik. Tengah hari tadi, waktu dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur, dia beri keizinan Ray balik kampung. Tapi, awal pagi esok Ray kena balik ke sana semula. Datuk nak suruh Ray bawa dia ke Kajang,” ceritanya lagi.
Baiknya Datuk tu,” pintas Dania.
Fazidatul mengangguk sambil mengucapkan kesyukuran  di dalam hati.
Kalau Abang Ray jadi anak dia, mesti loaded! Semua benda yang abang nak, boleh dapat,” sampuk Iwan. Matanya terus mengamati abangnya itu. Direnungnya lama-lama. Ray yang berbaju kemeja lengan pendek berwarna kelabu berkotak halus dipadankan dengan seluar jean warna kelabu tua, nampak lebih kacak dan bergaya.
Loaded belum pasti gembira, Iwan,” bidas Ray. “Paling penting bagi abang, kekayaan jiwa raga. Boleh memberi kasih sayang kepada mak, adik-adik dan orang lain serta menabur kebaikan kepada semua makhluk ciptaan Allah,” sambungnya dengan panjang lebar.
“Alah, kalau Iwan mahukan semuanya sekali. Biar jadi jutawan dalam segala hal...” sampuk Iwan sambil menyengih nakal. Segera Ray menggosok kepala Iwan.
“Ada saja alasan dia ni,” kata Ray. Iwan melarikan dirinya daripada ditumbuk oleh Ray.
Oh ya, Dania,” kata Ray sambil menyeluk poket kemejanya. Ini hadiah daripada Datuk! Abang tak tahu jumlahnya! Lepas Datuk sumbat dalam tangan abang tadi, terus abang sumbat dalam poket,” cerita Ray.
Alhamdulillah,” bisik Dania. Gumpalan not terus disumbatkan ke dalam poket baju kurung yang dipakainya.
Dania, dalam plastik tadi ada sikit kuih dan sate. Pergi cepat hidangkan. Hujan-hujan ni, perut abang dah lapar,” suruh Ray.
Okey, bang...” jawab Dania. Serta-merta dia mengangkat beg-beg plastik tadi ke dapur. Biar Iwan tolong akak!  Tapi, hadiah daripada Datuk kita kongsi, ya...” Iwan terus membodek sambil mengekori Dania ke dapur.
Sebaik kelibat Dania dan Iwan hilang daripada mata, Ray menyeluk saku seluarnya.
“Ini untuk mak. Untuk kegunaan mak dan persekolahan Dania serta Iwan,” kata Ray. Segumpal not 50 dihulurkan kepada Fazidatul. “1500 gaji pertama Ray sebagai penyelia tapak. Memang Ray dah niat nak bagi pada emak dan adik-adik.”
Habis tu... Ray? Takkan tak mahu guna duit?” tanya Fazidatul. Dia berat hati menerima pemberian itu sebenarnya.
Tak apa, mak! Insya-ALLAH tahulah Ray nak hidup di rantau orang. Lagipun Ray tak perlu fikir tentang sewa rumah, bil api air, telefon. Semuanya Datuk tanggung. Makan minum Ray pun dia tanggung jugak! Cuma Ray yang rasa segan dan kadang-kadang beli nasi bungkus,” jawapan Ray panjang berjela.
Syukurlah,” balas Fazidatul perlahan. Lega hatinya mendengar cerita daripada Ray itu.
Tapi, mak... kalau Dania dapat sambung belajar di sekitar Kuala Lumpur, kalau dia tak dapat duduk di asrama, Ray akan sewa rumah dan duduk dengan Dania,” beritahu Ray. Kalau Datuk benarkan,” sambungnya lagi.
Berderau darah Fazidatul apabila mendengar cadangan Ray itu. Ray nak duduk berdua dengan Dania?” soalnya.
Ray mengangguk. Itulah cara yang terbaik dan selesa. Fazidatul menggaru-garu belakang telinganya. Kemesraan Ray dan Dania yang dilihatnya sewaktu berpayung tadi seolah merentap tangkai hatinya. Inikan pula hendak melepaskan mereka duduk berdua-duaan dalam sebuah rumah dan jauh pula daripada pandangan matanya.
Ray,” kata Fazidatul perlahan. Ulas bibirnya bergetar tiba-tiba. Anyaman duka di jiwanya semakin ketat. Susah benar hatinya apabila mendengar kehendak Ray itu. Tanpa disedari, dia mengeluh kuat bagai ingin membebaskan gelisah hatinya.
Kenapa mak? Mak bimbang Ray apa-apakan Dania ke?” tebak Ray. Dia kan adik, Ray! Mak dan arwah ayah bukan tak pernah beri didikan agama pada Ray,” sambung Ray perlahan. Banyak sangat berita yang dipaparkan oleh media, kisah sumbang mahram antara adik-beradik.
Abang Ray!  Mak!  Jomlah, kita makan!” laung Iwan dari muka pintu dapur.
Jom Ray, kita pergi makan,” ajak Fazidatul.
Wah! Bau kopi O yang Dania buat, sedap!” puji Ray. Kakinya terus melangkah ke ruang tempat Dania menghidangkan makanan.
“Oh ya, Dania. Ke sini!” ajak Ray sambil meraba-raba poket seluarnya kiri dan kanan.
Dania menghampirinya. Ray menghulurkan tangannya.
Tahniah! Sebab dapat keputusan cemerlang!” katanya sambil memeluk dan mencium ubun-ubun adiknya itu. Ini hadiah daripada abang!”
Ray memakaikan rantai tangan yang dibelinya ke tangan Dania. Harganya tak mahal! 55 ringgit saja,” sambung Ray lagi. Sekali lagi ciumannya mendarat di ubun-ubun Dania dan dia memeluk gadis itu kuat-kuat.
Fazidatul membuang pandangan jauh-jauh. Pada saat itu, hatinya bagai dikeruk.

Tiada ulasan: