|
|
Jasmin bergolek-golek di atas katil sambil memegang bingkai
gambar Iskandar. Puas diamati wajah lelaki yang kian lama telah bermukim di
hatinya itu. Lamunannya menjalar pula pada pertemuan mereka yang terakhir
tengah hari kelmarin. Segala episod sewaktu dia bersama Iskandar terakam dalam
ingatan. Dari restoran sehinggalah mengekori wanita yang disyaki menjadi isteri
kedua papanya. Setelah itu, mereka pergi ke Perkasa Holding dan bertembung
dengan papanya dan Ray.
“Mengapa aku asyik
teringat pada Ray?” bisiknya sendiri. Bayangan wajah Ray semakin menghimpit
hatinya. “Kat mana aku jumpa dia
sebelum ni ya?” Puas dia cuba mengingati, namun memorinya gagal memberi
imbasan. Saat itu, dia berasa begitu kecewa. Jika dia tidak waras mahu sahaja
mengetuk kepalanya dengan tukul besi supaya ingatannya sempurna berfungsi.
Telefon bimbitnya dicapai. Lantas nombor telefon Iskandar didail.
“Is...
tolong Jess,” katanya kepada Iskandar.
“Nak
tolong apa?” tanya Iskandar yang sedang berada di pejabat Megah Enterprise.
“Tolong beritahu mama you yang kita dah jumpa dengan rumah madunya?” gurau Iskandar.
“Bukan
tulah! Soal madu mama tu, Jess akan beritahu dia sekejap lagi. Sekarang ni,
mama tak ada kat rumah...” balas Jasmin. “Is.... tolong siasat siapa Ray,”
rengek Jasmin manja. Iskandar ketawa terbahak-bahak.
“Kenapa
pulak? Kelmarin you beria-ia benci pada dia!
Lebam-lebam paha I kena kutil sebab I asyik cerita tentang dia,” balas
Iskandar.
“Entahlah
Is! Perasaan I rasa tak sedap!” adu Jasmin. Memang benar sejak dia bertembung
dengan Ray di tempat parkir di Perkasa Holding
bersama papanya, perasaan dia jadi luar biasa. Asyik teringat kepada
pemuda itu sahaja.
“Apa
yang tak sedapnya?” tanya Iskandar. Hairan juga memikirkan yang Jasmin begitu
prihatin tentang Ray pula. “You takut dia pulak menjadi saingan you? You dah
ada adik. You bimbang pulak Ray tiba-tiba menjadi abang you! Begitu ke?” usik
Iskandar. “Daripada dia menjadi abang you, lebih baik dia jadi kekasih you,”
perli Iskandar.
“Is!”
pekik Jasmin dengan perasaan marah. Kata-kata yang diungkap oleh Iskandar itu
menerbitkan rasa takut di hatinya.
“Bukan
ke kita berdua dah lama bercinta? Takkan semudah tu Jess nak ubah perasaan Jess
kepada lelaki lain pulak,” jelas Jasmin dengan suara manja.
Iskandar
senyum sinis. Pesanan dan amaran daripada neneknya terpiang-piang di telinga.
“Is...”
panggil Jasmin apabila Iskandar tiba-tiba membisu. “Is...” ulangnya lagi
apabila tidak mendapat respons. Kali ini suaranya lebih nyaring.
“Sorry,
sorry... terkhayal pula sekejap,” dalih Iskandar.
“Berbalik pada hal tadi. Tolonglah, Is...
nanti Jess bagi upah! Is pakatlah dengan Mukhriz,” cadang Jasmin.
“Jess
nak upah dengan apa? Kalau setakat belanja makan... tak payahlah,” balas
Iskandar. “Lagipun... apa yang hendak disiasat? Latar belakangnya? Keluarga
dia? Di mana dia tinggal? Macam tu ke?” soal Iskandar.
“Bijak
pun Is,” puji Jasmin. “Bila kita boleh mula?” tanyanya begitu bersemangat.
“Cik
adik! Sekarang ni, saya sedang sibuk di pejabat. Saya bukan anak orang kaya
macam awak. Duduk goyang kaki kat rumah pun kemewahan datang
mencurah-curah! Syarikat bapak saya ni
dah semput,” kata Iskandar dalam tawa sinisnya.
“Is,
tak payahlah kita bercerita pasal kerja. Jess tak sukalah. Buat berat kepala
aje,” balas Jasmin. “Pasal Ray ni, siapa yang Jess boleh upah untuk intip dia?”
tanya Jasmin.
“I
tak ada idea, Jess. You cuba tanya Mukhriz.” Iskandar semakin bosan dengan
telatah Jasmin. “Jess, nanti I call you balik. Ada seseorang nak jumpa I
ni,” beritahunya.
Mukhriz
sedang berdiri tercegat di hadapannya.
“Is!”
keluh Jasmin tidak puas hati, namun Iskandar sudah pun menekan butang merah di
telefon bimbitnya.
Iskandar
merenung telefon bimbitnya seketika sebelum menyimpannya di dalam laci meja.
“Dah
lama tak datang melepak kat sini?” tanyanya sambil berjabat salam dengan
Mukhriz.
“Macam
mana nak datang? Kat tempat kerja dah ada spy Datuk,” jawab Mukhriz lalu
duduk di kerusi.
“Hari
ni spy Datuk pergi ke mana?” tanya Iskandar sambil ketawa. Wajah Mukhriz
yang monyok menggeletek hatinya.
“Entah!
Aku telefon, katanya nak bawa Datuk pergi ke Kajang,” jawab Mukhriz dengan
perasaan bengkak.
“Kenapa
kau monyok pulak?” Wajah Mukhriz yang kusut dan sugul direnung seketika.
“Takut
pecah lubang! Sekarang ni, Datuk dah tak percaya kepada aku lagi,” adunya.
“Eh,
kau kan dah lama kerja dengan Datuk? Lagipun mak tam tu kawan rapat Datin.
Takkan Datuk tak percaya kepada anak sahabat karib isterinya,” ujar Iskandar.
“Memanglah
dah lama kerja dengan dia. Tapi sekarang ni sikap Datuk terhadap aku nampak
berubah,” balas Mukhriz. “Dulu, setiap laporan yang aku bagi dia tak pernah
komen. Barang-barang yang akunak beli untuk projek binaan
tu, dia sign aje. Kalau dia suruh Mat Tegak tu periksa stok pun aku
masih selamat lagi. Aku boleh pakat-pakat dengan Mat Tegak. Semua dokumen Datuk
tandatangan akhirnya, tanpa kompromi,” ceritanya bersungguh-sungguh.
“Sekarang
ni?” tanya Iskandar. Sengaja hendak mengorek rahsia sepupunya itu.
“Kau
dah lupa ke Is? Ray dah jadi penyelia tapak,” jawab Mukhriz. Iskandar menepuk
dahi.
“Penyelia
tapak barulah yang kira semua stok barang.Macam mana aku nak kelentong Datuk,”
tukas Mukhriz sambil menepuk meja. “Kalau tak dalam dua minggu aku boleh bedal
duit Datuk dalam empat hingga enam ribu. Itu untuk satu perkara saja. Hal
material untuk projek tu. Belum masuk lagi hal gaji pekerja,” ceritanya tanpa
rasa segan. “Setiap pekerja, aku boleh belasah duit Datuk dalam 50 ringgit satu
kepala,” sambungnya lagi. “Kalau kuli ada 200 orang? Cuba kau kira berapa?”
soal Mukhriz.
“Tapi
taklah aku buat tiap-tiap bulan. Nanti orang tua tu perasan pulak!”
Iskandar
cuba mencongak. Banyaknya duit Datuk Wahab yang Mukhriz pulun. ’Kalau Datuk
tahu ni, mahu kena sumbat dalam penjara sepupu aku ni!’ bisik hati Iskandar.
Kalau dia cuba menasihatkan Mukhriz pun, mustahil sepupunya itu akan mendengar.
“Sekarang
ni, gaji pekerja pun Datuk dah suruh Ray yang urus!” Sekali lagi Mukhriz
menepuk meja dengan perasaan geram.
“Alah!
Apa yang kau susah hati sangat Mukhriz,” kata Iskandar. “Awana Mall tu sekarang
ni di bawah seliaan Wafa Construction. Ray jadi penyelia tapak di bawah Wafa
Construction. Syarikat tu kau yang jadi pengurusnya. Kau yang jadi majikan
dia...” Iskandar cuba memujuk.
“Memanglah,”
setuju Mukhriz. “Tapi, Ray dengan aku... dia bersikap lembu kenyang. Buat
selamba. Semua kerja yang aku suruh buat, dia buat aje tanpa bantahan. Walaupun
kerja yang aku suruh tu tak sesuai dengan jawatannya sebagai penyelia tapak,” bicara
Mukhriz terhenti seketika.
Iskandar
hanya menunggu sepupunya itu meneruskan cerita.
“Kalau aku suruh dia panjat tiang.
Dia panjat juga walau pun sampai ke tingkat yang paling tinggi. Pandai dan
cekap dia memanjat. Dah macam monyet. Agaknya budak kampung tu pernah panjat
pokok kelapa kot,” sambung Mukhriz. Sempat pula dia mengutuk pemuda yang
menjadi kebenciannya itu. “Kalau aku suruh dia terjun dalam lubang untuk
periksa apa-apa kerja yang sudah dilakukan oleh kuli-kuli, dia turun jugak
dalam lubang tu... Tak pernah dia protes! Belum lagi Datuk marah atau beri
amaran kepada aku kerana buli Ray di tempat kerja.” Bicara Mukhriz akhirnya
terhenti.
“Kalau macam tu, baguslah! Kenapa
pula kau tak berpuas hati?” sanggah Iskandar.
“Kan dari awal lagi aku kata, aku
takut tembelang pecah! Is, kau tak tahu dah berapa banyak duit Datuk aku dah
gasak!” Mukhriz membuka pekungnya sendiri.
“Duit dari pembekal material pun
aku gasak jugak,” terang Mukhriz. “Aku beli barang terpakai, tapi aku suruh dia
orang claim dengan harga barang semasa. Yang lebih tu, akulah balun!”
jelas Mukhriz tanpa rasa bersalah.
“Kau ni, Mukhriz...” keluh
Iskandar kesal sambil menggelengkan kepalanya.
“Betul
ke apa yang Jess cakap ni?” tanya Datin Julaidah. Masih ragu dan curiga.
“Betullah,
mama. Jess dah pergi ke rumahnya. Iskandar cam sangat perempuan tu. Mujur kami
ternampak dia di sebuah restoran lalu kami ekori dia,” jawab Jasmin
bersungguh-sungguh.
“Kalau
begitu bagi mama alamatnya,” tegas Datin Julaidah. Dadanya berombak kencang
menahan sebak.
“Mama nak pergi serang dia? Orait! Bagusnya!” balas Jasmin
sambil menepuk tangan dan ketawa kegembiraan. Serta-merta dia mencapai kertas
nota yang terletak di meja tulis papanya dan mencatat alamat rumah di Taman
Putra itu.
“Nah, alamatnya, mama. Good
luck,” katanya gembira. “Mama nak Jess temankan ke? Boleh Jess bantu mama
cakar-cakar muka perempuan yang tak tahu malu tu.”
“Tak perlu... tak perlu. Biar mama
uruskan sendiri,” balas Datin Julaidah menahan esakan.
“Bila mama nak pergi?” tanya
Jasmin penuh minat. Rasa tidak sabar hendak melihat reaksi papanya jika
mengetahui tembelangnya selama ini telah pecah. Biar dia kena serangan jantung!
Kalau papa mati semua harta jadi miliknya!
Rancangan jahatnya semakin mekar.
“Sekarang juga mama nak pergi.
Lagipun papa tak ada, kan? Biar senang mama buat perhitungan dengan perempuan
tu,” balas Datin Julaidah.
“Yes! Cepat bertindak mama! Sebelum perempuan tu kikis harta
benda papa,” acum Jasmin.
Datin Julaidah tidak membalas. Dia
terus meninggalkan Jasmin dengan langkah longlai. Sebagai mana longlai hatinya
saat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan