Khamis, 7 Jun 2018

SAPU TANGAN BIRU - BAB 36



Hujan mulai renyai sebaik sahaja kereta yang dipandu Ray meninggalkan Kajang. Ray terpaksa mengurangkan kelajuan. Pandangannya terhalang oleh titisan hujan yang kerap dan semakin lebat. Datuk Wahab yang duduk di bahagian belakang pun tidak bersuara sejak dari tadi. Mungkin sedang hanyut dalam fikirannya sendiri.
“Ray... hmm... hantar saya balik ke rumah Datin Julaidah.  Lepas tu, Ray terus balik ke rumah Zarina,” arah Datuk Wahab tiba-tiba.
“Baik, Datuk...” jawab Ray lembut. Matanya terus terfokus ke arah jalan raya yang basah dan kenderaan yang berjajaran.
“Ray tak tahu rumah tu, kan?” tanya Datuk Wahab kembali.
Ray menggeleng. Dia memang belum pernah pergi ke rumah isteri pertama Datuk Wahab. Selalunya jika ada urusan dan Datuk Wahab memerlukan khidmatnya, lelaki itu akan menyuruhnya mengambil di pejabat. Dari rumahnya ke pejabat biasanya Datuk Wahab dihantar oleh pemandunya yang seorang lagi. Pak Man namanya.
Tak berapa pasti, Datuk...” beritahu Ray jujur. Berterus terang lebih baik untuk menjimatkan masa dan minyak kereta. Tidak guna hendak menunjuk pandai pada saat itu.
Ray masuk jalan ke Bukit Damansara,” suruh Datuk Wahab. Ray mengangguk tanda faham.
 “Ray...”
Saya, Datuk...” jawab Ray. Matanya merenung Datuk Wahab melalui cermin.
Saya inginkan pendapat Ray,” ujar Datuk Wahab lagi.
Ray mendengar lelaki itu mengeluh perlahan. Dia sempat melihat Datuk Wahab dengan penjuru matanya. Walaupun keluhannya kedengaran berat, air muka lelaki itu tetap tenang. Ray menunggu lelaki itu meneruskan kata-katanya dengan sabar.
“Saya ingin tahu pendapat Ray tentang satu perkara,” katanya lagi. Datuk Wahab meletakkan surat kabar yang sedang dibacanya ke sisinya.
Silakanlah, Datuk...” balas Ray. Dia memasang telinganya betul-betul. Bersedia mendengar kata-kata yang akan dilontarkan oleh Datuk Wahab beberapa ketika nanti.
Apa perasaan Ray...” Kata-kata yang ingin diungkapkan seolah-olah tersangkut pula di kerongkong. Serba salah pula dia untuk  meneruskan kata-katanya.
Perasaan tentang apa, Datuk? Saya...” Ray pula kehilangan kata-kata.
Kalaulah dari kecil Ray diambil menjadi anak angkat oleh seseorang...” kata Datuk Wahab sambil matanya memerhati ke depan. Banyak kenderaan yang berhenti. “Kenapa jammed pulak ni?” tanyanya. Datuk Wahab cuba mengintai-intai melalui tingkap kereta.
“Ada accident kat depan sana, Datuk,” beritahu Ray apabila melihat kenderaan berderet-deret bergerak perlahan. Akhirnya, perbualan mereka beralih topik pula. Datuk Wahab sibuk berhujah tentang punca-punca kemalangan jalan raya yang kerap sangat berlaku di negara ini. Persoalannya tentang anak angkat mati begitu saja.
“Rumah saya di hujung sana,” beritahu Datuk Wahab sambil menunjukkan dengan ibu jarinya. Dari jauh lagi, Ray sudah nampak sebuah rumah tersergam indah dikelilingi kota batu yang tinggi dan kukuh. Rumah bunglo tiga tingkat berwarna kuning air. Pintu pagarnya terbuka secara automatik sebaik sahaja muncung kereta menghampiri. 


            Villa Kasih Wafa
Tertera pada papan tanda kayu berukiran menyebabkan bibir Ray senyum tipis. ‘Macam tajuk novel aje,’ kata hatinya. Jasmin yang sedang duduk bermalas di taman mini di tepi rumah segera menjenguk apabila melihat Honda Accord putih memasuki bawah porch.
Papa,” sapa Jasmin sebaik papanya turun dari kereta. Papa dari mana?” tanya Jasmin manja.
Datuk Wahab tidak menjawab. Dia memberi isyarat tangan supaya Ray keluar dari kereta.
“Papa...” seru Jasmin apabila Datuk Wahab tidak mengendahkan sapaannya itu. Dia masih memerhati Ray yang sedang berjalan menghampiri mereka. Jasmin menjeling tajam. Apabila bertembung pandang dengannya, Ray merenung ke arah lain sambil menyebakkan rambutnya yang terurai di dahi.
Jess, ajak Ray masuk ke rumah. Pergi bancuhkan dia minuman!” arah Datuk Wahab kepada Jasmin.
Ah, kenapa pulak Jess kena bancuh air untuk budak haprak ni pulak?” balas Jasmin dengan biadab lantas meninggalkan papa dan Ray serta-merta.
Berdesing telinga Ray mendengar kata-kata kesat itu. Pipinya rasa menghangat. Namun, dia buat tak tahu. Masih mempamerkan ketenangan di wajahnya.
Jom masuk, Ray...” desak Datuk Wahab.
Tak apalah, Datuk... biar saya baliklah. Lagipun dah nak maghrib ni,” tolak Ray dengan sopan. Solat di sini pun boleh,” gesa Datuk Wahab lagi. Teringin juga dia memperkenalkan Ray kepada Datin Julaidah.
Tak apalah, Datuk. Saya segan pada anak gadis Datuk.” Akhirnya, Ray berterus terang. Menyembunyikan perasaan geram dan meluatnya.
Okeylah. Kalau Ray tak mahu, saya tak boleh nak paksa,” balas Datuk Wahab. Pergilah balik. Bawa kereta elok-elok...” pesan Datuk Wahab.
Ray beredar ke kereta sebaik sahaja bersalaman dan mencium tangan lelaki itu. Tanpa berlengah, enjin kereta dihidupkan sebaik sahaja dia duduk di tempat pemandu.
Assalamualaikum, Datuk. “Kata Ray sambil mengundurkan keretanya.
Waalaikumusalam,” jawab Datuk Wahab.
Ray sempat menjeling ke pintu masuk rumah besar itu. Dia perasan Jasmin sedang memerhatikannya. Telinganya terpiang kata-kata kasar yang diungkapkan oleh Jasmin tadi. Dia beristighfar sendiri.
Azan maghrib sudah kedengaran sebaik sahaja Ray memasuki pekarangan rumah Zarina.
Ray!” panggil Zarina sebaik sahaja Ray memarkirkan kereta. Ray terus menghampiri. Ray hantar Datuk ke pejabat ke?” tanya wanita itu.
“Datuk suruh hantar dia ke rumah,” jawab Ray. “Kenapa auntie?” Sore itu, wajah Zarina nampak berduka. “Auntie nampak runsing...” ujarnya lembut.
“Ray...” bisik Zarina hampir teresak, namun ditahannya juga. Bimbang pula emosinya jadi tidak menentu.
Ray terus merenung Zarina yang nampak seperti ingin bercerita sesuatu dengannya.
“Datin datang ke sini,” beritahu Zarina. Entah mengapa dia ingin berkongsi cerita pula dengan anak muda itu. Sedangkan suaminya sendiri belum diberitahu lagi.
“Ya ke? Dia apa-apakan auntie, tak? Dia datang dengan siapa?” tanya Ray sambil merenung ke wajah Zarina yang tetap manis dan tenang walaupun dalam kedukaan.
“Dia datang sorang. Hmm... tak apalah, Ray. Pergilah berehat! Kalau tak ada apa hal, malam ni tolong temankan auntie,” ajak Zarina. Terasa segan pula hendak meluahkan kesedihan kepada anak muda itu.
Insya-ALLAH. Kita nak ke mana?” tanya Ray sambil tersenyum.
Auntie nak cari baju mandi untuk Eisha. Ahad ni, kita pergi bawa dia ke Sunway Lagoon ya,” ajak Zarina lagi.
Ray mengangguk.
Tapi kalau Ray rasa letih...”
Tak apa, auntie... malam nanti kita pergi. Selepas isya ya...” pintas Ray belum sempat Zarina menghabiskan kata-katanya. Zarina senyum senang hati.
Saya masuk ke bilik dulu, auntie.... ” pamit Ray.
Hujan renyai dari petang tadi membawa ke malam. Datin Julaidah, sejak tengah hari tadi masih melayani tangisannya. Berkali-kali dia cuba memujuk hati. Sedar akan kekurangan diri. Sedar... suami bukan hak mutlak seorang isteri. Bukan. Sekejap sahaja hatinya terpujuk. Air mata pun mereda. Selang beberapa minit, dia akan mengenang kembali. Dalam diam hatinya dirobek-robek oleh suami yang mengaku mencintainya sepenuh hati. Sekali lagi pipinya dibanjiri air mata.
Kenapa ni, Jun? Dari tadi abang tengok Jun bersedih,” ujar Datuk Wahab sebaik sahaja dia selesai solat isyak. Isterinya itu masih meniarap di atas katil.
Dari tadi Jun bermuram durja. Bergundah-gulana. Macam anak gadis belasan tahun yang ditinggalkan kekasih aje,” ungkap Datuk Wahab cuba berlawak.
Tak ada apa-apa, bang...” jawab Datin Julaidah sambil teresak. Masih ingin menyembunyikan punca tangisan.
Takkanlah tak ada apa-apa,” bidas Datuk Wahab lembut. Wajah muram isterinya itu terus direnungi.
Terluka hati dengan abang ke atau dengan Jess?” tebak Datuk Wahab.
Datin Julaidah menggelengkan kepala. Jun terluka dengan diri sendiri, bang. Dengan nasib seorang wanita...seorang isteri,” balas Datin Julaidah dengan nada merajuk.
Hai... lain macam aje bunyinya tu! Merajuk dengan abang, eh?” pujuk Datuk Wahab lembut. Tak usahlah kita rajuk-merajuk, Jun...” ujar Datuk Wahab lagi. Air yang jernih jangan kita kocak-kocakkan. Kejernihannya akan bertukar menjadi keruh. Bila dah keruh, apa yang ada di dalam air tu, kita tak nampak lagi. Ada kaca ke... batu ke...buaya ke,” sambung Datuk Wahab cuba berkias.
Abang ni memang pandai bermadah helah,” tempelak Datin Julaidah tanpa memandang kepada suaminya itu.
Helah apa pulak ni, Jun... abang tak fahamlah,” balas Datuk Wahab.
Memang abang takkan faham sebab abang tak faham hati seorang wanita,” tukas Datin Julaidah pula.
Astaghfirullahalazim! Kenapa dengan Jun malam ni? Asyik dari tadi sebut soal wanita... wanita! Nak jadi calon dalam pilihan raya ke? Nak memperjuangkan hak-hak wanita,” gurau Datuk Wahab. Kalau abang tak faham hati seorang wanita, takkanlah Jun boleh hidup dengan abang selama ni. Dah 20 tahun lebih,” balas Datuk Wahab sambil ketawa. Kegalauan hati seorang wanita tidak boleh diambil serius sangat. Bimbang akan mencetuskan pertengkaran.
Hidup bersama sampai 1000 tahun pun tak ada makna, bang. Kalau hati abang berterbangan ke sana dan ke sini,” sindir Datin Julaidah. Dia bertekad tidak akan memberitahu suaminya itu yang dia telah bertemu dengan Zarina. Dia mahu suaminya sendiri mengaku dan berterus terang.
Apalah Jun, ni! Kalau tubuh abang ada kat sini, hati abang pun ada kat sini jugaklah. Kalau hati berterbangan ke sana sini, alamat kojollah,” seloroh Datuk Wahab. Jun ni, suka sangat terpengaruh dengan cerita fiksi! Tak mahu percaya dengan fakta,” usik Datuk Wahab.
Datin Julaidah menjeling tajam. Abang!” panggil Datin Julaidah kuat.
Datuk Wahab menoleh.
“Ceraikan saya!” Tanpa sedar terpacul kata-kata itu daripada bibir Datin Julaidah.
“Kenapa dengan awak ni?” tanya Datuk Wahab terkejut. Direnungnya wajah Datin Julaidah yang sugul dan kusut. “Dah tua-tua ni tak payah nak bercerai-berai lagi!” kata Datuk Wahab. Nada suaranya masih cuba dikawal.
“Jun tak peduli! Apa nak jadi-jadilah!” bentak Datin Julaidah.
“Masalah apa yang kita hadapi sehingga kena bercerai, berpisah?” tanya Datuk Wahab sambil menekan suaranya. “Jangan ikut hati, kata orang-orang tua,” nasihat Datuk Wahab perlahan.
“Jun lebih rela mati daripada dimadukan,” jerit Datin Julaidah. Kata-katanya itu disambut oleh Datuk Wahab dengan tawa.
“Apa yang lucu sangat ni?” marah Datin Julaidah.
“Selama ni kan, kita hidup bahagia dan rukun damai aje, Jun...” jawab Datuk Wahab. Persoalan madu yang disebutkan oleh isterinya itu langsung tidak diberi perhatian.
“Apa yang Jun nak semua abang adakan. Alhamdulillah, rezeki yang ALLAH bagi pun mencurah-curah...”
“Abang ingat harta benda boleh buat hati Jun bahagia?” soal Datin Julaidah.
Sekali lagi Datuk Wahab ketawa. “Selama ni, Jun tak pernah beritahu pun yang Jun hidup menderita bersama abang,” jawab Datuk Wahab lembut. “Sejak bila Jun rasa hidup terseksa sehingga sanggup mati? Sejak bila?”
Datin Julaidah terdiam. Baru hari ini! Baru hari ini, dia berasa terseksa. Setelah bertemu dengan Zarina yang mengaku sebagai madunya.
“Sejak hari ni dan sehingga saya mati... jika abang tak ceraikan saya!” tegas Datin Julaidah.
“Apa yang Jun fikirkan ni?” soal Datuk Wahab. Permintaan isterinya itu sukar untuk diterima. Mustahil dia menurut kehendak isterinya itu.
“Awak tak fikir tentang anak kesayangan awak tu?” pujuk Datuk Wahab. “Kalau kita berpisah nanti macam mana dengan dia?” tanyanya.
“Abang jangan nak tukar topik pulak,” balas Datin Julaidah dalam nada tegang. Lautan hatinya semakin bergelora apabila melihat reaksi suaminya yang selamba.
“Abang...” panggil Datin Julaidah.
Datuk Wahab menoleh.
“Abang mesti ceraikan saya! Saya dah jumpa Zarina! Saya tak mahu dimadukan walau apa pun sebabnya. Titik!” tegas Datin Julaidah.

Tiada ulasan: