|
|
Dua pasang baju mandi untuk Eisha Safiya sudah dibeli. Sepasang
berwarna merah jambu, sepasang lagi berwarna hijau. Ray hanya memerhati dua
beranak itu memilih apa-apa barangan yang ingin dibeli oleh mereka. Dia berdiri
dalam jarak 10 kaki daripada Zarina dan Eisha Safiya. Matanya meliar ke kiri
dan kanan. Maklumlah di pusat membeli belah begitu pun, tak lepas dari kejadian
jenayah ragut dan samun.
“Ray,” panggil Zarina. Ray
merapatinya. Beg-beg kertas di tangan wanita itu diambilnya.
“Mama, kita lenguh
kakilah,” rengek Eisha Safiya. Kali ini, dia menghulurkan tangannya kepada
Zarina, minta didukung.
“Sekejap saja mama boleh
dukung,” beritahu Zarina. “Lepas tu, Eisha jalan sendiri, Okey,” pujuknya.
“Okey, kita janji,” balas
Eisha Safiya.
“Ray, jom kita pergi ke
tingkat empat. Bahagian lelaki,” ajak Zarina.
Ray
hanya mengangguk dan menurut langkah Zarina menuju ke eskalator. Eisha Safiya
diturunkan dari dukungan sebaik sahaja sampai di bahagian pakaian lelaki.
“Mama
nak pilih baju, sayang,” beritahunya lembut.
“Okey,”
akur Eisha Safiya. Dia mendekati Ray dan memegang tangan anak muda itu serta
mengheretnya berjalan ke sana dan ke sini.
“Ray,
pergi cuba baju dan seluar ni. ”
Zarina
tiba-tiba muncul di belakang Ray yang sedang memeluk Eisha Safiya. Terkejut
anak muda itu. Matanya merenung tangan Zarina yang bergayutan dengan beberapa
pasang baju dan seluar.
“Auntie...
untuk apa ni? Sa... saya...” Ray tergagap-gagap. Pakaian yang dipilih oleh
wanita itu semuanya berjenama dan mahal harganya. Tidak layak untuk dia
memakainya. Duit di dalam dompetnya hanya ada RM300. Sedangkan harga pakaian
yang dihulurkan oleh Zarina kepadanya, sepasang pun melebihi angka itu.
“Saya
tak mampu nak beli baju-baju ni, auntie...” beritahu Ray berterus terang.
Zarina
senyum dan menepuk bahu Ray. “Pergi cuba dulu. Baju dan seluar ni, auntie
belikan untuk Ray,” pujuk Zarina. Dada Ray ditolaknya lembut mendesak pemuda
itu segera ke fitting room. “Datuk yang suruh,” beritahu Zarina lagi.
Dalam
rasa serba salah, Ray terpaksa menurut.
Zarina
menunggu Ray di luar pintu bilik. Setiap kali dirasakan pemuda itu sudah
selesai menyalin pakaiannya, dia mengetuk pintu.
“Buka
pintu, Ray... biar auntie tengok,” katanya.
Sekali
lagi Ray terpaksa menurut. Dia malu-malu asam apabila Zarina dengan mesra
menyentuh-nyentuh tubuh dan membetul-betulkan pakaian yang dipakainya. Siap
disuruhnya berpusing-pusing ala model.
“Okey! Sweet,” puji Zarina sambil senyum. Ray
memang seorang pemuda kacak. Semua gadis yang melihat pasti akan cair hatinya.
Jasmin yang sombong itu pun akan cair hatinya!
Hati Zarina berbisik nakal.
“Terima
kasih, auntie...” kata Ray. Di tangannya kini sudah penuh dengan beg-beg
kertas.
“Jom
kita balik, dah pukul 10.30 malam,” ajak Zarina. Dia terus berjalan beriringan
dengan Ray menuju ke eskalator untuk turun ke tingkat bawah.
“Abang
Ray, nak dukung... Eisha gayat naik es... es... ka... la... tor,” beritahu
Eisha Safiya. Perkataan eskalator disebutnya lambat-lambat bimbang tersalah.
“Okey,”
kata Ray. Dengan beg yang penuh di tangan, dia mengangkat Eisha Safiya. Telinga
Ray tertangkap suatu bunyi aneh. Bunyi ketikan yang amat perlahan. Dia
memerhati ke kiri dan ke kanan dengan penjuru matanya. Baru dia perasan ada
seorang pemuda berkepala botak yang sentiasa berdekatan mereka sejak dari
tempat parkir kereta tadi.
“Bagi
auntie pegang beg tu, Ray.”
Ray
menurut. Dia cuba mencari pemuda tadi sekali lagi. Hampa. Zarina berdiri rapat
dengan Ray di atas eskalator. Pergerakan eskalator yang agak laju pada malam
itu menyebabkan dia berasa gayat dan pening. Mahu tak mahu, dia terpaksa berpaut
pada lengan Ray yang sedang mendukung Eisha Safiya untuk mengelakkan dirinya
daripada terjatuh kerana terasa pening.
“Auntie
gayat ke?” tanya Ray. Dia menjeling sekilas kepada Zarina yang memejamkan
matanya sesekali.
“Lajulah
eskalatornya... Auntie rasa nak pitam ni,” beritahu Zarina.
“Nak
pitam?” tanya Ray bimbang. “Auntie pegang saya kuat-kuat,” suruh Ray. Tangan
Zarina terus pindah ke pinggangnya. Nasib baik mereka sudah sampai ke aras
lantai. Jika tidak, dia pasti akan tersungkur. Sekali lagi telinga Ray
mendengar bunyi ketikan. Bukan sekali. Bukan juga dua. Bahkan berkali-kali.
“Mak!” jeritnya. Emaknya tidak
menyahut. Dania terus berlari mendaki anak tangga naik ke rumah. “Mak!”
pekiknya lagi sebaik matanya singgah ke wajah emaknya.
“Kenapa ni Dania...
terpekik-pekik?” soal Fazidatul lalu menghampiri anak gadisnya yang sedang
ketawa girang.
“Dania dapat tawaran masuk
universiti, mak.” Tubuh emaknya dipeluk kuat-kuat. Dicium bertalu-talu pipi
emaknya yang sedang dibanjiri air mata kegembiraan.
“Syukur, alhamdulillah. Dapat
tawaran kat mana, nak?” tanya Fazidatul dengan suara bergetar. “Universiti
Malaya, mak,” beritahu Dania lagi dengan suara penuh teruja. Surat di tangan
dibaca berulang kali seolah tidak percaya dengan apa yang diperolehi.
“ALLAH sampaikan cita-cita Dania,
mak. Dania memang mahu belajar di UM. Abang Ray pun sama. Dia mahu Dania
sambung belajar di situ,” kata Dania penuh teruja.
“Syukurlah! Alhamdulillah,” ucap
Fazidatul. Ubun-ubun Dania diusap-usapnya dengan kasih sayang. Kalaulah Ray
tidak menolak tawarannya dulu, pasti kini mereka akan belajar di tempat yang
sama. Namun apa daya, dia memang tidak mampu untuk menanggung pengajian Ray
waktu itu.
“Bila Dania nak pergi mendaftar?”
tanya Fazidatul.
Dania mengamati surat itu sekali
lagi.
“Lagi tiga minggu, mak,”
beritahunya dengan gembira. Saat itu hatinya bagaikan dihimpuni bunga-bungaan
dari berjuta ladang. “Mak, Dania nak telefon Abang Ray. Mesti dia gembira, kan
mak!”
“Yalah, pergilah telefon. Nanti
sampaikan salam mak pada dia, ya...” setuju Fazidatul. Dia pasti Ray sangat
gembira dengan perkhabaran yang bakal didengarinya nanti.
Beberapa kali dia membaca laporan
yang tercetak. Sejujurnya, dia sendiri tidak begitu berpuas hati dengan
kerjanya. ‘Ah! Gasak kaulah, Datuk! Nanti kau jawablah dengan Awana. Buat apa
aku nak susah-susah, pecah kepala. Bukannya company bapak aku!’ bisiknya
perlahan.
Ketukan di muka pintu mengganggu
fokusnya seketika. “Masuk!” suruhnya dengan suara parau.
Bob menyeringai sambil berjalan
menuju ke mejanya.
“Hah! Buat apa kau datang ke
pejabat aku?” tanyanya kasar. Bob menyengih pula. Sampul surat besar yang
terkepit di celah ketiak diletakkannya di atas meja. Tanpa disuruh, dia duduk
di kerusi di hadapan Mukhriz.
“Bak 10 ribu!” kata Bob tiba-tiba.
Mukhriz tersentak. “Apa hal pulak
aku nak bagi kau 10 ribu? Aku tak pernah ada hutang dengan kau!” tempelak
Mukhriz serius. Fikirannya kini sudah menerawang ke Perkasa Holding. Di dewan
mesyuarat. Di matanya terbayang wajah Datuk Wahab. Kehadiran Bob pada saat itu
merunsingkan hatinya.
“Kau yang suruh aku ikut budak tu,
kan? Drebar Datuk yang bawa Honda Accord putih tu,” beritahu Bob.
Mukhriz senyum sinis. “Itu dulu,”
balasnya. “Kau dah menyerah kalah, kan sebab dia bawa ke balai polis,” ungkit
Mukhriz disela tawa mengejek.
“Memanglah, tapi kau tak kata pun
yang kerja aku dah berakhir pada hari itu,” tukas Bob. Meradang apabila
diperli.
“Habis tu, apa kerja yang kau dah
buat, sampai minta pada aku 10 ribu? Ingat aku cap duit?” marah Mukhriz. Ekor
matanya menjeling sampul surat yang tertindih oleh lengan Bob yang berbulu lebat.
Dia dapat menjangka isi kandungan sampul surat itu.
‘Jadi paparazi tak bertauliahlah
tu! Terpengaruh dengan drama TV!’ gerutu hati Mukhriz.
“Malam minggu kelmarin, aku
tertembung dengan dia di tempat parkir kereta di sebuah pusat membeli-belah,”
cerita Bob perlahan-lahan.
“Dia seorang?” tanya Mukhriz mula
tertarik dengan cerita Bob.
“Dengan
budak perempuan yang dia ambil di tadika tulah dan seorang wanita muda,”
sambung Bob. “Aku ikut mereka sampai ke KFC,” katanya lagi.
“Apa
yang menariknya?” tanya Mukhriz pula.
Bob
ketawa meleret-leret. Dia menepuk-nepuk sampul surat yang tertindih di bawah
lengannya. “Bagi aku 10 ribu! Semua hal yang menarik kau boleh tengok! Aku rasa
kalau Datuk tengok gambar ni semua, budak itu akan dicincangnya lumat. Kalau betullah
perempuan tu isteri muda dia,” kata Bob sambil menggosok-gosok dagunya.
Mukhriz
merenung Bob dengan perasaan menjengkel bercampur bengang.
“Senang-senang
aje kau singkirkan dia dari Wafa Construction atau daripada kehidupan Datuk
Wahab jika kau dah ada bukti-bukti ini,” hasut Bob pula.
“Kalau
bukan isteri Datuk? Entah-entah emak atau kakak atau nenek budak Ray tu? Kau
dapat percuma saja 10 ribu. Kau ingat aku bangang?” soal Mukhriz dengan
perasaan radang.
“Muktamad
ya? Kau tak mahu semua bukti ni?” tanya Bob. “Aku bakar ya,” katanya sambil
mengeluarkan pemetik api dari kocek baju. Pemetik api dinyalakan dan dicucuh
kepada sampul surat tebal.
Mukhriz
yang melihat menelan air liur. “Apa ni, Bob? Kau nak bakar pejabat ni ke?
Sanggup bayar ganti rugi?” gertak Mukhriz pula. “Bak sini! Tapi, hari ni aku
tak ada duit!” katanya pula. Tangannya meraba-raba poket seluar.
“300
ringgit aje aku ada,” kata Mukhriz lalu menghulurkan not 50 sebanyak 6 keping
kepada Bob.
“Kalau
300 ringgit, aku boleh bagi sekeping saja gambar,” balas Bob. Pantas tangannya
menarik sekeping gambar dari dalam sampul surat. “Kau tengok ni!” katanya
sambil memetik permukaan gambar yang dipegangnya.
“Fuyooo!”
kata Mukhriz. Terbeliak matanya melihat gambar seorang wanita muda yang sedang
memaut lengan Ray sambil berdiri rapat di atas eskalator. Berlatarbelakangkan
sebuah gedung membeli-belah yang terkenal di kota itu.
“Bob!
Bagi aku semualah. Dengan aku pun nak berkira?” pujuk Mukhriz. Dia jadi teruja
untuk melihat semua foto yang ada.
“Eh!
Mana boleh! Bisnes tetap bisnes,” balas Bob.
“Kau pergi jumpa dengan Hawa, kerani aku kat
luar tu. Minta dia petty cash! Kau suruh Hawa bawa ke sini,” kata
Mukhriz sedangkan dia tahu hari itu Hawa cuti sakit. Sengaja dia berhelah.
“Aku
pinjam duit petty cash dulu. Kira bayar deposit pada kaulah. Dalam petty
cash tu rasanya ada tiga ribu,” pancing Mukhriz.
“Hah!
Bergeliga juga kepala otak kau,” puji Bob. Dia terus berjalan keluar
meninggalkan sampul surat di atas meja. Mungkin terlupa. Mukhriz cepat-cepat
meluru ke pintu sebaik sahaja Bob keluar. Punat di tombol pintu ditekannya.
’Habislah
kau kali ni, Ray...’ bisik Mukhriz sambil melihat kepingan foto satu demi satu.
Setelah itu, dia merakam semula semua gambar yang dilihat dengan kamera yang
terdapat pada telefon bimbitnya. Tidak sampai empat minit, semua gambar berjaya
dirakam semula.
Deringan
telefon di atas meja menjerit minta dilayan. “Helo!” jawab Mukhriz.
“Mukhriz!
Awak tidur di pejabat ke?” marah Datuk Wahab di hujung talian. “Apa hal tak
sampai lagi ni?” tanya Datuk Wahab lagi.
“Saya
nak bertolak dah ni, Datuk... ada klien jumpa saya pulak,” bohongnya.
“Cepat
sikit! Kalau tak saya suruh Ray ganti tempat awak! Mahu?” gertak Datuk Wahab.
Gertakan
Datuk Wahab sambil menyebut nama Ray menyebabkan hati Mukhriz rasa terbakar.
“Saya
datang sekarang, Datuk! 15 minit lagi saya sampai,” jawab Mukhriz. Sampul surat
milik Bob disambar dan disepit di celah ketiaknya. Dia terkalut-kalut keluar
dari pejabat dan menuju ke parkir kereta. Bertembung pula dengan Bob di
pertengahan jalan.
“Bob! Maaf, aku nak ke Perkasa Holding. Ada mesyuarat. Ni sampul surat kau. Aku tak
minatlah dengan gambar tu semua! Duit 300 tu nanti, kau pulangkan balik. Aku
nak cepat ni.” Mukhriz bercakap laju sambil berjalan deras. Bunyi berdecit kedengaran
sebaik sahaja dia menekan butang pada punat kunci jarak jauh keretanya.
Bob
memanggilnya berkali-kali.
“Kenapa
Encik Ray?” tanya seorang pekerja di situ yang turut membantunya.
Ray menggaru-garu kepala. Beberapa puluh
kampit simen telah hilang.
“Semalam sewaktu kita kira baki yang tinggal,
semuanya cukup,kan?” tanyanya kepada pekerja Indonesia yang berada di sisinya.
“Cukup,”
setuju pekerja itu. “Semalam ada baki 1099 kampit,” beritahunya dengan yakin.
Dia pun menunjukkan jumlah yang tercatat pada kertas yang terselit pada fail
yang dipegang Ray. “Saya pun sudah tanda tangan sebagai saksi,” sambungnya
lagi.
“Simen
kena curi! Shortage 190 kampit,” beritahu Ray pula. Wajah yang tenang
mulai sugul. Terasa seolah dirinya cuai dan tidak bertanggungjawab. Ray rasa
hendak menangis. Si pencuri begitu pandai mengatur strategi. Kampit-kampit
simen diambil dari palet yang berbeza. Jika tidak dikira betul-betul memang
orang tidak perasan.
“Ya
ke, Encik Ray?” tanya pekerja itu. Dia stidak percaya dengan apa yang
didengarinya daripada Ray. “Lebih kurang satu treler tu, Encik Ray...” tukasnya
cepat.
Ray
mengangguk sambil menggaru kepalanya. Saat itu fikirannya jadi buntu sejenak.
“Awak
pergi kira kampit-kampit simen yang atas palet,” suruh Ray setelah berfikir seketika.
“Kuantiti
kampit simen atas palet dah tak seragam, Encik Ray! Licik betul pencuri itu,”
jerit lelaki itu dari jauh. Dia berjalan menghampiri Ray.
“Buat
laporan polislah, Encik Ray,” nasihat pekerja tadi.
Ray
menganggukkan kepalanya. “Sekarang, tolong saya kira semua jumlah yang ada.
Kita kira sama-sama,” ajak Ray. Tidak mengapalah kalau dia berpenat pun,
asalkan dia puas hati dan yakin dengan segala data yang akan ditunjukkan kepada
Datuk Wahab.
“Baik,
Encik, Ray...” setuju pemuda itu. Ray tidak membenarkan dia mengubah apa-apa
pun, bimbang akan mengganggu siasatan pihak polis nanti.
Ray menulis sesuatu pada
borang. “Nah!
Tandatangan!” Borang yang sudah lengkap dihulurkan kepada pekerja tadi. “Ayuh!
Kita keluar,” ajak Ray sambil berjalan ke pintu stor. “Awak boleh teruskan
kerja, saya nak ke balai polis,” beritahu Ray. Sebelum itu, dia mengitari stor
di bahagian luar melihat jika ada dinding-dinding yang telah diumpil. Semuanya
kelihatan elok dan sempurna.
“Maknanya
pencuri masuk melalui pintu, tapi kunci tu aku yang pegang,” rungut Ray
sendiri. “Kalau nak buat laporan polis mesti beritahu Encik Mukhriz terlebih
dahulu,” fikirnya pula. “Dia pun ada pegang kunci jugak,” kata hatinya. Ray
rasa serba salah. “Lebih baik aku beritahu Datuk dulu. Tanya pendapat dia. ”
Belum
sempat mendail nombor lelaki itu, telefonnya berdering. Panggilan telefon cepat
dijawab.
“Ray,
datang ke Perkasa Holding sekarang juga!” arah Datuk Wahab tegas. Serius
suaranya.
“Baik,
Datuk...” kata Ray. Dengan menggunakan telefon bimbit, dia sempat merakam
gambar palet-palet yang kekurangan kampit simennya dari beberapa sudut.
Semuanya dilakukan dengan pantas.
Sebelum menuju ke kereta, Ray sempat bertemu
dengan pekerja-pekerja di tapak pembinaan.
Dia
mengambil masa tiga minit untuk mengulang kembali arahan kerja-kerja yang harus
dilakukan oleh mereka pada hari itu. Walaupun semalam, sebelum balik mereka
telah dimaklumkan tentang tugas pada hari ini, tapi Ray tetap ingin
mengingatkan mereka.
“Okey,
selamat bertugas!” kata Ray. Seperti biasa sebelum memulakan tugas, mereka
mengadakan upacara berdoa. Memohon daripada ALLAH dilindungkan daripada bala
bencana sewaktu menjalankan kerja-kerja yang berbahaya. Budaya berdoa sebelum
memulakan kerja diamalkan sejak Ray menjadi penyelia tapak di situ.
“Terima
kasih. Saya pergi dulu,” pamit Ray. Dia berjalan laju ke kereta yang terparkir
tidak jauh dari situ. Getaran isyarat mesej di telefon bimbit terpaksa dilayan
sewaktu Ray mula menggerakkan keretanya.
10
panggilan tidak dijawab.
Ray memerhati nombor yang terpapar. Semuanya nombor dari
telefon awam. Ray mengeluh perlahan. Mungkin panggilan itu masuk sewaktu dia
meninggalkan telefon bimbitnya di atas himpunan palet kosong tadi kerana dia
bertungkus lumus memanjat untuk mengira kampit simen.
Perasaannya terus diterpa badai resah. Bimbang Dania
merajuk dan berkecil hati kerana panggilan telefonnya tidak berjawab.
Perkasa Holding
“Saya
dah sampai, Datuk,” jawab Ray. Datuk Wahab menelefonnya tidak sabar. Semakin
banyak persoalan yang menghunjam fikiran Ray. Belum pernah Datuk Wahab begitu.
Mendesak dan tidak sabar.
Pintu
lif terbuka sebaik sahaja Ray tiba di hadapan pintunya. Jarinya menekan nombor
7. Ray bernafas laju.
“Datuk
Wahab nak jumpa saya,” beritahu Ray kepada Natasha yang berada di kaunter
menyambut tetamu.
“Ya...
Encik Ray! Datuk sedang menunggu encik di bilik mesyuarat,” beritahu Natasha
tenang.
Ray
tersentak. “Mesyuarat apa? Saya tak bersedia ni,” kata Ray. Kegelisahan mula
mengikatnya.
Natasha
senyum. “Cepatlah pergi ke bilik mesyuarat tu,” suruhnya pula.
Ray
terus beredar dari situ dengan langkah pantas.
“Bismillahirrahmanirrahim,”
lafaz Ray sebelum mengetuk pintu bilik mesyuarat dan menolak daun pintunya.
Dadanya berdebar. Pertama kali dia menghadiri mesyuarat sejak bekerja dengan
Wafa Construction.
“Assalamualaikum,”
sapa Ray sebaik sahaja masuk ke dalam bilik. Hampir 10 orang yang berada di
dalam bilik itu. Datuk Wahab mengepalai meja berbentuk U. Di situ juga ada
Mukhriz. Daud, jurutera projek. Azlan, arkitek dan beberapa orang lain yang
tidak dikenali oleh Ray.
Ray
terus merapati Datuk Wahab yang menggamitnya. Wajah lelaki itu yang serius
semakin meresahkannya. Datuk Wahab mencoret sesuatu di atas kertas yang
terbentang di atas meja. Ray memahami isyarat yang diberikan oleh lelaki itu.
Dia segera membaca apa yang tercoret.
Ray, tolong saya. Mukhriz gagal bentangkan laporan tentang
status projek Awana Mall dengan terperinci secara profesional. Tolong ya! Yang
hadir dalam bilik ini orang-orang dari Awana Sdn. Bhd... tolong Ray...
Degupan
jantung Ray semakin laju. Permintaan Datuk Wahab menyebabkan dia terjerat
resah. Berat tanggungjawabnya. Ray sempat meraba-raba ke dalam poket seluarnya.
Syukur. Pen drive yang mengandungi semua maklumat yang ditaipnya pada
setiap hari itu ada dibawanya.
Ray
perasan, Datuk Wahab masih merenungnya. Menunggu dan mengharapkan jawapan. Ray
menghela nafas dan mengangguk perlahan. Komputer riba dan LCD pun memang sudah
tersedia. Hanya skrinnya yang tidak memaparkan apa-apa dari tadi.
“Minta
maaf ya, tuan-tuan! Boleh tak beri masa sepuluh minit supaya saudara Ray boleh
buat persediaan?” tanya Datuk Wahab dengan suara yang lantang.
Riuh
rendah jadinya bilik itu apabila semua yang hadir bersuara. “Datuk... tekak kami dah
haus...,” kata mereka.
“Mukhriz, pergi bawa
mereka minum dulu,” arah Datuk Wahab kepada Mukhriz yang berwajah kelat.
Mukhriz
terpaksa akur. Dia bermanis mulut menjemput semua wakil dari Awana Sdn. Bhd ke
bilik yang memang telah disediakan makanan dan minuman untuk mereka yang hadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan