Khamis, 7 Jun 2018

SAPU TANGAN BIRU-BAB 38




Sepuluh minit yang diperuntukkan oleh Datuk Wahab amat suntuk untuk kerja penyuntingan dan memindahkan maklumat ke Microsoft Powerpoint.  Ada beberapa fail yang memang telah disediakan dalam bentuk slide, membuatkan kegelisahan Ray cepat reda. Banyak gambar bangunan yang sedang dibina sudah dirakam menggunakan telefon bimbit dan dimuat naik ke slide. Semua kerja itu dilakukannya di rumah. Ray mencuba tayang di skrin beberapa slide.
Datuk Wahab memerhati Ray dengan perasaan kagum dan bangga. Senyuman meniti di bibirnya.
Saya dah sedia, Datuk...” beritahu Ray tenang. Wajah Datuk Wahab kembali berseri. Tidak lagi serius dan kelat seperti tadi.
Selesai membasah tekak, semua tetamu tadi kembali ke bilik mesyuarat. Datuk Wahab mengenalkan Ray kepada semua tetamu yang hadir. Dia menyebut nama Ray dengan lengkap. Ahmad Raiyan Wafa bin Abdul Wahab.
Tuan-tuan... sebentar lagi, Ray akan membentangkan laporan dan menunjukkan gambar-gambar bangunan Awana Mall yang sedang dalam pembinaan,” umum Datuk Wahab.
Ray terus membentangkan laporan yang dikehendaki. Dia duduk di sebelah Datuk Wahab kerana mengendalikan LCD untuk menayangkan slide di skrin dan menerangkan perkara-perkara yang sepatutnya.
Datuk Wahab sempat memerhati muka Mukhriz yang merah padam. Slide terakhir yang dipaparkan oleh Ray ialah gambar bangunan Awana Mall yang bakal siap. Gambar yang dirakam dari beberapa sudut itu kelihatan amat menarik dan mengagumkan.
Semua yang hadir bertepuk tangan kecuali Mukhriz.
“Bagus, Datuk! Kami sangat berpuas hati dengan perkembangan projek tu,” puji salah seorang wakil Awana Sdn. Bhd. “Nampaknya, Awana boleh membuat pembayaran lebih 30%. Saya suka tengok slide nombor 26 tadi. Saudara Ray merakam gambar pekerja berlatarbelakangkan hasil kerja yang telah dibuatnya. Kaedah ini sebagai satu penghargaan kepada pekerja itu dan memotivasikan mereka secara tak langsung,” sambungnya lagi.
“Cara pembentangan pun sangat kreatif,” puji pula yang lain. “Ada maklumat dan dibuktikan dengan gambar! Syabas!” Pujian yang diberikan sambung-menyambung.
“Anak Datuk ada potensi untuk menerajui Perkasa Holding,” kata wakil Awana Sdn. Bhd. kepada Datuk Wahab sambil berjabat salam dengan Ray.
Datuk Wahab tidak terkata. Dia dan Ray saling berenungan.
“Kita tangguhkan mesyuarat hari ni,” kata Datuk Wahab sambil mencatit sesuatu di dalam diarinya. “Terima kasih semua ya,” ucap Datuk Wahab sambil bersalaman dengan semua hadirin yang ingin keluar dari bilik mesyuarat. Mukhriz cuba melarikan diri.
“Mukhriz!” panggil Datuk Wahab.
Mukhriz menoleh.
“Tunggu di bilik saya,” suruh Datuk Wahab.
“Baik, Datuk...” jawab Mukhriz segera beredar. Tidak mahu dia bertentang mata dengan Ray. Kulit mukanya terasa tebal sejengkal.
“Terima kasih, Ray.” Spontan Datuk Wahab memeluk Ray dengan perasaan yang begitu tersentuh. “Awak telah selamatkan maruah saya,” bisiknya perlahan.
“Sama-sama, Datuk. Saya pekerja. Datuk majikan saya,” jawab Ray dengan suara bergetar.
“Tahniah! Semoga terus berjaya!” ucap Datuk Wahab sambil menjabat tangan Ray erat-erat. Sekali lagi, dia merenung Ray sambil tersenyum bangga.
“Datuk! Saya nak beritahu satu perkara.” Spontan Ray teringat peristiwa yang belum diberitahu kepada Datuk Wahab.
Datuk Wahab mengangguk.
“Simen hilang dari stor sebanyak 190 kampit.”
“Apa?” tanya Datuk Wahab kembali. Dia mengeluh agak kuat. Setelah itu cuba bertenang.
“Stok simen kena curi! Datuk nak saya buat macam mana? Saya belum beritahu Encik Mukhriz lagi,” jelas Ray. “Saya cadang nak buat laporan polis,” beritahunya. “Tapi, saya tak boleh bertindak sendiri tanpa pengetahuan Datuk atau Encik Mukhriz,” jelas Ray lagi.
Datuk Wahab terdiam sejenak. Dia memikir sesuatu. “Biarkan dulu hal ni, Ray,” pesan Datuk Wahab. Dia sudah menjangka perkara ini akan berlaku. Selepas ini juga macam-macam perkara yang akan berlaku, selagi Ray berada rapat di sisinya.
“190 kampit tu banyak, Datuk...” kata Ray.
“Saya tahu, Ray. Kunci stor tu masih guna yang lama, kan? Mukhriz pun ada simpan kuncinya,” kata Datuk Wahab lembut. Wajah risau Ray disoroti. “Nanti kita bincangkan hal ni,” katanya lagi.
Datuk Wahab melangkah ke pintu.
“Datuk...” panggil Ray sekali lagi. “Err... err...” Ray tergagap-gagap pula hendak memberitahu tentang kejadian semalam. Tentang lelaki yang mengekorinya sewaktu menemani Zarina membeli-belah.
“Ray jangan risaukan hal kecurian ni! Saya takkan menyalahkan Ray, sebab saya tahu awak telah menjalankan tugas dengan baik dan penuh tanggungjawab,” ujar Datuk Wahab dengan panjang lebar.
Ray terkedu.
“Ray boleh balik. Sebelum tu tolong hantar komputer riba dan LCD projektor tu pada Natasha ya,” suruh Datuk Wahab.
Ray mengangguk.  Terbantut hasratnya untuk mengadu tentang hal yang sedang memberat di fikirannya. Tentang lelaki yang mengekori dia dan Zarina semalam. Dia segera mencabut plug dan mengemaskan peralatan LCD untuk dibawa keluar dari bilik mesyuarat. Sebelum beredar, Ray mengemas dan mengutip semua kertas yang berselerakan di atas meja.
“Oopss!” Kakinya terpijak sesuatu di atas lantai. Nasib baik baru terkena hujung kasutnya.
“Telefon bimbit siapa ni?” tanya Ray sendiri lalu memungut telefon itu. Diamatinya beberapa ketika. Gambar yang terpapar diskrin memudahkan Ray mengetahui siapa pemiliknya.  Herot bibirnya mengukir senyuman. 


Lewat tengah malam itu, baru Datuk Wahab sampai ke Villa Kasih Wafa. Mahu tak mahu, dia terpaksa juga membuat laporan tentang kecurian yang berlaku di tapak projek Awana Mall.
Dari jauh, pekarangan rumah nampak terang-benderang. Kereta yang dipandu Pak Man terus menuju ke porch. Tempat parkir kereta Jasmin kosong. Namun, kereta Datin Julaidah ada di tempatnya.
“Datin tak keluar ke mana-mana hari ni, Pak Man?” tanya Datuk Wahab.
Pak Man menggeleng. “Pagi tadi saya dengar dia bertengkar dengan Jess,” adu Pak Man. Terkejut juga dia apabila mendengar suara Datin Julaidah dan Jasmin yang menjerit-jerit bagai orang hilang akal.
“Bertengkar?” tanya Datuk Wahab tidak percaya. Isterinya seorang yang lembut hati. Kerap dia mengalah dengan telatah anak gadis itu. Mungkin Datin Julaidah tertekan kerana rahsianya berpoligami telah terbongkar. Datuk Wahab mengeluh.
“Ya, Datuk! Lama juga mereka bertengkar. Saya pun rasa terkejut. Datin tak pernah begitu sebelum ni.”
“Apa yang mereka tengkarkan?” tanya Datuk Wahab. Keluhan Pak Man yang sampai ke telinganya terlebih dahulu.
“Entahlah, Datuk! Saya tak dengar biji butirnya. Lepas tu, saya dengar Jess menangis dan merajuk. Dia terus keluar rumah. Berdesup dia pecut keretanya,” cerita Pak Man.
“Datin pun menangis juga. Bila saya tanya, dia tak mahu cerita pulak,” sambungnya. Belum sempat dia membukakan pintu untuk Datuk Wahab, lelaki itu sudah keluar dari kereta.
“Terima kasih, Pak Man. Bolehlah pergi berehat,” kata Datuk Wahab lalu memasuki rumah. Pintu rumah yang tidak berkunci ditolaknya. Datin Julaidah menunggunya di ruang tamu. Datuk Wahab senyum. Lega hatinya. Sangkanya isterinya itu sudah merajuk dan meninggalkan rumah.
“Kenapa tak tidur lagi, Jun?” tanya Datuk Wahab sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman.
“Jun memang tunggu abang,” jawab Datin Julaidah dengan suara serak. “Ada hal yang Jun nak bincang.”
“Oh ya? Tentang apa?” tanya Datuk Wahab lembut.
“Pasal Jess...” jawab Datin Julaidah. Sikap Jasmin benar-benar membuat dia hilang sabar.
“Jom, kita naik ke bilik. Kita bincang elok-elok,” ajak Datuk Wahab dengan suara lunak. Harap-harap isterinya itu tidak lagi membangkitkan soal perceraian mereka yang ditagihnya sebelum ini.
“Abang naiklah dulu,” suruh Datin Julaidah. Suaranya mulai sebak. Ketenangan dan kelembutan suaminya itu meruntun perasaannya.
“Abang...” panggil Datin Julaidah dengan suara bergetar.  Spontan dia memeluk suaminya itu dan meletakkan mukanya di dada Datuk Wahab.
“Jun minta maaf,” ungkap Datin Julaidah. Tangisannya tidak dapat ditahan lagi. Kelmarin, dia bersungguh-sungguh memarahi suaminya itu sehingga tergamak meminta cerai. Sedangkan selama suaminya mempunyai isteri lain, dia tidak pernah diabaikan walau sebesar debu.
“Tak apa. Jun tak pernah bersalah apa-apa dengan abang. Abang yang banyak buat salah. Abang yang lukakan hati Jun...” kata Datuk Wahab berbasa-basi. Dalam suasana begitu hatinya juga berasa sebak dan sayu.
“Tak... abang! Jun yang salah. Jun yang tak mampu...”
Datuk Wahab menggeleng kepala supaya isterinya itu berhenti membicarakan tentang hal yang bakal menimbulkan kekeruhan di antara mereka.
“Sudahlah tu, Jun. Jangan kita panjangkan perkara ni lagi,” pujuknya. “Jun terimalah segalanya dengan berlapang dada. Abang menikahi Zarina bukannya kerana nafsu atau kerana berkurangnya kasih sayang abang kepada Jun,” terang Datuk Wahab tenang.
“Jun faham, bang!  Cuma Jun rasa terkejut dan Jun tidak dapat menerima segalanya dengan serta merta,” jelas Datin Julaidah. “Mana-mana wanita yang berada di dalam keadaan ini, pasti akan melatah juga untuk beberapa lama,” luahnya dengan penuh perasaan. Saat itu tekaknya terasa kesat dan berpasir.
“Abang faham, Jun. Abang minta maaf dari hujung rambut ke hujung kaki. Insya-ALLAH, abang akan bersikap adil. Abang takkan lukakan hati Jun atau Zarina. Hanya satu yang abang mohon daripada Jun...” bicara Datuk Wahab terhenti seketika. “Jun berbaik-baiklah dengan Zarina. Terimalah dia sebagai sebahagian daripada keluarga kita. Insya-ALLAH, dia pun dah menerima Jun dan tak pernah ada perasaan iri hati pada Jun. Dia seorang yang penyabar dan lembut hati macam Jun juga...”
Datin Julaidah menganggukkan kepalanya. “Insya-ALLAH, bang. Jun akan cuba... tapi mungkin akan mengambil masa sedikit,” ungkapnya perlahan. “Abang naik dulu, ya! Jun bancuhkan susu panas dan bawa sedikit kudapan untuk kita,” kata Datin Julaidah sambil mengesat pipinya.
“Okey!” Setuju Datuk Wahab.
Getaran telefon bimbit menyebabkan langkah kakinya terhenti. Suara Mukhriz kedengaran lesu di telinganya. 



Kokokan ayam yang sayup-sayup mengejutkan lena Fazidatul. Dia meraba jam loceng yang diletakkan di hujung kepala sebelum tidur semalam. Baru pukul 4.00 pagi.
“Eh, ke mana pula Dania ni?” rungut Fazidatul sambil menutup mulut yang terkuap. Bimbang pula rasa hatinya apabila melihat tempat tidur Dania kosong. Sejak tengah hari semalam, Dania bermurung. Panggilan telefon yang tidak dijawab oleh Ray begitu menghampakannya.
Perlahan-lahan dia bangun dan berjalan ke anjung. Lampu di anjung yang samar-samar melegakan hati Fazidatul. Bibirnya mengukir senyuman apabila nampak Dania tidur menelentang di atas lantai di anjung. Sangkanya anak gadis itu merajuk dan lari dari rumah. Pergi mencari Ray di kota. Pandangan mata Fazidatul singgah pada selembar kertas yang terjulur di celah buku. Segera dia mengambilnya dan menatapnya sejenak.
Mengapa Abang Ray tidak menjawab panggilan telefon Dania?  Mengapa?  Dania rindu sangat nak dengar suara Abang Ray. Dania nak beritahu abang... Dania dah dapat tawaran masuk UM. Banyak kali Dania telefon, tapi abang tak jawab! Sampai hati abang. Agaknya, abang dah tak sayang pada Dania lagi...
 Fazidatul sempat membaca tulisan yang tercoret. Dakwat tulisannya pun sudah kembang dibasahi air. Jika hendak dikatakan basah ditimpa air hujan kerana atap bocor, semalaman cuaca elok cerah. Mungkin Dania meluahkan rasa hatinya sambil menangis bersendirian.
Fazidatul terus menatapi tulisan tangan Dania yang diconteng-conteng.
Mengapa sejak akhir-akhir ini perasaan aku kepada Abang Ray terasa berlainan?  Mengapa aku selalu teringat kepadanya?  Terbayang-bayang wajahnya? Dadaku selalu berdebar-debar bagaikan ada sesuatu yang tak kena. Sejak dia tiada, aku rasa sepi. Ya ALLAH... kenapa dengan hamba-MU ini? Mustahil ENGKAU campakkan perasaan cinta kepada abangku sendiri. Ya ALLAH... tolonglah hindarkan perasaan cinta ini daripada kami...
Fazidatul mengurut-urut dadanya yang semakin meleper. Nafasnya menjadi laju tak semena-mena. Tangannya memekup mulut yang ingin meledakkan batuk. Bimbang bunyi batuk itu akan mengejutkan Dania. Dania yang sedang tidur lena berbantalkan lengannya sendiri. Di bawah limpahan cahaya lampu yang malap kesan air mata yang mengering  di pipi Dania masih kelihatan. Cebisan kertas yang dibaca diletakkan semula di celah buku yang ada di hujung kepala anaknya itu. Hati Fazidatul bagaikan menjerit dan menangis.
Mak...” panggil Dania yang tiba-tiba terjaga. Tubuh yang mengerikut di atas lantai ditegang kendurkan. Mak... Dania tertidur di sini,” rengeknya. Matanya terpejam-pejam kembali.
Tak apalah, Dania. Semalam pun mak tertidur awal. Celik-celik mata tadi, mak tengok Dania tak ada tidur dengan emak,” kata Fazidatul.
Dania....” Dania seolah kehilangan kata-kata. Haruskah dia memberitahu emaknya yang dia sedang teringatkan Ray?
Tidurlah, Dania. Biar mak ambilkan bantal dan selimut,” ujar Fazidatul seolah berbisik.
Dania tidak menjawab. Dia pura-pura lena semula. Beberapa minit kemudian, Fazidatul kembali ke situ. Setelah menyelimutkan Dania, dia juga merebahkan dirinya di sebelah anak gadisnya itu. Dania terus memeluk emaknya.
Terima kasih, mak! Jom, kita tidur ya,” ajaknya manja.
Tidurlah, Dania,” pujuk Fazidatul. “Jangan dilayan sangat perasaan yang sedih. Kalau Dania sedang rindukan Abang Ray, mak pun sama. Mak pun selalu teringatkan dia,” ujar Fazidatul perlahan sambil memeluk Dania kuat-kuat.
“Esok Dania tulis surat kepada abang tau...” suruhnya sambil membelai-belai tubuh anak gadisnya itu.

Tiada ulasan: