Khamis, 7 Jun 2018

SAPU TANGAN BIRU-BAB 39



Pantai Tanjung Bidara yang permai. Daun pohon nyiur melambai mesra. Laut yang membiru. Ombak kejar-mengejar menuju pantai. Buih-buih memutih apabila ombak berderai di pinggiran pasir. Jasmin melangkah perlahan sambil menjinjit seliparnya. Dia hanya bersendirian membawa hati yang rawan. Sudah dua hari dia tidak balik ke Villa Kasih Wafa, sejak bertengkar dengan mamanya.
Tidak pernah mama bersikap seperti itu sebelum ini. Apatah lagi bertikam lidah dengannya. Kesudahannya, mereka sama-sama menangis. Dia juga menangis apabila mendengar kenyataan mama yang di luar jangkaannya. Mungkin mama berada di dalam keadaan yang amat tertekan disebabkan papa yang telah beristeri lain, emosinya jadi tidak stabil. Lantaran itu mamanya telah mengeluarkan kenyataan yang tidak-tidak terhadapnya. Kenyataan yang menyebabkan hatinya benar-benar terluka.
Air mata Jasmin terus mengalir. Esakannya bertali-tali.  Remuk dan luluh hatinya belum berpenghujung. Irama telefon bimbitnya yang berbunyi tidak dihiraukan. Mama. Iskandar. Sudah berkali-kali menghubunginya.
Ah, biar mereka risau! Padan muka!” desis hatinya. Tekadnya ingin menyepikan diri selama seminggu. Seorang pemuda melintas di hadapannya. Jasmin tersentak. ‘Kenapa budak haprak itu ada di sini pulak?’ soal hatinya. Matanya terus merenung pemuda yang telah membelakangkannya beberapa langkah itu.
Ray!” Spontan bibirnya memanggil kuat sambil cuba mengejar. Entah mengapa tiba-tiba pula hatinya terasa ingin berbual dengan pemuda itu. Ray yang menjadi kebenciannya.
Ray!” panggilnya lagi.
Pemuda itu berhenti dan menoleh. Setelah itu menyeringai kepadanya.
Cik salah orang ni! Saya bukan Ray,” beritahunya. Renungan matanya menikam ke wajah Jasmin. “Nak berkenalan dengan saya ke? Saya tak keberatan...” ungkap pemuda itu lagi sambil senyum meleret.
Pipi Jasmin serta merta menghangat. Oh! Maaf,” kata Jasmin, lalu berpatah balik ke belakang. Jiwanya rasa sunyi. Sekali lagi telefon berdering. Nama yang terpapar di skrin menyebabkan Jasmin menamatkan keazamannya untuk merajuk dan menyepikan diri.
Helo!” jawabnya dengan suara tegang. Kakinya berhenti melangkah. Pandangan matanya terlempar ke tengah laut.
Helo, Jess... papa mahu Jess balik sekarang juga,” tegas Datuk Wahab.
Jasmin yang sedang dikepung kesedihan serta-merta menangis.
“Jess tak nak balik,” jawabnya degil. Tekaknya berasa kesat. Pertengkaran dengan mamanya masih segar di dalam ingatan. Dia rasa tersinggung dan kecewa dengan sikap dan kenyataan mamanya.
“Apa masalah Jess ni?” tanya Datuk Wahab. Tangisan Jasmin tidak sedikit pun terkesan di hatinya. “Bergaduh dengan mama. Degil dan tak mahu dengar cakap mama dan papa. Apa sebenarnya yang Jess mahu?” marah Datuk Wahab. Telinganya terus menangkap bunyi esakan Jasmin.
Dalam tangisannya, dia mengadu tentang kenyataan mamanya yang telah membuat hatinya benar-benar terluka lantas merajuk.
“Jess ingat dengan melarikan diri macam ni masalah Jess boleh selesai? Kalau betul seperti yang mama katakan itu pun, Jess tak boleh melarikan diri begini. Dia dah jaga Jess dengan kasih sayang. Jess kena hormatinya sebagai ibu,” marah Datuk Wahab pula.
“Jadi, betullah apa yang mama katakan tu?” soal Jasmin. Tangisannya terhenti serta-merta. Dadanya bagai hendak pecah. Telinganya dipasang betul-betul untuk mendengar jawapan daripada papanya.
“Papa tak cakap begitu pun,” jawab Datuk Wahab.
“Tadi papa cakap lain. Sekarang papa cakap lain pulak!” balas Jasmin. Lega hatinya kembali.
“Apa yang papa cakap? Papa nak tanya, kenapa Jess bergaduh dengan mama?” marah Datuk Wahab sekali lagi.
Papa ni, cakap pusing-pusinglah,” balas Jasmin sambil menghentakkan kakinya.
Apa yang papa cakap? Papa suruh Jess balik ke rumah sekarang jugak!  Kalau tak, papa buat laporan kepada pihak polis. Jess nak polis datang cari Jess, di hotel tempat Jess menyorok?” ugut Datuk Wahab.
Jess peduli apa,” balas Jasmin kurang ajar. Sengaja hendak menaikkan darah papanya. “Jess tetap tak mahu balik!”
“Tak apa, kalau Jess berdegil jugak! Tapi kalau terjadi apa-apa pada mama, Jess jangan menyesal tau,” gertak Datuk Wahab. “Jangan balik ke rumah terus. Dan papa takkan maafkan Jess sampai bila-bila,” ugut Datuk Wahab.
Tangisan Jasmin bermula sekali lagi. Datuk Wahab senyum pahit. Jasmin memang banyak akal untuk merajuk tetapi mudah untuk dipujuk. Pasti dia berasa takut jika tidak dibenarkan balik ke rumah lagi. Maklumlah, dia bukannya biasa dengan kesusahan hidup.
“Papa, Jess nak balik sekarang jugak! Tapi, Jess datang ke sini kawan yang hantar,” beritahu Jasmin. “Kereta, Jess tinggalkan di rumah dia...” adunya lagi.
“Baliklah dengan bas,” suruh Datuk Wahab. “Apa salahnya sesekali bersusah sedikit... Bukannya jauh pun...” rungutnya.
“Kalau papa nak suruh Jess balik, papa suruh Pak Man datang ambil Jess,” ugut Jasmin pula. Perangai manja dan mengada-ngadanya datang kembali. “Jess tak nak naik bas!  Papa bukan tak tahu, yang anak gadis papa ni tak pernah naik bas,” terangnya dengan panjang lebar.
“Hai! Takkanlah tak tahu nak naik bas? Bukannya Jess tu buta huruf! Lagipun Jess bukannya berada di luar negara. Masih dalam negara Malaysia lagi, kan? Papa tak peduli, hari ni Jess kena belajar naik bas jugak!” desak Datuk Wahab. Malas hendak melayan kerenah anak gadis itu. Mengada-ngada betul!
“Papa! Kalau Jess kena culik ke atau kena apa-apa nanti jangan nak menyesal, ya? Papa tak tahu ke yang anak papa ni cantik rupawan... dah tu anak papa pula. Lelaki kaya,” balas Jasmin sambil mengugut dan melambung dirinya sendiri. Perangai berlagak dan bongkaknya tidak pernah menyurut.
“Yalah! Yalah! Jess sms pada papa nama hotel tempat Jess menginap tu. Papa suruh Pak Man datang ambil.” Akhirnya Datuk Wahab mengalah. Disebabkan Jasmin itu anak gadis, dia terpaksa berlembut kerana bimbangkan keselamatannya. “Itup un kalau dia ada,” jelasnya lagi. Kalau dia tak ada... papa suruh.... ”
Papa jangan nak suruh budak haprak tu ambil Jess pulak! Jess tak suka dia!” pintas Jasmin sebelum sempat papanya habis berbicara.
Apa masalahnya?” tanya Datuk Wahab mula naik angin.
Jess kata Jess tak suka dia, Jess tak sukalah! Jess tak mahulah naik kereta dengan dia!” jerit Jasmin. Sekali lagi dia menghentak kaki di atas pasir.
Kalau macam tu, balik sendiri!” balas Datuk Wahab.

Hari ini Ahad, hari cuti. Eisha Safiya tidak bersekolah. Buruh-buruh di tapak pembinaan pun bercuti. Selepas subuh Ray membersihkan kereta. Walaupun seluruh badannya sakit-sakit dan berasa penat, dia tidak betah untuk bermalas-malas di tempat tidur di dalam biliknya.
Honda Accord yang menjadi pacuannya untuk menjalankan tugas dijaga seperti menjaga dirinya sendiri. Sambil mencuci dan mengilap kereta, fikirannya melayang-layang pada peristiwa hari-hari sebelumnya.
Semalam, hampir 1.00 pagi baru dia melelapkan mata. Banyak perkara yang membelit fikirannya. Mukhriz...Mukhriz,” bisik Ray sambil menunduk membersihkan tayar kereta. Telefon bimbit Mukhriz yang masih di dalam simpanannya tersembunyi banyak rahsia.
Apalah yang kau sakit hati sangat pada aku? Aku tak pernah pukul hati kau pun.” Ray terus berbicara sendiri. Dia memang perasan sangat yang lelaki itu tidak menyenanginya. Semalam, dia sempat melihat gambar-gambar yang tersimpan di dalam telefon mudah alih lelaki itu. Gambar-gambarnya bersama Zarina. Ray mengeluh lagi. Syukur! Disebabkan dia menghadiri mesyuarat itu dan menjadi orang terakhir yang meninggalkan bilik mesyuarat, banyak bukti telah didapati apabila menemui telefon mudah alih Muhkriz yang tercicir. Pasti Mukhriz yang mengupah orang untuk mengekori dia dan Zarina. Mesti Mukhriz ada merancang sesuatu untuk memburukkan namanya pada Datuk Wahab. Pasti Mukhriz ingin mencipta fitnah dengan bukti gambar yang dia ada!
Ray...”
Mendengar namanya dipanggil, Ray terus menoleh. Bibik Temah dan Zarina sama-sama di muka pintu rumah dan menggamitnya. Kenangannya terhadap Mukhriz berkecai.
Ada apa, auntie?” tanya Ray selepas memberi salam. Zarina dan Bibik Temah senyum. Ray ikut senyum.
Jom, kita sarapan sama-sama,” ajak Zarina. Ray dipandangnya dari hujung dahi ke kaki. Zarina senyum lagi. Rambut Ray tersisir rapi walaupun dahinya sudah memercik peluh. Dia memakai baju-T berleher bulat tidak berlengan warna hitam dipadankan dengan seluar sukan warna hitam.
Err...” Ray tergaru-garu. Sebenarnya, dia sudah minum pagi di biliknya tadi. Sarapan yang ringkas. Satu mug Milo panas dan dua keping roti. Bibik Temah juga yang menyediakan termos air panas untuknya. Serbuk Milo yang tersedia di dalam paket 3 dalam 1 itu, bukannya susah untuk membancuhnya.
Saya dah minum tadi,” beritahu Ray sambil menggosok-gosok perutnya yang masih kekenyangan.
Jomlah, sarapan...” pujuk Zarina. Ray dah lupa ke?” tanyanya selepas itu.
Dahi Ray berkerut mengingatkan sesuatu. Ada hal apa, auntie?” soal Ray kembali. Wajah tenang Zarina ditatapnya.
Hari ni kita nak bawa Eisha ke Sunway Lagoon,” jawab Zarina cuba mengingatkan Ray yang mungkin sudah terlupa pada rancangan mereka.
Oh ya! Maaf, terlupa pulak...” balas Ray sambil senyum meleret.
Ray ada janji dengan girlfriend ke?” tanya Zarina sambil ketawa.
Ray ikut ketawa. Mana ada, auntie,” jawab Ray malu-malu. Sejujurnya, dia belum mempunyai teman wanita kerana dia merasakan tidak memerlukan sesiapa lagi.
Jom, masuk ke rumah, nanti auntie bagi surat dari buah hati,” balas Zarina lalu berjalan masuk ke rumah.
Mahu tak mahu, Ray terpaksa mengekori.
Surat daripada adik saya, auntie...” beritahu Ray sebaik sahaja sampul surat sudah berada di tangannya. Tulisan tangan Dania yang kemas dan cantik sudah dicamnya benar. Tidak sabar, dia terus membuka sampul surat itu. Bola matanya bergerak ke kiri dan kanan. Senyuman yang terukir di bibirnya semakin lama semakin melebar.
Zarina yang memerhatikan anak muda itu turut menumpang senyum. Apa yang adik Ray tulis senyum sampai ke telinga tu?” tanya Zarina. Dia menarikkan kerusi di meja makan untuk pemuda itu.
Dania dapat tawaran ke Universiti Malaya, auntie,” beritahu Ray dengan gembira. Surat yang selesai dibaca, dikucupnya bertalu-talu.
Dania tu, siapa?” tanya Zarina lagi. Gaya Ray mencium surat tidak membawa maksud yang Dania itu adiknya. Caranya bagaikan mencium surat daripada kekasih saja.
Dania adik saya,” jawab Ray. Senyuman masih belum lekang daripada bibirnya.
Betul ke ni, Ray?” tanya Zarina cuba menduga.
Ray mengangguk. Setelah itu, dia menggaru-garu belakang telinganya. Sebenarnya, dia sendiri kabur dengan perhubungan mereka. Namun disebabkan tidak mahu menyusahkan hati emaknya, segala pertanyaan yang kerap datang bertandang di benaknya, dinyah jauh-jauh. Pernah juga jiran yang gatal mulut memberitahu dia yang Dania itu bukan adiknya. Apabila jiran bercerita baru dia teringat yang dia tidak pernah melihat emaknya mengandung. Tahu-tahu saja, dia sudah mendapat adik. Dibawa oleh emaknya yang baru balik dari hospital.
Mesti Dania cantik! Ray pun kacak,” puji Zarina sambil melirik kepada pemuda itu. Pujian yang bertujuan mengusik itu menyebabkan Ray menundukkan mukanya dan menyembunyikan senyuman malu.
Nasib baik auntie ni dah tua! Dah kahwin dan ada anak pulak. Kalau auntie ni baya-baya Jasmin tu, tergugat jugak hati...” Zarina terus berseloroh. Mendengar nama Jasmin, hati Ray terus bergelodak. Rasa geram yang tergumpal di dalam hatinya masih belum terlerai.
Kita nak bertolak pukul berapa, auntie? Nak saya ambil Datuk dulu ke?” tanya Ray cuba mengalih tajuk perbualan mereka.
Belum sempat Zarina menjawab, telefon yang tergantung di dinding menjerit minta dilayani. Segera dia mengangkat gagangnya. Setelah berbual beberapa ketika dengan suaminya, dia menyerahkan gagang telefon kepada Ray.
“Assalamualaikum, Datuk...” sapa Ray sebaik gagang telefon sudah melekap di tepi cuping telinganya.
“Waalaikumussalam...” jawab Datuk Wahab mesra. Setelah itu, satu demi satu perkataan terlontar dari bibirnya memberi arahan kepada anak muda itu. Ray menghela nafas perlahan. Perasaannya tiba-tiba jadi bergelodak. Namun kehendak Datuk Wahab sebagai majikannya itu tidak dapat ditolak. Nampaknya, hari itu dia tidak jadi membawa Zarina dan Eisha Safiya ke Sunway Lagoon kerana Datuk Wahab yang akan pergi bersama mereka.
“Baiklah, Datuk. Dalam 10 minit lagi, saya bergerak ke sana...” beritahu Ray.
“Terima kasih, Ray. Bawa kereta elok-elok,” pesan Datuk Wahab lalu menamatkan perbualan mereka.

Tiada ulasan: