Khamis, 7 Jun 2018

SAPU TANGAN BIRU-BAB 40



Mentari petang mulai meredup. Contengan warna kejinggaan di kaki langit menambah keindahan lukisan alam di pinggiran pantai. Bunyi deburan ombak sayup-sayup kedengaran bagaikan irama, menghiburkan hati yang kerunsingan.
Mukhriz merenung wajah Jasmin yang sedang duduk di hadapannya. Mereka kini sedang menikmati minum petang di restoran Tanjung Bidara Beach Resort.
“Tak sangka abang boleh jumpa Jess di sini,” ungkap Mukhriz sambil mendekatkan mulut cawan ke bibirnya. Matanya merenung anak gadis itu.
Jasmin ikut senyum. ‘Abang?’ Tak pernah Mukhriz membahasakan dirinya abang sebelum ini. ‘Dah buang tebiat agaknya jantan ni!’ gerutu Jasmin di dalam hati.
“Senyum... senyum,” kata Mukhriz sambil ketawa.
“Dah you geletek hati I,” balas Jasmin selepas itu. “Tak pernah-pernah you bahasakan diri sebagai abang, hari ini pula nak ber’abang,’ apa hal?  Dah buang tebiat?  Nak mati?” soalnya kasar. Matanya merenung gelas jus oren yang masih belum diusik sejak tadi.
“Kenapa bawa diri ke pantai ni seorang diri? Merajuk dengan Is ke?” tanya Mukhriz sekadar menduga.
“I merajuk dengan semua orang,” jawab Jasmin.
Mukhriz menjongketkan keningnya. “Kalau pun Is dah ada orang lain... dengan abang pun Jess nak merajuk jugak ke?” duganya.
Sekali lagi Jasmin senyum. Telinganya semakin geli mendengar perkataan abang. Kenyataan Mukhriz tentang Iskandar bagaikan tidak menyinggahi telinganya.
“Senyum lagi,” komen Mukhriz sambil merenung dengan ekor matanya. Pandangannya singgah pada pangkal dada gadis itu yang putih melepak.
Jasmin tidak menjawab. Matanya dilontar ke tengah laut. Permukaan laut yang beralun-alun bagai menggambarkan perasaan hatinya saat itu.
“I senyum untuk mengelakkan diri daripada termuntah!  Mukhriz, tolonglah. Tak usahlah you nak ber’abang’ dengan I. Gelilah!” balas Jasmin.
“Kalau you pandang laut tu sampai terkeluar biji mata pun, lautan hati you tetap akan berkocak juga, selagi masalah yang sedang membelit fikiran, you tak kongsikan dengan orang lain,” umpan Mukhriz. Terus meminggirkan perkataan ‘abang’ daripada lidahnya.
“Macam mana you tahu I sedang dilanda masalah?” tanya Jasmin.
“Alahai... I dah lama hidup, Jess. Dah biasa berkawan dengan perempuan,” jawab Mukhriz. “Dari kerdipan mata seorang perempuan pun, I dah tahu sama ada dia sedang bermasalah ataupun tidak,” jelas Mukhriz.
“Oh!  Jadi, ramailah girlfriend you selama ini?” sindir Jasmin.
Mukhriz menganggukkan kepalanya. “Tapi itu dulu, lepas I putus cinta... nama-nama perempuan, I dah padamkan dari kamus hati I. Kecuali nama emak... dan saudara-mara yang rapat sahaja,” balas Mukhriz perlahan.
“Habis tu... nama I pun you dah delete dari memori?” tanya Jasmin menduga.
Mukhriz menyengih. “You lain. Nama you tetap tegar kat dalam hati I sebab ia dah terpahat kuat...” jawab Mukhriz mula mengayat dan menggoda.
“Kenapa pula cinta you terputus di pertengahan jalan, Mukhriz?” soal Jasmin lalu merenung tajam wajah lelaki itu.
Mukhriz mengeluh. “Ada lelaki lain tackle dia!  I pun tak tahu apa lebihnya lelaki itu daripada I, sehingga dia tergamak meninggalkan I. I tengok lelaki tu tak handsome mana pun! Kelabu asap aje... tapi dia sanggup tinggalkan I yang handsome ni,” jawab Mukhriz sedih.
Jasmin terus ketawa apabila mendengar jawapan Mukhriz yang agak lucu itu. “Hai... takkanlah lelaki kelabu asap boleh kalahkan you!” perlinya.
Mukhriz buat muka dan memandang ke lain. Sindiran Jasmin seolah-olah memperlekehkan dirinya pula.
“Alah... lupakan tentang kisah hati I, Jess. Berbalik kepada soalan I tadi. Kenapa you melarikan diri ke sini?” tanya Mukhriz.
“Jess sedih...” ungkap Jasmin seolah berbisik. Permukaan meja pula yang menjadi sasaran matanya. Sekali lagi Mukhriz menjongketkan keningnya.
 “Ray dah ada kekasih lain ke?” usik Mukhriz sambil ketawa. Jasmin memasamkan mukanya serta-merta.
“Kenapa nak sebut nama dia pulak? I tak sukalah!” bentak Jasmin. “Tak suka, tau tak?” ulangnya berkali-kali. Pantas tangannya mencubit lengan Mukhriz yang terdedah. Mukhriz ketawa riang. Hilang segala keserabutan yang menyangkar fikirannya sehari dua ini. “Sorry,” katanya apabila ketawa reda.
“Sekali pun Jess tak pernah bersembang dengan dia,” cerita Jasmin. Pemuda itu yang selalu nampak acuh tak acuh terhadapnya menyebabkan hatinya semakin bengang!
“Eloklah,” balas Mukhriz bersahaja. “Kalau you banyak sangat bersembang dengan dia, nanti you jatuh cinta dengan dia pulak. Bertambah sakit hati I,” sambung lelaki itu lagi. Giliran Jasmin pula menjongketkan keningnya.
“Kenapa pulak you nak sakit hati?”
“Yalah, dahlah papa you sayang sangat kat dia. You pulak jatuh cinta! Diri I ni siapa pulak nak sayang... nak cinta,” jawab Mukhriz terus bermain kata-kata. “Frustlah I. ” Serta-merta wajahnya diteduhkan.
“Apa maksudnya? Jess tak fahamlah,” kata Jasmin. Wajah bujur Mukhriz direnungnya seketika. “Frust! Dahlah bos I dia tawan hatinya. Pujaan hati I pun, dia nak kebas jugak,” beritahu Mukhriz selamba. Ekor matanya sempat mengerling wajah Jasmin yang bertukar kemerahan.
“Siapa pulak pujaan hati you tu? Kenapa pulak you biarkan Ray kebas?” tanya Jasmin. Pura-pura tidak mengerti maksud lelaki itu.
“You ni, Jess... pura-pura tak faham pulak.”
“Dah you cakap berbelit-belit,” balas Jasmin.
“I nak berterus teranglah ni,” ujar Mukhriz setelah berdiam seketika. “Jess, sebenarnya I dah lama jatuh cinta dengan you,” kata Mukhriz sambil merapatkan mukanya ke pipi Jasmin. Dia memberanikan diri memegang tangan gadis itu.  Jess, I love you...” bisiknya di telinga gadis itu.
“What?” Bulat mata Jasmin merenung Mukhriz. Dadanya tiba-tiba bergetar. Tangan Mukhriz serta-merta ditepis. “Mukhriz, you dah mereng ke? You kan tahu I kekasih Iskandar, sepupu you tu,” kata Jasmin. Pandangannya dilontar ke luar sekali lagi. Meredakan hati yang mula tak keruan.
“Memanglah dah mereng,” jawab Mukhriz selamba. “Sebab you jugak,” jerat Mukhriz lagi.
“You dah terlambat,” balas Jasmin. “Cinta I, hati I, milik Iskandar. Tapi...” sambungnya lagi. Wajah Mukhriz dikerling. “Kalau nenek Iskandar terus menentang perhubungan kami, I mungkin angkat kaki...”
“I pun tak suka pada orang tua tu. Entah apa-apa,” sambungnya. Mukhriz sempat menjeling. “Maknanya I kena tunggu you putuskan hubungan dengan Iskandarlah ni?” tanya Mukhriz menduga.
Jasmin menggangguk. “Tengoklah kalau I ada hati kat you,” jawabnya selamba terus buat muka. Bibirnya mengukir senyuman. Suka benar hatinya jika ramai lelaki menagih cinta daripadanya. Terasa diri sebagai puteri kayangan pula! 
“Hai, macamlah I ni teruk sangat! I tahu I tak sekacak Rrr...”
Tidak sempat Mukhriz menghabiskan kata-katanya lengannya perit kena cubit. “Aduh, kena cubit lagi! You ni garang-garang manja! Itu yang buat I bertambah mereng!” kata Mukhriz sambil menyeringai.
“Hah! Nak kena lagi! Rasakan!” Kali ini, jari-jemari Jasmin singgah di dada Mukhriz pula. Dikutilnya kuat-kuat. Memerah muka Mukhriz menahan rasa pedih.
“Cik Jasmin...”
Jasmin menoleh apabila mendengar namanya dipanggil. Cepat-cepat dia melepaskan jarinya dari dada Mukhriz.
“Ya...” Mata Jasmin merenung pekerja hotel yang berdiri di sisinya. Perasaannya rasa terganggu.
“Ada seseorang cari cik... dia sedang tunggu di lobi,” beritahu pemuda itu.
“Siapa?” tanya Jasmin kembali. Percutiannya dirahsiakan kecuali kepada Nora dan papanya.
“Tak tahu, cik! Lelaki itu dah menunggu cik agak lama jugak,” jelasnya lalu beredar meninggalkan Jasmin dan Mukhriz.
“Siapa?” tanya Mukhriz. Jasmin menjongketkan kedua bahunya.
“Pak Man kot!” tebaknya. Dia masih di tempat duduknya. Potongan buah mangga di dalam piring dicucuk dengan garpu kecil lalu disuap ke mulut.
 “Jess, cepatlah makan tu!” gesa Mukhriz apabila melihat Jasmin buat tidak endah pada pesanan pelayan hotel tadi.
“Ah! Biarlah Pak Man tungggu I! Buat apa kita nak terkejar-kejar. Dia kuli bapak I,” balas Jasmin.
“Okey.... ” kata Mukhriz. Elok juga kalau gadis itu mahu berlama-lama dengannya. Semakin besarlah ruang untuk dia memainkan jarumnya. Mengumpan dan memancing hati anak gadis Datuk Wahab yang cantik jelita. Mata Mukhriz terus memerhati pelanggan yang keluar masuk melalui pintu restoran yang berhawa dingin itu.
“Wow!” Memuncung bibirnya sejenak. Seorang pemuda yang sedang memasuki pintu restoran menarik perhatiannya. Pemuda tampan berbaju-T warna putih dan berseluar jean biru dengan kaca mata hitam tersangkut di leher bajunya. Jalannya penuh gaya bagaikan seorang model. Beberapa gadis yang berada di dalam restoran turut memerhati ke arah pemuda itu.
“Kacau daun betul,” rungutnya perlahan. Bibir Mukhriz mula memuncung. Teringat pada peristiwa dua hari lepas. Peristiwa yang amat memalukannya sewaktu di dewan mesyuarat Perkasa Holdings. Perasaan marahnya marak semula.
“Jess! Jomlah, kita pergi sekarang! You kata nak tengok matahari terbenam,” kata Mukhriz tergesa bangun dari kerusi lalu menarik Jasmin supaya berdiri. Dia memusingkan tubuh gadis itu supaya melihat pemuda yang semakin merapati mereka.
“Now you see... your lover,” ungkap Mukhriz di telinga Jasmin. Sengaja hendak menaikkan darah gadis itu.
Jasmin mengetap bibir. Matanya merenung pemuda yang baru tercegat di hadapan mereka. Pemuda itu yang sedang menyebak rambut yang terjurai di dahinya ke belakang. Secebis senyuman singkat dilemparkan buat Jasmin dan Mukhriz yang sedang berdiri tercegat.
Hati Jasmin bergetaran semula. Perasaannya semakin tidak keruan. Ketampanan pemuda itu menggoyah perasaannya.
“Assalamualaikum, Cik Jasmin...”
Tidak sempat Jasmin membalas kata-kata Mukhriz, pemuda itu sudah menyapanya. Senyumannya tadi terusir semula. Wajahnya kembali selamba. Pandangan matanya yang redup terlontar pada Jasmin dan Mukhriz bersilih ganti.
“Datuk suruh saya bawa Cik Jasmin balik,” beritahunya serius. Mendengar kata-kata itu, baru Jasmin berpijak di bumi nyata. Barulah dia teringat yang pemuda itu ialah Ray. Ray yang menjadi kebenciannya!
“Aku tak nak ikut kau!” balas Jasmin. Cepat-cepat dia menarik tangan Mukhriz lalu berjalan laju keluar dari restoran itu.
Ray menuruti langkah mereka  dengan langkah yang tenang, tetapi deras. Matanya merenung Jasmin dan Mukhriz yang sedang berjalan berpeluk lengan menuju ke pantai.
“Encik Mukhriz! Saya nak bawa Cik Jasmin balik sekarang jugak!” beritahu Ray dengan suara agak kuat. Jarak  antara dia dan pasangan yang sedang menghadap laut itu kira-kira enam kaki.
Mukhriz menoleh kepadanya. Matanya merenung marah. Semakin kemas tangannya memeluk bahu Jasmin.
“Kau tak dengar ke apa yang dia kata tadi?” tanya Mukhriz. Dia merenung Jasmin sejenak. Setelah itu pandangannya terjurus kepada Ray kembali. “Dia kata, dia tak nak ikut kau balik, kan?” sergah Mukhriz. Dendamnya terhadap Ray yang membuku semakin membesar.
“Cik Jasmin! Sila balik ke bilik dan kemas kain baju sekarang jugak! Saya bagi masa 10 minit!” tegas Ray. Wajah Jasmin yang memuncung direnungnya tepat-tepat.
“Amboi! Siapa kau nak arah-arah aku sesuka hati?  Sedarlah diri kau sikit! Kau tu kuli bapak aku! Jangan nak berlagak macam kau ni anak dia pulak!” herdik Jasmin. Matanya menentang mata Ray kembali. Dadanya beralun laju.
“Ray, lebih baik kau blah dari sini!” gesa Mukhriz. Tangannya kini beralih ke pinggang Jasmin pula. Jasmin pun sama. Sengaja dipeluknya Mukhriz kuat-kuat.
“Encik Mukhriz!  Saya tetap nak bawa Cik Jasmin balik jugak.  Ini arahan Datuk.  Saya jalankan tugas!” tegas Ray. Jika diikutkan perasaan geramnya ingin sahaja dia mengayun buku limanya kepada lelaki itu. Bermacam-macam perkara yang telah dilakukan oleh lelaki itu terhadapnya. Segalanya tersenarai di dalam kepala. Namun, dia harus bersikap profesional. Bersabar dulu mungkin lebih baik. Berlembut bukan bermaksud dia tertewas. Suatu saat nanti kemenangan akan berada di pihaknya. Kemenangan secara total!
“Cik Jasmin! Tolong pergi siap sekarang! Saya tunggu di kereta!” arah Ray sekali lagi sebelum beredar. Tidak ingin dia berlama di situ. Keceloparan mulut Jasmin bisa mencalar kesabarannya.
Mukhriz dan Jasmin pandang-memandang. Mukhriz menjongket keningnya. Jasmin pula menjongketkan kedua bahunya.

Tiada ulasan: