|
|
Dania terus merenung bangunan-bangunan yang berbaris-baris
dari kejauhan. Tubuhnya bergoyang-goyang mengikut alunan pergerakan kereta api.
Dia yang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, tidak berapa saat sahaja lagi
akan tiba ke destinasi.
Maafkan Abang. Sewaktu Dania telefon, abang memang
sibuk sangat. Dania jangan kecil hati ya!
Tahniah! Di atas kejayaan Dania. Abang tumpang gembira dan bangga serta
bersyukur. Abang tak dapat balik kampung untuk jemput Dania dan bawa ke Kuala
Lumpur. Dania datang sendiri naik keretapi. Abang akan tunggu Dania di stesen
kereta api dan temankan Dania pada hari pendaftaran. Harap-harap Datuk akan
benarkan abang bercuti 1 hari.
Sekian. Selalu sayang Dania....
Salam hangat... Ray
Dania
melipat surat yang sudah dibacanya berulang kali itu. Pengumuman yang didengari
dari corong pembesar suara di dalam koc kereta api membuat bibirnya tersenyum.
Rasa tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke terminal stesen kereta api. Rasa
tidak sabar untuk bertemu muka dengan abangnya, Ray. Semalam, dia sempat
menelefon abangnya dan memberitahu tentang perjalanannya pada hari ini.
Sebuah
beg sandang tersangkut di bahunya. Beg beroda yang sederhana besarnya ditarik
perlahan menggunakan tangan kirinya.
Sambil kaki melangkah matanya terus membaca papan tanda arah.
“Ooo, mak kau!” Dania
tiba-tiba melatah. Tubuhnya tidak seimbang terus rebah ke dinding. Entah siapa
yang melanggarnya dari arah belakang.
“Ooo... cucu nenek! Cucu
nenek dah jatuh!” Seorang perempuan tua menerpa lalu menarik tangan Dania
supaya bangun kembali. “Maaf,
nenek terlanggar,” kata orang tua itu. Tangan Dania yang halus digenggamnya.
Dania senyum.
“Sakit ke, cu?” tanya
wanita itu sambil merenung bimbang. Sempat dia membelek-belek dan membantu
Dania membersihkan habuk-habuk pada bajunya.
“Tak apa, nenek. Sikit
saja!” balas Dania sopan. Serta-merta dia menghulurkan tangannya kepada wanita
yang memang layak dipanggil nenek itu. “Saya Dania,” kenalnya. Sekali lagi bibirnya melarik
senyuman. “Nenek nak ke mana ni?”
tanyanya ramah.
“Nenek nak balik ke rumah
anak,” jawab wanita itu. Beg yang telah diletakkan di atas lantai tadi
diambilnya kembali.
“Besar beg nenek! Biar Dania tolong bawa,”
pelawa Dania sambil mengambil beg di tangan wanita itu. Dia memang mudah berasa kasihan kepada orang
tua.
“Tak apalah... err...
err... Da... Dania! Nama nenek, Kamariah,” beritahu wanita itu, memperkenalkan dirinya. “Jom, kita jalan sama-sama pergi
seberang sana,” cadangnya. “Waktu naik tangga nanti, Dania tolong bawa beg nenek...” mintanya.
Dania
mengangguk dan senyum. Perkenalannya dengan wanita tua itu melegakan hati.
Maklumlah sepanjang perjalanan tadi, dia tidak berbual dengan sesiapa. Hampir
kelu lidahnya kerana membisu terlalu lama.
Termengah-mengah
Nenek Kamariah mendaki tangga dengan tubuhnya yang rendang. Bimbangkan
keselamatan orang tua itu, Dania terpaksa membantunya.
“Terima kasih, Dania,”
kata Nenek Kamariah sambil mencungap. Tangannya masih memegang tangan Dania.
“Mana cucu nenek ni,” rungut Nenek Kamariah sambil matanya mengitari ke sana
sini.
“Nenek janji dengan cucu
nenek kat mana? Biar Dania tolong hantarkan beg ke situ,” tawar Dania lagi.
Nenek
Kamariah menudingkan jarinya ke arah deretan kerusi tempat menunggu.
“Tunggu kat situlah. Nanti
kalau cucu nenek sampai, senang dia nampak nenek,” jawab Nenek Kamariah.
“Jom,” balas Dania.
“Pergilah Dania jalan
dulu. Nenek jalan lambat... sakit pulak lutut ni lepas naik tangga tadi,” suruh
Nenek Kamariah.
“Biar Dania hantar beg ke
sana dulu ya, nek. Nanti Dania datang sini semula, pimpin nenek,” cadang Dania.
Lantas, dia menyangkut beg sandang Nenek Kamariah ke bahu kanannya. Sambil
mengheret beg rodanya, dia berjalan ke arah kerusi tempat menunggu yang dikatakan
oleh Nenek Kamariah tadi.
“Opsss,
sorry...” kata seorang pemuda yang nyaris melanggarnya. Setelah itu
pemuda itu terus berlalu.
Dania
tidak mengendahkannya. Badannya yang sedang terbeban dengan beg-beg menyebabkan
dia ingin segera sampai ke tempat yang ditujunya.
“Huh,
beratnya!” keluh Dania. Dia melepaskan lelah seketika. Nafasnya
tercungap-cungap beberapa saat. Diikutkan rasa penat yang sedang membelengu,
mahu sahaja dia duduk di situ seminit dua.
Pandangannya
terlempar pula kepada wanita tua tadi. Lantas dengan penuh semangat, dia
melangkah semula ke arah Nenek Kamariah. Namun, di sisi wanita itu ada pemuda
yang nyaris melanggarnya tadi. Dania berpatah semula. Nampaknya, bantuan dia
tidak diperlukan lagi. Pemuda itu mungkin cucunya. Dia pula berasa segan hendak
mendekati Nenek Kamariah.
“Dania,
tunggu sekejap,” panggil Nenek Kamariah.
Langkah
Dania terhenti. Cepat-cepat dia membetulkan kedudukan tudung bawal yang tidak
sempurna. Baju kurung bercorak bunga jarang-jarang warna merah jambu itu ditariknya
ke bawah.
“Terima
kasih sebab susah-susah bantu nenek,” kata Nenek Kamariah.
“Sama-sama,
nek,” jawab Dania lembut.
“Inilah
cucu nenek... Iskandar,” kenal Nenek Kamariah.
Dania
menganggukkan kepala kepada Iskandar sambil tersenyum malu.
“Hai,”
sapa Iskandar. Senyuman manis terukir di bibirnya. “Maaf ya. Nenek saya
menyusahkan awak pulak,” kata Iskandar. Matanya merenung ke wajah Dania yang
polos. Tanpa secalit kosmetik wajah gadis itu terlalu sempurna di matanya.
Tambahan pula dengan penampilannya yang berbaju kurung dan bertudung, gadis itu
nampak ayu dan sopan.
“Tak
apa,” jawab Dania. Renungan mata Iskandar membuat hatinya rasa resah. “Saya
pergi dulu,” katanya cuba membebaskan diri daripada mereka. “Err... tunggu
kejap adik,” halang Iskandar. Sekali lagi langkah Dania terhenti.
“Dania
sebenarnya dari mana ni?” tanya Nenek Kamariah. Nampak gayanya gadis itu baru
datang dari kampung. Masih sopan. Masih berbudi bahasa. Masih menghormati orang
tua. “Dania dari mana nak ke mana?” soalnya lagi. Nenek Kamariah berpaut ke
lengan Dania sambil berjalan perlahan-lahan.
“Dari
Tanjung Malim, nek...” jawab Dania sopan.
“Dania
dah kerja ke?” tanya Nenek Kamariah lagi cuba berkenal mesra.
“Dania
baru habis sekolah... errr... nak sambung belajar,” jawab Dania perlahan dan
teragak-agak.
“Oh...
belajar kat mana pulak?” Nenek Kamariah berhenti melangkah. Sekali lagi dia
mencungap.
“Baru
nak daftar di UM, nek...” jawab Dania. Suara Dania semakin perlahan. Iskandar
hanya memasang telinga. “Nenek nak duduk sekejap,” beritahu Nenek Kamariah
kepada Iskandar yang sudah mengambil begnya. Nenek Kamariah terus duduk di
bangku berhampiran.
“Iskandar...”
“Ya,
nek!” jawab Iskandar.
“Minta
nombor telefon Dania,” suruh Nenek Kamariah.
Dania
senyum. “Dania tak ada telefon, nek...” beritahu Dania sambil ketawa.
“Kalau
begitu, beri nombor telefon Iskandar pada Dania,” arah Nenek Kamariah.
Laju
sahaja Iskandar mengambil dompetnya. Dikeluarkannya sekeping kad dan dihulurkan
kepada Dania.
“Pengajian
apa nanti?” tanya Iskandar cuba beramah.
“Perubatan,”
jawab Dania sepatah.
“Oh...
nak jadi doktorlah ni,” ujar Iskandar cuba bergurau.
Perasaan
Dania semakin tidak selesa.
“Is, bagi nombor telefon
rumah kita jugaklah,” kata Nenek Kamariah.
Iskandar
meminta kembali kad yang diberikannya kepada Dania. Dia menulis nombor telefon
rumah dan menyerahkan semula kepada gadis itu.
“Dania duduk di hostel
ke?” tanya Iskandar lagi.
“Belum tahu,” jawab Dania.
“Sebab saya baru nak pergi
mendaftar,” sambungnya.
“Okey! Jumpa lagi nanti,”
ujar Iskandar apabila neneknya sudah bangun dari kerusi dan memaut lengannya
semula. Dania bersalaman dan mencium tangan Nenek Kamariah.
“Dania nak tunggu kawan, ya?”
Sempat lagi Iskandar bertanya sebelum beredar. Kalau boleh, dia ingin mempelawa
gadis itu untuk pergi membasahkan tekak sebagai tanda terima kasihnya. Namun,
bibirnya tidak terungkap pula.
“Saya nak tunggu abang,”
jawab Dania perlahan. “Dia dah
janji nak ambil kat sini.”
Iskandar
mengangkat keningnya. “Dania
memang ada abang kat KL ni ke?” soal Iskandar ingin tahu.
Dania
hanya mengangguk.
“Jumpa lagi ya, Dania!
Jaga diri elok-elok. Belajar sungguh-sungguh!” nasihat Nenek Kamariah sambil
beredar dari sisi gadis itu. “Bila senang-senang, Dania telefon nenek!
Kalau Dania dah tahu tinggal kat mana nanti, boleh nenek jenguk Dania,”
kata Nenek Kamariah lagi.
“Insya-ALLAH,” balas
Dania. Senyuman di bibirnya masih belum pudar.
Langkah Iskandar dan Nenek Kamariah semakin jauh meninggalkannya.
“Dania...” Terdengar satu
suara memanggilnya. Dania menoleh.
“Abang,” katanya teruja.
Ray
menghulurkan tangan lantas duduk rapat di sisi Dania. Nafas Ray kedengaran agak
kuat. Tangan Ray cepat disambar Dania lalu dicium. Ray menyentuh ubun-ubun
Dania seketika.
“Dania ingat abang tak
datang. Dah lama Dania sampai, dekat sejam,” rengek Dania manja.
“Datang, takkanlah abang
tak datang,” balas Ray. “Maaflah, lambat sikit.” Sekuntum senyuman dihadiahkan
buat tatapan adiknya itu. Hujung hidung Dania dicubit mesra.
“Dah semakin cantik adik
abang ni! Ramailah pelajar lelaki nak ngorat Dania nanti,” usik Ray.
Dania
menjelirkan lidahnya. “Orang
nak belajarlah.” Matanya sempat menjeling tajam.
“Bagus! Abang tak benarkan
mana-mana pelajar lelaki pun dekat-dekat dengan Dania,” balas Ray bersahaja.
Senyumannya semakin meleret. Hatinya berasa senang apabila berada di samping
Dania.
“Mak dan Iwan kirim salam
kat abang,” beritahu Dania pula. Dia membantu Ray yang sedang menyangkutkan
tali beg sandangnya ke bahu.
“Tadi abang sempat nampak
Dania berbual dengan seorang perempuan tua,” kata Ray. Langkah kaki mula diatur
perlahan.
“Nenek tu terlanggar
Dania! Lepas tu, Dania tolong bawakan begnya,” cerita Dania. Tidak disangkanya
pula wanita tua itu begitu peramah dan cepat mesra orangnya.
“Dania tolong bawakan beg?
Tadi abang nampak ada pemuda dengan dia!” tukas Ray. Dia sempat melihat pemuda
itu dari arah belakang.
“Oh.... itu cucu dia. Baru
aje sampai,” jawab Dania bersahaja.
Ray
menoleh melihat Dania yang berjalan rapat di sisinya.
“Malam
ni, Dania nak tidur kat mana?” tanya Dania.
“Tidur
kat bilik abanglah. Abang dah beritahu pada Auntie Zarina,” jawab Ray selamba.
“Hah?”
Ternganga mulut Dania mendengar jawapan itu. Sebelum bertolak tadi emaknya
sudah berpesan macam-macam.
Ray
mencapai tangannya sewaktu mereka hendak menyeberangi jalan raya.
“Kenapa
Dania terkejut sangat? Bukannya Dania tak biasa tidur dengan abang. Kecil-kecil dulu, Dania langsung tak boleh
berenggang dengan abang. Asyik nak berkepit dengan abang,” usik Ray. “Semua nak
dengan abang. Mandi dengan abang. Buang air nak abang teman...” Ray mula
mengimbas kenangan zaman kanak-kanak mereka.
“Yalah...”
Dania segera mengalah. Dia yakin tuan rumah tempat Ray bekerja pun tidak akan
membenarkan dia tidur dengan abangnya dalam satu bilik.
“Abang,”
panggil Dania perlahan.
Ray
menoleh dan senyum. Redup pandangannya seolah menggambarkan kesyahduan
perasaannya saat itu.
“Terima
kasih sebab ambil Dania,” kata Dania sambil membalas senyuman Ray.
“Dah memang tanggungjawab abang,” balas Ray.
“Abang...”
Sekali lagi Ray menoleh. Kali ini
dengan kening yang terjongket. Rengekan Dania itu menyebabkan hatinya berdebar
pula.
“Makin handsome pulak abang ni!” usik Dania. “Dania perasan, sewaktu kita berjalan-jalan tadi, semua
perempuan yang bertembung dengan kita pandang pada Abang Ray lama-lama,”
beritahu Dania sambil menyeringai.
“Ya ke, Dania?” tanya Ray dengan
senyuman nakal. Dia mencari akal untuk mengenakan adiknya itu.
“Yalah! Takkan Dania nak bohong
pula,” jawab Dania.
“Pandang abang ke renung Dania?” tanya Ray. Anak
matanya menikam ke anak mata Dania menyebabkan gadis itu tersipu.
“Abang ni ada-ada saja nak
mengenakan Dania,” balas Dania sambil melarikan pandangannya. Pandangan
abangnya itu kadangkala membuatkan perasaannya jadi tidak tentu.
“Masuk cepat,” suruh Ray.
Pintu kereta dibukakan untuk Dania.
“Abang,” panggil Dania.
Ray
yang baru duduk di tempat pemandu menoleh.
“Dania
rasa seronok sangat sebab dapat sambung belajar kat sini. Dekat dengan
abang...” beritahu Dania manja.
“Nanti
Dania belajar sungguh-sungguh tau!” pesannya. Pipi Dania ditepuk lembut sebelum
dia menghidupkan enjin kereta. Bibirnya menguntum senyuman.
“Insya-ALLAH! Dania janji akan
belajar bersungguh-sungguh,” ikrar Dania sambil tersengih.
“Jangan tahu berjanji aje! Baru
masuk universiti dua, tiga minggu, Dania dah nak main cinta sana... cinta
sini,” leter Ray. Sempat menjeling adiknya itu.
“Tak...” balas Dania. “Abang tu bila nak
sambung belajar?”
“Insya-ALLAH Dania! Nanti abang
cuba intai peluang kalau dapat ikuti program luar kampus! Zaman sekarang ni,
banyak kemudahan untuk belajar. Yang penting, ada kemahuan...”
“Jangan terjerat dengan cinta
sudahlah, bang. Nanti cita-cita entah ke mana. Dania entah ke mana,” usik
Dania.
Ray hanya senyum meleret.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan