Isnin, 2 Julai 2018

SAPU TANGAN BIRU- BAB 42



Jasmin semakin resah. Pelbagai perkara yang membelit fikirannya. Sejak beberapa hari ini, wajah tiga lelaki terus terbayang di matanya. Iskandar. Mukhriz. Ray.
  Iskandar yang memang menjadi dambaan hatinya. Mukhriz pula baru sahaja menyuarakan perasaan cintanya, tapi... mengapa pula Ray termasuk di dalam senarai?  Jasmin tidak dapat menjawab pertanyaan hatinya. Jika merindui Iskandar, dia boleh menelefon pemuda itu pada bila-bila masa. Jika teringatkan Mukhriz, dia boleh pergi ke pejabat Wafa Construction bila-bila perlu. Tapi...
Ray! Jika dia mengingati dan merindui Ray? ’Hisy! Kenapa dengan aku ni?’ Hatinya terus menyoal sendiri. Ingatannya melayang.
“Hei, budak! Kalau tak sebab papa beritahu aku yang mama sakit, aku tak ingin nak ikut kau balik!” sergah Jasmin.
“Saya datang ambil Cik Jasmin pun sebab Datuk yang suruh. Kalau tak, saya pun tak mahu tengok muka Cik Jasmin!” balas pemuda itu tenang.
Menyirap darahnya mendengar jawapan selamba itu.
“Papa suruh ke atau kau yang offer diri?” soalnya garang sambil menjeling tajam. “Kau dah tahu, kan... aku anak tunggal papa. Semua hartanya akan jatuh ke dalam genggaman aku bila dia mati! Jadi kau nak rapat-rapat dengan akulah? Dan harap aku pula boleh jatuh cinta pada kau! Macam tu ya?”
Ray menoleh kepadanya. Bibirnya menyimpul senyum sinis. Senyuman sinis Ray itu nampak manis pula pada pandangannya. Hatinya bergetar hebat.
“Minta maaflah, Cik Jasmin... cik bukan taste saya,” jawab Ray selamba. “Saya tak suka perempuan mengada-ngada. Lagipun saya ni budak kampung, tak layak untuk Cik  Jasmin,” balas Ray.
“Kau yang bodek papa! Bawa kereta dialah! Sengaja kau hendak melaram dengan harta papa aku! Tak sedar diri betul!”
“Semua tuduhan jahat cik tadi tak benar! Saya tak minat nak melaram dengan harta orang. Kereta ni, Datuk yang suruh saya bawak untuk jemput cik! Takkan cik mahu naik kereta lembu. Atau saya datang jemput cik dengan teksi pulak,” balas Ray tanpa memandang kepadanya.
Kau sengaja nak memikat hati aku, kan?” tuduhnya sekali lagi.
Kan saya dah beritahu tadi. Saya tak suka pada perempuan yang mengada-ngada. Lagi sekali saya tegaskan, Cik Jasmin bukan taste saya...” Bagaikan hendak pecah hatinya apabila mendengar jawapan berani mati daripada pemuda itu.
 Eleh!  Pinggan tak retak, nasi tak dingin... kalau kau tak nak, aku lagi tak ingin! Boleh blah! Kenapa malang sangat nasib aku hari ni. Kena duduk di sebelah kau!  Semuanya papa punya pasal!” Dia terus merepek. Setelah itu memejamkan matanya dan berpura-pura tidur.
“Cik Jasmin, kita dah sampai.... ”
Dentuman pintu kereta yang ditutup mengejutkan dia yang lena. Tercelik sahaja matanya rupa-rupanya dia sudah berada di bawah porch Villa Kasih Wafa. Tidak tersedar sepanjang perjalanan dari Tanjung Bidara ke Kuala Lumpur dia tertidur.
Saya dah bawa balik Cik Jasmin, Datuk...” beritahu Ray kepada papanya yang menunggu di muka pintu. Ray kemudian bersalaman dan mencium tangan papanya sebelum beredar. Ray pergi tanpa merenung kepadanya lagi.
Malam itu, dia tidak dapat tidur. Tidurnya diganggu bayang-bayang Ray. Mimpinya juga dipenuhi oleh wajah tampan Ray.
Dah gila ke aku ni? Dari benci menjadi rindu?” soal hati Jasmin. Punat-punat di telefon bimbit terus ditekan. “Papa,” rengeknya manja. “Papa, Jess nak nombor telefon Ray...” mintanya dengan suara mengada-ngada. 
“Nak buat apa? Bukan ke Jess benci pada dia?” soal papanya kembali. Datuk Wahab tidak berminat untuk melayani permintaan anaknya itu. “Tak usah nak menggatal dengan dia pulak!  Papa tak suka,” kata Datuk Wahab selamba.
Jasmin terkumpal-kumpal. Dia mengetap bibir menahan perasaan geram. Tubuhnya direbahkan  atas tilam semula. Hatinya bagai digaru-garu. Keinginan bertemu dengan Ray sudah menggunung.  Rindunya teramat. Agaknya inilah yang dikatakan orang, benci tetapi rindu.
Fail-fail yang bertimbun di atas meja tidak lagi menjadi perhatian. Datuk Wahab lemas di dalam perasaan. Jiwanya terus mengembara. Batinnya terus mengenangi Ray. Ketukan di pintu bilik pejabat mengejutkan lamunannya.
Masuk,” suruhnya dengan suara parau. Ray terjengok di muka pintu. Sekuntum senyuman dilemparkannya kepada anak muda itu. Jam di dinding pejabatnya baru menunjukkan 9.00 pagi. Anak muda ini memang menepati waktu!
Datuk nak jumpa dengan saya?” tanya Ray.
Datuk Wahab mengangguk. Duduk, Ray...” suruhnya sambil mengisyaratkan tangan ke kerusi yang ada di hadapannya. Ray akur.
Awak dah selesai uruskan hal pendaftaran Dania? Dia dapat duduk di hostel?” tanya Datuk Wahab sebaik Ray duduk.
Alhamdulillah, Datuk. Semuanya dah beres. Tapi, hostel dah penuh. Terpaksa cari rumah sewa,” cerita Ray. Nasib baik dia jumpa dengan empat orang kawan sekolahnya. Mereka sama-sama mendaftar dan pakat-pakat nak sewa satu rumah,” beritahunya dengan teratur.
“Oh ya? Dapat sewa rumah di mana?” tanya Datuk Wahab.
“Di Bangsar,” jawab Ray ringkas.
Duduk dekat dengan kampus ke? Kalau jauh susah pulak dia nak pergi kuliah,” ujar Datuk Wahab. Matanya merenung ke wajah anak muda itu.
Dekat, Datuk.... dalam lima kilometer aje. Biar dia naik bas,” kata Ray. Nampaknya, Dania gembira dapat duduk bersama dengan kawan-kawannya. Rumah sewanya pun dekat dengan perhentian bas. Ramai budak-budak sekampus menyewa kat kawasan perumahan tu,” jelas Ray.
Suasana hening seketika. Datuk Wahab menulis sesuatu di dalam diarinya. Ray menanti dengan sabar.
Kerja-kerja di tapak pembinaan macam mana?” tanya Datuk Wahab. Dia lebih senang bertanya kepada Ray daripada Mukhriz.
Alhamdulillah, Datuk...” jawab Ray penuh keyakinan.
“Bagus,” puji Datuk Wahab. Beberapa hari yang lalu, dia ada bermesyuarat dengan pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk projek Awana Mall itu. Kecuali Mukhriz, semua pegawainya hadir. Ray sengaja tidak dijemput di dalam mesyuarat itu kerana Datuk Wahab ingin membincangkan hal anak muda itu juga.
Keputusan memang telah lama dibuat. Namun, dia perlu mendapatkan pandangan daripada orang lain. Ray... ” panggil Datuk Wahab. Sekali lagi dia ingin bertanya sesuatu kepada anak muda itu.
Ya, saya, Datuk...” jawab Ray sambil menunggu kata-kata seterusnya.
Betul ke nama emak Ray, Fazidatul?”
Ray mengangguk laju. Kenapa, Datuk?” tanyanya kembali. Hairan juga dengan pertanyaan lelaki itu. Dari hal kerja beralih pada hal keluarganya pula.
Emak Ray ada adik-beradik lain tak?” soal Datuk Wahab. Wajah Ray yang sedang menunduk direnungnya dalam-dalam.
Setahu saya tak ada...” Ray terdiam sejenak cuba mengingati. Famili sebelah emak saya memang dah tak ada lagi. Dulu-dulu kalau hari raya, kami selalu balik ke rumah keluarga di sebelah ayah saja...”
Bila ayah meninggal dunia, kami tak balik ke mana-mana lagi. Duduk di Tanjung Malim tu. Beraya dengan jiran-jiran sekampung... Kenapa, Datuk?” tanya Ray sekali lagi.
Tak ada apa-apa,” jawab Datuk Wahab dengan suara ke dalam. Punah harapannya. Saya teringin untuk memiliki anak lelaki,” beritahu Datuk Wahab tanpa silu. Kadang-kadang saya rasa Ray macam anak saya sendiri,” ungkapnya perlahan.
Terima kasih, Datuk...” Apa lagi yang mampu diucapkan?  Jika benarlah harapan lelaki itu menjadi kenyataan bimbang pula rasa hatinya. Jasmin akan menjadi adiknya pula! Erk!  Tiba-tiba sahaja tekaknya berasa loya.
Kalau awak ni anak lelaki saya, taklah saya rasa bimbang tentang syarikat lagi. Saya rasa Ray mampu menguruskannya... tapi...” Sebuah keluhan berat menerobos dari hidung Datuk Wahab. Tapi harapan saya tak mungkin jadi kenyataan.”
“Cik Jasmin dan Eisha, kan ada! Mereka waris Datuk,” kata Ray cuba memberi pendapatnya. Datuk Wahab senyum singkat. Ray hanya menunggu Datuk Wahab membalas kata-katanya. Lelaki itu nampaknya sedang memikir-mikir.
 “Eisha tu masih kecil lagi. Kalau saya mati esok lusa, Eisha tak mampu menguruskan segalanya...” kata Datuk Wahab. “Jasmin tu... hmm...” Sekali lagi Datuk Wahab mengeluh. Bagaikan ada rahsia yang tersembunyi.
Insya-ALLAH, ALLAH akan panjangkan umur  Datuk,” komen Ray spontan. Telatah Datuk Wahab pada hari itu membingungkannya.
Ray, sebenarnya saya panggil Ray datang berjumpa dengan saya atas beberapa perkara,” ujar Datuk Wahab. Persoalan peribadi yang menyebabkan sebak di hati segera disisih ke tepi. Dah lama Ray bekerja dengan saya. Sebagai drebar, sebagai penyelia tapak...”
“Prestasi Ray terhadap semua tugas yang diamanahkan, sangat memuaskan hati saya,” jelas Datuk Wahab. Suaranya tiba-tiba bergetar. Ray hanya diam. Matanya merenung bibir Datuk Wahab dengan perasaan yang berdebar. “Kalau ada kesempatan Ray sambung belajar balik ya?” saran lelaki itu pula.
“Saya memang ada niat nak sambung belajar tu, Datuk...” balas Ray perlahan. “Sebenarnya dulu...” Penceritaan Ray terhenti. Air liur yang ditelan terasa kesat. Kata-katanya bagaikan tersangkut di kerongkong.
“Teruskan Ray, saya sudi mendengar,” dorong Datuk Wahab. “Dulu, saya pernah dapat tawaran architecture di sebuah universiti tempatan,” beritahu Ray dengan suara perlahan. Saat itu, hatinya bagai ditoreh. “Tapi, ayah pula meninggal dunia. Duit yang disimpan untuk kegunaan biaya saya pada hari pendaftaran terpaksa digunakan untuk urusan arwah...” Ray terdiam sejenak. Menahan rasa sebak.
“Selepas itu, saya mengambil keputusan untuk terus tinggal di kampung. Buat apa-apa kerja untuk membantu mak dan menjaga adik-adik. Secara kebetulan... emak pun sedang sakit.” Suara Ray bagaikan tenggelam. “Begitulah ceritanya, Datuk...” katanya lagi. Dia tidak ingin bercerita lebih lanjut kerana hatinya dihimpit oleh perasaan pilu.
“Sabarlah, Ray. Insya-ALLAH, sedikit hari lagi Ray boleh menyambung pengajian juga. Cubalah intai peluangnya. Lepas tu, maklumkan kepada saya, pasti saya sokong,” kata Datuk Wahab terus memberi perangsang.
“Kalau tak dapat masuk universiti tempatan, ada banyak akademi pembinaan yang menawarkan kursus binaan. Kalau Ray memang berminat di dalam industri ini, Ray kena gali ilmu mengenainya sebanyak mungkin. Bidang pembinaan memang banyak cabaran serta dugaannya dan masih dipandang rendah oleh masyarakat kita. Sebab itulah menjadi pekerja di tapak pembinaan jarang menjadi pilihan belia kita... betul tak?” duga Datuk Wahab.
Ray menganggukkan kepalanya. “Sebab itulah negara ini dibanjiri oleh hampir 2.8 juta pekerja asing,” jawabnya.
“Ya, Ray! Bila dah ramai sangat orang Indonesia, Nepal, Bangladesh, Vietnam dalam negara ini, lelaki Melayu pun dah tak jadi pilihan gadis-gadis Melayu lagi. Silap hari bulan buah hati awak pun mereka rembat,” kata Datuk Wahab cuba bergurau.
“Lagipun anak-anak muda kita tak didedahkan dengan sektor pembinaan sewaktu di bangku sekolah. Sebab itulah belia-belia kita menjauhi bidang ni. Yang mereka kenal mungkin bidang perguruan, kedoktoran, undang-undang...” sambung Datuk Wahab.
“Sepatutnya kena seimbangkan. Tambahan pula negara kita ada Wawasan 2020 iaitu untuk mencapai sasaran sebagai negara maju pada tahun 2020. Apabila nak mencapai ke tahap itu pembangunan infrastruktur pun semakin pesat.” Meleret Datuk Wahab mengemukakan pandangannya.
“Oh ya... leka berbual terlupa pula saya, tujuan utama saya panggil Ray datang ke sini,” ungkap Datuk Wahab lembut.  “Ray, sebenarnya hari ni saya nak sampaikan hadiah kepada Ray,” katanya sambil menghulurkan sekeping sampul surat putih ke tangan pemuda itu.
“Terima kasih, Datuk...” ucap Ray. Sampul surat putih dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Bibirnya memahat senyuman. Meskipun rasa tidak sabar hendak mengetahui isinya, dia tidak mahu menunjukkan sikap gopoh atau rakus di hadapan majikannya itu. Dia malu.
“Oh ya, Ray. Malam ni, saya nak ajak Ray ikut saya ke majlis makan malam. Boleh tak?” tanya Datuk Wahab lagi. “Saya nak kenalkan Ray kepada kawan-kawan saya. Kalau boleh, bawa Dania sekali. Saya teringin nak berkenalan dengan adik awak tu. Hari tu sewaktu dia tidur di rumah Zarina, saya tak sempat nak balik,” ujar Datuk Wahab.
“Insya-ALLAH, Datuk...” setuju Ray. “Bolehlah kalau Ray nak balik sekarang. Jangan lupa malam nanti...” ungkap Datuk Wahab perlahan. Dia merenung Ray yang nampak gelisah sambil senyum.
“Ada apa-apa masalah ke, Ray? Nampak macam gelisah aje...” katanya terus merenung Ray yang sedang meraba-raba poket seluarnya.
“Datuk... hmm... telefon ni saya jumpa di dalam bilik mesyuarat tempoh hari. Sebenarnya, saya nak serahkan kepada Natasha hari itu, tetapi dia enggan. Dia suruh saya simpan dan serahkan kepada Datuk...” beritahu Ray akhirnya sambil menghulurkan sebuah telefon mudah alih.
Datuk Wahab terus menyambut dan membeleknya beberapa ketika sebelum menyimpannya di dalam laci.
“Boleh saya beredar sekarang, Datuk?” tanya Ray.
Datuk Wahab menganggukkan kepalanya.
“Assalamualaikum, Datuk...” kata Ray sambil bangun dari kerusi.
“Waalaikumussalam,” jawab Datuk Wahab.


Tiada ulasan: