|
|
Nyaman cuaca pagi itu kerana bumi disirami hujan subuh tadi.
Rumah Datuk Jalal diselubungi keheningan kerana hanya tinggal Nenek Kamariah.
Saat itu, dia terkenangkan gadis yang baru dikenalinya di stesen kereta api
Kuala Lumpur. Dia membayangkan wajah cucu kesayangannya pula. Tak semena-mena
bibir tuanya melarik senyuman. ‘Padan sangat-sangat. Macam pinang dibelah dua.
Harap-harap selepas ini dapat bertemu dengan Dania lagi,’ bisik Nenek Kamariah
dengan impian menggunung sambil mencapai kitab yang terletak di atas meja.
Telefon yang berdering di ruang
tamu mengejutkan Nenek Kamariah yang asyik membaca kitab Sirah Rasulullah.
Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke meja telefon. Baru sahaja tangannya
memegang gagang, deringan telefon berhenti.
“Alah, tak sempat pulak nak
menjawab. Entah panggilan daripada siapa ni,” rungutnya sendiri. Hatinya cuba
meneka-neka. Iskandar jarang menelefon pada waktu pagi. Biasanya sebelum balik
dari pejabat, Iskandar akan telefon bertanyakan kudapan petang yang hendak
dibeli. Tapi, hari ini Iskandar bercuti. Dia ke bandar untuk urusan memperbaharui
cukai jalan keretanya.
Sekali lagi telefon berdering.
Nenek Kamariah yang masih berdiri di sisi meja kecil itu cepat menyambar
gagangnya.
“Helooo...” sapanya cepat.
Suaranya diriangkan.
“Assalamualaikum,” kata suara di
hujung talian.
Nenek Kamariah menguntum senyuman.
Bagai ulam dicita pucuk yang mendatang. “Waalaikumsalam, Dania...” tekanya
tanpa ragu. Walaupun baru pertama kali mendengar suara itu di telefon dan baru
sekali dia bertemu dengan gadis itu, ingatannya sangat jelas.
“Ya, nek. Dania ni. Nenek... apa
khabar?” tanya Dania mesra. Lega rasa hatinya apabila panggilan yang dibuat
mengenai sasaran. Nenek Kamariah. Kalau cucu wanita itu yang mengangkat telefon
tadi mungkin dia berasa segan dan serba salah.
“Alhamdulillah. Nenek sihat,
cu...” jawab Nenek Kamariah lambat-lambat. Senang hatinya menerima panggilan
daripada gadis itu. “Cuma lutut aje yang ada masalah! Berdenyut-denyut kalau
banyak berjalan,” adu Nenek Kamariah lirih.
“Ya ke nek?”
“Dah usia senja... begitulah
cu...” Meleret suara Nenek Kamariah. “Dah Lama nenek tunggu-panggilan telefon
daripada Dania,” cerita Nenek Kamariah lambat-lambat. Hampir dua bulan
pertemuan mereka berlalu. “Dah banyak hari nenek suruh cucu nenek pergi cari
Dania...” ceritanya lagi. Menurut Iskandar, sudah dua kali dia cuba mencari
Dania, tetapi gagal.
“Dania duduk kat rumah sewa, nek.
Minta maaflah... Dania tak sempat nak telefon. Tapi, Dania tak pernah lupa pada
nenek,” sambungnya ramah. Nada suaranya pun mesra.
“Alhamdulillah. Terima kasih,
Dania,” balas Nenek Kamariah. “Dania duduk kat mana? Boleh tak beri alamat pada
nenek? Nanti nenek suruh cucu nenek ambil Dania kat rumah sewa dan bawa jumpa
dengan nenek. Nenek tak puas berbual dengan Dania hari tu,” pancing Nenek
Kamariah.
“Err...”
Dania serba salah. Bimbang Ray akan marah.
Ray sudah berpesan kepadanya jangan mudah percaya kepada manusia kota. “Kita berbual di telefon
sajalah, nenek,” kata Dania lambat-lambat. Bimbang ungkapan itu akan mencalar
perasaan Nenek Kamariah.
“Dania malu ya?” tebak
Nenek Kamariah. “Hari
ni, Dania ada kelas ke?” tanyanya pula. Fikirannya mula merangka-rangka
rancangan. Raut wajah Dania yang tenang dan teduh buat hatinya terpaut. Terasa
sejuk hatinya apabila melihat keayuan gadis itu. Dania sempurna dengan
ciri-ciri gadis yang menjadi idaman mana-mana pemuda atau orang tua sepertinya.
“Tak ada, nek... sebab tu
Dania ada kesempatan telefon nenek hari ni,” beritahu Dania lembut.
“Kalau macam tu, boleh
Dania beritahu nenek alamat rumah sewa Dania sekarang? Biar nenek yang pergi ambil
Dania,” minta Nenek Kamariah. Buku catatan dan pen yang tersedia berhampiran
meja telefon itu terus dicapai. “Hari ini jugak nenek datang jemput Dania.
Sekarang ni, baru pukul 11.30 pagi,” sambungnya bersungguh-sungguh.
“Tapi, nek... tak susahkan nenek ke?”
tanya Dania serba salah. Dia gagal mencari alasan untuk mengelakkan diri.
Apatah lagi lawannya berbicara itu wanita tua yang nampak ikhlas dengan
kehendaknya.
“Alamak!”
keluhnya sesal. Surat yang diberi oleh Datuk Wahab tadi belum sempat dibaca.
Maklumlah, pagi tadi dari pejabat Perkasa Holdings, dia terus ke tapak
projek. Hampir maghrib baru sampai ke rumah. Selepas maghrib tadi, dia
berbaring seketika melepaskan lelah. Lantas, sampul surat yang terpengap di
dalam kocek seluar langsung terlupa.
“Balik
nantilah baru baca! Taklah tergopoh-gapah,” rungut Ray sendiri. Sampul surat
berwarna putih diletakkannya di atas meja tulis. Setelah itu, dia cepat-cepat
menuju ke pintu, segera keluar dari biliknya menuju ke kereta.
Jawapan
pertama yang diterima sudah membuat darah Ray menyirap dengan tiba-tiba. Tidak
pernah Ray rasa marah seperti itu. Apatah lagi kepada Dania kesayangannya. Ray
mengepal-ngepal tangannya menahan perasaan.
“Dania
tak ada, bang. Sejak tengah hari tadi dia keluar.” Begitulah perkhabaran yang
didengarinya daripada teman serumah Dania. Saat itu, hatinya terus dimamah
kecewa. Hajat Datuk Wahab supaya membawa Dania bersamanya tidak tertunai.
“Dia
pergi ke mana?” tanyanya sambil merenung gadis yang berada di muka pintu. Walau
hati sedang bergelora marah, wajah dan suaranya tetap cuba ditenangkan.
“Saya
tak tahu, bang. Tengah hari tadi ada seorang nenek dan seorang pemuda datang
jemput dia,” beritahu gadis itu lagi. Jawapan yang didengar semakin
menyemarakkan rasa marahnya.
“Awak
kenal tak dengan orang tu? Dania kenal tak?
Dia ada tinggalkan nombor telefon?” tanyanya. Masih mengawal perasaan
marah. Meskipun tahu pertanyaan itu tidak wajar dilontarkan. Dia baru sahaja
membeli telefon mudah alih untuk Dania. Cadangnya, dia akan menyerahkannya
kepada adiknya itu.
“Saya
tak kenal, bang. Tapi Dania mungkin kenal, agaknya,” cerita kawan Dania lagi.
“Dania
tak ada kuliah ke?” tanyanya. Jika dari awal lagi Dania sudah pandai ponteng
kelas, tahulah dia hendak memberi khutbah percuma kepada adiknya itu!
“Dua
hari kami cuti. Tak ada kuliah. Lusa baru ada kuliah. Dania pun sama,” beritahu
kawannya. Nasib baiklah teman serumah Dania sanggup melayani pertanyaannya
dengan sabar.
“Tak
apalah. Maaflah, saya mengganggu awak.”
Ray
terus meninggalkan rumah sewa Dania dengan perasaan membakar. Getaran telefon
mudah alih menyebabkan dia tergesa-gesa pula meraba poket seluar untuk
mengambil telefon. Sebelah tangannya membuka pintu kereta.
“Insya-ALAH,
saya datang, Datuk! Dalam perjalanan ni,” beritahunya kepada Datuk Wahab.
“Jangan
lupa pergi ambil Dania,” pesan lelaki itu lagi. Ray tidak menjawab. Datuk Wahab
pun sudah memutuskan komunikasi antara mereka.
Perasaannya
mula gelisah. Ikutkan hati yang bimbang ingin sahaja dia membatalkan kehadiran
ke majlis makan malam bersama Datuk Wahab. Biar dia mencari Dania sehingga
bertemu. Namun, Datuk Wahab begitu mengharapkan kehadirannya. Sambil membawa
kereta, Ray terus meneka-neka. Siapa yang datang mengambil adiknya itu? Ray
menggelengkan kepala dan mengeluh kesal.
“Dia
ada hal, Datuk...” dalih Ray. Wajahnya dimaniskan sewaktu bersalaman dengan
tetamu yang ada di meja makan itu. Semuanya lelaki yang tidak dikenali. Usia
mereka hampir-hampir seusia dengan Datuk Wahab.
“Ray,
mereka semua ni kawan bisnes saya,” kenal Datuk Wahab.
Ray
mengangguk. Fikirannya kini tidak terfokus lagi kepada Datuk Wahab dan makanan
pembuka selera yang sedang disajikan di atas meja. Dania! Dania! Dania. Ke mana
Dania pergi ni? Hanya soalan itu yang bertubi-tubi merejam hatinya. Perasaannya
jadi galau kerana kelakuan Dania. Baru beberapa hari duduk di bandar sudah
berani membantah cakapnya.
“Ray,
dengar cerita awak akan uruskan Wafa Construction bersama Mukhriz! Tahniah!”
kata salah seorang daripada mereka.
Ray
terkesima. Dia menyembunyikan kekejutannya dengan memaniskan wajah dan
melemparkan senyuman kepada semua yang hadir.
“Congratulation,
Ray!”
Ungkapan-ungkapan itu terus menerjah ke gegendang telinganya. Gulp! Ray
menelan liur. Ingatannya terhadap Dania
berkecai sesaat. Terkenang pula pada sampul surat yang diberi oleh Datuk Wahab
kepadanya tengah hari tadi. Sampul surat yang
belum sempat dibukanya.
Mungkin
hal itu yang tersembunyi di dalam sampul surat putih itu. Tapi... mustahil pula
Datuk Wahab menaikkan pangkatnya sehingga ke tahap itu?
“Silalah
makan,” pelawa Datuk Wahab apabila pelayan hotel selesai menghidangkan makanan.
Ray
berasa lega. Sekurang-kurangnya dia terselamat daripada menjawab soalan tentang
kenaikan pangkat yang tidak diketahui kesahihannya. Hampir dua jam menjamu
selera dan melayani rakan-rakan bisnes Datuk Wahab, Ray meminta diri untuk
beredar.
“Terima
kasih, Datuk...” ucap Ray sambil bersalaman dengan lelaki itu dan semua
tetamunya.
“Auntie,
malam ni Ray balik lewat sikit. Ada hal penting nak diuruskan...” beritahunya
terus sebaik sahaja Zarina menjawab panggilan telefonnya.
Ray
meneruskan perjalanan sambil memecut laju. Sampai sahaja di hadapan rumah
sewaan Dania, jam sudah menunjukkan angka 11.50 malam. Penghuninya mungkin
sudah tidur. Mahu tak mahu, Ray terpaksa juga mengetuk pintu. Selagi tidak
berdepan dengan Dania, selagi itulah hatinya tidak tenang.
“Dania belum balik, bang,”
beritahu teman serumah Dania. Matanya pun terkebil-kebil mungkin baru terjaga
daripada tidur.
“Maaflah, ganggu awak
tidur,” balas Ray. Dia terus beredar menuju ke kereta. Dia nekad untuk menunggu
di dalam kereta sehingga pukul 12.30 malam. Baru dia membuka pintu kereta,
sebuah Toyota Vios berhenti di belakang keretanya.
Seorang
wanita tua dan seorang pemuda keluar dari perut kereta itu. Setelah itu, mereka
berdiri di sisi kereta. Pintu belakang pula terkuak dengan perlahan. Ray terus
memerhati. ‘Dania!’ Bulat mata Ray merenung Dania di bawah sinaran cahaya lampu
jalan. Berderau darahnya.
Dia
terus menghampiri wanita tua dan pemuda itu sambil berdeham dari jauh. Dania
segera menoleh kerana cam bunyi dehaman abangnya. Darahnya menyirap ke kepala.
Dadanya berombak kencang. Tubuhnya rasa menggigil. Perlahan-lahan dia melangkah
ke arah Ray.
“Abang
Ray....” bisik Dania.
“Dania pergi ke mana ni?
Malam-malam buta baru balik?” bisik Ray keras sebaik sahaja Dania berdiri di
sisinya. Hatinya semakin membaran apabila melihat lelaki yang berdiri di sisi
kereta Vios, lelaki yang sangat dikenalinya.
“Err... err...”
Tergagap-gagap Dania hendak menjawab. Iskandar segera menghampiri mereka sebaik
sahaja perasan kehadiran seorang pemuda di situ.
“Ray!” tegur Iskandar
terus menghulurkan tangannya kepada Ray.
“Encik Iskandar...” sapa
Ray. Matanya menjeling Dania, tajam. Hati Ray semakin gelisah. ‘Macam mana
Dania boleh berkenalan dengan lelaki ini? Teman lelaki Jasmin pulak tu! Nak kena Dania ni!’
“Apa...
hubungan...”
“Dania
adik saya,” pintas Ray, sebelum sempat Iskandar menghabiskan pertanyaannya.
Nenek
Kamariah yang mendengar terus bersuara. “Oh... maafkan nenek sebab lewat hantar
adik kamu balik,” sampuk Nenek Kamariah.
“Ray,
kenalkan... ini nenek aku,” kenal Iskandar.
Ray
bersalaman dan mencium tangan Nenek Kamariah. “Apa khabar, nek?” soal Ray.
Walau dalam keadaan apa pun, orang tua mesti dihormati. “Macam mana boleh kenal
dengan adik saya ni?” tanya Ray terus terang.
“Oh...
kami berkenalan kat stesen kereta api. Nenek terlanggar dia! Lepas tu, dia
pulak tolong bawakan beg nenek,” cerita Nenek Kamariah dengan mesra dan ramah.
Ray
teringat yang Dania pernah bercerita kepadanya tentang perkenalannya dengan
seorang nenek di stesen kereta api. Perkenalan itu berlaku sewaktu dia datang
ke Kuala Lumpur tempoh hari. Tidak diduganya nenek yang diceritakan oleh Dania
ialah nenek Iskandar!
“Nenek minta maaflah.
Siapa nama kamu?” tanya Nenek Kamariah ramah dan mesra.
“Saya Ray, nenek. Nama
penuh saya Ahmad Raiyan...” jawab Ray berpura tenang. Tangannya sempat memegang
tangan Dania, memberi isyarat supaya Dania terus menunggu.
Hangat
genggaman tangan Ray menyebabkan perasaan Dania jadi tidak keruan tiba-tiba.
“Nenek berkenan dengan
Dania ni, baik budaknya! Hormatkan orang
tua, pandai masak pulak tu,” puji Nenek Kamariah.
Ray
senyum di dalam kegelapan malam. Balutan resah di jiwanya semakin menebal.
“Nenek, jom kita balik,”
ajak Iskandar. “Jumpa
lagi, Dania...” ucap Iskandar sebelum menutup pintu keretanya.
Dania
mengangkat tangannya untuk membalas lambaian Nenek Kamariah dan Iskandar.
Sebaik
kereta Iskandar berlalu, Ray mengalihkan tubuhnya menghadap Dania. Dia merenung
sambil bercekak pinggang tanpa bersuara.
“Abang, Dania minta maaf,”
tangis Dania. Dia benar-benar rasa bersalah dan malu kepada abangnya itu.
“Masuk dalam kereta
sekarang! Masuk!” tengking Ray sambil mengancing gerahamnya. Dia pun berjalan
deras menuju ke kereta dan masuk ke dalam perutnya.
“Abang... Dania tak
sengaja,” rengek Dania sebaik sahaja duduk di dalam kereta.
Ray
tidak menjawab. Ketidaksengajaan Dania itu tidak mungkin dimaafkan. Menahan
perasaan radang, tangannya memegang stereng kereta kuat-kuat. Nafasnya melaju.
Dadanya berombak kuat. Entah mengapa hatinya tiba-tiba disambar oleh rasa
cemburu.
“Abang, Dania nak masuk
dalam rumah, ya...” beritahu Dania lembut. Kecut perutnya melihat keadaan Ray.
Ray kelihatan terlalu marah.
“Dania!”
Ray menarik lengan Dania yang sedang membuka pintu kereta. Dania serta-merta
menoleh. Mata Ray yang merenungnya tajam jelas pada pandangannya.
“Jangan
turun!” marah Ray. Helaan nafasnya kuat. Lantas, enjin kereta dihidupkan. Ray
memecut laju membelah kegelapan malam. Sebelah tangannya terus memegang tangan
Dania. Digenggamnya kuat-kuat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan