Pagi itu, Dania bangun dengan muka sembab. Semalaman dia
menangis. Semalaman juga dia tidak dapat tidur. Suara Ray yang memarahinya
terpiang-piang di telinga. Semalaman dia tenggelam dalam lautan kesedihan.
“Abang sedih! Dania telah mencemar
maruah abang! Dania tahu tak, siapa Iskandar
tu? Dia teman lelaki anak gadis Datuk Wahab. Abang bekerja dengan Datuk Wahab.
Anak gadisnya membenci abang! Selalu hina abang! Dania tahu tak? Dania dah buat
hati abang hancur! Abang tak suka Dania ada apa-apa hubungan dengan Iskandar
lagi selepas ini. Jangan telefon dia!”
“Dania telefon nenek! Dania tak
telefon Iskandar! Sumpah, bang! Nenek
yang sungguh-sungguh ajak Dania bertandang ke rumahnya. Dia yang nak datang ke
rumah sewa Dania walaupun Dania halang. Dia orang tua, bang. Mak dan ayah selalu
didik kita supaya menghormati orang tua. Gembirakan hati mereka.”
“Dania nak gembirakan hati mereka?
Tapi, Dania remukkan hati abang. Dania buat abang risau. Dania tu baru saja
datang dari kampung! Dania tak tahu sikap manusia di kota ni! Entah jujur entah
tidak. Entah ikhlas entah tidak. Suka-suka Dania bertindak sendiri. Buat
sesuatu tak berbincang dengan abang!
Lain kali kalau nak keluar ke
mana-mana dengan kawan-kawan mesti minta kebenaran abang! Mak dah pesan,
kan? Abang kena jaga Dania! Kalau jadi
sesuatu yang tak elok kepada Dania nanti, abang tak boleh maafkan diri abang
sampai abang mati!”
Suara Ray seakan tersepit di
hujung kata menandakan abangnya itu sedang menahan kesedihan yang sedang
memamah hatinya.
“Abang, Dania minta maaf sangat-sangat.
Lain kali Dania tak buat lagi,” rintih Dania sendiri. Mata yang memedih sejak
semalam terus menjuraikan air jernih.
“Dania! Kenapa nangis dan cakap
sorang-sorang tu?” tanya Deeba teman serumahnya. Dia menghampiri Dania yang
sedang meniarap di atas katil bujangnya. Deeba mengusap-usap belakang Dania.
Dania yang sedang menangis dan menyembamkan muka pada bantal.
“Boyfriend kau marah eh?” tebak
Deeba. Semalam dia sempat mengintai melalui tingkap.
Dania tidak menjawab persoalan
Deeba. Saat itu, hatinya tertindas kecewa dan pilu. Dia kecewa kerana telah
membuat hati abangnya terluka, remuk dan hancur. Dia kecewa kerana menyebabkan
emosi Ray terganggu. Deeba terus menunggu reaksi daripada teman serumahnya itu.
“Dania... boyfriend kau
hadiahkan telefon ya? Untungnya,” ungkap
Deeba terus mengambil telefon bimbit berwarna merah jambu yang terdampar di
sisi Dania.
“Bukan boyfriend akulah,”
jawab Dania terus teresak. Dia mengesat pipi yang basah dengan telapak tangan.
Telefon mudah alih itu diberi oleh abangnya semalam. Dalam marah-marah, Ray
menghulurkan telefon itu kepadanya sebelum dia turun dari kereta.
“Telefon ni abang belikan untuk,
Dania.” Terpiang suara abangnya yang serius. “Selepas ni tak payah guna telefon
awam lagi untuk hubungi abang,” kata Ray lagi. Suaranya tegang. Tidak lagi
mesra dan penuh kasih sayang macam selalu. Itulah yang menghiris hatinya.
“Dania, kau ni ada boyfriend
tak mahu introduce kepada kita orang pun,” usik Deeba.
“Bukanlah,” tegas Dania.
Tangisannya semakin kuat. Jika boleh memang dia ingin sangat Ray menjadi orang
luar dari keluarganya dan menjadi teman lelakinya. Tapi apakan daya, mereka
dilahirkan dalam sebuah keluarga.
“Kalau bukan boyfriend,
bukan kekasih takkanlah kau menangis teruk macam ni! Macam cinta dah hancur aje!”
usik Deeba lagi. Pelik pula dia dengan kelakuan Dania itu.
“Bukanlah,” nafi Dania lagi. Dia
mengambil bantal kecil lalu memekup telinganya. Tidak mahu lagi mendengar
persoalan Deeba yang begitu prihatin.
“Okeylah, Dania... Aku tak mahu
ganggu kau lagi! Aku nak keluar ni. Kau nak pesan apa-apa tak?” kata Deeba
pula. Dia mencapai tudung yang tersangkut di kepala katil. “Aku nak pergi beli
sarapan! Kau nak makan apa? Nasi lemak? Roti canai?” soal Deeba
bersungguh-sungguh.
“Maaf ya, Deeba... Hari ni emosi aku kalu. Tak ada selera nak
makan apa. Aku nak makan hati aje,” jawab Dania sambil meniarap. Deeba ketawa
mengekek.
Setelah memastikan yang Deeba
telah keluar dari bilik, Dania terus bangun. Telefon mudah alih yang tertindih
oleh bantal diambil dan digenggamnya kemas. Suatu perasaan yang amat halus
menyelinap menelusuri ke dasar hatinya. Lantas, dia membuka genggaman dan
melihat skrin telefon.
Bibirnya mengukir senyuman apabila
melihat wajah Ray menghiasi skrin. Serta-merta hati yang berserabut menjadi
damai. Dania terus menggeledah isi perut telefon itu.
Salam kasih sayang yang sentiasa
hangat buat Dania. Daripada Abang Ray.
Semangat yang hancur berkecai
setelah dimarahi semalam tercantum semula. Bibirnya terus memahatkan senyuman
paling manis.
“Terima kasih, Abang Ray. Kasih
sayang Dania pada abang pun sentiasa hangat. Hampir jadi api,” bisiknya
sendiri. “Dania janji, Dania takkan buat Abang Ray marah lagi. Dania janji
takkan hancurkan hati Abang Ray lagi! Dania janji tak akan buat abang bersedih
lagi.”
Skrin telefon yang memaparkan
wajah Ray dicium bertalu-talu. Dulu senyuman lelaki itu yang selalu memberinya
kedamaian. Jika boleh biarlah kedamaian yang pernah bertakhta itu terpahat
kukuh selamanya.
7. 15 pagi, Zarina dan Eisha
Safiya sudah berada di meja makan untuk bersarapan. Pagi itu, Bibik Temah
menyediakan sandwic bakar untuk mereka.
“Puan, dari pagi tadi saya tengok
bilik Ray gelap,” beritahu Bibik Temah
sambil menuangkan air Milo ke dalam cawan Eisha Safiya.
“Betul ke, bibik?” tanyanya tidak
percaya.
“Sudah dua kali saya mengintai
dari jendela,” jawab Bibik Temah. Zarina cepat-cepat bangun dari kerusi.
“Jangan-jangan dia ketiduran
lagi,” tebak Bibik Temah. Sebelum ini, Ray tidak pernah lewat.
“Bibik tolong layan Eisha makan,
biar saya pergi tengok dia,” kata Zarina. Dahinya berkerut. ‘Jangan-jangan Ray
belum pulang ke rumah,’ tekanya. Semalam, dia masuk ke bilik untuk tidur pada
pukul 1.30 pagi, tetapi Ray belum balik ke rumah. Zarina terus ke bilik Ray.
“Ray...” panggilnya. “Ray...” panggilnya lagi. Senyap juga. Zarina menolak
daun pintu yang tidak berkunci. Kakinya
melangkah masuk ke dalam bilik yang lapang. Matanya terlontar di atas
katil bujang tempat Ray melepaskan lelahnya, hanya ada dua biji bantal.
Pandangan Zarina terus mengitari
bilik yang kemas dan bersih itu. Sah! Memang Ray tiada di dalam bilik itu.
Zarina menggaru-garu kepalanya sambil berjalan keluar. Sebelum kembali ke rumah
utama, Zarina sempat mengintai garaj kereta yang terbuka sedikit pintunya di
sebelah bawah. Terpaksalah dia menonggeng dan mengintai melalui celahan pintu.
“Eh! Kereta ada kat dalam ni,”
rungutnya sendiri. Tanpa berlengah lagi, dia mengumpul kudrat untuk menolak
pintu ke atas. Sebaik sahaja pintu ternganga, dia terus menerpa ke kereta.
Cermin kereta yang bertinted gelap keseluruhannya menyebabkan dia tidak
nampak apa-apa dari arah belakang. Matanya terlontar ke skrin pintu tempat
duduk pemandu yang separuh terbuka.
“Ya Allah!” kata Zarina, terkejut. Jantungnya berdetak laju. Ray,
terkulai di tempat duduk pemandu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan