|
|
Deringan telefon yang bertalu-talu menuntut Datuk Wahab terus
menyambar telefon mudah alih yang terdampar di sisinya. Dia yang sedang dalam
perjalanan menuju ke pejabat begitu terperanjat dengan mukadimah cerita yang
disampaikan oleh isteri keduanya.
“Tak apalah, Ina. Pergilah bawa
dia ke klinik. Ajak Bibik Temah temankan,” suruh Datuk Wahab. Bimbang pula
hatinya apabila mengenangkan pemuda itu.
“Dia tak mahu. Katanya selepas
makan Panadol nanti, demam dan sakit kepalanya boleh baik,” balas Zarina. Puas
dia memujuk Ray dan mengajaknya pergi ke klinik, tetapi pemuda itu tetap
berdegil. “Dia nak pergi kerja juga hari ni,” adunya pula.
Datuk Wahab mengeluh. Ray memang
terlalu komited dengan tugas yang diamanahkan kepadanya. Sudah lama dia
mengenali pemuda itu.
“Tak boleh macam tu! Walau macam
mana pun, mesti bawa dia pergi jumpa doktor. Kalau dia berkeras jugak, panggil
doktor datang ke rumah!” tegas Datuk Wahab. “Beritahu dia abang bagi cuti!”
Bermacam-macam perangai manusia di
dalam dunia ini. Ada yang membuat kerja sambil lewa. Ada yang sanggup mati
kerana tanggungjawab terhadap kerja.
“Abang
bagilah dia cuti seminggu. Dia penat agaknya, bang. Ina tengok muka dia kusut
semacam aje. Sebelum ni tak pernah begitu,” pujuk Zarina. “Abang dah beritahu
dia perkara yang kita bincangkan tu? Pasal nak naikkan pangkat dia. Dia tension
pasal itu agaknya,” teka Zarina.
“Abang
rasa tak. Soal kerja dia sentiasa beri keutamaan! Sentiasa komited dan memberi komitmen tahap
maksima. Orang bercita-cita tinggi tak pernah gusar pada pangkat yang bertambah
atau tanggungjawab lebih. Abang rasa dia ada masalah lain ni. Semalam sewaktu
jamuan makan, dia pun nampak tak ceria. Ada masalah hati dah perasaan agaknya,”
ujar Datuk Wahab dengan suara yang semakin mengendur.
“Apa
maksud abang?” tanya Zarina. Kotak fikirnya dihadiri pelbagai pertanyaan.
“Alah...
Ina ni macam tak pernah jadi orang muda pulak!” tukas Datuk Wahab seolah
memperli. Sudah lama dia mengenali pemuda itu. Corak dan laku sudah dapat
dibaca hingga riak muka sekilas difahami.
“Dia
ada masalah dengan girlfriend dia agaknya...” teka Datuk Wahab sambil
ketawa. Zarina pun ikut ketawa. Fikirannya tidak dapat lari dari memikirkan
siapa gadis bertuah yang menjadi pilihan dan dambaan hati pemuda itu.
“Tak
apalah, bang! Nanti Ina tanyakan pada dia,” balas Zarina lembut. “Pagi tadi pun
dia nampak sedih,” ceritanya pula. Terperanjat dia apabila melihat anak muda
itu terkulai di tempat duduk pemandu di dalam kereta pagi tadi. Rupa-rupanya
Ray terlena sewaktu cuba meredakan rasa sakit kepala yang dialaminya, sebaik
balik daripada jamuan makan malam.
“Tak
apalah, Ina. Beritahu Ray, abang bagi dia cuti seminggu. Suruh dia berehat dan
tenangkan fikiran,” pesan Datuk Wahab. “Kalau dia nak balik ke kampung izinkan
saja. Minggu depan Eisha pun dah tak sekolah lagi, kan?” tanya Datuk Wahab lagi
untuk kepastian, sebelum meletakkan gagang telefon.
‘Apa yang aku dah lakukan kepada
Dania, semalam? Sebelum ini, aku tidak
pernah merelakan titisan air mata mengalir di pipinya walaupun sebutir. Tapi,
semalam?’ rintih Ray penuh kesal. ‘Kenapa perasaan cemburu
membelit hati? Apa yang sedang melanda hatiku ini? Perasaan yang telah
bertandang kian lama, puas aku mencuba untuk mengusirnya, namun aku terus
tertewas! Apabila berjauhan dengannya, perasaan itu semakin mengikat erat!
Mengapa?
Ray
memegang kepalanya kuat-kuat. Urat yang berselirat di dalam otaknya bagaikan
bersimpul-simpul dan semakin tegang. “Aduh!” rintihnya sendiri. Dahinya
dikerut-kerut menahan kesakitan yang semakin membisa.
Di
saat melihat Dania berdiri di sisi Iskandar, hatinya bagai dibedil bom
bertalu-talu. Lainlah kalau Dania itu kekasihnya... tetapi bukankah Dania itu
adik perempuannya? Adik yang terlalu
disayangi. Mungkinkah disebabkan kasih sayang itu, hatinya dibelenggu cemburu?
“Ray...”
Ketukan di pintu bilik menyentakkan Ray yang sedang dibuai oleh perasaan resah.
Cepat-cepat dia bangun dari katil dan berjalan ke pintu dengan langkah longlai.
“Auntie
bawa Ray pergi klinik, ya...” Lembut suara Zarina menyinggahi telinganya sebaik
sahaja daun pintu terkuak. Bibirnya dilebarkan, membalas senyuman wanita itu.
“Tak
payahlah, auntie...” jawab Ray sambil terbatuk-batuk beberapa kali. “Saya nak
pergi kerja,” beritahunya. Di dalam keadaan jiwanya yang sedang kacau, dia
harus menyibukkan diri. Mungkin juga dia perlu bertemu dengan Dania untuk
meminta maaf daripada adiknya itu.
“Jangan
degil,” balas Zarina. Lantas, telapak tangannya singgah di dahi dan leher
pemuda itu.
Ray
dalam malu-malu terpaksa membiarkan. “Tak apa, auntie. Saya demam sikit saja,”
dalih Ray. Segan rasanya mendapat layanan begitu. Sedangkan dia hanya pekerja
dan menumpang duduk di rumah itu.
“Panas
ni!” tegas Zarina. Sekali lagi telapak tangannya singgah di leher Ray. “Datuk
suruh auntie bawa Ray jumpa doktor. Kalau Ray tak mahu pergi, auntie panggil
doktor datang ke rumah...”
Ray terdiam. Mengeluh di dalam
senyap. Mengapalah keluarga itu terlalu mengambil berat terhadap dirinya? Bagaikan dia salah seorang anggota keluarga
mereka pula.
“Jom, pergi sekarang,” desak Zarina sambil memberi
isyarat supaya Ray menurutinya. Ray tidak berdaya untuk membantah lagi. Dia
berjalan ke kereta yang biasa menjadi pacuannya. Pintu tempat duduk pemandu
segera ditarik.
“Tak apa, Ray. Naik kereta auntie.
Biar auntie yang drive,” ajak Zarina sambil melarik senyuman.
“Oh... tak susahkan auntie ke?”
tanya Ray. Wanita itu menggelengkan kepalanya. Ray terus mengikut Zarina ke
keretanya dan duduk di sebelah wanita itu.
“Ray ada masalah ke?” tanya
Zarina, sebaik sahaja memulakan perjalanan mereka. Dia menoleh melihat Ray yang
sedang menundukkan mukanya.
“Saya tak ada masalah apa-apa,
auntie...” jawab Ray. Apa sebenarnya masalah yang sedang membeliti fikirannya?
Dia sendiri tidak tahu. Walaupun cuba untuk memahami, dia sendiri tidak
mengerti.
“Tapi, Ray nampak lain. Nampak
sedih. Wajah kusut. Sebelum ni, Ray tak pernah macam ni,” duga Zarina lagi.
“Dah lama Ray duduk dengan auntie,” jelasnya. “Datuk dan auntie tak pernah
anggap Ray sebagai orang asing, bahkan Ray adalah sebahagian daripada kami,”
ujar Zarina lagi cuba memujuk.
Ray terus membisu. Kata-kata yang
diungkap oleh Zarina membuatkan dia rasa terharu.
“Ray ceritakan masalah Ray kepada
auntie ya? Auntie tak pernah anggap Ray sebagai orang lain. Dah rasa macam adik
sendiri,” sambung Zarina. “Auntie tak suka tengok Ray bersedih macam ni...”
“Betul auntie! Saya tak ada masalah apa-apa,” balas Ray
sambil ketawa. Cuba mengusir warna kesedihan yang terlakar di muka.
Zarina ikut ketawa. Dia tahu
ketawa Ray itu hanya pura-pura. “Apa halnya dengan Dania semalam?” tanya
Zarina. Cuba mengalih topik perbualan mereka. Dia dapat mengagak perubahan
sikap Ray itu pasti ada kena-mengena dengan Dania.
“Ray runsingkan tentang Dania
agaknya,” ungkapan yang terlontar daripada bibir Zarina terputus sejenak. Dia
cuba serkap jarang sambil mengerling ke wajah pemuda yang sedang duduk di
sisinya. “Kalau Ray tak keberatan, kongsilah dengan auntie,”
pujuk Zarina sambil memandu dengan tenang.
Pujukan Zarina menyebabkan Ray
serba salah.
“Ceritalah... jangan segan atau malu dengan auntie,”
dorong Zarina.
“Tak apa ke kalau saya
bercerita pada auntie?” tanya Ray pula.
“Eh! Eh! Ray ni... kan
auntie yang minta Ray cerita kalau tak keberatan,” pujuk Zarina lagi.
Ray
mengeluh dalam dan menghela nafas seketika.
“Entah
macam mana, Dania dah berkenalan dengan nenek Iskandar,” ujar Ray memulakan
cerita.
Bibir
Zarina memahat senyuman kerana hempir berjaya mencungkil rahsia anak muda itu.
“Iskandar
teman lelaki Jasmin ke?” tanya Zarina untuk kepastian. Ray menggangguk
perlahan.
“Lalu?” pintas Zarina terus
meneka-neka.
“Tengah hari semalam
mereka datang ambil Dania di rumah sewanya,” cerita Ray seterusnya. Setelah
itu, dia berdiam sejenak kerana memikirkan sama ada hendak meneruskan
penceritaan itu ataupun tidak.
“Mereka?
Siapa?” soal Zarina tidak sabar.
“Nenek
Iskandar dan Iskandar,” jawab Ray. Suaranya semakin perlahan. Tekaknya rasa
berpasir. Zarina diam. Dia menunggu anak muda itu meneruskan ceritanya.
“Bila
saya pergi ke rumahnya semalam untuk jemput dia sertai saya menghadiri makan
malam bersama Datuk, dia tak ada di rumah...” beritahu Ray sambil menundukkan
wajahnya melihat lantai kereta.
Tuhan sahaja yang tahu betapa pedih hatinya semalam. Saat
perasaan berbunga-bunga untuk meleraikan rindu kepada Dania, tiba-tiba Dania
tidak ada di rumah. Semakin hatinya terluka dan koyak.
“Oh
ya? Jadi, tak dapatlah Datuk nak berkenalan dengan Dania lagi, ya? Semalam,
Datuk ada cerita pada auntie, dia suruh Ray bawa Dania,” cerita Zarina pula.
“Seterusnya?”
“Hati
saya pun jadi tak tenang. Saya bimbangkan keselamatannya. Dania pun tak telefon
saya beritahu tentang hal itu.” Penceritaan Ray semakin lancar. Selalunya,
Dania akan menghubunginya menggunakan telefon awam jika ada apa-apa hal.
“Maknanya
Ray pergi balik ke rumah sewaan Dania selepas dinner tu untuk memastikan
dia dah ada di rumahlah, ya...” teka Zarina.
Ray
menganggukan kepalanya. “Masa saya sampai dah hampir pukul dua belas malam,
auntie. Tapi, Dania masih belum balik. Menurut kata kawan serumahnya.”
“Jadi,
Ray tunggu sampai dia balik ke?” tanya Zarina. Dia senyum dan puas hati kerana
berjaya mengorek rahsia yang menyebabkan anak muda itu diselubungi duka.
“Tak
lama lepas tu, dia balik...”
“Iskandar
hantar?” tanya Zarina sambil menjeling kepada Ray. Ray menggangguk lesu.
“Iskandar
seorang ke?” soal Zarina lagi. “Dengan nenek dia,” jawab Ray sambil membuang
pandangannya ke sisi kiri jalan.
“Habis
tu?” Pertanyaan Zarina terhenti seketika kerana membelokkan keretanya ke lorong
yang akan menghala ke klinik. “Teruklah Dania kena marah semalam?”
Ray
diam sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Beribu sesalan tidak
terucapkan. “Ya auntie,” jawab Ray setelah berdiam agak lama. “Saya marah
sampai dia menangis.” Suara Ray semakin mengecil di hujung kalimahnya. “Saya marah bersungguh-sungguh
sehingga Dania menangis teruk...” ulang Ray dalam nada kesal.
“Bukan
ke nenek Iskandar ada sekali? Kenapa Ray marah Dania?” duga Zarina.
“Saya
bimbangkan keselamatan dia. Lagipun dia tak beritahu saya sebelum pergi
mengikut mereka,” jawab Ray.
“Ke
Ray rasa cemburu pada Iskandar?” usik Zarina.
Ray
kembali membisu. Bibirnya seakan terkunci. Betulkah api cemburu sedang meratah
hatinya?
“Ray,
auntie minta maaf ya. Kalau kenyataan auntie mengecilkan hati Ray. ”
“Apa
dia, auntie,” dorong Ray lembut.
“Auntie
suka tengok Ray dan Dania. Macam pasangan yang sangat cocok! Tapi, entahlah...
Naluri auntie sebagai wanita yang lebih dewasa, auntie rasa macam ada
perhubungan misteri antara kalian berdua,” tukas Zarina.
“Err...
apa maksud auntie?” soal Ray dengan suara bergetar.
“Walaupun auntie tahu
Dania itu adik Ray, tapi auntie tengok cara Ray memandang Dania dalam keadaan
curi-curi, begitu syahdu sekali renungannya. Seolah-olah ingin menyampaikan
sesuatu yang terpendam di dalam hati Ray...”
Nafas
Ray bagai tersekat beberapa saat. Pipinya menghangat. Perasaannya semakin tidak
keruan.
“Dania
tu cantik, Ray... baik orangnya. Auntie berkenan kat dia. Cepat mesra.”
Pujian
Zarina terhadap Dania menyebabkan hati Ray semakin tidak keruan.
“Auntie tak rasa hairan,
kalau nenek Iskandar dah tertarik hati kepada Dania dan nak kenen-kenen Dania
kepada cucunya...”
Mendengar
kata-kata itu, hati Ray semakin diamuk resah. “Auntie, lampu isyarat dah hijau
tu.” Cepat-cepat Ray memancung perbualan Zarina. Kata-kata yang terlontar
daripada bibir wanita itu menyebabkan dirinya semakin terkurung di dalam
sangkar keliru. Kegalauan di jiwanya semakin memuncak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan