|
|
Ray menggagahkan dirinya untuk memandu, balik ke Tanjung
Malim. Peluang bercuti yang diberikan oleh doktor yang merawatnya tidak harus
dilepaskan begitu saja. Pukul 6.00 petang, Ray sampai ke rumahnya di kampung.
Iwan yang menyedari kepulangan Ray menyonsongnya ke kereta.
“Assalamualaikum,
bang,” tegur Iwan sambil bersalaman dan mencium tangan Ray.
“Waalaikumussalam!
Iwan sihat? Mak ada di rumah tak?” tanya Ray. Bahu Iwan dipeluknya sewaktu
berjalan beriringan dengan adiknya itu naik ke rumah. Iwan yang sedang berada
di tingkatan 5, kini bersekolah di Sekolah Tungku Abdul Rahman, Ipoh. Dia duduk
di asrama. Setiap hujung minggu dia balik ke Tanjung Malim untuk menjenguk
emaknya.
“Pukul
berapa Iwan sampai ke rumah?” tanya Ray lagi.
“Dalam
sejam tadi, bang! Hari ini kelas bersurai awal. Tambahan pula minggu depan dah
cuti penggal,” jawab Iwan.
“Ray...”
tegur Fazidatul sebaik sahaja melihat wajah anaknya itu.
“Mak!”
Ray terus memeluk emaknya. Dipeluknya lama-lama. Entah mengapa tiba-tiba
hatinya menghiba.
“Ray
kenapa ni?” tanya Fazidatul. Tubuh Ray yang sedang mendakapnya diusap
perlahan-lahan. “Ray tak sihat ya?” tanyanya lagi. Bahang panas daripada tubuh
anaknya itu dapat dirasai.
“Ray
demam sikit, mak,” adu Ray dengan suara lesu.
“Iwan...
pergi buat air untuk abang, sayang.Buat teh O ya. Jangan manis sangat,” suruh
Fazidatul kepada Iwan yang masih berdiri di situ.
“Tadi
emak suruh Iwan pergi ke kedai, beli roti...” jawab Iwan. Banyak sangat arahan
yang diterima dalam satu-satu masa, yang mana satu hendak didahulukan?
“Yalah!
Pergi ke kedai dulu,” balas Fazidatul pula. Takkanlah pula Ray hendak minum teh
O sahaja tanpa apa-apa kudapan. “Rihatlah, Ray,” suruh Fazidatul sambil
mengerling wajah Ray yang sugul.
“Ya,
mak. Ray nak baring kat anjung ni. Sakit sangat kepala. Berdenyut-denyut, rasa
nak meletup pulak,” beritahu Ray cuba bermanja.
“Mari
tidur di riba emak,” suruh Fazidatul yang memang sedang duduk bersila di atas
lantai.
Ray
mengikut kehendak emaknya itu. Dengan perlahan, dia merebahkan dirinya di atas
paha emaknya. Jari-jemari Fazidatul terus menari-nari di dahi dan kepala Ray.
Belaian dan usapan emaknya itu menyebabkan Ray terleka sejenak. Fikirannya
hanyut entah ke mana. Hatinya tidak dapat lari daripada mengingati Dania. Rasa
marah. Rasa sayang. Rasa cemburu. Rasa rindu. Bertindan-tindan.
“Kenapa
Ray nampak macam susah hati ni?” tanya Fazidatul penuh kasih sayang.
Ray
hanya mengeluh. Tangan emaknya yang sedang memicit dahi dipegang kejap.
“Ada
masalah di tempat kerja ke?” tebak Fazidatul pula apabila pertanyaannya tidak
dijawab.
Ray
hanya menggeleng. Sukar untuk dia memberi penjelasan kepada emaknya.
“Tak
ada apa-apa, mak...“ Akhirnya, terungkap juga kata-kata itu daripada bibirnya.
Matanya dipejamkan kembali. Dia berasa selesa di atas pangkuan emaknya pada
saat itu.
“Tak
apalah, Ray. Berehatlah dulu. Bila dah tenang nanti Ray ceritakan pada mak, ya!
Emak tahu Ray sedang menyembunyikan sesuatu daripada emak,” ujar Fazidatul.
Rambut Ray diusapnya perlahan.
Mendengar
kata-kata emaknya itu, Ray rasa ingin meraung. Dapatkah dia melampiaskan rasa
kesedihan dan kekecewaannya dengan raungan dan tangisan yang tidak berhujung?
“Ray
dah tak percaya kepada emak ke? Ray ada masalah dengan kekasih ke?” teka
Fazidatul sekadar berseloroh. Walaupun dia tahu tak mungkin Ray ada seseorang
yang boleh dianggap sebagai kekasih. Dia pasti sangat-sangat.
“Pasal
Dania, mak...” beritahu Ray dengan mata terpejam. Dia mengeluh payah. Jejari
Fazidatul yang sedang memicit kepala Ray terhenti pergerakannya.
“Kenapa
dengan Dania? Ray bergaduh dengan dia ke?” tebaknya pula. Selama ini,
perhubungan mereka berdua sangat baik. Rapat. Saling menyayangi. Mesra. Manja.
Sehingga dia pula jadi bimbang.
“Ceritalah
Ray,” desak Fazidatul. Perasaan ingin tahunya melonjak-lonjak. Mustahil Ray dan
Dania bergaduh besar sehingga Ray merajuk balik kampung. Dia terus memicit dahi
anak bujangnya itu.
“Mak,
Ray risaukan Dania. Ray tak harap dia tinggal bersama dengan kawan-kawan
sebayanya di rumah sewa tu,” cerita Ray.
“Kenapa?”
soal Fazidatul. Fikirannya berlegar cuba memikirkan maksud kata-kata Ray itu.
Apa yang telah dilakukan oleh Dania bersama kawan-kawan serumahnya? Bawa teman lelaki masuk ke rumah ke?
Maklumlah hidup jauh daripada pandangan orang tua. Di zaman serba maju ini
bermacam perkara buruk mudah berlaku jika tiada bimbingan iman di dada.
“Ray
tak suka Dania bebas keluar dengan orang yang tak menentu. Nak-nak dengan
lelaki yang jauh lebih dewasa daripada dia,” jelas Ray.
“Habis
tu? Apa yang Dania dah buat sebenarnya, Ray?” Fazidatul bagaikan tidak sabar
mendengar kata-kata Ray seterusnya.
“Dania...” sebut Ray lambat-lambat.
“Kenapa dengan Dania, Ray?” soal Fazidatul lembut.
“Dia berkenalan dengan seseorang. Dengan seorang
nenek,” cerita Ray perlahan-lahan.
Fazidatul mendengar dengan teliti.
Sambil meneka penghujung cerita anak mudanya itu.
“Sebab tu Ray kusut hati?”
duganya. “Ray tak suka pada nenek tu ke?” tanya Fazidatul. Hairan dengan
perubahan sikap Ray. Bukankah sebelum ini anaknya begitu menghormati orang tua?
“Bukan macam tu, mak! Tapi, cucu
nenek tu Iskandar namanya, teman lelaki anak Datuk Wahab. Ray bekerja dengan
Datuk Wahab. Ray takut satu hari nanti Dania...” Kata-kata Ray terhenti di
situ. Tidak ingin dia menyebut nama Jasmin di hadapan emaknya.
“Maafkan Ray, mak...” Suara Ray
mulai bergetar. “Bukan niat Ray nak kongkong
Dania...” Ungkapannya terputus-putus kerana dia menahan sebak yang menerjah sukma.
“Mak faham, Ray. Ray sayangkan
Dania dan mahukan yang terbaik untuknya, kan?” Fazidatul cuba meredakan
kegelisahan di hati Ray.
“Ya, mak. Ray sayangkan Dania dan
inginkan yang terbaik untuknya. Sama macam Ray inginkan yang terbaik untuk mak
dan Iwan,” setuju Ray. “Dua hari lepas, nenek tu dan cucunya datang ambil Dania
dan bawa ke rumah mereka,” ceritanya pula. “Dari tengah hari sampai ke tengah
malam...”
“Macam mana Ray tahu hal ni?” soal
Fazidatul. Nada suara Ray yang sedih dan hiba menusuk hatinya. “Datuk ajak Ray
pergi makan malam dengannya. Dia suruh Ray bawa Dania sekali. Bila Ray pergi ke
rumah sewa, Dania tak ada di rumah. Balik dari makan malam, Ray pergi sekali
lagi ke rumah tu, mak. Tapi, Dania belum balik lagi. Waktu tu dah tengah malam...”
“Jadi?” tanya Fazidatul cuba
meneka apa yang tersembunyi di dalam fikiran Ray pada saat itu.
“Ray nak minta kebenaran daripada
Datuk, pindah dari rumah Auntie Zarina,” terang Ray perlahan.
“Maksudnya?” soal Fazidatul lagi,
lalu cuba mengagak rancangan Ray.
“Mak, Ray nak sewa rumah lain dan
duduk dengan Dania. Boleh tak, mak?” tanya Ray.
Berderau darah Fazidatul apabila
mendengar permintaan Ray. Restu yang pernah dipohonnya sebelum ini diulangnya
sekali lagi.
“Tak boleh, nak,” jawab Fazidatul
sambil menelan liur yang rasa berbisa bagaikan racun yang akan mereputkan
seluruh tangkai hati dan jantungnya.
Mendengar jawapan emaknya, Ray
terus bangun dari ribaan. Dia duduk bersila mendepani emaknya dan menatap wajah
emaknya tepat-tepat.
“Tak boleh, Ray...” ulang
Fazidatul dengan bibir bergetar. Matanya juga mulai berkaca.
“Mak, kenapa mak tak izinkan?”
soal Ray. Mata emaknya terus direnung. Mata yang tadinya berkaca meretak dengan
perlahan lantas menerbitkan manik-manik jernih. Matanya sendiri pun mulai membasah.
Hati lelakinya bagaikan telah tertewas oleh kesedihan pada saat itu.
“Ray...”
“Mak...” pintas Ray. Senja ini,
dia akan meminta penjelasan daripada emaknya. Kekeliruan dan kekusutan yang
selama ini mengurungi hatinya ingin dilerai. Biar segalanya terang dan nyata.
“Sudah lama Ray nak tanyakan hal ni pada emak,” bisik Ray perlahan. Tangan
emaknya digenggam dan diciumnya bertalu.
Sekali lagi darah Fazidatul
berderau. Degupan jantungnya mulai melaju.
“Emak, dulu-dulu... bila Ray dan
Dania bergurau sebelum solat, selalu emak suruh kami ambil air sembahyang
semula. Macam-macam dalih mak. Mak kata kami pijak tahi cicaklah. Itulah...
inilah...” Kata-kata yang terungkap oleh bibir Ray terputus sejenak. Tidak
tertahan hatinya pada saat itu lantas sekali lagi tangan emaknya diciumnya
dalam-dalam.
“Dari dulu lagi, Ray nak tanyakan
hal ni. Tapi, Ray pendamkan, mak. Ray tak mahu mak sedih,” sambungnya. “Sudah
lama Ray fikir untuk carikan jawapan. Kalau nak kata Ray ni bukan anak emak
atau Dania bukan anak emak, nama bapa kami sama saja dengan Iwan,” hujah Ray
perlahan.
“Apa
sebenarnya yang sedang berlaku, mak? Kenapa mak selalu memerhati kami berdua?
Mak nampak tak selesa jika Ray dan Dania bergurau senda... bersentuhan...
berpelukan...sedangkan Dania itu adik Ray. Kenapa mak?” Suara Ray semakin
menggeletar kerana pada saat itu batinnya dihimpit kepiluan yang memuncak.
Lidah
Fazidatul seolah-olah kelu.
“Mak,
Ray nak duduk dengan Dania supaya Ray boleh jaga dia. Tengokkan sakit
peningnya. Pastikan keselamatannya. Ray ingat pesan arwah ayah, mak,” sambung
Ray lagi. “Jaga emak dan adik-adik. Ray tak mahu mana-mana lelaki kacau dan
ganggu hidup Dania sehingga dia tamat belajar, mak!” terang Ray lagi.
Cara
Iskandar merenung Dania pada malam itu menggusarkan hatinya. Sebagai lelaki,
dia tahu Iskandar sudah terpaut hati kepada Dania. Hal itu membuatkan hatinya
bagai diramas-ramas.
“Mak, izinkan Ray, mak.
Tolonglah!” rayu Ray bersungguh-sungguh.
Mendengar rayuan Ray, Fazidatul
tidak dapat lagi menahan rasa hibanya. “Ray...” Terus dia merangkul anak
bujangnya itu.
Ray yang terkejut dengan perlakuan
emaknya itu terus membalas pelukan Fazidatul. Tangisan pilu emaknya yang
bersungguh-sungguh serta-merta melontarkan hatinya dalam lautan tanda tanya.
Mengapa emaknya sedih sangat dengan permintaannya itu? Mungkin benarkah khabar
angin yang pernah sampai di telinganya dulu? Dia dan Dania tiada pertalian
darah.
“Apa
yang merumitkan sangat perhubungan kami itu, mak?” tanyanya perlahan. “Apa
sebabnya sehingga hati mak jadi meruntun begini?”
“Ray...”
Esakan Fazidatul seiring dengan ungkapan kata-kata. “Sebenarnya... Da... Dania
tu bukan adik, Ray.” Akhirnya terpacul juga ungkapan yang telah bersarang di
dalam hatinya selama berbelas tahun ini. “Dia bukan mahram Ray,” jelasnya. Fazidatul
memekup mulut menahan suara raungannya terus meledak.
“Apa
mak? Dania bu... buk...” Bibir Ray terkancing serta-merta. Tidak mampu dia
mengungkapkan kalimah seterusnya. Patutlah selama ini perasaannya terhadap
Dania begitu asing.
“Ray...
tolong rahsiakan hal ni daripada Dania, nak!” Tangisan Fazidatul semakin
kuat. “Berjanjilah dengan mak. Dania
takkan tahu hal ni sampai bila-bila... berjanjilah,” gesa Fazidatul. “Sampai
mati Ray mesti simpan rahsia ni. Mak tak mahu hati Dania hancur. Apatah lagi
membuat dia sedih. Emak sayang Dania macam anak sendiri. Tolonglah Ray.
Berjanji dengan mak, ya...” rayu Fazidatul pula sambil menggenggam tangan Ray.
“Mak!”
rintih Ray. Lidahnya terkelu. Tadi, dia lega kerana mendapat perkhabaran yang
Dania bukan adiknya. Namun, permintaan emaknya semakin mengusutkan perasaan.
Jika memang cinta yang ada, adalah cinta sejati, tak akan mungkin serapuh daun
kering. Yang begitu mudah terhempaskan. Hanya oleh angin dan keadaan. Kalau
emaknya meminta dia berjanji begitu, bermakna cintanya kepada Dania akan
bersepai di pertengahan jalan.
“Mak,
kenapa boleh jadi macam ni, mak? Apa cerita sebenarnya? Bukan ke emak yang
lahirkan Dania. Ray ingat lagi semua tu, mak. Mak balik dari hospital dan bawa
Dania...” Kata-kata Ray terhenti di situ sahaja kerana dia kembali mengenangi
hal yang pernah singgah di fikirannya sebelum ini. Dia tidak pernah melihat
emaknya mengandung sebelum Dania hadir dalam keluarga mereka.
Fazidatul
menggeleng kepalanya berulang kali. Dia kehilangan kata-kata untuk menjawab
pertanyaan dan rintihan hati Ray.
“Kalau
nak kata Dania bukan emak yang lahirkan, kalau ayah ada isteri lain, kami satu
bapa, kan?” soal Ray. “Kalau sudah satu bapa, dia masih mahram Ray jugak, kan?”
Pertanyaan Ray berterusan.
Fazidatul
terpaku. Bungkam.
“Mak...”
rayu Ray. Fikirannya semakin buntu. Sejak kecil lagi dia sudah mengetahui yang
nama bapa mereka tiga beradik ialah Abdul Wahab. Kalau sudah sebapa, mengikut
nasab, Dania adalah mahramnya.
“Ray
yang akan jadi wali kalau Dania nak menikah nanti,” bicara Ray berterusan.
Kekusutan fikiran semakin berselirat.
“Tak
Ray! Ray tak boleh jadi wali untuk Dania,” pintas Fazidatul.
“Dania
bukan anak emak. Emak tak pernah mengandung dan melahirkan dia,” terang
Fazidatul lagi.
Ray
mengeluh dalam. “Hanya Iwan yang boleh jadi wali Dania, nak...” ungkap
Fazidatul dengan suara bergetar.
“Ray
tak faham, mak,” bisik Ray. Wajah emaknya terus direnungi. Air mata yang
membasahi pipi emaknya diseka. “Mak, sebagai anak sulung, Ray kena tahu
semuanya, mak...” pujuk Ray.
Permintaan
Ray itu terlalu berat dirasakan oleh Fazidatul. Bagaimana dia hendak memulakan
cerita?
“Ray,
maafkan mak,” balas Fazidatul. Kegusaran terus datang menjenguk keras ke lubuk
kalbunya.
“Emak
sayangkan Ray. Sayangkan Dania. Sayangkan Iwan.” Air matanya terus meleleh.
“Walaupun
ada di antara kamu bukan mak yang melahirkannya, tapi kasih sayang mak sama.
Mak sanggup korbankan nyawa mak untuk Ray dan adik-adik semua,” ujar Fazidatul
seolah berbisik. “Mak tak mahu mana-mana hati pun terluka, Ray. Maafkan mak,
sayang. Mak tak boleh bercerita lebih-lebih,” tangisnya lalu mendakap Ray.
“Mak...”
keluh Ray dengan perasaan terbuku. Sangat terbuku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan