Isnin, 20 Ogos 2018

SAPU TANGAN BIRU BAB 47



Hampir seminggu Mukhriz tidak masuk ke pejabat. Datuk Wahab mengarahnya supaya bertemu dengan beberapa orang kontraktor kecil yang turut terlibat di dalam projek yang sedang dijalankan oleh Wafa Construction. Namun, hari itu dia terpaksa masuk juga ke pejabat. Kata Datuk Wahab, dia akan datang ke Wafa Construction dan berbincang dengannya tentang projek terbaharu. Datuk Wahab akan datang bersama beberapa orang yang lain.
Mukhriz menolak daun pintu pejabat dengan gelojoh. Masuk-masuk sahaja pandangannya terlempar pada hal yang menyakitkan hati. Terhenti langkahnya di muka pintu.
“Ya ALLAH, kenapa berselerak kat depan ni, Hawa?” tanya Mukhriz terus. Matanya memerhati lantai yang masih berselerak dengan peralatan bertukang. Dia bercekak pinggang sambil membebel. Matanya menjeling Hawa yang baru keluar dari pantri membawa sebuah mug di tangan.
“Awak buat apa ni, Hawa?” marahnya. Hawa, keraninya yang keras kepala itu hanya menjongketkan kedua bahunya sambil membuat muka. Wajah serius Mukhriz tidak sedikit pun mencuakkan hatinya.
“Buat Milo, Encik Mukhriz! Dari pagi tadi, saya belum makan lagi. Sekarang ni dah pukul 10.00 pagi,” jawab Hawa bersahaja. “Perut saya dah berdendang. Encik Mukhriz datang ke pejabat pun bukannya nak tapau nasi lemak ke, murtabak ke... untuk saya. Tangkai jering,” kutuknya pula.
“Lain yang orang tanya, lain pulak yang awak jawab, Huh!” rengus Mukhriz terus berlalu ke biliknya.
Hawa duduk di kerusinya sebaik sahaja lelaki berkemeja lengan pendek bercorak kotak besar warna maroon, hitam dan putih itu lenyap dari pandangannya.
“Aduh, masuk ofis sahaja, kepala otak berserabut!” rungutnya. Mukhriz mengeliat beberapa kali. Setelah itu dia mengitari di sekeliling biliknya. Kiri. Kanan. Depan. Belakang. Perasaannya terasa berbeza. Bagai ada kelainan di dalam biliknya itu. “Eh, kenapa macam lain aje bilik aku ni?” bisiknya sendiri. Biliknya terasa sempit. “Takkan pulak bangunan ini kena himpit?” rungutnya pula. Lantas kepalanya didongakkan melihat siling. Dia pun menuding jari ke siling mengira sesuatu.
“1... 2... 3... eh!” Mukhriz terus melatah. Dia melihat ke dinding sebelah kanannya pula. Ternyata dindingnya sudah berubah corak, menandakan ada pengubahsuaian di bilik pejabatnya. Serta-merta Mukhriz bangun dari kerusi dan meluru ke pintu. Sederas kilat, dia menolak daun pintu.
“Eh, Hawa! Siapa yang pandai-pandai ubah suai pejabat ni sewaktu saya tak ada, hah?” marahnya dengan suara kuat.
“Alah, Encik Mukhriz ni... nak marah saya pulak! Takkan saya nak buat?” jawab Hawa selamba. Bibirnya dijuihkan. Hangat pula hatinya  menjadi sasaran marah di awal pagi. “Jawatan saya kat sini kerani cabuk aje.” Ungkapan Hawa sengaja hendak menyakitkan hati Mukhriz.
“Habis tu” tanya Mukhriz tidak puas hati.
“Datuk Wahablah. Suka hati dialah nak buat macam mana pun.” Perlahan nada suara Hawa.
“Yalah, saya tahulah company ni dia yang punya! Tapi, kenapa bilik saya jadi sempit pulak? Hisy memandai aje orang tua tu,” rengus Mukhriz. Perasaan marahnya mula menjalar ke urat sarafnya.
“Tengoklah sendiri,” kata Hawa bagaikan merungut. “Ada bilik besar pun bukannya Encik Mukhriz nak buat kerja sungguh-sungguh,” sambungnya sambil berpaling ke arah komputernya.
“Apa awak kata, Hawa? Awak jangan nak naikkan darah saya pagi-pagi ni!” marah Mukhriz sambil menoleh ke arah biliknya. “Eh! Kenapa ada dua pintu pulak kat situ?” soalnya. Matanya tertala ke arah Hawa.
“Ada dua pintu sebab ada lagi satu biliklah, Encik Mukhriz,” jawab Hawa tanpa menoleh ke arah lelaki itu. Bilik Encik Mukhriz tu dah dibahagi dua. Tengok dan bacalah sendiri,” nasihatnya. Tanpa dilihat Mukhriz, Hawa tersengih-sengih senang hati di belakangnya. ‘Padan muka kau!’ rungutnya tanpa suara.
Mukhriz pun merenung sekali lagi ke arah pintu yang kelihatan baru.
Ahmad Raiyan Wafa (Ray)- Penolong Pengurus.
Hampir terkeluar biji matanya sebaik membaca nama yang tertera di daun pintu. “Apa!?” jerit Mukhriz sambil dua tangannya memegang kepala.
“Lagi-lagi Ray! Lagi-lagi Ray!” katanya berulang kali dengan nada geram. “Ray! Ray! Ray!” ungkap Mukhriz lagi. Melihat keadaan Mukhriz seperti dirasuk itu, Hawa ketawa geli hati.
“Alah, relakslah Encik Mukhriz,” perlinya sambil ketawa meleret. “Saya telefon ustaz, ajak dia datang sini untuk halau jin yang hinggap kat Encik Mukhriz baru tahu! Nak?” sempat lagi dia berseloroh.
“Saya cekik awak, Hawa! Sudah! Buat kerja tu!” tengking Mukhriz terus meninggalkan Hawa seorang diri. Dia kembali ke biliknya dan menghempas pintu dengan kuat. 


Duduk sahaja di kerusi, gagang telefon terus disambar. Bob! Hanya nama itu yang berputar-putar di mindanya.
“Bob! Projek yang aku suruh kau buat tu dah siap ke belum?” tanyanya kuat, sebaik mendengar suara Bob di hujung talian.
“Amboi, gelojoh benar kau, Mukhriz! Kenapa? Apa budak tu dah buat pada kau?” soal Bob kembali.
“Aku hampir terbakar ni! Hanya tunggu masa nak meletup!” jawab Mukhriz bersungguh-sungguh. Sempat pula dia menumbuk permukaan meja. Sempat juga bibirnya menyeringai kerana menahan kesakitan yang dicari sendiri.
“Apa hal?”
“Dia dah jadi penolong pengurus! Datuk dah buatkan pejabat untuk dia!” jawab Mukhriz nyaring.
“Kat mana?” soal Bob sambil ketawa.
“Kat sebelah bilik aku, bro! Geram aku pada orang tua kutuk tu! Rasa nak terbalikkan bangunan ni!” beritahu Mukhriz dengan suara kuat.
 Ledakan tawa Bob semakin membuatkan hati Mukhriz terbakar. “Bak 10 ribu!” minta Bob. Kesempatan yang datang tidak boleh dilepaskan.
“Boleh! Tapi, ada kerja lain lagi yang kau kena buat untuk aku!” Persetujuan  Mukhriz bersyarat.
“Kau ni buat kerja tak ikhlaslah, Mukhriz. Selalu begitu. Janji satu, tapi yang kau minta dua...”
“Mestilah! Orang bisnes mesti nak dapatkan keuntungan berlipat kali ganda...” jawab Mukhriz dengan suara yang semakin mengendur. “Kita jumpa minggu depan.”
Bob menamatkan perbualan mereka tanpa pamitan. Mukhriz mengukir senyuman.
Turun dari bas, Dania cepat-cepat berjalan ke rumah sewa yang jaraknya kira-kira 10 meter dari perhentian bas. Jalan yang dilalui basah kerana petang tadi hujan.
Dania berjalan penuh hati-hati sambil memegang fail poket yang dirapatkan ke dada. Sambil berjalan fikirannya menerawang mengingati abangnya, Ray. Hampir seminggu Ray menyepikan diri. Sejak peristiwa malam itu. Panggilan telefon yang dibuatnya pun tidak berjawab. Entah mengapa hatinya dibaluti rindu.
“Salah aku jugak! Buat perkara yang Abang Ray tak suka!” gumamnya sendiri sambil berjalan. Tanpa  disedari, dia sudah sampai ke muka pintu.
“Hai, Dania...” sapa Deeba yang sedang melepak di ruang tamu.
“Hai,” balas Dania berpura-pura riang. “Eh, cepat kau balik hari ni, Deeba! Kau ponteng kuliah, eh!” tegur Dania sambil duduk di atas sofa. Dia tercungap sejenak.
“Aku sakit perut. Cirit-birit,” adu Deeba sambil menekan-nekan perutnya. Dahinya berkerut.
“Ada cuti sakitlah ni?” tanya Dania.
Deeba mengangguk. “Gila kau tak dapat MC! Kalau doktor tu tak nak bagi, aku cirit kat atas riba dia,” jawab Deeba nakal.
Dania ketawa. “Habis tu, kau dah makan ubat ke?” tanya Dania sambil menyentuh-nyentuh perut Deeba.
“Dah makan ubat, Doktor Dania,” jawab Deeba sambil ketawa.
“Jangan nak mengada! Tahun pertama pun belum habis, nak panggil aku doktor pulak!” marah Dania bersama senyuman.
“Aduhai, sakit perut saya dah sembuhlah doktor, bila tengok senyuman doktor yang manis dan menawan tu,” usik Deeba lagi. “Kalau doktor sudi masakkan saya nasi goreng Cina untuk makan malam nanti, lagi cepat saya sihat,” bodeknya pula sambil senyum nakal.
“Alah, setiap malam nak makan nasi goreng Cina. Jemu!” balas Dania sambil bangun dari sofa. Pelukan Deeba di lehernya terlerai. “Malam esoklah ya? Semua orang ada kat rumah. Hari ni, aku tak ada mood nak masak,” beritahu Dania sambil menanggalkan tudung di kepalanya.
“Malam nilah...” pujuk Deeba. “Malam esok, masak lagi,” katanya pula sambil melentokkan kepalanya memujuk.
“Eh! Telefon aku berbunyilah,” beritahu Dania. Terus dia mengambil telefon mudah alih di dalam beg galas yang dibawa ke dewan kuliah tadi.
Dania. Abang nak ambil Dania. 15 minit lagi abang sampai. Kita keluar, ya.
Hati yang meresah sejak beberapa hari ini serta-merta menjadi damai. Dania senyum lebar sambil menjawab sms.
Okey. Dania, baru balik kuliah. Nak mandi.
“Senyum-senyum,” sindir Deeba. “Boyfriend hantar sms cintalah tu. Menyatakan rindu dendam,” giat Deeba.
“Deeba, maaf aku tak dapat nak masak untuk kau malam ni. Aku nak keluar!” beritahu Dania sambil mendepangkan tangannya tanda gembira. “Aku nak mandi ya. Bye!” Katanya lagi lalu mengambil beg galas serta fail dan membawanya ke bilik. 


Mukhriz cepat-cepat memasuki keretanya. Dia tergesa-gesa menghidupkan enjin. Ada dua janji temunya pada petang itu. Jumpa Bob dan Jasmin.
Perkara utama yang ingin dibincangkan dengan Bob ialah Ray. Jasmin? Gadis itu yang mengajaknya keluar. Mungkin hendak bercerita tentang Ray juga agaknya!
Restoran Mabuk Kepayang menjadi tempat pilihan janji temunya dengan Bob. Lelaki itu sudah menyengih dan tersandar di bangku sambil menghisap rokok sebaik dia sampai.
‘Dasar samseng Bob ni! Dah terang-terang terpapar poster ‘Dilarang Merokok’ di dinding restoran, dia boleh selamba aje merokok di sini!’ rungut Mukhriz. Dia berjalan laju ke meja Bob.
“Nasib baik kau cepat! Kalau tak, aku dah nak angkat kaki!” beritahu Bob.
“Mana dia?” tanya Mukhriz tidak sabar.
Bob mengeluarkan satu sampul surat bersaiz separuh A4 dan menghulurkannya kepada Mukhriz.
“VCD ada dalam ni!” beritahunya.
Herot bibir Mukhriz mengukir senyuman sambil tangan menyambut sampul surat itu. “Aku macam tak percayalah Bob, kau pandai kerja-kerja IT ni,” balas Mukhriz. Lirih dan lembut suaranya. Mukhriz menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan segumpal wang.
“Kau jangan pandang rendah pada orang,” tukas Bob.
Mukhriz tidak mengendahkan rajuk sahabatnya itu. Sebaliknya, dia cuba membayangkan gambar-gambar yang di dalam VCD itu.
“Aku bagi kau seribu dulu. Balik ke rumah, aku  tengok video yang dilakonkan oleh Ray dan isteri muda Datuk Wahab ni. Jika aku berpuas hati, aku langsaikan bakinya,” janji Mukhriz. Sekuntum senyuman dilemparkan buat Bob yang banyak berbakti. “Macam mana kau buat?” risik Mukhriz. Teruja pula dia hendak mengetahui kepakaran yang dimiliki oleh Bob.
“Adalah tekniknya. Aku ada seorang kawan yang pakar dalam bidang ni,” jelas Bob bangga.
“Bagus! Kreatif dan lucah kepala otak kau,” puji Mukhriz.
“Rancangan yang seterusnya tu macam mana pulak?” tanya Bob. Duit yang diterima daripada Mukhriz disumbat ke dalam poket seluar.
“Yang tu kita tangguh dulu. Mamat tu pun sedang bercuti. Datuk bagi dia cuti seminggu. Demam teruk katanya,” beritahu Mukhriz.
“Elok juga. Kurang sikit tension aku. Pejabatnya yang kat sebelah bilik aku tu, nak aje aku bongkar balik,” katanya lagi.
“Dengan budak hingusan pun kau dah kalah! Apalah!” koyok Bob.
Mukhriz menjongketkan keningnya. Tidak! Dia tidak akan membiarkan dirinya dikalahkan oleh pemuda itu.
“Okeylah! Aku tak boleh nak berlama-lama ni,” kata Bob. Dia bangun dari kerusi dan bersedia untuk beredar. “Makan minum aku ni kau tolong bayar ya?” katanya lagi sambil menumbuk perlahan dada Mukhriz.
“Yalah!” setuju Mukhriz walaupun hati menjengkel. Baru saja selesai membuat pembayaran di kaunter terdengar pula namanya dipanggil seseorang.
“Mukhriz, sinilah...”
Mukhriz menoleh. Iskandar sedang melambai kepadanya.
“Secara kebetulan terserempak kat sini pula, ya...” kata Mukhriz, sebaik duduk di bangku di hadapan Iskandar. Tangannya dihulurkan kepada sepupunya itu.
“Ya, secara kebetulan aku sedang melalui jalan ini dan terasa haus pula,” balas Iskandar.
“Kau kerja kat mana sekarang ni?” soal Mukhriz. Berita tentang penutupan syarikat Megah Enterprise telah sampai ke telinganya. Namun dia tidak sempat pula bertemu dengan sepupunya itu untuk bertanya kabar.
“Buat sementara ni, aku kerja di Proton,” jawab Iskandar.
“Kau tak cuba minta kerja dengan Datuk Wahab ke?  Buah hati kau, takkan tak boleh sokong dan pengaruhi papanya. Kau ada diploma dalam bisnes, kan? Eh! Degree dalam accountancy pun ada. ”
“Aku tak minatlah nak kerja dengan Datuk Wahab tu,” jawab Iskandar separuh hati. “Jess ada jugak pujuk-pujuk aku,” ceritanya. Ayahnya, Datuk Jalal juga nampaknya tidak begitu bersetuju dia bekerja dengan Datuk Wahab.
“Hai, kalau tak minat nak kerja dengan orang tua tu, macam mana pulak kau nak jadi menantu dia?” soal Mukhriz cuba mengorek rahsia.
Jadi menantu? Nak kahwin dengan Jess... hmm,” jawab Iskandar sambil menggeleng kepalanya.
“Kenapa pulak? Bercinta beria, takkan tak jadi kahwin pulak?” tempelak Mukhriz perlahan.
“Bercinta memanglah bercinta. Tapi, aku dapat rasakan yang Jess tu tak dapat memenuhi kekosongan di jiwa aku! Semakin lama aku jadi semakin bosan...”
“Oh...” komen Mukhriz. Nampaknya halangan yang harus dirempuh untuk mendapatkan anak gadis Datuk Wahab itu sudah semakin mereput. Bila-bila masa sahaja boleh dihancurkan. Hati Mukhriz terasa lapang.
“Hari tu secara kebetulan nenek berkenalan dengan adik Ray...” cerita Iskandar tiba-tiba.
Mukhriz tersentak. “Adik? Adik mamat tu?” tanya Mukhriz kembali. Dia merapatkan gelas ke bibirnya. Lama berbual, tekaknya rasa kering pula.
“Ya, adik Ray. Dia sedang sambung pengajian di kolej perubatan kat Universiti Malaya,” jawab Iskandar.
“Wow!” komen Mukhriz spontan. “Kau dah berkenalan dengan dia ke?” tanyanya pula.
Iskandar mengangguk. “Dah! Cantik! Pakai tudung lagi!  Nenek tu dah berkenan sangat. Setinggi langit memujinya,” ceritanya dengan perasaan bergetar. Keayuan Dania memang memukau. Dengan baju kurung lengkap bertudung, penampilan gadis itu begitu memikat.
“Hai, lain macam aje bunyinya tu...” sindir Mukhriz. “Kalau nenek dah terpikat, takkan pula cucunya tak jatuh cinta...” perlinya lagi.
Iskandar  hanya meleretkan senyuman penuh makna. Ya!  Memang benar, dia telah jatuh cinta! 

Tiada ulasan: