Isnin, 20 Ogos 2018

SAPU TANGAN BIRU BAB 48



Jasmin memarkirkan keretanya di kawasan parkir yang masih kosong di sebelah kanan bangunan restoran. Tempat yang dijanjikan untuk bertemu dengan Mukhriz. Dengan langkah santai, dia memasuki restoran berhawa dingin itu. Dia memilih meja yang paling tersorok. Beberapa orang yang berada di dalam restoran sempat menjeling kepadanya. Jasmin buat muka bersahaja.
“Cantiknya you petang ni!” puji Mukhriz sebaik sahaja Jasmin duduk di sisinya.
“Memang hari-hari I cantik,” balas Jasmin sambil senyum mengada-ngada. Lengan Mukhriz dikutilnya mesra.
“Sebab tulah I bertambah sayang,” giat Mukhriz lagi. Matanya menatap wajah Jasmin yang bertepek dengan kosmetik. Bulu mata palsunya boleh dibuat berus cat.
“Iskandar tak marah ke you jumpa dengan I ni?” tanyanya pula. “Lantak dialah. Dah lama dia tak call I,” adu Jasmin.
“Dia sibuk agaknya,” balas Mukhriz. Langsung tidak terkutik di hati untuk memberitahu Jasmin tentang pertemuannya dengan Iskandar sebentar tadi.
“Sibuk pun takkan tak ada masa nak call I walau seminit. Frust rasanya. Macam tak hargai I aje,” luah Jasmin lagi.
“I dengar dia dah kerja kat Proton. Baru kerja kat situ, mestilah sibuk. Tambahan pula dah ada girlfriend baru...err... student kat UM,” cerita Mukhriz lagi sambil melihat wajah Jasmin.
“What? Iskandar ada girlfriend lain? Hisy! Nak kena dia ni! Kelmarin bagitau kat I, I satu-satu dalam hatinya. Siang malam teringat-ingat. Dasar lelaki...”
“Janganlah marah Jess. Biarlah dia pergi dari hati you, kan I ada ni,” pujuk Mukhriz apabila melihat wajah Jasmin mulai muram. “Kalau Iskandar dah tak hargai you, buat apa you mengharapkan dia lagi?” tanyanya.
“Nak harapkan dia? Sorry... pigilah! Ingat I kemaruk sangat kat dia? Dulu, I ingat dia boleh beri kesenangan kalau I kahwin dengan dia. Tak payahlah I harapkan papa lagi! Tapi company dia pun dah lingkup. Pada I, taraf dia dah sama aje dengan budak drebar mak tiri I tu...” Berjela kata-kata yang terungkap oleh bibir Jasmin.
“Tapi, you tengoklah macam mana kehidupan dia sekarang! Dah hampir sama mewahnya dengan you. Pakai kereta Honda Accord model terbaharu. Jam tangan?  Wow! I ingat lebih 5000 harganya. Telefon bimbit... mahal daripada yang you punya,” kata Mukhriz sambil memuncungkan bibirnya menunjukkan telefon mudah alih yang digenggam Jasmin.
“Kain baju dia pun dahsyat-dahsyat harganya...” bakar Mukhriz lagi.
“Dulu sewaktu mula kerja, pakai baju beli kat pasar  malam aje. Sekarang ni, sesekali bergaya dah kalah Tom Cruise,” perli Mukhriz.
“Entah-entah dia buat kerja part time dengan emak tiri you!” asung Mukhriz lagi. “Pagi jadi drebar, lepas tu pergi kerja kat tapak projek. Malam... ehem... ehem... faham sendirilah... Mak tiri you mustahil tak kesunyian dan kesepian, kan? Papa you balik ke rumah dia siang-siang aje.” Semakin seronok pula Mukhriz menghasut.
“Tengoklah Ray tu! Kalau I jadi perempuan pun boleh cair. Sesekali dia senyum... Manis!” kata Mukhriz sambil menjemput bibirnya sendiri.
“Mustahil wanita kesepian macam mama tiri you tu tak tergoda. Malam-malam sewaktu papa you tak ada, kena himpit dengan pemuda macho macam Ray tu, berbaloi juga,” sambung Mukhriz lagi. Fikirannya mula menerawang dan menjalar kepada perkara yang bukan-bukan.
“Mukhriz!  Tadi you sembang pasal Iskandar!  Sekarang ni nak cerita pasal Ray pulak!”marah Jasmin. Hatinya menjadi tidak keruan apabila mendengar nama Ray.
“You tau tak Jess, papa you dah naikkan pangkat dia! Jadi penolong pengurus! Berbulu betul I,” cerita Mukhriz dengan nada tidak puas hati.
“Apa?” tanya Jasmin. Pandangannya tiba-tiba terlontar ke meja yang bertentangan dengan mereka. Meja yang agak jauh ke tepi dinding. Seorang lelaki dan seorang gadis yang baru duduk di situ terus menarik perhatiannya. Yang gadisnya berbaju kurung biru lembut bercorak. Bertudung biru langit polos. Cantik wajahnya walaupun dilihat dari kejauhan. Yang lelakinya... Oh! Gelodak di hati Jasmin seolah-olah meleburkan seluruh perasaannya.
‘Alamak! Dia dengan siapa tu?’ bisik hatinya. Tiba-tiba perasaannya dibuai lara. Rasa hendak menangis pula. Perasaan cemburunya menyambar sehingga tangannya jadi menggeletar.
“Mukhriz, jom kita pergi ke tempat lain. I rasa tak selesalah kat sini,” kata Jasmin lalu bangun dan menarik lengan Mukhriz supaya lelaki itu menurutinya. 
“Okey, jom kita pergi cari tempat yang lebih selesa,” balas Mukhriz sambil senyum meleret. 

Hampir lima minit mereka duduk di bangku dalam restoran itu, masih tiada ungkapan kata-kata yang terlontar daripada bibir masing-masing.
“Abang...” Akhirnya Dania mengalah. Sugul wajah Ray merawankan hatinya. Sepanjang perjalanan, abangnya itu hanya menyepi. Dia pun melayan fikirannya sendiri.
“Abang masih marah pada Dania?” tanyanya.
Ray menggelengkan kepala. Matanya diredupkan sewaktu bertentang mata dengan Dania. “Abang yang salah, Dania. Suka-suka abang marah Dania,” jawab Ray. “Dania,” panggil Ray dengan suara bergetar.
Dania mengangkat wajahnya dan merenung Ray. Hati Dania rasa tidak ketentuan apabila  Ray merenungnya dengan  tajam.
“Dania, abang nak minta maaf.” Mata redup Dania yang sedang menunduk menjadi ratahan matanya. “Abang kesal sangat sebab buat Dania sedih, buat Dania menangis,” kata Ray dengan suara yang semakin ke dalam.
“Sakit tak lengan Dania? Ada lebam tak? Malam tu abang cengkam kuat-kuat sebab marah sangat! Sebenarnya abang terlalu sayangkan Dania.” Sekali lagi Ray mengeluh.
Dania menggosok-gosok lengannya sejenak. Memang masih terasa sakitnya sebab cengkaman Ray yang kuat ada meninggalkan kesan lebam.
“Ada sikit, bang. Tapi, Dania dah demah dengan air panas. Lebam tu dah hilang,” cerita Dania.
Air muka Ray berubah muram. Dia benar-benar rasa bersalah. “Dania... maafkan abang ya?” bisiknya perlahan.
“Dania jugak menyesal buat abang bersedih,” balas Dania. “Maaf ya. Lain kali Dania tak buat lagi,” janjinya.
“Abang pun janji, takkan marah Dania lagi,” kata Ray. Ingin sahaja dia memegang tangan Dania, tetapi dia terpaksa mengawal perasaannya. Dania bukan mahramnya, dia sudah faham. Pergaulannya dengan Dania perlu ada sempadannya.
“Selepas ni, Dania kena bataskan hubungan Dania dengan nenek tu dan Iskandar...” Kata-kata yang dilafazkan oleh Ray terlalu perlahan. Saat itu tekaknya bagaikan tersumbat.
“Okey! Kita lupakan saja, ya!” balas Dania berpura-pura riang. “Tadi, Dania ada nampak abang bawa sesuatu! Untuk Dania ke tu?” tanyanya.
“Oh ya! Tapi, sebelum tu abang terlupa nak beritahu. Mak kirim salam pada Dania. Sebenarnya, abang balik kampung beberapa hari. Abang baru sampai dari kampung ni,” cerita Ray.
“Abanggg! Kenapa balik kampung tak beritahu Dania...hisy!” rengus Dania lalu mencubit lengan Ray kuat-kuat.
“Soryy!” jawab Ray sepatah sambil menyengih.
“Dania call, abang tak jawab pun!” adu Dania. “Tapi belikan Dania handphone,” rungut Dania sambil menjeling manja. Berkali-kali dia menghubungi Ray menggunakan telefon bimbit yang dihadiahkan.
Ray ketawa kecil. Sengaja dia tidak menjawab panggilan daripada Dania kerana pada saat itu fikiran dan perasaannya benar-benar berkecamuk. “Abang sengaja tak jawab,” jawab Ray dengan wajah tanpa emosi.
Dania menjegilkan mata tanda geram dengan jawapan yang bersahaja itu.
“Bila abang tak jawab call Dania, abang tahu tak apa yang Dania rasa?” soal Dania.
Ray menjongketkan kedua bahunya.
“Dania rasa nak kunyah-kunyah telefon yang abang bagi tu,” beritahu Dania sambil ketawa. Ray ikut ketawa. Dania memang nakal. Selalu mengungkapkan sesuatu yang dapat mencuit hatinya.
“Kunyah telefon tak apa... jangan kunyah abang sudah!” Ungkapan kata-kata Ray itu diiringi dengan ketawa mereka yang berderai seketika.
“Abang tak sihat, Dania. Fikiran abang pun tak begitu tenteram,” cerita Ray setelah ketawa mereka reda. Hanya Tuhan yang tahu perasaannya pada saat itu. Sewaktu emaknya memberitahu hal sebenar dan memaksa dia merahsiakannaya daripada pengetahuan Dania. Jika begitu, cintanya terhadap Dania akan terbiar begitu saja. ‘Tidak!’ jerit hatinya.
“Apa yang susahkan hati abang?” tanya Dania sambil menatap wajah abangnya itu. Saat itu, wajah Ray masih dibayangi mendung.
“Abang...”
“Hmm...”
“Dulu-dulu kan kita selalu berkongsi cerita. Kalau abang simpan sendiri boleh jadi stres tau,” ungkap Dania perlahan.
Abang pun tak tahu nak mulakan cerita dari mana, Dania. Berbelit-belit. Waktu malam pun abang susah nak lelapkan mata,” balas Ray seolah berbisik.
Pelik juga Dania dengan cerita abangnya itu. Ray selalunya bersikap tenang. Solat tidak pernah tinggal. Katanya solat itu sebagai pengubat hati manusia yang sedang kacau. Satu terapi yang sangat berkesan. Ceritalah bang,” pujuk Dania. Senyuman manis dihadiahkan buat abangnya.
Kata orang tua-tua, kalau tercubit paha kiri, paha kanan pun terasa sakitnya.” Dania berkias pula. Abang... ” desak Dania sambil memuncungkan bibirnya.
“Lain kalilah Doktor Dania, ya. Saya akan ceritakan. Bila Doktor Dania dah ada tauliah jadi doktor soal hati dan perasaan serta cinta yang tak kesampaian,” ungkap Ray cuba berjenaka. a.
“Mengada-ngadalah abang ni!  Cinta yang tak kesampaian konon!  Dulu, abang bagitau Dania tak mainlah dengan cinta selagi belum capai cita-cita,” ejek Dania. Sekarang ni, timbul isu cinta tak kesampaian pula,” sambungnya disela tawa.
“Oh ya, hampir terlupa. Dania punya pasallah ni!” kata Ray, pura-pura marah. “Ini hadiah untuk Dania. Sempena hari lahir dan permohonan maaf abang...”
“Alah, hari lahir Dania lambat lagi. Lagi dua bulan,” kata Dania sambil menyeringai. “Nanti abang kena beli yang lain. Dania tak kira!” rengeknya manja. Matanya bersinar nakal sewaktu merenung Ray.
“Banyak cantik!” balas Ray sambil ketawa kecil. Sebuah beg kertas kecil berwarna putih berbunga merah jambu diserahkan kepada Dania.
“Dania nak tengok sekarang, boleh tak?” tanya Dania teruja. Melihat begnya yang comel dan cantik, hati sudah tidak sabar untuk melihat isi di dalamnya.
“Tengoklah,” suruh Ray.
“Saspennya,” kata Dania pula lalu membuka beg itu dan mengeluarkan isinya perlahan-lahan.
“Wah, cantiknya! Suka! Dania suka warna tudung ni!” puji Dania teruja.
Ray senyum. Tudung bawal warna hijau lembut berjahit benang emas dan perak di sekelilingnya itu memang sesuai sangat dengan Dania.
“Eh, ada kad. Abang ni, romantik betul. Dania rasa macam dapat hadiah daripada kekasih pulak,” kata Dania sambil ketawa. Perasaan Ray terus bergetaran.

Selamat hari lahir, Dania. Semoga seluruh malaikat menaungi setiap langkahmu.  Maafkan abang kerana telah mengukir duka di sukmamu walau seketika. Salam kasih sayang yang sentiasa hangat buat Dania.
“Indah!” ungkap Dania sebaik membaca tulisan tangan Ray pada kad.
“Apa yang indah?” tanya Ray seolah berbisik.
“Kata-kata yang abang tulis nilah...” jawab Dania riang.
“Sebab abang bukan penyair, abang ambil dari internet...” balas Ray. Hati yang rawan cuba diriangkan.
“Eleh, tipu...” ejek Dania sambil ketawa. “Terima kasih, bang,” ucap Dania sambil melarikan pandangannya.
“Dania tak nak makan ke? Kita belum pesan makanan lagi tau,” kata Ray. Leka berbual langsung terlupa tentang makan dan minum.
“Mestilah nak! Dania lapar sangat ni. Abang tahu, bila abang buat diam aje beberapa hari tak contact Dania, Dania tak lalu nak makan,” adu Dania manja.
“Patutlah abang tengok badan Dania dah kurus,” usik Ray sambil ketawa. Dia menggamit pelayan restoran yang terus datang merapati mereka. “Pengajian Dania di kolej macam mana?” tanya Ray sambil memesan makanan serta minuman untuk mereka berdua.
“Alhamdulillah, bang. Macam mana dengan abang?  Bila nak sambung belajar?” tanya Dania. Alangkah seronoknya jika mereka dapat belajar bersama-sama. Pergi kuliah berdua.
“Waktu cuti hari tu, abang sempat juga menjengah dalam internet cari universiti yang menawarkan pengajian luar kampus,” cerita Ray.
“Habis tu? Dapat tak? Sekarang ni memang ramai orang yang bekerja sambil belajar. Pergi kuliah sebulan dua kali saja, bang...” balas Dania.
“Abang tau,” ujar Dania manja. “Dania rasa seronok sangat bila dapat belajar di KL ni. Dapat dekat dengan abang. Kalau abang tak ada dekat Dania... Dania rasa lain macamlah, bang. Rasa nak putus nyawa,” terang Dania. Betapa sunyinya hati tanpa Ray di sisi.
“Dania... err... err...” Ray kehilangan kata-kata. Sekali lagi pandangan mereka bertaut. Seandainya pintu langit terbuka untukku bawa dikau ke dalam ayunan cintaku. Akulah insan yang paling bahagia, tetapi kini pintu langit itu tidak terbuka untuk kita, Dania.
“Kenapa abang?” soal Dania. Bagaikan ada sesuatu yang disembunyikan.
“Tak ada apa-apa,” jawab Ray. Gelombang perasaannya semakin berkocak.
“Tadi Dania tengok macam abang hendak beritahu sesuatu,” gesa Dania.
‘Memang kalau boleh abang hendak beritahu segalanya kepada Dania. Tentang perhubungan kita. Tentang perasaan abang kepada Dania,’ bisik hati Ray. Dia terus tenggelam di dalam lautan fikirannya sendiri.
“Kenapa abang banyak mengelamun pada hari ini?” tanya Dania tidak sabar.
“Sebab Danialah,” jawab Ray bersahaja.
“Kenapa Dania pulak dipersalahkan?” tanya Dania masih tidak puas hati. “Bagi taulah, bang. Jangan buat Dania tertanya-tanya aje,” rengek Dania.
“Abang kena ikut kehendak mak,” jawab Ray akhirnya. Suaranya bergetar sebak. Tangan Dania yang di atas meja digenggamnya seketika. Setelah itu, dia terus melontarkan pandangannya ke arah luar restoran. Melihat jalan raya yang tidak putus dengan kenderaan. Kegalauan hati harus disembunyikan. Mesti diikat kemas-kemas walaupun perasaan sendiri menjadi lemas.
“Ikut kehendak mak tentang apa?” soal Dania berterusan.
“Dania ni! Selagi tak puas hati asyik menyoal aje. Salah bidanglah yang Dania pilih kat univeristi tu,” usik Ray. “Sepatutnya pilih perundangan. Jadi lawyer. Bukannya jadi doctor,” giatnya lagi.
“Alah, abang pun sama. Pandai tukar tajuk cerita. Dania tahu abang ada rahsiakan sesuatu daripada Dania, kan?” tanya Dania. “Jangan nak kelentong...” selorohnya.
Ray menjongketkan kedua bahunya sambil menyeringai. Saat berduaan dengan Dania dirasakan begitu indah.  Walaupun bayang-bayang luka cintanya sudah dapat dirasa, kesempatan yang ada bersama dengan gadis itu biarlah diselubungi oleh rasa bahagia.

Tiada ulasan: