|
|
Ray merebahkan tubuhnya ke atas tilam perlahan-lahan. Dia
yang baru selesai solat isyak, melepaskan lelah seketika. Sejenak dia menyelami
lautan hatinya yang rawan sejak beberapa hari ini. ‘Wahai kedamaian, kembalilah
bersemayam di dadaku ini,’ bisiknya sendiri. Berkali-kali dia meraup muka.
Pertemuannya dengan Dania pada petang tadi diimbasnya kembali.
“Abang, kenapa abang tak pegang
tangan Dania? Selalu abang pegang tangan
Dania sewaktu melintas, kan?”
Pertanyaan Dania menyebabkan tasik
hatinya berkocakan. Pada waktu itu, mereka baru keluar dari restoran menuju ke
tempat parkir kereta yang di seberang jalan raya.
“Alah! Dah jadi student U, dah nak
jadi doktor pun takut nak menyeberang jalan! Macam budak darjah satu,” perlinya
kepada Dania. Matanya menjeling sayang. Cuba berwatak tenang bagai selalu.
Walhal di dalam hati hanya Tuhan
yang tahu. Dania memuncung manja, seolah merajuk.
Lantas pantas tangannya meraih
bahu Dania dan memeluknya sewaktu mereka menyeberang jalan. Dan akhirnya,
mereka terus berjalan dalam keadaan itu sehingga ke tempat parkir kereta.
“Ray,
tolong rahsiakan hal ini daripada Dania, nak. Berjanjilah dengan mak, nak! Hal
ni takkan sampai ke pengetahuan Dania sampai bila-bila... berjanjilah. Sampai
mati Ray mesti simpan rahsia ini, nak. Mak tak mahu hati Dania hancur. Apatah
lagi membuat dia sedih. Mak sayang Dania macam anak sendiri, tolonglah Ray.
Berjanji dengan mak, ya?”
Suara
Dania dan emaknya terus terpiang-piang. ‘Tolonglah hamba-MU ini. Hentikan
segala kegilaaan ini. Ray! Jangan rebah dan tertewas. Jadikan cintamu bagai
karang di lautan. Walaupun setiap detik dilanda badai, ia tetap tegar tak
pernah goyah!’ Suara hatinya bagai menyuntik semangat.
‘Aku akan terus bersabar dengan cinta ini yang
tak akan pudar!’ Ray serta merta menuruni katil. Esok, dia akan kembali
bekerja. Tidak lagi menjadi drebar Eisha Safiya kerana sekolah sedang bercuti.
Jadi, dia boleh memfokuskan tugasnya di tapak projek.
Komputer ribanya dicapai. Matanya
singgah pada sampul surat yang terdampar atas meja. “Oh, alamak! Terlupa pulak
nak buka sampul surat yang Datuk bagi ni! Ni semua Dania punya pasal!” rungut
Ray. Lantas sampul surat putih dibukanya dengan hati-hati. Jantungnya berdegup
laju. Ray membaca tulisan yang tercetak di dada kertas dengan nafas yang
tertahan.
Bahagian pentadbiran dan Pengarah
Urusan Perkasa Holding serta anak syarikatnya sangat berpuas hati dengan
perkhidmatan cemerlang, komitmen padu yang telah saudara berikan selama
berkhidmat dengan syarikat ini. Justeru dengan rasa rendah diri, kami melantik
saudara, Ahmad Raiyan Wafa bin Abdul Wahab menjadi Penolong Pengurus di Wafa
Construction dengan tawaran gaji tambahan sebanyak RM4000 tanpa mengurangkan
apa-apa kemudahan yang telah diberikan sebelum ini.
Ray terpempan sejenak. Sukar untuk
mempercayainya. Kenaikan pangkat secara mendadak itu yang berkuatkuasa
serta-merta tidak dijangkanya sama sekali. Jawatan penolong pengurus tidak
pernah diimpikannya sebelum ini. Tawaran gaji yang lumayan. Belum sampai tiga
tahun meninggalkan desa, nasibnya
secerah bintang-bintang di langit. Alhamdulillah.
“Baik-baik bawa kereta ya, Is..”
pesan Nenek Kamariah. Tangannya dihulurkan kepada Iskandar untuk bersalaman.
Matanya merenung Iskandar yang kelihatan segak berbaju kemeja lengan panjang
warna biru lembut.
“Insya-ALLAH, nek. Hari-hari nenek
pesan pada Is. Emak pun sama,” balas Iskandar sambil senyum.
“Balik dari pejabat petang nanti,
singgah ke rumah Dania, ya. Tanya dia, kenapa dah lama tak telefon nenek. Kalau
dia tak ada telefon, Is belikan dia satu ya...” suruh Nenek Kamariah.
“Dania tu sedang belajarlah, nek!
Mestilah dia sibuk,” balas Iskandar. Permintaan neneknya itu agak sukar untuk
ditunaikan. Telefon mudah alih memanglah senang-senang saja dia boleh belikan.
Namun, mahukah Dania menerimanya? Baru
dua kali bertemu, takkan hendak berlebih-lebih pula.
“Mudahnya Is jawab! Nenek tu bukan
apa. Nenek dah berkenan pada dia. Jauh lebih bagus Dania daripada anak Datuk
Wahab tu,” kata Nenek Kamariah mula mengomel.
“Kalau dengan Dania, Is tak suruh
pergi melamar pun nenek rela lamarkan dia untuk Is... tapi kalau dengan Jasmin
tu, sampai kiamat pun nenek tak mahu!” tegas Nenek Kamariah. Sukar benar
hatinya hendak menerima gadis yang bernama Jasmin itu.
“Is tu... cepat-cepatlah tawan
hati Dania, jangan sampai terlepas,” cadangnya pula.
Iskandar menyengih sambil
menggaru-garu telinganya. Mudahnya nenek memberi cadangan. Hakikatnya, dia
sendiri pun tidak tahu bagaimana untuk mendekati hati gadis itu.
“Sabar, nek. Takkan lari gunung
dikejar...” jawab Iskandar. Cepat-cepat dia bergerak menuju ke keretanya dan
membuka pintu. Sebelum neneknya berceloteh lebih lanjut tentang Dania, lebih
baik dia melarikan diri. “Assalamualaikum, nek... mak. Is pergi kerja ni,”
beritahunya sebelum masuk ke dalam kereta.
Setelah Iskandar pergi, mereka
berdua masuk ke rumah semula.
“Ipah, duduk kat sini. Mak nak sembang sikit,” ujar
Nenek Kamariah. Sofa di sebelahnya ditepuk-tepuk lembut.
Datin Saripah segera duduk di sisi
emak mertuanya. “Ipah, Ipah berkenan tak pada budak Dania tu?” tanyanya
bersungguh-sungguh.
Datin Saripah menganggukkan
kepalanya. “Berkenan, mak! Lemah lembut dan berbudi bahasa. Sepadan dengan
bidang yang dipelajarinya. Bakal doktor katakan,” sokong Datin Saripah. “Tapi
kita baru jumpa dia sekali aje, mak. Tak patut pulak rasanya kalau menilai dia
dalam waktu yang singkat. Takut tersilap,” ujarnya lagi.
“Mak dah lama hidup, Ipah. Sekilas
ikan di air sudah tahu jantan atau betina. Pertama kali emak jumpa dengan dia
kat stesen kereta api, pada waktu tu mak dah agak, dia memang gadis yang baik
budi bahasa. Waktu tu mak dah berkenan dah,” balas Nenek Kamariah.
“Betul ke, mak?” tanya Datin
Saripah. Agak hairan dengan sikap emak mertuanya itu. Lembut benar hatinya
dengan gadis yang bernama Dania itu.
“Ipah, zaman sekarang ni mana ada
anak gadis yang sanggup bersusah payah menolong orang tua macam emak ni! Dahlah
emak yang langgar dia hampir jatuh, alih-alih dia pulak yang tolong pikul beg
emak dan papah emak sewaktu nak naik tangga,” ceritanya bersungguh-sungguh.
“Itu yang buat emak berkenan sangat pada dia,” akui Nenek Kamariah.
“Malam yang emak dan Iskandar
pergi hantar dia balik ke rumah sewanya tu, kami terserempak dengan abangnya.
Emak tengok abang dia pun berbudi pekerti orangnya,” pujinya. “Bukan macam
budak Jasmin tu...”
“Itu maknanya mereka keturunan
yang berakhlak, walaupun miskin. Dia tak segan hendak mengakui dirinya daripada
kalangan orang susah. Abangnya kerja drebar...”
“Kata Iskandar, dia kerja dengan
Wahab,” cerita Nenek Kamariah terhenti seketika. Agak lama juga dia berdiam.
Nafasnya dihela perlahan-lahan.
“Kedua beradik itu molek sangat
pada pandangan mata mak. Nampak sopan dan tertib aje. Mungkin mak abah mereka
pun orang baik-baik jugak.” Tidak jemu Nenek Kamariah bercerita tentang Dania
dan abangnya.
“Mak nak pergi jumpa dengan
keluarganya,” beritahu Nenek Kamariah
cepat-cepat sebelum menantunya bertanya lebih lanjut tentang sejarah Jasmin.
“Mak nak jumpa keluarga Dania?”
tanya Datin Saripah. Matanya mengecil seketika sewaktu merenung ke wajah emak
mertuanya yang sedang mengusap kepala lutut.
“Yalah. Keluarga Dania, lah! Kan
kita sedang bincang pasal Dania, Pah...” jawab Nenek Kamariah. Senyumam kembali
terukir di bibirnya apabila menyebut nama Dania.
“Emak nak risik dia untuk
Iskandar,” beritahunya lagi sambil senyum meleret. Suka benar hatinya apabila
melihat cucu kesayangannya berdiri seiring dengan gadis itu. Bagai pinang
dibelah dua.
“Mak ni, biarlah Iskandar atur
hidupnya sendiri. Dia kan dah lama berkasih dengan Jess tu,” kata Datin
Saripah. Bimbang pula tindakan emak
mertuanya itu akan mencalarkan perasaan anak tunggalnya itu.
“Alah, gadis macam Jess tu tak
layak dibuat bini. Dengan perangai
sombong dan bongkaknya tu. Dahlah tak tahu nak hormat orang tua. Esok-esok
kalau cucu aku jadi laki dia, dibuatnya macam lembu dicucuk hidung! Ipah nak ke Is jadi lembu Jess?” soal Nenek
Kamariah berapi.
“Tak naklah, mak. Iskandar tu satu-satunya anak yang saya ada.
Kalau boleh biarlah dia dapat isteri yang baik budi pekerti. Menghormati kita
sebagai orang tua. Memuliakan Is, sebagai suaminya,” jawab Datin Saripah.
“Dah tu?” soal Nenek Kamariah.
Masih mengharap.
“Kalau Iskandar tak berkenan dengan
dia, macam mana?” tanya Datin Saripah pula.
“Takkanlah tak berkenan. Mak ni
orang tua, Ipah. Mak tahu Iskandar tu dah jatuh hati pada Dania tu. Cuma, dia
tak terburu-buru. Mungkin sekarang ni, dia tengah pasang strategi untuk pikat
hati gadis tu,” tebak Nenek Kamariah sambil ketawa.
“Takkan kita nak pergi merisik tanpa
pengetahuan dia,” tukas Datin Saripah pula.
“Bukan nak pergi sekarang. Biarlah
mereka berkawan dulu sebulan dua,” ujar Nenek Kamariah dengan suara yang
mengendur. Dia puas hati kerana menantunya juga bersetuju dengan kehendaknya.
Harap-harap Iskandar dapat memenangi hati Dania dalam waktu yang terdekat ini.
“Kalau mak kata begitu, saya
setuju...” balas Datin Saripah sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
Dania
terus bergolek-golek di atas katilnya. Telefon bimbit pemberian Ray pula
menjadi sasarannya. Digenggamnya kemas-kemas. Hatinya pula seolah
diramas-ramas.
“Dania!
Ada orang cari kau.”
Suara
Deeba menyinggahi gegendang telinganya. Daun pintu biliknya diketuk dari luar.
Khayalannya terurai serta-merta.
“Siapa?”
tanya Dania lalu turun dari katil menuju ke pintu. “Siapa Deeba?” ulangnya lagi
sebaik sahaja daun pintu terkuak. Deeba masih tercegat di hadapan pintu
biliknya.
“Pergilah
tengok,” gesa Deeba. Setelah itu, dia memasuki biliknya semula.
“Siapa
pulak tu?” tanya Dania sendiri. Debaran mendatang tanpa diundang. Dania
mencapai tudung kepala yang terdampar di atas katil lalu menyarung tudung
berwarna hitam itu. Setelah itu dia keluar dari bilik menuju ke pintu depan.
Cepat tangannya menarik daun pintu yang sedikit renggang.
“Assalamualaikum,
Dania...” sapa lelaki yang memakai kemeja lengan panjang warna biru lembut itu.
Terperanjat
Dania menerima kehadiran lelaki itu. Serta-merta dia teringatkan pesanan abangnya,
Ray. Dania hanya merenung lelaki yang berdiri di hadapannya tanpa bersuara.
“Dania...”
Iskandar menggawang-gawangkan tangannya di hadapan muka gadis itu. “Dania dah
sampai kat mana?” usik Iskandar cuba bergurau. Bibirnya tersenyum lebar.
“Err...
ya... ya... waalaikumussalam,” jawab Dania tergagap-gagap. Seluruh tubuhnya
rasa gementar. Sungguh dia tidak menduga Iskandar akan datang ke rumah sewanya.
“Abang
ganggu Dania ke? Tengah studi?” tanya Iskandar yang masih berdiri dalam posisi
tadi. Matanya masih menjamah wajah ayu Dania. Aura wajah Dania yang penuh
kelembutan begitu mendamaikan hati mana-mana orang pun! Ungkapan itulah yang terdetik di hati
Iskandar.
“Err...
err... tak... tak,” jawab Dania gugup. Perasaannya mula tidak ketentuan.
“Dania
tak ada kuliah hari ni?” tanya Iskandar lagi. Cuba beramah.
“Ada.
Baru saja Dania balik,” beritahunya.
“Dania,
nenek kirim salam. Dia yang suruh abang datang ke sini tengok Dania. Dia suruh
abang tanya Dania, kenapa Dania dah lama tak call dia,” beritahu
Iskandar terus terang.
Dania
senyum sejenak. “Err... err... Dania se... segan...” Sekali lagi Dania
tergagap-gagap. Mustahil dia memberitahu Iskandar yang abangnya marah mereka
berhubungan.
“Nak
segankan apa?” tanya Iskandar lembut. “Nanti kalau Dania ada kesempatan, Dania
telefon nenek, ya...” suruh Iskandar lembut.
Dania
diam. Hanya bibirnya sahaja menguntum senyuman manis.
“Dania,
abang pun tak boleh nak berlama ni!
Abang baru balik dari kerja,” cerita Iskandar.
Dania
menganggukkan kepalanya tanda faham.
“Nanti
sampaikan salam Dania kepada nenek, ya?” beritahu Dania lembut. Terharu juga
hatinya dengan perhatian Nenek Kamariah itu.
Iskandar
menghulurkan beg yang dibawanya kepada Dania. Sekali lagi matanya menjamah
wajah Dania yang polos. Dania hanya merenung beg yang dihulurkan oleh pemuda
itu.
“Nenek
suruh abang hantar barang ni kepada Dania,” beritahu Iskandar apabila gadis itu nampak enggan menyambut
beg yang dihulurkan kepadanya.
“Apa ni?” tanya Dania,
ragu-ragu untuk menerima.
“Hadiah daripada nenek. Handphone,”
beritahu Iskandar.
Tersentak
Dania. Pemberian Nenek Kamariah tidak diduganya sama sekali.
“Nenek kata, senang Dania
nak menghubunginya. Dia pulak senang nak menelefon dan berborak dengan Dania,”
terang Iskandar sambil meleretkan senyuman. “Sudikanlah! Nanti nenek kecil hati pulak, Dania,” pujuk
Iskandar.
“Alah...”
rengek Dania serba salah untuk menerima pemberian itu. “Buat susah-susah aje,”
kata Dania.
“Hmm...”
gumam Iskandar semakin mendekatkan beg itu ke tangan Dania.
Mahu
tak mahu, Dania terpaksa menerimanya juga. “Abang Ray baru saja belikan telefon
untuk Dania,” sempat lagi dia memberitahu dengan suara lembut dan berlagu.
“Alahai,
apa salahnya guna dua handphone. Yang Ray bagi tu, Dania guna sewaktu
nak hubungi dia. Yang nenek hadiahkan ni, Dania guna untuk telefon neneklah...
Okey?”
“Yalah...”
jawab Dania sepatah. Cepat sahaja dia bersetuju kerana tidak mahu berlama-lama
dengan lelaki itu di depan pintu rumah. Mahu tak mahu, dia terpaksa mengalah.
Bimbang mengecilkan hati Nenek Kamariah pula.
“Sampaikan
ucapan terima kasih Dania kepada nenek,” beritahu Dania.
Iskandar
mengangguk. Lega hatinya. Akhirnya, dapat juga dia menunaikan hajat nenek!
“Terima
kasih pada Abang Is jugak,” sambung Dania lambat-lambat. Pandangan matanya
dilarikan daripada bertembung dengan anak mata lelaki itu.
“Sama
kasih,” balas Iskandar cuba berseloroh. “Abang balik dulu,” beritahu Iskandar
pula dan bersedia untuk beredar dari gadis itu.
Dania
menganggukkan kepalanya.
“Jumpa
lagi, Dania. Take care,” pesan Iskandar sambil melambai-lambai sebelum
masuk ke keretanya.
Dania
membalas separuh hati. “Alah, macam mana nak buat ni? Nanti mesti Abang Ray
marah,” rungutnya. Resah yang terpenjara di hati sejak tadi semakin
menghimpitnya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan