|
|
Selepas bercuti seminggu, hari ini Ray akan memulakan
tugasnya semula. Ray bertekad untuk menyibukkan dirinya. Ini mungkin cara
terbaik untuk dia cuba melupakan kemelut yang sedang melanda jiwa. Tidak seperti kebiasaannya, hari ini awal pagi
dia terpaksa datang ke Wafa Construction seperti yang diarahkan oleh Datuk
Wahab.
Dari tempat parkir kereta, Ray
melangkah dengan penuh yakin ke pejabat Wafa Construction. Pejabat yang
jarang-jarang dikunjunginya jika tidak diarahkan oleh Datuk Wahab. Bukannya
apa, dia tidak suka bertemu muka dengan Mukhriz. Rasa tidak selesa.
Ahmad Raiyan Wafa(Ray) -Penolong Pengurus
Terperanjat Ray sebaik sahaja
melangkah ke pintu bilik yang diarahkan oleh Hawa sebentar tadi. Dia membaca
namanya yang tertera di muka pintu. Walaupun dia sudah maklum akan jawatannya
yang terkini, namun tidak menduga Datuk Wahab menyediakan sebuah bilik pula
untuknya di pejabat itu. Bersebelahan dengan bilik Mukhriz pula.
Dengan lafaz bismillah, Ray
memutar tombol dan menolak daun pintu sebelum masuk ke biliknya. Perlahan
kakinya melangkah menuju ke satu-satunya meja yang ada di dalam bilik itu. Di
atas meja pun sudah diletakkan label namanya.
Ahmad Raiyan Wafa (Ray). Sempat
pula tangannya mengambil dan membelek tanda nama itu. Dengan rasa terharu. Juga
rasa tersentuh. Saat kakinya melangkah untuk melamar pekerjaan menjadi buruh
binaan di lokasi projek Awana Mall dulu, dia tidak pernah mimpikan untuk
menjadi drebar Datuk Wahab. Menjadi Penyelia tapak. Apatah lagi menjadi
penolong pengurus.
“Encik Ray, kalau ada apa-apa yang
encik perlukan, encik maklumkan kepada saya, ya?”
Tiba-tiba sahaja Hawa muncul di
dalam bilik itu. Dia membawa mug Nescafe yang masih berasap tipis. Mug
diletakkan di hadapan pemuda itu.
Ray yang tergamam dan sedang
terkejut dengan apa yang diperolehnya pada hari itu tidak menjawab.
“Air ni, saya buatkan untuk Encik
Ray,” beritahu Hawa lagi sebelum sempat Ray membalas kata-katanya tadi. Wajah
kacak Ray direnungnya sekilas.
“Terima kasih, Cik Hawa. Tak payah
susah-susah. Err...saya dah minum kat rumah tadi,” balas Ray sambil senyum
seketika. Dia masih berdiri di sisi mejanya.
“Hmm... kalau macam tu, saya
keluar dululah Encik Ray,” kata Hawa.
Ray menganggukkan kepala. Sekuntum
senyuman yang manis dihadiahkan buat gadis itu.
“Encik Ray, tahniah!” ucap Hawa
sebelum keluar dari bilik.
“Ya Allah, apa aku nak buat ni?” bisik Ray sebaik sahaja pintu
bilik tertutup kembali. Dia memegang kepalanya beberapa ketika. Jari-jemarinya
mengetuk-ngetuk meja cuba mententeramkan perasaan dan memikirkan sesuatu kerja
yang boleh dilakukannya.
Dengan perlahan, dia menarik
kerusi berpenyandar tinggi lantas menghenyakkan punggungnya. Nafasnya dihela
agak lama lantas dilepaskannya lambat-lambat. Ray duduk tersandar sambil
menggerak-gerakkan kerusinya.
“Amboi, pagi lagi dah
bersenang-lenang?” jerkah Mukhriz yang secara tiba-tiba masuk ke dalam bilik
itu. Wajahnya masam mencuka. Di tangannya ada beberapa fail berkulit keras dan
agak tebal. Fail-fail itu dihempasnya di atas meja, di hadapan Ray.
“Aduh!” Tiba-tiba pula dia
terjerit kecil kerana jari kelengkengnya tersepit di celah fail. Tersentak Ray. Serta-merta dia mendongak dan
menatap wajah Mukhriz yang berdiri di hadapannya. Direnungnya sejenak. Setelah itu, dia memandang ke arah lain
dengan wajah bersahaja.
“Kan lebih baik kalau Encik
Mukhriz letakkan fail tu elok-elok tadi,” katanya perlahan.
“Kalau boleh, aku nak hempas saja
atas kepala kau!” balas Mukhriz marah. Memang, jika diikutkan perasaan geram
dan sakit hatinya, dia ingin bertindak begitu. Bukan itu sahaja, kalau boleh
badan Ray pun hendak dihempasnya juga.
“Hempaslah,” cabar Ray perlahan.
Kali ini, dia merenung ke anak mata Mukhriz tepat-tepat.
Mukhriz mengetap bibir menahan
perasaan yang mula bergelodak. “Datuk suruh kau tengok semua fail tu!” beritahu Mukhriz kasar.
Ray mengangguk.
“Aku tak tahu apa kelayakan kau
hingga Datuk lantik kau jadi penolong pengurus!” bebel Mukhriz pula. Dia
berdiri di hadapan Ray sambil bercekak pinggang.
“Ini kerja TUHAN, Encik
Mukhriz...” jawab Ray bersahaja. Tangannya mencapai sebuah fail dan
membelek-belek.
“Huh!” rengus Mukhriz.
“Dulu, sewaktu saya jadi buruh
binaan di tapak projek, encik tuduh saya penagih dadah yang ingin mencuri di
tapak pembinaan. Encik pecat saya. Encik kata, tak mahu tengok muka saya
lagi... Tapi kekuasaan ALLAH, DIA temukan kita sekali lagi. Semakin lama,
semakin dekat pula...” Secebis senyuman sinis terukir di bibir Ray. “Betulkan,
perjalanan hidup seseorang manusia itu ibarat putaran roda?”
Kata-kata yang terungkap oleh
bibir Ray diaturnya dengan baik. Dengan suara tenang dan lembut.
“Hei, Ray! Kau jangan nak cakap
banyak!” marah Mukhriz dengan suara lantang. Telunjuknya ditunding ke arah Ray.
Terbakar hatinya kerana diungkit kisah lalu. Dia rasa dimalukan. Tambahan pula
apabila anak muda itu mengatakan tentang perjalanan hidup manusia yang ibarat
roda. Dia bimbang dengan kehadiran pemuda itu putaran rodanya akan laju berada
di bawah.
“Kau nak sindir aku ya? Kau rasa
kau sedang menuju ke atas dan aku akan tergolek di bawah roda? Kau silap, Ray!
Roda aku takkan berpusing lagi jika aku telah berada di atas. Aku akan guna
segala cara, berdasarkan otak aku yang bijaksana supaya roda itu akan berhenti
putarannya! Ini, Mukhrizlah!” katanya sambil mendabik dada.
“Tuhan
tak suka manusia takbur, Encik Mukhriz...” kata Ray selamba. Dia ikhlas
memberitahu. Manalah tahu kalau-kalau Mukhriz sudah lupa.
“Ray, kau...” Tak pasal-pasal
Mukhriz mencekak kolar baju kemeja Ray sehingga ke pangkal tengkuk pemuda itu.
Sebelah tangannya mengacu penumbuk betul-betul di atas batang hidung anak muda
itu.
Ray menahan nafas. Mengetatkan
kesabaran. Meski darahnya sudah mendidih dan menggelegak, dia tidak akan
terpedaya dengan emosi marah. Dia cuba bertenang. Jika tidak, tubuh Mukhriz itu
akan diangkat dan dihumbannya ke dinding. Ilmu tae kwan do yang tersimpan di
sanubarinya, belum pernah dipraktikkan lagi!
“Kalau kau nak kerja kat sini, kau
kerja aje. Jangan nak besar kepala!
Kalau kau susahkan hidup aku, kau siaplah!” Kata-kata Mukhriz berbaur
amaran. Setelah itu barulah dia melepaskan kembali leher baju kemeja Ray yang
dicengkamnya tadi.
Segera Ray mengusap-usap bajunya
yang terkesan kedut.
“Dah habis Encik Mukhriz?” tanya
Ray tenang. Keningnya dijongketkan sewaktu merenung Mukhriz. Bibirnya mengukir
senyum tipis. Biar Mukhriz tambah meradang.
“Jangan harap aku nak ajar kau
satu perkara pun!” Semakin marah pula Mukhriz kerana tindakan kasarnya tadi
tidak mampu menggugat ketenangan pemuda itu.
“Tak apa,” balas Ray. Hatinya
bagaikan tidak terusik dengan kemarahan yang dilemparkan oleh Mukhriz
terhadapnya. “Datuk tak pesan suruh saya belajar daripada Encik Mukhriz pun,”
sambungnya lagi.
“Arghhh!” rengus Mukhriz lantas
keluar dari bilik itu dengan perasaan bengang. Jika dia berlama-lama lagi di
dalam bilik anak muda itu, bimbang terbakar pula hatinya. Lebih bimbang lagi
kalau buku limanya melayang dan hinggap ke atas muka pemuda itu.
“Apa halnya, Mukhriz? Pagi-pagi
dah telan kepada angin?” tegur Datuk Wahab yang secara kebetulan baru sampai di
situ. Mukhriz pula baru keluar dari bilik Ray dengan rupa yang marah.
“Datuk!” sapa Mukhriz lantas
segera menghulurkan tangannya kepada Datuk Wahab. “Assalamualaikum,” katanya
sambil memaniskan wajah. Sekadar lakonan. Nafas yang menderas kerana gelombang
radang cuba ditenangkan. “Saya hantar fail-fail yang Datuk suruh tu ke bilik
penolong pengurus, dia pulak tengking saya!” fitnah Mukhriz.
“Tengking? Ray tengking awak?”
tanya Datuk Wahab sambil menggelengkan kepalanya. Bukannya dia menggeleng
kerana perbuatan Ray seperti yang didakwa Mukhriz, tetapi dia menggeleng kerana
tidak menduga Mukhriz boleh memfitnah Ray sebegitu rupa.
“Siapa lagi, Datuk? Kan Datuk dah
lantik dia jadi penolong pengurus?” Kata-kata Mukhriz terhenti sejenak.
Memikirkan perkara yang harus diluahkan kepada lelaki itu. “Tanpa persetujuan
saya pulak tu...”
“Sudahlah Mukhriz, tak usah nak
merepek. Saya tak perlu mintak persetujuan awak untuk melantik sesiapa pun.Awak
pun kerja dengan saya...” balas Datuk Wahab. “Saya yang dah tua pun tak ada
merepek macam awak ni. Agaknya nanti awak yang jadi nyanyuk lebih dulu daripada
saya,” leter Datuk Wahab sambil merenung wajah Mukhriz. Rona kelat dan tidak
puas hati masih menghiasi wajah lelaki itu.
“Saya nak jumpa dengan awak berdua
sekarang. Pergi panggil Ray, ajak dia ke bilik awak,” arah Datuk Wahab lantas
melangkah ke bilik Mukhriz.
Mukhriz sempat menjeling marah di
belakang Datuk Wahab.
“Ray, kalau saya arah awak kerja
secara bergilir di pejabat ni dengan Mukhriz awak setuju tak? Maksud saya, awak
kena belajar menguruskan syarikat ni di samping memberi perhatian terhadap
tugas-tugas di tapak projek,” jelas Datuk Wahab sambil menyorot ke wajah anak
muda itu.
“Sewaktu awak berada di pejabat,
Mukhriz akan berada di tapak projek. Begitulah sebaliknya,” terang Datuk Wahab
lagi. Pandangannya terlempar ke wajah Mukhriz yang sedang menunduk. Dahinya
berkerut-kerut seolah tidak bersetuju dengan saranan itu. Pasti rahsia
penyelewengannya akan terbongkar!
“Saya tak setuju, Datuk. Biar Ray
fokus di tapak projek. Saya sendiri beri perhatian pada pengurusan dan pentadbiran
pejabat ni. Ray tak ada kelayakan. Saya dah ada banyak pengalaman. Tambahan
pula dulu sewaktu di universiti, saya memang mengambil ijazah dalam pengurusan
perniagaan. Ray tak sesuai kerja di pejabat ni. Dia lebih sesuai kerja di tapak
projek. Daripada apa yang saya lihatlah,” jelas Mukhriz bersungguh-sungguh.
“Kebolehan Ray mengurus
kerja-kerja di tapak projek tu memang saya dah sedia maklum. Tambahan pula
Daud, Azlan dan lain-lain pegawai selalu beri maklumat kepada saya...”
“Sekarang ni, saya nak tengok
kebolehan dia dalam pentadbiran pulak. Soal ada degree atau tak tu bukan
hal yang sangat penting bagi saya. Asalkan orang yang saya beri tanggungjawab
sanggup melakukan kerja yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh, jujur dan
rajin belajar...” tukas Datuk Wahab.
“Apa pendapat Ray?” soal Datuk
Wahab apabila melihat anak muda itu berdiam diri dari tadi.
“Saya ikut arahan, Datuk. Selagi
khidmat saya diperlukan, saya rela ditugaskan di mana-mana saja. Saya akan
pikul amanah yang Datuk galaskan di atas bahu saya sebaik-baiknya. Insya-ALLAH,
” jawab Ray penuh yakin. Sempat pula dia menjeling cebikan Muhkriz. “Tapi...”
“Tapi apa, Ray?” tanya Datuk
Wahab. “Disebabkan saya hanya tamat sekolah menengah saja, tak ada ijazah macam
Encik Mukhriz, saya harap Datuk dapat tunjuk ajar saya,” sambung Ray lagi.
Begitu merendah diri. Sekali lagi matanya menjeling ke wajah Muhkriz. Dan
sekali lagi dia dapat melihat reaksi lelaki itu.
“Membodek Datuk aje kerja kau.” Tanpa menduga bisikan
itu singgah juga ke telinga Ray. Namun, pemuda itu buat-buat tidak tahu.
Pura-pura tidak dengar.
“Mukhriz!” panggil Datuk Wahab.
Mengharapkan ulasan daripada lelaki itu.
“Saya sudah berterus terang dengan
Datuk, tadi. Pendirian saya tetap begitu. Minta maaflah, Datuk. Saya bukan kaki
bodek macam orang lain,” ujar Mukhriz. Sempat lagi melontarkan sindiran kepada
Ray yang kelihatan bersahaja.
Bibir Datuk Wahab sempat
menyungging senyuman sewaktu mendengar kata-kata Mukhriz itu. Bukannya dia
tidak faham kata-kata itu ditujukan kepada siapa.
“Mukhriz, awak dah beri pendapat.
Ray juga sudah menetapkan pendirian dan hala tujunya. Jadi, saya juga tetap
dengan keputusan awal tadi. Awak dan Ray akan bertugas di pejabat dan tapak
projek secara bergilir. Mulai hari ini!” tegas Datuk Wahab.
Mukhriz menelan air liur menahan
marah.
“Awak pergi ke tapak projek
selepas kita bersurai nanti. Ray akan berada di sini. Saya akan tunjuk ajar
dia,” beritahu Datuk Wahab lagi.
Keluhan kuat keluar dari hidung
Mukhriz. Marah benar dia dengan keputusan Datuk Wahab itu. Sedangkan dia sudah
berjanji dengan pembekal untuk bertemu di pejabat bagi mendapatkan habuannya.
“Okey, kita bersurai sekarang!”
tukas Datuk Wahab lantas bangun dari kerusi. Dia menghulurkan tangannya kepada
Mukhriz.
Mukhriz pura-pura memandang ke
lain sewaktu Ray menghulurkan tangan kepadanya untuk berjabat salam.
“Ray, kita ke bilik awak,” ajak
Datuk Wahab.
‘Tak guna punya orang tua!’ maki
Mukhriz sambil bercekak pinggang sebaik sahaja susuk tubuh dua lelaki itu
menghilang di sebalik pintu. Sekali lagi, diari tebal menjadi sasarannya.
Dicampak ke pintu dengan perasaan geram dan marah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan