Isnin, 15 Oktober 2018

SAPU TANGAN BIRU - BAB 51



Tersenyum lebar Nenek Kamariah sewaktu mendengar cerita daripada cucu kesayangannya. 
“Telefon yang nenek suruh belikan untuk dia pun, Is dah beli dan berikan kepadanya,” cerita Iskandar. Baru pagi ini, dia dapat berbual dengan neneknya. “Puas juga Is pujuknya, nek” adu Iskandar.
“Dia sihat tak? Nak pulak dia berbual-bual dengan Is?” soal Nenek Kamariah semakin teruja.
“Dania ni gadis desa, nek. Masih tebal dengan sikap pemalunya tu. Tapi Is tak peduli. Is ajak jugak dia bercakap. Malam ni, Is telefon dia,” janji Iskandar. Dia pun teruja juga untuk berkenalan lebih dekat dengan gadis itu.
“Hari minggu ni, Is pergi ambil dia bawa ke sini. Boleh makan tengah hari sama-sama,” cadang Nenek Kamariah.
“Nenek ni, tak sabar-sabar. Tak usahlah tergopoh-gapah. Is bukan apa, segan pada abangnya, Ray tu. Nampak gayanya dia tak begitu suka kita ambil adiknya bawa balik ke rumah,” beritahu Iskandar. Sempat dia melihat wajah Ray yang serius merenung Dania pada malam itu.
“Mana Is tahu? Malam tu, nenek tengok Ray elok aje,” sanggah Nenek Kamariah.
“Alahai, nenek! Is dah 27 tahun. Dah tau riak dan gerak-geri orang. Entah-entah malam tu teruk Dania kena marah dek abangnya,” ulas Iskandar.
“Nenek tak percayalah,” tegas Nenek Kamariah.
“Cuba nenek tanya pada Dania,” cadang Iskandar. Dia menghabiskan sisa minuman di dalam cawan. Jam sudah menunjukkan 6.50 pagi. Dia harus bergerak ke tempat kerjanya.
“Apa kata Is telefonkan dia sekarang?”
Mahu tak mahu, Iskandar terpaksa mengalah. Segera dia menekan nombor telefon mudah alih Dania.
Iskandar bangun menuju ke tingkap sementara menanti Dania menjawab panggilannya. Bukannya apa, dia bimbang nenek perasaan rona wajahnya nanti.
 “Assalamualaikum...” kata Iskandar. Gemersik suara Dania yang menjawab salam menyinggahi gegendang telinganya. Serta-merta bibirnya menguntum senyuman.
 “Maaf, err... siapa ni?” tanya Dania dengan suara serak dan tersekat-sekat.
“Dania, Abang Is ni. Maaflah, abang ganggu Dania pagi-pagi hari,” jawab Iskandar. “Dania tengah buat apa tu?” tanya Iskandar ramah. Mana tahu keramahan yang ditaburkan kepada gadis itu menyebabkan Dania berasa mesra dengannya.
“Nak pergi kuliah ni,” jawab Dania mula tidak keruan. Dia rasa tidak selesa untuk berbual dengan Iskandar. 
“Dania berbual dengan nenek ya,” beritahu Iskandar langsung menghulurkan telefon kepada Nenek Kamariah yang sedang berdiri di sisinya.
“Assalamualaikum, Dania...” ucap Nenek Kamariah dengan suara riang. Telefon mudah alih Iskandar dibawa ke ruang tamu supaya dapat berbual dengan selesa.
Iskandar kembali duduk di meja makan. Suara Nenek Kamariah tenggelam timbul di telinganya. Kemesraan yang ditunjukkan oleh nenek terhadap Dania menyebabkan perasaannya berbunga indah. 




Dania berlari-lari anak keluar dari pintu rumah. Kawan-kawan serumahnya Deeba, Wawa, Azi dan Lila sudah lama keluar untuk menghadiri kuliah masing-masing. Leka melayan panggilan telefon daripada Nenek Kamariah tadi, dia pula yang terlewat.
 “Habislah aku hari ni. Mesti ketinggalan bas,” gerutunya.
Setelah mengunci pintu rumah, dia terpaksa berjalan laju-laju menuju ke perhentian bas. Sampai sahaja dia di situ, hatinya dimamah kecewa. Deeba, Wawa, Azi dan Lila sudah tidak nampak bayang. Bermaksud bas awam yang selalu mengangkutnya ke kolej perubatan di UM sudah pun pergi.
“Alah...” Dania sambil menghempaskan punggungnya di tempat duduk. Seminit. Dua minit. Dania terus gelisah. Sebiji teksi pun tiada lalu di hadapannya
“Ketinggalan kelaslah hari ni...” Dania terus menceceh sendiri. Matanya memerhati jalan raya di sebelah kanannya. Dalam lamunan mengharapkan kedatangan bas atau teksi tidak tersedar sebuah kereta berhenti tidak jauh dari tempat dia menunggu bas. Kereta yang telah terlajak berundur semula dan berhenti di hadapannya.
“Dania...”
Dania segera menoleh. Serta-merta bibirnya menguntum senyuman. Cepat-cepat dia mengambil beg dan berlari menuju ke kereta yang sudah dibukakan pintu sebelah penumpang.
“Abang Ray!” sapa Dania terus duduk di sebelah Ray. Dia berasa pelik kerana abangnya itu tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman bagai selalu.
“Abang...” panggilnya sambil menghulurkan tangan. Nasib baik tangannya disambut oleh Ray.
“Abang nak pergi ke mana?” tanya Dania. Matanya merenung sayang. Kacaknya Abang Ray hari ini. Secara kebetulan mereka sedondon pula. Baju berwarna hijau.
“Datuk suruh pergi ke tapak projeknya yang di Kerinchi,” jawab Ray tenang. Damai rasa hatinya apabila melihat Dania memakai tudung yang dihadiahkan sebelum ini. Tudung bawal warna hijau lembut bertona. Terasa pemberiannya begitu dihargai.
“Nasib baik abang lalu kat sini. Dania dah ketinggalan bas,” adu Dania. Dia menghela nafas lega.
“Secara kebetulan,” jawab Ray sambil merenung Dania yang sedang mengenakan tali pinggang keledar ke tubuhnya yang kecil molek.
“Dania bangun lambat ke? Tak sembahyang subuh hari ni?” tanya Ray sambil terus menumpu ke hadapan.
“Alah, orang sembahyanglah...” rengek Dania sambil menjeling Ray. Pantas tangannya menampar manja lengan abangnya itu. Sejak mereka kecil, emak dan ayah sudah mengambil berat tentang solat.
“Tadi, waktu tengah siap-siap, Abang Is telefon,” ceritanya.
Mendengar kata-kata itu, Ray segera menoleh.
“Abang Is? Siapa Abang Is? Dania ni jangan nak berabang sana sini. Dania tengah belajar lagi! Baru semester pertama,” leter Ray. Hatinya mula tidak keruan.
“Alah, Iskandar cucu Nenek Kamariah tu,” jawab Dania. Suaranya semakin merendah kerana takut dimarahi oleh Ray.
“Apa dia nak?” tanya Ray serius. Hatinya tergigit. Namun apa haknya untuk menghalang Dania daripada bersahabat dengan Iskandar atau mana-mana lelaki. Iskandar dan Jasmin pun bukannya ada ikatan apa-apa lagi. Dania pun sudah menginjak dewasa. Sudah mempunyai perasaan untuk mengasihi dan mencintai lelaki pilihan hatinya.
“Tak ada apa-apa, bang. Dia telefon tapi lepas tu dia beri telefon kepada neneknya. Nenek Kamariah yang bersembang dengan Dania tadi. Tu yang lewat. Kawan-kawan serumah, semua dah pergi,” adu Dania dengan suara bergetar.
“Nenek Kamariah nak apa?” soal Ray lagi. Sekali lagi perasaannya jadi tidak keruan.
“Dia ajak Dania datang ke rumahnya sekali lagi,” jawab Dania terus terang. Sebenarnya permintaan wanita itu melemaskan perasaannya.
“Nak pergi ke rumah dia lagi? Buat apa?” Sekali lagi Ray bertanya serius.
“Makan tengah hari,” jawab Dania ringkas.
“Makan tengah hari lagi?” soal Ray. Dia mengeluh dalam. Sekali lagi hatinya terbelit dengan perasaan serba salah. Sebentar nanti mesti Dania meminta keizinan daripadanya. Jika diizinkan, mungkin membawa sebab kepada perhubungan lebih erat antara Dania dan cucu wanita itu. Iskandar. Jika dihalang, pasti Dania akan bertanya sebabnya.
“Abang, boleh tak Dania pergi ke rumah nenek tu lagi?” Akhirnya soalan yang dijangka oleh Ray terlontar juga daripada bibir Dania. Ray diam. Nampaknya dia sedang berfikir. Dania menunggu dengan sabar.
“Kalau abang tak izinkan, Dania takkan pergi,” beritahu Dania. Tiba-tiba teringat pula janjinya pada diri sendiri selepas dimarahi oleh Ray kelmarin.
“Dania...” Suara Ray perlahan. Dia sudah memberhentikan kereta di hadapan tembuk batu yang memagari kampus universiti tempat Dania belajar. “Jika seseorang yang baru kita kenal berbaik dengan kita secara mendadak, Dania mesti fikirkan sebab musababnya,” kata Ray seolah berbisik. “Dania hendak melayan Nenek Kamariah di telefon, abang tiada halangan. Berbuallah dengan dia. Hormati dia sebagai orang tua yang sudah tentu banyak pengalaman dan ilmunya. Tapi Dania mesti elakkan diri daripada Iskandar,” pesan Ray tanpa memandang ke wajah Dania.
Bukannya dia jemu menatap wajah itu, tetapi dia takut pada getaran jiwanya. Pesan emak supaya merahsiakan  status perhubungan mereka berdua sehingga dia mati, benar-benar melontar hatinya ke lautan nestapa. Sesungguhnya perjanjian itu menyebabkan dia tertekan.
“Dania akan ingat pesanan abang tu,” janji Dania sambil melihat Ray yang sedang menundukkan wajahnya merenung stereng. Entah apalah yang sedang difikirkannya!
“Abang,” panggil Dania lantas mencubit lengan Ray. Mengejutkan abangnya yang sedang berkhayal. Apabila Ray merenung ke anak matanya, dia menyengih pula.
“Dania nak turun ni. Terima kasih, ya sebab tumpangkan Dania tadi,” kata Dania sambil tersenyum manis. Wajahnya nampak riang kembali. “Senyumlah sikit,” katanya pada Ray lantas mencubit kedua hujung bibir Ray.
“Nakal tak habis Dania ni...” ujar Ray sambil memahat senyuman.
“Sejak kebelakangan ini, Dania rasa abang dah lain. Tak lagi macam dulu-dulu,” komen Dania. “Abang dah tak mesra dan ramah dengan Dania. Sejak abang balik kampung tempoh hari,” ulasnya lagi. “Mesti ada apa-apa yang abang cuba sorokkan daripada Dania,” tebak Dania.
Berderau darah Ray. Serta-merta dia menceriakan wajahnya. Rahsia yang dibongkarkan oleh emaknya tidak mungkin diceritakannya kepada Dania. Sampai dia mati!
“Dahlah, Dania. Mulalah nak merepek dan menuduh yang tidak-tidak pada abang. Dania tu yang dah berubah. Dah tak sayang pada abang. Agaknya sudah terpikat kepada Iskandar...” usik Ray sambil ketawa. Walau usikan itu menghiris hati sendiri.
Dania menjelir lidah. Sekali lagi lengan Ray kena tepuk. “Orang nak belajarlah! Banyak lagi perkara yang Dania nak fikirkan,” balas Dania cepat. ‘Mustahil Iskandar dapat menggantikan tempat Abang Ray di hatiku,’ desis hatinya. Namun, mustahil pula dia meyimpan perasaan cinta kepada abangnya sendiri. Gila! Dania jadi bingung tiba-tiba.

Tiada ulasan: