|
|
Ketenangan hatinya bagaikan tergugat. Fikiran Jasmin terus
memutar-mutar. Bayangan Ray dan gadis yang dilihatnya terus bermain di ingatan.
Kamar hatinya bagai ditusuk-tusuk. Sikap papanya juga semakin menyakitkan hati.
Sejak pemuda itu hadir di dalam kanvas hidup mereka, lukisan hidupnya jadi
berbeza. Perasaannya bagaikan terabai oleh kedua orang tuanya. Semakin hari,
dia rasa disisihkan.
“Hai, Jess. Memerap aje dalam
bilik hari ni?” soal Datin Julaidah saat masuk ke dalam kamar anaknya.
Pantas Jasmin mengesat air mata
yang membasahi pipi. Senyuman manja dihadiahkan buat mama tersayang.
“Kenapa Jess bersedih ni? Bergaduh
dengan Iskandar ke?” tebak Datin Julaidah.
Jasmin menggeleng. Segera dia
merangkul leher mamanya.
“Tak adalah, mama. Jess bukan
menangis cuma rasa sebak aje.” Pipi mamanya pula dielus-elus.
“Kenapa pula Jess rasa sebak? Ada apa-apa yang tak kena ke?” soal Datin
Julaidah.
“Bukan apa, Jess rasa sunyi duduk
sorang-sorang kat rumah ni. Kalau ada adik-beradik yang lain, meriah juga,
kan?” Jasmin mula memprovok. Dada Datin Julaidah mula berdebar, namun
cepat-cepat dia bertenang.
“Apa yang Jess merepekan ni? Takkan nak suruh mama beranak lagi? Mama dah tak
ada kemampuan... dah menopous,” balas Datin Julaidah sambil mencubit pipi anak
gadis itu.
“Mama...” panggil Jasmin. Bibirnya
bergetar ingin bertanyakan sesuatu.
“Ada apa lagi, Jess?” tanya Datin
Julaidah. Wajah Jasmin ditatap sejenak.
“Kenapa sekarang ni papa selalu
sangat marah Jess? Macam Jess ni anak orang lain aje...” rintih Jasmin. Lantas,
dia teringat peristiwa beberapa bulan yang lalu. Dia bergaduh dengan mamanya
sehingga tergamak wanita itu mengeluarkan kenyataan yang meremukkan hatinya.
“Jess pandai-pandailah ambil hati
papa tu. Anak angkat ke, anak kandung ke, anak tiri ke, anak saudara ke... sebagai seorang yang
berstatus anak, Jess wajib menghormati dia sebagai papa yang telah banyak
berjasa kepada Jess...” nasihat Datin Julaidah penuh makna.
Jasmin meneduhkan wajahnya.
“Lain kali jangan timbulkan isu ni
lagi. Bimbang kelak, hati Jess yang terluka!” pesan Datin Julaidah. Sejenak
fikirannya melayang kepada peristiwa silam.
“Maaf mama,” kata Jasmin sambil
mencium pipi mamanya bertalu. Perasaan yang berbaur segera disatukan. Kini, dia
bertekad untuk mengambil hati papa dan mamanya kembali. Supaya dia terus
disayangi dan dimanjai macam dulu.
“Banyak ke mama beli barang kat
pasar tadi?” soalnya lembut. Tangan Datin Julaidah dipegang dan diusap-usap.
“Mesti sakit tangan mama, kena jinjing bakul,” rengeknya.
“Mama dan Bibik Misrah guna
trolilah, sayang,” balas Datin Julaidah sambil ketawa.
“Mama pergi ke pasar aje ke?” soal
Jasmin.
“Mama singgah ke farmasi sekejap
tadi. Cari ubat sembelit. Bibik Misrah pulak cari ubat sakit urat,” beritahu
Datin Julaidah. Beg plastik yang berisi ubat diletaknya di atas tilam.
“Mama, hari ni Jess nak tolong
Bibik Misrah di dapur. Boleh tak?” tanya Jasmin mengada-ngada.
“Mestilah boleh. Lagipun hari ni
Auntie Zarina dan anaknya Eisha Safiya tu nak datang makan tengah hari kat
rumah kita,” cerita Datin Julaidah dengan wajah berseri.
“Apa mama? Madu mama nak datang
makan tengah hari di sini?” tanya Jasmin dengan suara nyaring. Terbeliak biji
matanya merenung mama.
“Jess bubuh racun biar dia kojol!
Sama dengan anaknya tu! Hisy, benci sungguh Jess kepada mereka,” ujar Jasmin.
Terlupa pula yang dia sudah menanam tekad untuk menawan hati mamanya. Harus
berlagak suci.
“Jess, tengok tu! Kalau papa
dengar kata-kata Jess tadi, mesti dia marah!” tegur Datin Julaidah. “Tak baik
berniat buruk kepada orang lain. Mama dah dapat terima kenyataan. Apa salahnya
kita hidup sekeluarga dengan kasih sayang?” tanya Datin Julaidah.
“Papa Jess berkemampuan dan
menjalankan tanggungjawab dengan adil. Dia nak beristeri lebih daripada
seorang... bukannya jadi dosa pun. Tuhan
tak larang tau tak?”
“Ooopss! Maaf, mama. Jess saja
bergurau. Terlupa pula yang kita sekeluarga. Eisha Safiya yang comel tu pun
adik Jess jugak, kan?” Jasmin memulakan babak lakonannya yang pertama. Skripnya
pun bernas!
“Hah! Macam tulah anak mama. Boleh
menimbang yang mana patut. Kalau macam tu, apa tunggu lagi? Cepatlah ke dapur.
Tolong Bibik Misrah tu,” gesa Datin Julaidah sambil menepuk manja pipi Jasmin.
Setelah itu, dia segera keluar
dari bilik. Terasa hendak ke tandas pula. Sudah tiga hari dia tidak buang air
besar. Perutnya rasa tidak selesa.
Jasmin mencebik bibirnya dan
merungut seorang diri. ‘Tahulah aku nak ajar kau orang semua nanti!’ Pantas
tangannya menyambar beg plastik yang mengandungi ubat-ubatan yang dibeli oleh
mamanya tadi. Dia berlari menuruni tangga sambil senyum meleret.
“Maaf, Ray!” Zarina yang berada di
muka pintu berwajah cemas.
“Ada apa, auntie?” tanya Ray
perlahan. Wajah cemas Zarina terus ditatap.
“Ray, tolong bawa Eisha ke klinik!
Dia sakit perut agaknya,” beritahu Zarina cepat-cepat.
“Eisha sakit perut? Teruk ke
auntie?” Lenyap terus rasa mengantuknya.
“Dah enam kali dia cirit-birit.
Asyik merengek dan mengerang aje tu,” jawab Zarina.
“Baiklah auntie. Saya salin
pakaian dulu,” balas Ray.
“Cepat sikit!” gesa Zarina sebelum
beredar dari muka pintu. Ray menunggu Zarina pergi sebelum menutup pintu
kembali.
Tidak sampai tiga minit, Ray sudah bersedia menunggu Zarina dan Eisha Safiya
di muka pintu. Hampir 10 minit menunggu, Zarina tidak juga muncul. Telefon
mudah alih di dalam poket seluar pula bergetar. Ray terus menjawab panggilan
itu.
“Ray, naik ke bilik auntie. Auntie
tak larat nak dukung Eisha ni,” beritahu Zarina di hujung talian. “Baik,” jawab
Ray lantas terus masuk ke dalam rumah. Perlahan kakinya melangkah dan mendaki
tangga ke tingkat atas menuju ke bilik tidur utama rumah itu. Walau terasa
segan terpaksa juga dia memasuki kamar tidur majikannya. Eisha Safiya sedang
menangis di atas katil.
“Abang Ray... kita sakit perut!”
rintihnya sambil menangis. Leher Ray direngkuhnya sebaik sahaja Ray duduk di atas
tilam.
“Tak apa, nanti kita pergi jumpa doktor ya?”
pujuk Ray. Segera dia mengangkat kanak-kanak itu lalu mencempungnya ke kereta.
Eisha Safiya yang semakin besar. Keberatan tubuhnya pun sudah bertambah. Dia
kini sudah bersekolah di darjah satu.
“Eisha tersalah makan ke, auntie?”
tanya Ray sebaik sahaja mereka sudah berada di dalam kereta.
“Tak tahulah, Ray. Nak kata
keracunan makanan, dia cirit-birit sahaja. Lagipun, tengah hari tadi kami pergi
makan di rumah Datin,” cerita Zarina.
“Ya ke, auntie?” tanya Ray tidak
percaya. Gembira hatinya mendengar berita itu. Nampaknya, isteri-isteri Datuk
Wahab sudah berbaik. Saling menerima antara satu sama lain.
“Betul, Ray. Alhamdulillah.
Akhirnya, Allah makbulkan doa
auntie. Biar terbuka pintu hati Datin menerima auntie sebagai madunya. Dengan
ikhlas hati,” ungkap Zarina perlahan.
“Siang malam auntie berdoa, Ray.
Buat solat hajat lagi. Datuk pun sama. Sebab dia tak mahu rumah tangga
porak-peranda. Tambahan pula poligami ni bukannya satu perkara yang salah. Jika
ALLAH telah membenarkannya, kenapa pula kita hendak menolak!” tambah Zarina
lagi dengan penuh perasaan.
“Syukurlah, auntie. Mudah-mudahan
hubungan auntie dan Datin terus baik selamanya,” tukas Ray. Dia memandu dengan
tenang.
“Insya-ALLAH, Ray. Sebenarnya
Datin Julaidah tu orangnya baik. Lembut dan penyayang. Cuma nasibnya tidak
begitu baik. Yalah, setiap hamba ALLAH itu mesti ada kekurangan, kan Ray?
Takkanlah nak bernasib baik aje. Tuhan
itu Maha Kaya...”
“Betul tu, auntie. Setiap
kekurangan yang kita ada, Allah akan tambahi semula kepada perkara yang lain.
Di situlah wujudnya keadilan. Tetapi selalunya manusia tak nampak hal ni dan
tak mahu berfikir mengenainya,” pintas Ray.
“Auntie setuju, Ray...” balas
Zarina. Dia memejam mata sesaat.
“Mama... lambat lagi ke? Sakit...”
Eisha Safiya yang sedari tadi asyik mengerang mula bersuara. Tali perutnya
terasa bagai ditarik-tarik, tetapi mamanya pula asyik bercerita.
“Dah sampai Eisha,” ujar Ray.
Matanya meliar mencari tempat parkir.
Hidup di ibu kota. Pukul 2.00 pagi
bagaikan siang hari. Klinik yang letaknya berdekatan dengan beberapa buah kelab
hiburan menyebabkan ruang parkir berdekatan sesak dengan kenderaan.
“Jom, abang dukung Eisha. Jangan
cirit atas badan abang sudahlah,” usik Ray lalu mengangkat Eisha Safiya yang
kesakitan.
Zarina dan Eisha Safiya terus
memasuki bilik doktor selepas membuat pendaftaran. Ray menunggu di luar.
Telefon bimbitnya pula berlagu-lagu. Tidak sempat menjawab panggilan, iramanya
terhenti pula. Irama berganti getaran menandakan ada mesej pesanan ringkas yang
masuk.
Ray. Aku lalu di tapak projek
tempat kau kerja ni. Ada sebuah treler yang penuh dengan besi tersadai dekat
gudang barang. Tak tahu sama ada mereka hantar besi atau ambil besi dari gudang
- Mat Ali.
Ray bernafas kuat. Hatinya mula
diamuk resah.
Ali, aku berada di klinik bawa anak
Datuk. Tolong tunggu di sana. Jika perlu rakamkan gambar dengan telefon kau.
Aku ke sana segera. Terima kasih.
“Jom, Ray... kita balik. Tolong
bawa Eisha ke kereta. Auntie nak bayar bil dan ambil ubat,” suruh Zarina yang
baru keluar dari bilik doktor. Dia memindahkan Eisha Safiya dari dukungannya
kepada Ray pula. Eisha Safiya terus mendakap dada Ray dan melentokkan
kepalanya.
“Doktor kata dia tersalah makan,”
beritahu Zarina. Dia mula meneka yang bukan-bukan. Sewaktu makan tadi, Jasmin
beria-ia menyuapkan sup ayam kepada Eisha Safiya. Katanya sup ayam itu dimasak
istimewa untuk mereka. Dia pula tidak gemar makan sup ayam. Jangan tidak hanya
merasa sesudu dua.
“Baik, auntie. Kita bergerak
cepat, ya? Saya nak jenguk ke tapak projek,” beritahu Ray terus terang. Debaran
di dadanya disembunyikan.
“Ada apa hal?” tanya Zarina.
“Nak tengok gudang, auntie. Saya
dapat mesej daripada kawan yang lalu kat situ. Ada sebuah treler kat luar
gudang...tak tahu apa sebabnya,” beritahu Ray.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan