Isnin, 15 Oktober 2018

SAPU TANGAN BIRU- BAB 53



Malam semakin menghimpit. Langit pun kelihatan hitam tanpa dihiasi bintang. Angin bertiup sepoi-sepoi menandakan bumi akan disirami hujan.
Pukul 2.30 pagi, Ray sampai di tapak pembinaan Awana Mall. Dia menyembunyikan kereta di sebalik bangunan tidak jauh dari tapak projek itu. Ray berjalan kaki ke sana. Memang benar seperti yang diberitahu oleh Mat Ali. Sebuah treler panjang sedang menunggu di luar pagar gudang. Kawasan di situ gelap kerana lampu jalan belum dipasang. Maklumlah projek sedang berjalan.
Mat Ali ada menunggunya di situ. Di sebalik bangunan utama Awana Mall yang sedang dibina. “Ray... kau berani ke nak terjah ke situ?” tanya Mat Ali berbisik.
“Nak takut apa? Aku lagi takut kalau mereka angkut semua besi tu. Gudang tu bawah tanggungjawab aku. Apa aku nak cakap dengan Datuk nanti?” jawab Ray. Dia sudah melipat lengan baju T yang dipakainya.
“Kalau mereka bawa senjata api macam mana? Tak pasal-pasal pula terburai kepala otak,” duga Mat Ali.
“Alah, Jangan gentarlah, Ali. Pantang maut sebelum ajal!” balas Ray bersemangat. Dia bagaikan tidak sabar untuk melihat siapa yang menjadi dalang melakukan kerja mencuri besi-besi itu.
“Jom! Kita intai apa yang mereka buat,” ajak Ray. Matanya sudah melihat kelibat kereta Toyota Camry berwarna silver metalik menghala ke gudang.
“Kita berpecahlah,” cadang Mat Ali. Pada fikirannya bahaya juga jika mereka pergi kepada musuh secara berkumpulan. Jika ada kejadian buruk yang berlaku, dua-dua sekali akan terperangkap.
Aku pun fikir macam tu,” setuju Ray. Dia terus memerhati pergerakan di sekitar hadapan gudang. Sebuah forklift digunakan untuk mengangkut besi dari dalam gudang ke atas treler. Pergerakan mereka agak lambat kerana keadaan yang malap.
“Kau pergi ke gudang. Aku pergi ke treler,” kata Mat Ali. “Apa-apa hal kita mesej. Kalau terdesak kita terus panggil polis.” Mat Ali  terus berpesan. Bukannya apa, dia bimbangkan keselamatan sahabat baiknya itu. Dia pun tahu sahabatnya itu ada orang yang sedang dengki kepadanya.
“Baik, bos!” gurau Ray. Mereka bersalaman dan berdakapan sebelum menuju ke destinasi masing-masing.



Sudah dua kali Toyota Camry  lalu-lalang di jalan berhadapan gudang. Lori treler yang ada di situ masih tidak bergerak. Akhirnya, kereta itu berhenti di belakang treler.
“Kenapa drebar bangang ni tak jalan lagi? Nak tunggu siang ke?!” Berbakul-bakul sumpah seranahnya. Pintu kereta dibuka dengan rakus. Cepat-cepat dia keluar dari kereta dan berjalan laju menuju ke bahagian hadapan treler. Ke tempat pemandu.
“Hoi! Kenapa tak jalan lagi ni? Muatan dah penuh, kan? Blahlah!” marahnya dengan suara kuat. Drebar berbangsa India yang sedang tidur berdengkur terus terjaga.
“Ayooo, encik! Macam mana nak jalan? Tayar pancit!” beritahunya dengan suara kuat dalam pelat Indianya.
“Habis tu, kau gantilah tayarnya!” suruh Mukhriz sambil bercekak pinggang. Nafasnya turun naik. Keringatnya mula mengalir walaupun cuaca malam itu agak dingin.
“Mana boleh, encik. Besi dah penuh atas lori. Mana boleh buat sendiri. Berat ooo... lagipun tayar spare tak ada,” jelasnya lagi lalu terjun dari tempat duduk pemandu ke tanah. Dia juga bercekak pinggang kepada Mukhriz.
“Habis tu macam mana? Tadi sebelum datang ke sini kenapa tak periksa tayar semua?” tanya Mukhriz yang semakin baran. “Sudah periksalah, encik,” jawab drebar. “Aku tak peduli! Aku tahu treler ni mesti dah tak ada kat sini sebelum 5.00 pagi!”
“Ada 28 tayar, kan? Takkan tak boleh ambil yang mana satu. Gantikan tayar yang pancit!”
“Tak boleh bikin macam tulah, encik! Mahu ambil tayar pun saya kena jet treler kasi naik atas. Barang penuh... berat!  Besi! Bukannya rumput kasi lembu makan!”
“Kalau begitu jalan terus. Mesti tinggalkan tempat ni!” desak Mukhriz lagi. Nafasnya mula turun naik macam lembu betina hendak beranak.
“Kalau macam tu encik... encik sendirilah yang bawa treler ni. Saya tak mahu! Treler terbalik kalu saya boleh mati!  Lagi pula anak saya ramai, encik. Semua kecil lagi...”
“Huh!” rengus Mukhriz yang semakin meradang. Dia menggaru-garu kepala mencari idea.
“Apa susah encik! Kasi turun baliklah semua besi ni. Hantar balik dalam gudang!” cadang drebar lori yang mati akal.
“Nak masukkan balik ke dalam gudang? Bodoh!” Maki Mukhriz sambil meludah.
Mat Ali yang menyorok di belakang tayar lori treler yang tidak bergerak menahan tawa.
Ray. Mukhriz ada di sini. Sedang bertekak dengan drebar treler. Tayar treler pancit. Dia bengang gila!
Cepat-cepat dia mengirim sms kepada Ray. Tidak sampai dua saat smsnya dibalas Ray.
Bagus. Kau telefon polis. Di sini ada si botak yang aku ceritakan kepada kau. Dia yang jadi tekongnya. Ali, terus perhatikan mereka. Sekejap lagi, aku datang.
Mukhriz yang sedang baran terus berjalan masuk ke kawasan gudang. Bob yang melihatnya terus menghampiri.
“Bob! Apa punya treler yang kau sewa tu? Dah tak boleh jalan. Tayar pancit! Kau nak sabotaj aku ke?” semburnya terus.
“Tayar pancit? Eh, tadi elok aje!” balas Bob.
“Nak buat macam mana sekarang?” tanya Mukhriz yang sudah buntu fikiran. Dia melihat jam di lengannya. Sudah menghampiri 4.00 pagi.
“Woi, cepatlah bagi idea! Kenapa bengap sangat ni, Bob? Sia-sia jadi PA aku!” marah Mukhriz berapi. “Kalau tertangkap nanti, aku tak mahu ambil tanggungjawab! Aku pengurus kat tempat ni!” gertaknya pula. Dia mula mengambil sikap lepas tangan. “Aku cakap kau aje yang curi barang-barang kat gudang ni,” ugut Mukhriz lagi.
“Amboi, nak lepas leher kau saja? Kau ingat aku bodoh?  Kalau kau kata aku yang curi barang-barang tu semua, aku pun boleh bagitau kau yang jadi kepalanya,” balas Bob.
Mukhriz terkelu seketika. “Nak tunggu apa lagi, bro? Cepatlah suruh kuli kau yang debab tu angkut balik besi dari atas treler ke dalam gudang!” balas Bob. “Cepatlah bergerak!” arah Mukhriz.
“Cepat! Cepat!” Mukhriz terus memerintah sambil bercekak pinggang. Akhirnya, dia juga naik ke atas forklift untuk mengarahkan pemandunya membuat kerja memunggah. Kerja memindahkan besi-besi pejal bersaiz diameter dua inci yang panjangnya 30 kaki setiap batang itu bukannya mudah.
Siren kereta polis yang kedengaran menghala ke kawasan itu menyebabkan Mukhriz terjun dari forklift. Nasib baik tidak terjatuh. Pantas dia menuju ke keretanya semula.
Sebaik saja sampai dan masuk ke dalam keretanya, kereta polis pun tiba di situ. Mereka berhenti di hadapan lori treler. Mukhriz yang masih tercungap, duduk senyap-senyap di dalam kereta sambil memerhatikan telatah drebar lori treler dan anggota polis. Di dalam hati, dia menyumpah-nyumpah.
‘Hisy! Siapa yang panggil polis ni?’ gerutunya. Fikirannya berlegar-legar mencari helah. ‘Tenang Mukhriz! Tenang!  Jangan gelabah! Silap hari bulan kau tidur dalam lokap malam ni!’ pujuk hatinya.
“Assalamualaikum, encik!” sapanya cepat lalu berjalan menghampiri mereka. Dari jauh lagi tangannya dihulurkan untuk berjabat salam.
“Ada apa-apa masalah ke, encik?” tanya Mukhriz ramah.
“Ada orang repot tentang kecurian besi kat gudang!” beritahu anggota polis sambil merenung Mukhriz di dalam cahaya suram. “Besi dalam treler ni dapat dari mana ni?  Awak siapa?” tanya anggota polis tegas. “Keluarkan kad pengenalan,” mintanya sambil menghulur tangan. Mukhriz menyerahkan kad pengenalannya cepat-cepat. “Buat apa awak kat sini?” tanya anggota polis lagi.
“Saya pengurus projek kat sini! Besi ni nak dihantar ke pembekal balik. Tak betul saiznya,” jawab Mukhriz. Selamba sahaja lidahnya berbohong. “Disebabkan pegawai yang uruskan hal ni tak dapat datang, saya jenguk-jenguklah ke sini,” dalih Mukhriz.
“Kenapa buat kerja malam-malam buta macam ni?  Pembekal kat mana? Ada dokumen?”
“Dokumen apa maksud encik?” soal Mukhriz kembali. Suaranya sedikit menggeletar. Tidak sangka pula polis itu akan bertanya sejauh itu. “Surat daripada syarikat yang mengatakan barang-barang ni perlu dihantar balik,” jelas anggota polis. Dia sudah mengeluarkan sebuah buku kecil dari poket seluar dan menulis sesuatu.
“Err... err...” Mukhriz rasa terperangkap. Peluh dingin mula membasahi tubuhnya.
“Dokumen tu dah diemel ke bahagian pentadbiran syarikat tu,” dalihnya. Bergeliga pula otaknya pada subuh itu.
“E-mel?” tanya anggota polis agak ragu dengan jawapan yang diberikan.
Mukhriz menganggukkan kepalanya. Peluh yang memercik di dahi dan seluruh tubuhnya semakin melebat.
 “Awak kena ikut kami ke balai.”
“Err... err... tapi...” Mukhriz cuba membantah, namun kehilangan kata-kata. Baru dua langkah dia mengekori anggota polis ke kereta mereka, sebuah Honda City berwarna kelabu membrek mengejut dan berhenti di situ, diekori oleh Honda Accord berwarna putih.
Mukhriz bungkam. Jantungnya seolah-olah gugur ke tanah.

Tiada ulasan: