Isnin, 15 Oktober 2018

SAPU TANGAN BIRU-BAB 54



Saat azan subuh berkumandag barulah Mukhriz dapat merebahkan tubuhnya di atas tilam. Hatinya yang membara marah menyebabkan dia tidak mampu melelapkan matanya walau sesaat. Sudahlah semalaman dia tidak tidur kerana sibuk menguruskan rancangan gila untuk memerangkap Ray. Malang, dirinya sendiri yang tertangkap.
Terbayang di matanya wajah marah Datuk Wahab. Senyuman sinis Ray. Sakit hatinya bagai direjam-rejam dengan kerikil berduri. Bisa. Pedih.
“Ray, betul ke besi-besi yang dihantar oleh pembekal tak menepati spesifikasi?”
“Datuk, saya yang terima bekalan tu pada hari Jumaat lepas. Saya dah ukur diameter dan panjangnya, Datuk. Besi-besi yang dihantar memang bertepatan dengan spesifikafi kita. Lagipun, juruteknik bahan binaan pun ada buat pemeriksaan juga. Semuanya betul, Datuk...”
Jawapan Ray yang lengkap dengan data-data menye­marakkan rasa marahnya kepada pemuda itu. 
“Mukhirz, berapa ukuran besi yang kita perlukan?” tanya Datuk Wahab kepadanya pula. Kepalanya bagai dihempap treler yang terisi muatan besi. Sumpah! Soal saiz barang-barang pembinaan langsung dia tidak tahu.
“1 mm Datuk,” jawabnya tak mahu mengalah. “1 mm? Kalau besi sebesar itu boleh buat cungkil gigi awak saja Mukhriz!” tengking Datuk Wahab di hadapan Ray.
“Sudahlah, Mukhriz! Pergi balik tidur! Hal ni biar saya yang uruskan dengan Ray,” arah Datuk Wahab. “Ikutkan hati, saya biarkan saja polis-polis tu bawa awak ke balai. Biar awak rasa duduk dalam lokap dua, tiga hari,” kata lelaki itu lagi   lantas meninggalkannya dengan serta merta.
Tanpa melengahkan masa walau seminit, dia cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan memecut laju meninggalkan tempat itu dengan perasaan marah dan hati yang semakin membengkak.
“Jaga kau, Ray! Jangan kau ingat kau akan terus menjadi kesayangan Datuk! Tahulah aku nak ajar kau nanti,” rungut Mukhriz. Dia menggigit-gigit bibir menahan  geram. Perasaan marah dan dendamnya kepada Ray semakin melebar.
“Hari ni aku tertewas dan gagal untuk memerangkap kau. Esok-esok pasti aku akan menang!” Mukhriz terus berbicara sendiri bagai orang tidak siuman. Tasik hatinya terus bergelora. Rasa keletihan yang membelit diri, akhirnya dia terlelap juga dan berdengkur macam kerbau jantan.

Dada Jasmin terus berombak. Air matanya semakin lebat membasahi pipi. Dia cepat-cepat mengemas dokumen yang sudah berselerakan dan menyumbatnya kembali di dalam almari. Setelah itu, dia terus berlari ke biliknya semula sambil menangis. Tidak diduga sama sekali, hasratnya untuk mencari sijil-sijil persekolahan menemukan dia dengan dokumen misteri. Jasmin dibelenggu tanda tanya.
Malam itu, dia terus menggelisah sendiri. Matanya sukar dilelapkan kerana fikirannya terus hanyut di dalam gelombang perasaan. Dia berperang dengan perasaan sendiri. ‘Patutlah mama tergamak keluarkan kenyataan begitu tempoh hari. Kalau benarlah apa yang tercatat pada dokumen itu, aku mesti berusaha untuk mengubah perangaiku! Jika tidak...’
Seawal pagi lagi, Jasmin sudah bangun dan membantu Bibik Misrah di dapur. Walaupun hatinya menggerutu sendiri, demi menawan hati papanya, dia rela mengotorkan tangannya yang lembut dan halus untuk menyediakan sarapan.
Mulai hari itu, dia bertekad untuk mengubah sikapnya. Manalah tahu dokumen yang ditemuinya semalam ada kena-mengena dengan dirinya. Jika dia meneruskan sikap bongkaknya, pasti papa sakit hati. Jika begitu janganlah harap untuk memiliki atau mewarisi harta bendanya!
“Assalamualaikum, papa...” sapanya.
Datuk Wahab tersentak sejenak. Lama matanya menyorot ke wajah Jasmin. “Waalaikumussalam. Papa bermimpi ke pagi ni?” soalnya bersahaja.
“Kenapa pulak papa?” tanya Jasmin dengan suara dan gaya manja.
“Hai, tak pernah-pernah Jess bantu bibik di dapur ni,” jawab Datuk Wahab.
“Papa... sekarang ni Jess sedang mencuba untuk berubah,” balas Jasmin dengan suara kuat.
“Berubah? Baguslah kalau ke arah kebaikan,” kata Datuk Wahab spontan. “Jangan pulak pagi ini papa sakit perut dan cirit-birit...” ungkap Datuk Wahab selamba.
“Alah, papa ni pagi-pagi dah sakitkan hati Jess!” bentak Jasmin sambil menghentak-hentakkan kakinya.
Papanya seolah dapat menghidu perbuatan jahatnya beberapa hari yang lalu. Dia yang sengaja memasukkan julap ke dalam sup ayam yang sudah dimasak oleh Bibik Misrah untuk menjamu Zarina dan anaknya Eisha Safiya. Emak dan adik tirinya!
“Hai, tak sampai berapa saat dah mula balik ke perangai asal?” perli Datuk Wahab selamba. Dia duduk di bangku dan mencapai pinggan berisi mihun goreng yang dihulurkan oleh Bibik Misrah.
Jasmin tersentak. Dia cuba menyabarkan hatinya. Bibirnya diketap seketika untuk menghalang bibir itu daripada menghamburkan kata-kata.
“Hai, Jess! Abang...” sapa Datin Julaidah yang baru masuk ke ruang makan. Matanya sempat menjeling ke wajah suami kesayangan dan anak gadisnya.
“Mama, hari ni Jess belajar masak mihun goreng,” beritahu Jasmin manja.
“Oh ya, baguslah! Mesti sedap,” balas Datin Julaidah sambil merenung ke wajah Datuk Wahab yang buat-buat tak dengar. “Sedap tak, bang?” tanya Datin Julaidah teruja.
Datuk Wahab tidak menjawab. Wajahnya kelat.
“Papa... kan mama tanya tu,” rengek Jasmin pula. Dia terus merapati papanya.
“Bolehlah dimakan kalau ditambah dengan semangkuk sup,” jawab Datuk Wahab dengan wajah serius. Dia terus menyuap mihun goreng ke mulut isterinya. Dia sendiri memaksa tekaknya untuk menelan.
“Masin!” Datin Julaidah terjerit dan tangannya pantas mencapai cawan Nescafe lalu menghirupnya rakus. “Ya Allah, berapa  banyak Jess masukkan garam ni?” tanya Datin Julaidah dengan suara kuat.
“Betullah! Masinnya...” setuju Jasmin sebaik merasa mihun di dalam pinggan papanya. Dahinya berkerut menahan rasa masin.
“Datuk, Encik Ray ada di luar. Sudah lama dia tunggu di sana,” beritahu Bibik Misrah yang tiba-tiba muncul di situ. “Katanya hendak mengambil Cik Jasmin...”
“Betul tu, bibik. Kenapa tak ajak dia masuk?” tanya Datuk Wahab. Bulat matanya merenung Bibik Misrah.
“Sudah berulang kali saya memanggilnya masuk, tapi dia enggak mau,” jawab Bibik Misrah. Pandangan mata Datuk Wahab berkalih ke arah Jasmin pula yang nampak kehairanan.
“Tunggu apa lagi, Jess? Pergilah sekarang. Ray ada banyak urusan lagi,” kata Datuk Wahab kepada Jasmin yang mempamerkan wajah tidak puas hati.
“Bukan ke Jess kata nak ke rumah kawan lama Jess di Ipoh. Papa tak benarkan Jess memandu sendirian ke Ipoh, sebab tu papa suruh Ray hantarkan!” jelas Datuk Wahab.
“Kenapa pulak?” tanya Jasmin cuba membantah. Bulat matanya merenung papa.
“Jangan bantah cakap papa lagi. Tadi Jess beritahu papa, Jess nak berubah, kan?” pintas Datuk Wahab. “Bila papa suruh tu ikut sahaja. Jangan banyak bertanya lagi!”
“Tapi Jess tak mahu pergi dengan Ray...” Jasmin terus berdegil.
“Kalau macam tu tak payah pergi ke rumah kawan Jess tu...” balas Datuk Wahab serius.
 “Kenapa kena pergi dengan Ray pulak? Pak Man mana?” Jasmin terus menunjukkan sikap keras kepalanya. “Pak Man nak bawa papa ke luar daerah. Dah! Jangan soal apa-apa lagi. Pergi ikut Ray...” kata Datuk Wahab tanpa memandang wajah anak gadis itu.
“Baik papa,” balas Jasmin lantas dia beredar dari meja makan. Lantaran teringat kepada tekad yang telah dibuat pada pagi ini, gadis itu terpaksa akur. Tidak seperti selalunya, dia yang selalu membantah suruhan papanya, tak akan mengalah.
“Bibik, tolong beritahu Ray, Jess nak salin pakaian sekejap,” beritahunya kepada Bibik Misrah pula sambil berlari menaiki tangga. Bibirnya meleretkan senyuman. Sekurang-kurangnya babak pertama lakonannya telah selesai.
Datin Julaidah dan Datuk Wahab saling berpandangan. “Kenapa dengan Jasmin tu? Baik sangat saya tengok pagi ni?” tanya Datuk Wahab.
“Entahlah, bang. Jun pun rasa pelik juga. Agaknya dia dah insaf,” jawab Datin Julaidah perlahan. “Yalah, dia pun semakin dewasa,” sambungnya lagi.
Datuk Wahab ketawa.
“Kenapa abang ketawa pulak? Kan elok dia berubah ke arah yang lebih baik. Jika dia benar-benar berubah sikap menjadi seorang gadis yang lemah lembut, bersopan santun, berbudi bahasa, saya suka nak menggandingkan dia dengan Ray. Sebenarnya dah lama saya berkenankan Ray tu,” ungkap Datin Julaidah perlahan dan lambat-lambat.
“Nak gandingkan dengan Ray?” tanya Datuk Wahab lagi. Ketawanya semakin kuat. “Entahlah, Jun! Kalau Ray tu anak bujang saya, saya tak bagi dia pilih Jess sebagai isterinya,” sambung Datuk Wahab.
“Sekarang ni, dia bukan anak abang, kan? Dia hanya pekerja abang aje. Apa salahnya awak rapat-rapatkan hubungan mereka. Kalau abang tak boleh nak harapkan Jess uruskan syarikat sekiranya abang dah uzur nanti, kita dah ada Ray. Dia pun orang kepercayaan abang, kan?”
Datuk Wahab terdiam sejenak. Apa yang tersembunyi di dalam hatinya selama ini, tidak mungkin diceritakan kepada sesiapa pun.
“Maksud awak, nak kahwinkan mereka berdua?”
Datin Julaidah mengangguk sambil tersenyum lebar.
“Saya tengok, Ray tu ada karisma untuk menjadi seorang suami yang baik. Mungkin dia dapat membimbing Jess tu,” ujar Datin Julaidah dengan senyum harapan.
“Entahlah Jun, saya tak harapkan begitu. Memang saya sayangkan Ray. Saya suka kalau dia jadi ahli keluarga kita. Jadi orang yang penting di dalam keluarga kita, tetapi saya tak harapkan dia menjadi suami Jess. Saya rasa mereka tak sepadan langsung,” balas Datuk Wahab.
“Hisy! Habis tu nak padankan Jess dengan siapa?  Dengan Iskandar awak tak suka. Dengan Ray awak berat nak izinkan. Kalau dengan Mukhriz?” tanya Datin Julaidah.
“Mukhriz...?” soal Datuk Wahab kembali. “Lebih baik kahwinkan Jess dengan Pak Man!” kata Datuk Wahab bersahaja. “Dia pun baru mati bini!” sambungnya.
“Abang!” pekik Datin Julaidah.
Datuk Wahab menjongketkan keningnya sewaktu memandang Datin Julaidah yang meradang lantas beredar dari ruang dapur sambil ketawa. 


Sudah beberapa kali Ray melihat permukaan jam tangannya. Hampir 15 minit dia menunggu Jasmin di dalam kereta. Hatinya mula diamuk resah.
“Kenapa lambat sangat ni?” gerutunya dengan perasaan tidak puas hati. Berkali-kali bola matanya terarah ke pintu, namun bayang Jasmin tidak kelihatan. Jika tidak kerana menghormati Datuk Wahab, tidak ingin dia menjadi penunggu di depan vila itu.
Bosan menunggu Ray menekan punat-punat di telefon mudah alihnya. Entah mengapa, teringat pula hendak menghubungi Dania. Dua tiga kali mendail, panggilan telefonnya tiada mendapat jawapan daripada Dania. Ray mengeluh hampa. Kotak rasanya berisi kecewa.
“Ray!” Ketukan di cermin kereta mengejutkan khayalan Ray. Cepat-cepat dia membuka pintu kereta dari dalam. “Assalamualaikum, Cik Jasmin,” sapanya lembut. Wajahnya bersahaja tanpa secebis senyuman.
Jasmin tidak menjawab, terus menghenyakkan punggungnya di kerusi. Apabila Jasmin tidak mengendahkan ucapan salamnya, Ray tidak pula rasa tersinggung. Bahkan dia mengambil sikap tidak peduli kepada gadis itu. Dia terus menggerakkan kereta untuk keluar dari pekarangan vila.
“Tadi banyak kali saya panggil,” beritahu Jasmin tiba-tiba. Matanya mengerling kepada Ray yang sedang memandu.
Ray buat pekak.
“Tadi banyak kali saya panggil, kenapa awak tak jawab? Sengaja awak nak suruh saya tunggu di luar kereta lama-lama?” soal Jasmin kegeraman. Spontan jarinya mencubit paha pemuda itu.
Tersentak Ray. Sepantas kilat dia menoleh kepada gadis itu yang masih merenungnya.
“Maaf, Cik Jasmin. Saya tak perasan. Saya tengah telefon seseorang,” jawab Ray selamba. Pandangannya terjurus kembali ke arah depan. Tak ada hati hendak melihat gadis itu lama-lama. Tata rias di wajah gadis itu yang agak tebal menyakitkan matanya.
“Awak telefon siapa?” tanya Jasmin cuba menyibuk. Entah mengapa hatinya bagai diresapi oleh satu perasaan yang sangat aneh. Dia ingin merenung Ray sepanjang masa. Pemuda yang hanya memakai baju T putih berkolar berlengan pendek dipadankan dengan seluar jean warna biru, nampak begitu kacak di matanya.
“Awak telefon siapa?” soalnya keras. Sekali lagi paha Ray dikutil tanpa rasa silu.
Ray buat tidak peduli walaupun pahanya berasa perit.
“Soalan tu pun awak susah nak jawab?” tanyanya geram. Dia cuba mengambil telefon bimbit yang berada di dalam kocek baju Ray. Nasib baik Ray sempat mengambilnya dan memindahkannya ke atas dashboard kereta.
“Saya telefon Dania,” jawab Ray ringkas.
“Dania? Siapa Dania? Buah hati awak?” tanya Jasmin lagi. Semakin teruja pula dia hendak berbual dengan pemuda itu.
“Ya, Cik Jasmin. Saya telefon buah hati saya,” jawab Ray tegas sambil sempat menjeling Jasmin. Ray perasan gadis itu sedang mencebikkan bibirnya.
“Kenapa Cik Jasmin?” Giliran Ray pula menyoal. Wajah cemburut gadis di sebelahnya diintai dengan penjuru mata.
“Malang betul gadis yang menjadi buah hati awak tu!” balas Jasmin. Sengaja hendak menyakitkan hati pemuda itu.
“Ya ke?” soal Ray. Setiap kata yang terbit daripada bibir gadis itu amat mencucuk  hatinya.
“Dah lama ke awak berkawan dengan dia?”
Ray buat tidak layan. Apa perlunya dia menceritakan tentang dirinya kepada gadis sombong itu? Dia membelok memasuki stesen minyak Petronas. Entah mengapa tiba-tiba pula perutnya rasa bergelodak.
“Cik Jasmin, maaf ya. Saya nak ke tandas sekejap,” beritahu Ray lalu cepat-cepat keluar dari kereta. Dia sempat melemparkan sekuntum senyuman buat Jasmin yang nampaknya sedang naik angin.
“Cepat sikit!  Kalau tak, saya bawa kereta ni. Awak balik ke rumah jalan kaki!” gertak gadis itu.
‘Berlagak betul kau ya, Ray. Ini Jasminlah! Bukan aku anak gadis papa dan mama jika kau tak melutut dan menagih cinta aku,’ bisik hatinya lagi dengan perasaan angkuh.
Matanya terus memerhati kereta-kereta yang keluar masuk ke stesen minyak itu dengan perasaan jemu. “Ke mana pulak dia pergi lama sangat ni?” Dia merungut-rungut sendiri. Untuk mengelakkan kebosanan, dia cuba mencari sesuatu di dalam kereta untuk dibaca, sementara menunggu Ray kembali. Dia pantas menarik laci dashboard yang berhampiran lututnya. Hanya ada sebuah surah Yasin dan sebuah sampul surat besar.
‘Entah-entah ada gambar girlfriend dia dalam sampul surat ni.’ Hatinya terus membisik.  ‘Oh, sijil-sijil persekolahan dia!’ desis hatinya. Bola matanya menari-nari pada setiap lembaran kertas yang berada di tangannya. ‘Oh, bergeliga juga otak mamat ni! Aku ingatkan dia otak udang. Bengap! Rupa-rupanya dia pelajar cemerlang. Patutlah papa selalu memujinya. Cepat saja memberi dia pangkat.’ Jasmin terus bercakap-cakap sendiri.
‘Oh, surat beranak dia,’ bisik hatinya. “Ahmad Raiyan Wafa bin Abdul Wahab,” sebut Jasmin perlahan-lahan. Matanya terus meneliti tulisan pada surat beranak yang sudah lusuh itu dengan rakus. Dadanya bagai digoncang oleh taufan. Detakan jantungnya seolah-olah terhenti. ‘Sama macam nama papa aje!’ Debaran di dadanya semakin memuncak. Cepat-cepat dia menyalin maklumat dalam surat beranak Ray ke dalam buku nota yang sentiasa dibawa di dalam beg tangannya. Fikirannya terus menjalar.
Hatinya terus berbicara sendiri. Sesungguhnya hari ini Jasmin terus diasak kebingungan. Dia terkenangkan peristiwa pagi semalam. Sijil beranak yang ditemui di dalam almari emaknya. ‘Asyik membaca surat beranak sehari dua ni! macam ada sesuatu pulak!’  bisik hatinya.
Tidak berapa saat dia menyimpan sampul surat ke dalam laci semula, Ray pun sampai.
“Lamanya! Awak berak ke beranak?” tanyanya sebaik sahaja Ray masuk dan duduk di tempat pemandu.
Ray selamba menghidupkan enjin kereta dan bergerak meninggalkan stesen minyak itu. Perjalanan mereka masih jauh lagi.
“Ray.... ” kata Jasmin. Kali ini suaranya lembut dan lunak. Telapak tangannya pun singgah di atas paha Ray. Pemuda itu tidak bereaksi. Dia terus fokus kepada pemanduannya.
“Ray, sekejap lagi kita singgah kat mana-mana untuk makan, ya. Jess lapar,” beritahu Jasmin dengan suara manja. Tangannya yang masih berada di paha pemuda itu digerak-geraknya perlahan.
“Tolong alihkan tangan Cik Jasmin. Minta maaf, saya tak suka disentuh oleh mana-mana gadis,” beritahu Ray sinis. Seram sejuk tubuhnya apabila tangan gadis itu menjalar-jalar di atas pahanya. Rasa hendak berhentikan kereta dan turun di tepi jalan sahaja.
“Maaf,” kata Jasmin pura-pura malu. Tubuhnya semakin dirapatkan kepada pemuda itu. Bau harum minyak wanginya menyumbat ke hidung Ray. Terbersin anak muda itu berkali-kali walau cuba ditahan.
 “Jess nak minta maaf kalau Jess selalu sakitkan hati Ray. Sebenarnya... Jess sengaja nak uji Ray,” ungkap Jasmin perlahan. Keinginan hatinya untuk menggoda pemuda itu berkembang biak dengan cepat. Tubuhnya semakin dirapatkan kepada Ray yang sedang memandu. Dagunya sengaja diletakkan di atas bahu pemuda itu.
“Uji?” tanya Ray sepatah. Hatinya bagai digeletek.
“Kata orang, kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga,” jawab Ray dengan wajah serius. Perlakuan Jasmin yang kurang sopan itu tidak diendahkannya. Sebagai anak muda yang sedang menuju kematangan, dia sudah faham maksud bahasa tubuh gadis itu.
“Ray, awak nak tak jadi teman lelaki istimewa saya?” tanya Jasmin tiba-tiba.
Ray bersikap selamba. Malas  hendak melayan pertanyaan gila itu.
“Jawablah Ray...” rayu Jasmin. “Takkan Ray tak nak jadi teman lelaki Jess?” rengek Jasmin.
“Jadi teman lelaki awak?” soal Ray dengan ketawa sinis. “Encik Iskandar, Cik Jasmin nak letak kat mana?” tanyanya lagi.
“Iskandar tu saya buat spare aje,” beritahu Jasmin lirih. “Awak tak bangga ke bila saya offer untuk jadi teman istimewa saya?” tanyanya perlahan. Beralun-alun suaranya.
“Apa yang nak dibanggakan?”
Pertanyaan itu menyebabkan pipi Jasmin menghangat.
“Takkan tak bangga? Jess kan anak tunggal Datuk Wahab? Jika papa mati, semua harta dia akan jadi milik Jess tau. Lagipun...” Ungkapan kata-katanya terhenti sejenak. Jasmin membetul-betulkan anak rambutnya yang terurai di pipi. “Mustahil awak tak terpikat dengan kecantikan yang Jess ada?” tanyanya tanpa rasa segan.
Kembang anak tekak Ray mendengar ungkapan itu. Dia menyembunyikan ketawa. “Cari lelaki lainlah, Cik Jasmin. Lagipun saya ni pemuda kampung! Haprak! Malaun,” sindir Ray. “Tadi Cik Jasmin jugak kata, malang gadis yang menjadi buah hati saya, kan?” Ungkapan Ray semakin berbisa.
“Alaaa... Jess gurau sajalah,” rengek Jasmin. “Takkan itu pun nak marah!” ujarnya manja.
Ray buat tak endah.
“Jess minta maaf, Okey!” bisik Jasmin di telinga Ray.
Ray diam sambil beristighfar panjang-panjang di dalam hati.

Tiada ulasan: