|
|
Jasmin semakin resah. Dia terus membaca maklumat yang
disalinnya daripada sijil lahir Ray. Setelah itu, dia mengambil salinan kad
pengenalan papanya yang tersimpan di dalam fail. Matanya terus membandingkan
nombor kad pengenalan bapa Ray dengan nombor kad pengenalan papanya. Segalanya
mengelirukan. ‘Mesti ada kesilapan di mana-mana ni...’ rungutnya memujuk hati
sendiri.
Ketukan di pintu biliknya
menyentakkan Jasmin yang sedang meniarap di atas tilam. Cepat-cepat dia
menyembunyikan dokumen yang sedang dibeleknya tadi di bawah bantal.
“Jess buat apa bertapa dalam bilik
ni?” tanya Datin Julaidah. Matanya sempat merenung ke wajah Jasmin yang
bermuram. “Tak ada apa-apa, mama,” jawab Jasmin.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa
bersedih hati?” soal Datin Julaidah lagi.
Jasmin terdiam sejenak. Setelah
itu, dia tersenyum simpul pula sambil menarik tangan mamanya. Datin Julaidah
diheret masuk ke dalam biliknya.
“Mama duduk di sini,” katanya
manja sambil menepuk tilam. Dia sendiri sudah duduk bersila di atas tilam.
“Kenapa pulak ni, Jess?” soal
Datin Julaidah kehairanan. Wajah Jasmin yang gerhana terus disoroti.
“Mama, boleh Jess nak tanya
beberapa perkara?” tanya Jasmin lembut. Wajah mamanya ditatap berulang kali
sambil memikirkan soalan yang akan dilontarkan.
“Tanyalah Jess,” desak Datin
Julaidah.
“Mama jangan marah ya...” kata
Jasmin. Datin Julaidah membesarkan matanya melihat anak gadis itu. “Apa hal
beria sangat ni?”
“Mama...”
“Hmm... cakaplah.”
“Sebelum kahwin dengan mama, papa
pernah kahwin tak?” tanya Jasmin terus terang.
“Kenapa?” soal Datin Julaidah
hairan.
“Sajalah nak tanya. Mama tak
pernah pun ceritakan kisah cinta mama dan papa kepada Jess,” ujar Jasmin mula
memutar kata-kata.
“Oh... kami kahwin suka sama suka.
Dia kenal dengan ayah mama dulu. Lepas tu berkenalan dengan mama. Ayah mama pun
sayang sangat pada dia. Tak lama berkenalan, ayah mama terus suruh kami
bernikah. Alhamdulillah, kekal sehingga ke hari ini,” cerita Datin Julaidah.
“Oh... maksudnya sebelum tu papa
tak pernah ada isteri lainlah?” ujar Jasmin. Datin Julaidah mengangguk. Hati
Jasmin menguak lapang. Apa salahnya jika dia terus menggoda Ray walaupun dia
bukan anak orang berada! Dia yakin anak
muda itu ada masa depan yang cemerlang!
Entah kenapa Jasmin tersenyum-senyum sendiri.
Hati Ray yang liar itu menyebabkan
dia rasa tercabar. Alangkah indahnya dunia ini jika pemuda itu berjaya
ditundukkan hatinya. Terlebih membahagiakan jika dirinya dapat pula berada di
dalam rangkulan kasih mesra pemuda itu. Pasti hangat. Matanya membayangkan mata
teduh dan renungan Ray yang romantis.
“Sejak kebelakangan ni Jess selalu
bertanya soalan yang merepek kepada mama, kenapa?” tanya Datin Julaidah.
Pertanyaan itu meleraikan angan-angan Jasmin.
“Tak ada apalah, mama. Saja nak
tau...” balas Jasmin lembut. “Mama...” panggilnya lagi. “Apa pendapat mama
tentang Ray?” tanya Jasmin terus terang.
“Ray? Kenapa? Jess dah terpaut
hati pada dia ke?” soal Datin Julaidah kembali.
Jasmin menganggukkan kepalanya
perlahan. “Jess mula suka kepada dia, ma. Tapi, hati Jess masih menginginkan
Iskandar,” terang Jasmin tanpa rasa segan.
“Jess! Jangan bermain dengan api,”
nasihat Datin Julaidah.
“Kenapa mama?” soal Jasmin. “Papa
pasti tak suka dan tak setuju dengan hal ini,” beritahu Datin Julaidah. Dia
pernah mencadangkan kepada suaminya untuk menggandingkan Ray dengan anak
gadisnya, tapi tanpa kompromi suaminya menolak mentah-mentah.
“Tapi, Ray tu pekerja kesayangan
papa, kan? Takkan papa tak benarkan pulak?” tanya Jasmin tidak puas hati. Walau
apa pun yang terjadi, dia tetap akan menggoda Ray sehingga pemuda itu menjadi
miliknya.
“Jess yakin ke dapat tawan hati
dia?” soal Datin Julaidah kembali. Dia tahu anak muda itu bukan mudah untuk
dipikat. “Why not? Ini Jasmin, lah...” jawab Jasmin dengan nada bongkak.
“Lelaki semuanya sama, mama. Pasti
ada kelemahannya,” sambung Jasmin penuh yakin.
“Terserahlah kepada Jess. Hanya
satu nasihat mama. Tolong jaga nama baik papa dan mama. Jaga maruah Jess
sebagai anak gadis.”
“Jangan mempertaruhkan maruah diri
kerana mengharapkan cinta hati lelaki. Ray bukan lelaki seperti Mukhriz atau
Iskandar,” sambungnya sebelum beredar meninggalkan Jasmin di biliknya.
‘Agaknya Dania dah tidur.’ Ray
lalu memejam mata. Cuba merehatkan minda beberapa ketika. Baru beberapa saat
merehatkan diri, deringan telefon mudah alihnya pula mengganggu konsentrasi.
“Helo...” Ray bersuara malas
sambil menguap. Terdengar ketawa manja di hujung talian. Bunyi tawa yang tidak
pernah menjengah di telinganya sebelum ini.
“Helo, siapa ni?” soal Ray. Serius suaranya.
Serta-merta dia bangun dari pembaringan. Pertanyaannya hanya dijawab dengan
kekekan yang serupa. Kerutan di dahi Ray hampir mencantumkan keningnya.
“Siapa ni?” ulangnya lagi. Dia
memerhati skrin telefon bimbit sejenak. Nombor yang terpamer tak pernah ada di
dalam direktori telefonnya. “Jangan main-main, saya tak suka!” kata Ray terus
menekan butang merah. Telefon bimbit diletakkannya kembali di atas tilam.
Baru dia memejamkan mata, deringan
telefon mengganggunya lagi. Dari nombor yang sama. Ray buat tak bena.
Dibiarkannya telefon berdering berkali-kali. Kali ke-5 telefon berbunyi barulah
dia menjawabnya.
“Helo!” Kedengaran suara gadis di
hujung talian.
“Helo,” balas Ray bersahaja.
“Ray... ni Jesslah...” beritahu Jasmin dengan suara mengada-ngada.
Tersentak anak muda itu.
“Assalamualaikum, Cik Jasmin,”
sapa Ray. Hatinya cuba meneka-neka maksud gadis itu menelefonnya.
“Waalaikumussalam,” balas Jasmin
lembut. Suaranya sengaja dialunkan. Bibirnya tersenyum lebar.
“Ray dah tidur ke?” tanya Jasmin.
“Belum. Ada apa hal Cik Jasmin call
saya ni?” tanya Ray kembali. Dia sedikit pelik. Selama ini bukankah dia menjadi
tempat hamburan kata-kata kesat dan sumpah seranah!
“Saya tak boleh tidur, Ray... Dah
banyak hari macam ni,” adu Jasmin seolah berbisik.
“Sebelum masuk tidur basuhlah
kaki,” kata Ray. Masih dengan nada serius. Walaupun hatinya sendiri berasa lucu
dengan saranannya itu. “Kalau fikiran tak tenteram, ambil wuduk terus solat. ”
“Pandai awak buat lawak! Tak ada
kena-mengena langsung antara basuh kaki dan mata yang tak mahu lelap,” balas
Jasmin sambil ketawa perlahan. Persoalan solat, dia tidak ingin membuat ulasan.
“Ray...” serunya manja. Ray diam.
Walau bagaimanapun telefon mudah alihnya masih melekap di cuping telinganya.
“Ray...” ulang Jasmin lagi.
“Hmm...cakaplah Cik Jasmin,” kata
Ray perlahan. “Ray temankan saya berbual malam ni,” rengek Jasmin dengan nada
menggoda.
“Nak berbual tentang apa?” tanya
Ray.
“Ceritalah tentang Ray,” jawab
Jasmin lirih. Ray membalasnya dengan ketawa sinis.
“Tak ada apa yang menarik tentang
saya, Cik Jasmin. Lagipun saya tak begitu suka berbual di telefon lama-lama,”
jelas Ray terus terang. Dia kembali duduk di atas tilam dan bersandar ke kepala
katil dengan keadaan santai.
“Kalau begitu kita berbual di
luar. Kita jumpa malam ni, nak?” pujuk Jasmin cuba menjerat.
Sekali lagi Ray ketawa. “Keluar
dengan Cik Jasmin malam ni?” tanyanya sedikit pelik dengan pelawaan itu.
“Hmm... boleh ya. Awal lagi ni.
Baru pukul 11.00 malam,” jawab Jasmin dengan suara menggoda. Dia harap hati
pemuda itu akan cair dengan suara seksinya itu.
“Dah 11.00 malam, Cik Jasmin.
Bukannya pukul 11.00 pagi. Lagipun memang dah menjadi tabiat saya, kalau dah
balik ke rumah saya takkan keluar lagi,” terang Ray.
“Kalau macam tu, kita keluar esok
siang. Kita lunch sama... Okey tak?” cadang Jasmin lagi. Dia tidak akan
putus asa untuk membeli hati pemuda itu.
“Esok? Errr... errr...” Ray
keberatan. Tekaknya tiba-tiba rasa loya dan ingin termuntah.
“Takkan awak sanggup menghampakan
pelawaan anak gadis Datuk Wahab, bos awak Ray...” kata Jasmin mula memprovokasi.
“Sebab Cik Jasmin anak Datuk
Wahab, saya rasa tak layak untuk keluar lunch dengan Cik Jasmin,” balas
Ray merendah diri. Dia terus mengelak.
“Ray. kenapa awak jual mahal
sangat ni? Tak pernah ada lelaki yang menolak pelawaan saya sebelum ni tau
tak?” tanya Jasmin. Suara manjanya berubah keras.
“Saya minta maaf, Cik Jasmin. Saya
bekerja dengan papa Cik Jasmin. Nanti kalau pekerja-pekerja Datuk yang lain
nampak saya keluar dengan Cik Jasmin bimbang mendatangkan fitnah,” jelas Ray
terus beralasan.
“Sebab tu saya ajak awak keluar
malam-malam,” pujuk Jasmin tanpa putus
asa. “Ray, kita pergi malam ni? Teman Jess pergi disko, nak tak?” ajak Jasmin. “Please...”
rayu Jasmin dengan penuh harapan.
Ray ketawa kecil sambil
menggelengkan kepalanya walaupun tidak boleh dilihat oleh gadis itu.
“Saya tak pernah pijak kaki di
disko, Cik Jasmin,” beritahu Ray lembut. “Lagipun malam-malam Jumaat ni takkan
nak duduk dalam disko. Lebih baik duduk di rumah,” sambung Ray bersahaja. Kalau
tidak melakukan amal ibadah pun, mungkin tidur itu lebih baik daripada
membiarkan diri berada di tempat maksiat.
“Eh, kenapa awak ni? Dah duduk
lama kat Kuala Lumpur pun masih kekampungan lagi. Kita pergi ke sana untuk release
tension. Tengok orang menari. Kita pun boleh menari juga. Minum-mimun...
jomlah!” Jasmin terus merayu dan merengek.
“Minta maaf sekali lagi, Cik
Jasmin. Saya hanya boleh bawa Cik Jasmin ke tempat yang diarahkan oleh Datuk
Wahab saja,” balas Ray selamba.
“Kenapa susah sangat nak ajak awak
keluar ni? Awak ingat awak tu putera raja ke?” tanya Jasmin yang mula meradang.
Ray ketawa kecil mendengar
pertanyaan dan nada suara gadis itu. Nampaknya, Jasmin sudah mula naik angin.
Jelas kemanjaan dan kelembutannya hanya berpura-pura. Benarlah dia gadis
hipokrit.
“Maaf, Cik Jasmin...
assalamualaikum,” pamit Ray sebelum menekan butang merah di telefon bimbitnya.
Dia menyengih sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan