|
|
Sudah lama tidak mendengar suara Ray. Dania berasa rindu.
Kesibukannya sebagai pelajar menuntut kerinduannya dilupakan seketika. Namun
malam itu, malam minggu. Semua teman serumah sudah balik ke kampung
masing-masing. Hanya tinggal dia bersendirian. Tiada teman untuk bercerita.
Hatinya diperangkap sepi. Rasa rindunya terhadap Ray meniti kembali di jambatan
hatinya. Pantas tangannya mencapai telefon bimbit dan menghantar sms kepada abangnya itu.
Assalamualaikum, Abang Ray.
Lama dia menunggu balasan daripada
Ray.
Waalaikumussalam. Dah lewat malam
ni. Dania belum tidur ke?
Dania teringatkan Abang Ray.
Lagipun Dania tinggal seorang kat rumah ni.
He...he. Abang pun ingat Dania +
rindu.
Dania senyum membaca balasan
daripada Ray. Abangnya itu memang suka bergurau dan mengusiknya.
Kenapa abang tak call Dania? Sms
pun tak. Mentang-mentanglah dah jadi penolong pengurus.
Dia terus menggiat Ray untuk
berseloroh. Hilang pula rasa kantuk yang menyelubunginya sejak tadi.
Abang sibuk sangat. Datuk dah beri
kepecayaan dan tanggungjawab. Abang kena kerja bersungguh-sungguh. Abang ada
tugas di tapak projek dan di ofis.
Alah! Abang tu memang. Macam dah
tak sayang pada Dania aje.
Siapa kata abang tak sayang Dania.
Abang sayang + cinta + rindu. Tapi dua tiga hari lepas abang ada call Dania.
Dania yang tak jawab.
Dania ketawa terkekek membaca
balasan mesej pesanan ringkas daripada abangnya itu. Disangkanya Ray sedang
bergurau. Sedikit pun dia tidak mengetahui yang Ray sedang meluahkan perasaan
hati terhadapnya.
Baru jadi penolong pengurus abang
dah jadi mereng! Kita adik-beradiklah. Tak boleh cintan-cintun. He...he.
Sambil memekup mulutnya menahan ketawa,
Dania menekan butang HANTAR.
Abang serius ni. Cinta mati.
Dania... Abang dah terima tawaran untuk ikuti kursus Kejuruteraan Awam di Uitm,
kampus Shah Alam. Pengajian separuh masa. Baru sebentar abang semak dalam
website.
Sms Ray menyusul belum sempat Dania membalasnya. Ray
cepat-cepat memancung keinginannya yang ingin terusan membicarakan soal hati
dan perasaannya.
Horey! Tahniah!
Dania menekan butang-butang nombor
telefon Ray. Tidak tersabar hatinya untuk mendengar cerita selanjutnya daripada
abangnya itu.
“Dania,” sapa Ray dengan suara
ceria.
“Bagilah salam dulu.” Dania
pura-pura marah. “Dalam sms tadi
dah beri salam,” jawab Ray cepat sambil ketawa-ketawa. Bahagia rasa hatinya
kerana dapat mendengar suara Dania. Gembira juga kerana dapat meluahkan
perasaannya. Walaupun hanya dianggap oleh Dania sebagai gurauan atau usikan,
tapi itulah hakikat sebenarnya.
Keasyikan mereka berbual di
telefon terganggu oleh bunyi telefon. Serta-merta dada Dania bergemuruh.
‘Alamak! Macam mana aku terlupa off telefon Abang Is ni?’
“Dania... bunyi telefon siapa tu?
Bunyi telefon, kan?” tanya Ray berulang kali. Irama lagu Still Loving You,
nyanyian Scorpion itu memang menjadi kegemarannya. Justeru itu telinganya amat
peka apabila mendengar muziknya.
“Ya, bang. Bunyi telefon,” jawab
Dania lambat-lambat. Bimbang dimarahi Ray.
“Tadi Dania beritahu abang, Dania
tinggal sorang kat rumah...”
“Telefon tu Dania punya. Nenek
Kamariah bagi,” beritahu Dania dengan perasaan resah.
“Nenek Kamariah
ke Iskandar yang bagi?Kan abang dah
belikan Dania telefon?” tanya Ray keras. Hatinya bagai dicubit-cubit mendengar
cerita Dania itu.
“Abang Is yang hantar pada Dania,”
jelas Dania dengan suara gementar. Perasaannya mula tidak keruan. Entah
mengapa, dia berasa terlalu takut.
Ray mengetap bibirnya beberapa
ketika. Nafasnya dihela perlahan. Cuba menenangkan tasik hati yang mula
berkocakan.
“Siapa yang call Dania
tengah malam buta ni?” tanya Ray. Suaranya dilunakkan kembali. Apa guna
mempamerkan perasaan cemburu jika Dania tidak tahu tentang irama cinta yang
sedang berlagu dikalbunya? Walau sudah dikhabarkan secara terus terang, Dania
tidak akan percaya. Bahkan telah menganggapnya mereng!
“Err... err,” jawab Dania
tergagap-gagap.
“Iskandar, kan?” tebak Ray.
Telefon ditekannya kuat-kuat pada cuping telinga. Dia ingin mendengar jawapan
jujur daripada Dania. Namun helaan nafas Dania yang sampai ke telinganya.
“Dania,” panggil Ray apabila Dania
tiada reaksi.
“Sekejaplah, bang,” rengek Dania.
Ray senyap. Menunggu dengan sabar.
“Hah! Dania dah off telefon tu. Memang Abang Is yang call,”
beritahu Dania. Sebenarnya sudah beberapa kali Iskandar menelefonnya sebelum
ini, tetapi tidak dijawabnya.
“Off? Dania tak nak sembang dengan dia ke?” Ray cuba menduga
Dania.
“Tak naklah! Baik sembang dengan
orang yang kita cinta dan rindu.” Dania berseloroh lagi.
“Siapa yang Dania cinta dan
rindu?”
“Abang Raylah”
“Dania cinta mati kat abang...”
ujar Dania bersahaja sambil ketawa.
Ray ketawa besar. Nasib baiklah
Dania tiada di hadapannya. Jika tidak hidung Dania yang comel pasti akan
dicubitnya kuat-kuat dengan perasaan geram.
“Dania pun dah mereng macam abang
jugak ke?” perli Ray. Meskipun jiwanya jadi bergetaran mendengarkan kata-kata
Dania itu. Namun apalah daya. Keindahan bercinta takkan menjadi milik mereka
berdua.
“Dania serius. Cinta mati.” Dania
mengulangi kembali ayat sms Ray
tadi sambil ketawa.
“Eh! Semakin pandai merepek pulak
Dania ni. Sudahlah tu. Pergi tidur. Abang dah mengantuk ni,” balas Ray sambil
berpura-pura menguap kuat.
“Asyik bersembang dengan abang tak
sedar waktu berlalu. Dah pukul 2.00 pagi. Dania pun dah ngantuk...”
“Assalamualaikum. Tidur jangan
lupa mimpikan Dania,” usik Dania lagi sewaktu berpamitan.
“Hisy! Nak buat apa? Tak naklah
abang. Baik abang mimpikan anak gadis Datuk Wahab yang seksi tu...” duga Ray
sambil ketawa kecil. Teringat pula pada telatah gadis itu sewaktu bersamanya ke
Ipoh.
“Abang!”
“Dahlah, Dania. Assalamualaikum.”
Ray menekan butang merah di telefon sambil menelan air liur. Semakin lama
berbual dengan Dania perasaannya semakin tidak keruan. Getaran cinta semakin
meruntun sanubarinya. Tekaknya rasa kesat. Dia mengusap-usap dadanya perlahan.
Hatinya pedih, perit. ‘Dania,’ bisiknya sambil mengeluh perlahan. Suka atau pun
tidak, dia harus memendam rasa.
“Entahlah, mak! Saya dah tanya,
tapi dia kata tak ada apa-apa,” jawab Datin Saripah.
“Dia bergaduh dengan Jess ke?”
tebak Nenek Kamariah. “Cepat panggil Iskandar! Suruh dia masuk balik ke rumah.
Cakap dengan dia emak nak berunding satu hal,” suruh Nenek Kamariah kepada
menantunya.
Datin Saripah terus patuh kepada
suruhan emak mertuanya itu. Dia berkejar ke pintu dan memanggil Iskandar yang
baru sahaja menghidupkan enjin kereta.
“Ada apa nek?” tanya Iskandar
sebaik sahaja masuk balik ke dalam rumah. Wajah nenek kesayangan terus
direnung.
“Mari duduk dekat nenek ni,” ajak
Nenek Kamariah. Dia menepuk sofa di sebelah kanannya. “Nenek nak ajak Is pergi ke kampung Dania.
Nenek nak berkenalan dengan emaknya,” beritahu Nenek Kamariah sebaik sahaja
Iskandar sudah duduk rapat di sisinya.
“Nak pergi ke kampung Dania? Nenek
tahu ke rumahnya?” soal Iskandar pula.
“Apa masalahnya? Kita pergi ke
rumah sewa Dania dan ajak dia sekali. Nenek rasa hari ni dan esok, dia tak ada
kuliah,” beritahu Nenek Kamariah dengan perasaan senang.
“Macam mana nenek tahu jadual
kuliah Dania pula ni?” soal Iskandar hairan.
Nenek Kamariah tersenyum lebar,
setelah itu ketawa kecil pula.
“Alah, lepas solat subuh tadi
nenek telefon Dania,” jelasnya.
Iskandar menjongketkan keningnya.
“Nenek ni... subuh-subuh buta pulak ganggu anak dara orang,” rungutnya perlahan
dengan rasa kurang senang.
“Apa salahnya telefon anak gadis
pada waktu subuh? Dengar suaranya saja kita dah tahu, dia ni seorang perajin
atau pemalas. Rajin bangun pagi dan menunaikan kewajipan kepada ALLAH atau
tak,” leter Nenek Kamariah perlahan.
Iskandar tak terkata.
“Kita pergi hari ni juga. Is pun
cuti, kan?” tanya Nenek Kamariah lagi. Mengharapkan persetujuan cucunya itu.
“Nenek dah beritahu pada Dania tadi,” terangnya lagi.
“Tapi, nek...” Iskandar cuba
berdalih.
“Is nak pergi jumpa dengan Jess,
kan? Tak usah! Nenek tak benarkan!” tegas Nenek Kamariah.
“Ipah!” panggil pula Nenek
Kamariah kepada menantunya. Datin Saripah terus mendatanginya.
“Sekejap lagi emak nak pergi ke
kampung Dania. Ipah ikut ya,” beritahu Nenek Kamariah.
“Nak pergi ke kampung Dania untuk
apa, mak?” tanya Datin Saripah. Mendadak sahaja emak mertuanya itu membuat
keputusan.
“Hal yang kita bincangkan
dululah,” terang Nenek Kamariah. Bibir tuanya mengukir senyuman manis.
“Hal apa, mak?” soal Datin
Saripah. Dia semakin bingung. Iskandar hanya memasang telinga untuk mendengar
jawapan daripada neneknya.
“Emak nak berkenalan dengan orang
tua Dania,” jawab Nenek Kamariah.
“Oh...” balas Datin Saripah.
Senyumannya melebar. Hilang rasa bingungnya tadi.
“Ipah ingatkan ada hal yang
penting sangat tadi. Tiba-tiba saja emak nak pergi ke rumah dia, berkenalan
dengan keluarganya,” kata Datin Saripah.
“Memang ada hal penting, Ipah...
Iskandar,” sahut Nenek Kamariah. Wajah Iskandar dan Datin Saripah direnungnya
silih berganti. Senyuman di bibirnya pula bertambah mekar. “Emak nak merisik
Dania buat cucu kesayangan emak ni...”
“Apa nek? Nak merisik?” soal
Iskandar dengan suara kuat kerana terlalu terkejut.
Nenek Kamariah hanya menganggukkan
kepalanya sambil menggosok-gosok telapak tangannya.
Iskandar merenung wajah emaknya.
Mereka berbalas renungan.
Tetapi bukan Dania yang mengajak
atau menyuruh keluarga Iskandar datang merisiknya. Dia sendiri pun tidak tahu.
Kata Nenek Kamariah, dia hanya ingin berkenalan dengannya. Tidak diduga pula di
dalam pertemuan semalam, Nenek Kamariah menyatakan hasratnya untuk menyunting
Dania buat Iskandar. Disokong pula oleh menantunya, Datin Saripah. Menurut
nenek dan emak Iskandar, bapa Iskandar, Datuk Jalal pun sudah bersetuju dengan
pilihan Nenek Kamariah itu. Untuk menjodohkan Dania dan Iskandar. Sudah tentu
Iskandar pun suka kepada Dania. Jika tidak pasti dia akan menghalang kehendak
keluarganya itu.
Fikiran Fazidatul begitu
berselirat sekali. Tidak tahu hendak membuat keputusan. Dia tahu apa yang
tersembunyi di hati Ray. Sudah lama dia tahu. Perasaan Ray terhadap Dania
memang sudah lama dia perasan. Namun, dia tidak boleh membiarkan perasaan Ray
kepada Dania terus menyubur. Harus dicantas secepatnya. Membiarkan impian cinta
Ray kesampaian bermakna dia terpaksa membongkar banyak perkara yang
disembunyikan selama ini. Kepada Dania dan kepada Ray sendiri. Banyak perkara
yang berkait. Dia tidak pasti sama ada Dania atau Ray sanggup menerima
kenyataan. Padanya Ray dan Dania tetap anak-anaknya. Kasih sayangnya kepada
Dania dan Ray sama seperti kasih dan sayangnya kepada Iwan. Iwan satu-satu
zuriatnya.
‘Hmm...’ Keluhan Fazidatul agak
kuat. Jika dia ingin menerima lamaran Iskandar buat Dania, dia kena berbincang
dengan Ray terlebih dahulu. Dia juga kena mengambil tahu kehendak hati Dania.
Fazidatul meraba-raba bawah bantal mencari telefon bimbitnya. Tergenggam sahaja
telefon itu, dia terus menekan-nekan nombor Ray.
“Assalamualaikum, mak.” Suara Ray
terus menjengah ke telinganya tidak berapa saat kemudian.
“Waalaikumussalam, Ray. Anak mak
sihat tak?” tanya Fazidatul cuba bersuara riang. “Dah isyak? Dah makan?”
soalnya bertalu.
“Alhamdulillah, mak. Ray baru
habis solat. Makan malam belum lagi. Ray baru bercadang nak telefon mak ni,”
balas Ray gembira.
“Oh ya? Mesti ada cerita bagus
ni!” usik Fazidatul ceria. Bibirnya melarik senyuman.
“Ya, mak! Ray nak beritahu mak,
mungkin pagi esok Ray nak balik,” beritahu Ray diselangi ketawa.
“Eloklah tu kalau Ray nak balik.
Memang mak telefon ni nak suruh Ray balik sekejap, jika ada peluang,” kata
Fazidatul pula.
“Mak...” panggil Ray manja.
“Ya... kenapa? Ray dah nak kahwin ke? Dah jumpa anak dara yang boleh emak pinang?”
gurau Fazidatul.
Ray ketawa mengekek. “Hisy, mak
ni... ke situ pulak. Ray belum nak beristeri lagi, mak,” balas Ray.
“Macam ni, mak! Ray ingat malam
esok, kita buat kenduri sikit kat surau kampung, nak tak? Ray nak buat kenduri
doa selamat dan kesyukuran,” jelas Ray.
“Kenduri kesyukuran untuk apa tu,
Ray?” tanya Fazidatul.
“Lepas Dania dapat keputusan
cemerlang dalam SPM, kita belum buat kenduri lagi. Sekarang ni, dia dah masuk
U, Ray pun dah dinaikkan pangkat. Keputusan peperiksaan Iwan pun cemerlang
jugak, kan? Sebab tulah Ray nak buat kenduri kesyukuran. Alhamdullillah, rezeki
kita sekarang ada lebih sikit,” terang Ray panjang lebar.
“Hah! Lagi satu perkara, mak! Awal
bulan depan Ray akan mula sambung belajar. Ray ambil pengajian separuh masa,
mak. Belajar sambil bekerja,” cerita Ray dengan teruja.
“Alhamdulillah. Ray belajar kat
mana? Sama universiti dengan Dania ke?” tanya Fazidatul.
“Tak, mak! Ray kat Shah Alam.
UiTM. Mak doakan Ray ya,” pinta Ray.
“Baiklah, Ray. Kalau begitu mak
setuju sangat dengan cadangan kenduri tadi. Kita buat tahlil untuk arwah ayah
sekali ya,” cadang Fazidatul.
“Ya mak! Yang tu mesti,” balas Ray
senang hati.
“Iwan pagi esok ada balik, kan?”
tanya Ray pula. Hendak membuat kenduri walaupun secara kecilan biarlah semua
ahli keluarga ada di rumah.
“Selalunya begitulah. Lagipun hari
Isnin ni cuti umum, kan. Dia ada balik nanti. Insya-ALLAH...”
“Bagus. Kalau begitu, esok Ray
balik dengan Dania ya, mak! Sekejap lagi Ray telefon dia bagitau nak ajak
balik,” beritahu Ray dengan suara riang.
“Semalam, Dania ada balik,”
beritahu Fazidatul spontan. Langsung tidak terlintas di hatinya untuk merahsiakan
perkara itu daripada pengetahuan Ray.
“Hah? Dania balik? Dia tak
beritahu Ray pun!” balas Ray agak terkejut. “Dia balik dengan Iskandar. Nenek
dan emak Iskandar pun ada sekali,” beritahu Fazidatul.
Kepala Ray rasa berat tiba-tiba.
Entah perasaan apa yang tiba-tiba bergayut di hatinya sehingga dia rasa
gelisah.
“Apa mak?” tanya Ray terkejut.
“Itu yang mak nak ajak Ray balik.
Nak berbincang,” jawab Fazidatul tenang. Tenang suara emaknya menjawab tidak
meredakan tasik hati Ray yang mula berkocakan. Dia memicit dahi berkali-kali
dan memejamkan matanya kerana pandangan matanya sudah berpinar dan
berbintang-bintang.
“Kita jumpa esok ya, mak!” kata
Ray sebelum menamatkan perbualan mereka.
“Yalah. Sebelum bertolak balik
esok, telefon emak dulu tau. Jangan lupa sampaikan salam emak kepada Dania,”
pesan Fazidatul.
“Baik, mak, Assalamualaikum,”
balas Ray. Perlahan suara emaknya membalas salam. Setelah memastikan yang
emaknya benar-benar telah memutuskan komunikasi antara mereka, barulah Ray
menekan butang merah di telefon tangannya.
Fikirannya berlegar-legar. Urat di dalam
otaknya mula rasa menegang. Perasaan Ray semakin galau. Jiwanya bagaikan
terhimpit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan