Esok ikut abang balik kampung. 8.30
pagi abang datang ambil Dania kat rumah. Hari Ahad selepas asar, kita balik ke
KL.
Senyuman terukir di bibir Dania
sebaik mengaktifkan telefon bimbitnya, ada mesej daripada Ray. Walau pada saat
itu hati sedang berkecamuk. Buntu fikirannya memikirkan tentang kemahuan Nenek
Kamariah dan cucunya, Iskandar. Mesej daripada Ray bagaikan siraman air sejuk
ke dataran hatinya yang sedang kegelisahan.
Kenapa 8.30 pagi? Selepas subuh tak boleh ke? Dania rasa tak
sabar hendak berjumpa dengan abang.
Balas Dania cepat-cepat. Sengaja
hendak menyakat abangnya itu. Jam loceng di atas meja tulisnya baru menunjukkan
angka 5.00 pagi.
8. 30 pagi.
Jawab
Ray ringkas.
Amboi!
Cepat
saja Dania menekan punat-punat di telefonnya dan menekan butang hantar. Lama
dia menunggu Ray membalas mesejnya, namun dia hampa. Tidak tertahan hatinya
untuk mendengar suara Ray. Dia terus menelefon pula.
“Nombor yang anda dial, tidak
dapat dihubungi.” Itulah mesej pesanan suara yang paling cepat membuat hatinya
menggelegak. Lima kali Dania mendial, namun hatinya terjeruk hampa.
“Assalamualaikum, bang,” sapa Dania
riang sambil mencapai tangan Ray.
“Waalaikumussalam,” jawab Ray
bersahaja sambil menatap wajah Dania yang sedang menunduk mencium tangannya.
Kegalauan hati, damai serta-merta sebaik menatap wajah itu. Namun saat terpiang
suara emaknya, hatinya merusuh semula. Pantas matanya terarah ke hadapan dan
kereta digerakkannya perlahan.
“Abang,” panggil Dania apabila
kebisuan menakluki mereka agak lama. Sudah jauh perjalanan mereka, namun bibir
Ray seolah terkunci. Belum pernah Ray bersikap begitu kecuali ada perkara yang
menggores hatinya.
“Kenapa abang tak jawab call
Dania subuh tadi?” tanya Dania.
“Sengaja,” jawab Ray selamba.
“Sengaja?” soal Dania kembali. Dia
menoleh ke arah Ray sambil mengetap bibirnya.
“Abang tak ada mood,” balas
Ray.
“Tak ada mood? Habis tu,
subuh-subuh buta abang hantar mesej pada Dania tu, ada mood pulak?”
tanya Dania marah. Sungguh dia tidak faham perubahan sikap Ray. “Abang...” ulang Dania lagi apabila Ray tidak
bereaksi.
“Yang Dania tu, subuh-subuh buta
boleh balas mesej daripada abang, Dania tak tidur ke?” tanya Ray.
Dania
terdiam. Semalam dia memang sukar untuk melelapkan mata. Keresahan terus
membelit sukma. Dia memikirkan duduk letak hatinya kini. Adakah secebis untuk
Iskandar? Iskandar yang belum dikenali hati budi, tetapi keluarganya tiba-tiba
datang merisik.
“Dania berangan nak kahwin dengan
Iskandar ke?” sindir Ray apabila Dania membisu agak lama. Sengaja hendak
menyakitkan hati Dania.
“Hisy, mulut abang... selalu tak
macam ni!” perli Dania. “Abang pun sama.
Entah-entah asyik bergayut dengan Jess sampai subuh tadi. Pasal tu pagi ni
angin abang lain macam. Jadi sasau...”
“Hmm... memang Jess ada call
abang. Puas abang suruh dia stop, tapi dia nak sembang dengan abang
jugak,” kata Ray, mereka cerita untuk menyakitkan hati Dania.
“Abang... Dania dah kata, Dania
tak suka dia, kan?”
“Habis tu, kekasih dia Dania dah
tawan, hati Jess terkalihlah kepada abang!” sakat Ray.
“Abang... Dania tak sukalah
sebut-sebut nama dia orang!” marah Dania. Ungkapan Ray menyebabkan dia terpaksa
berfikir berjuta kali tentang hubungannya dengan Iskandar.
“Tak... tak adalah, Dania. Abang
usik Dania aje,” beritahu Ray akhirnya. Bimbang Dania kembali merajuk.
“Kenapa buat program mengejut ni?”
tanya Dania. Isi perbualan mereka yang entah apa-apa tadi dilontarnya
jauh-jauh.
“Program? Program apa?” soal Ray
pura-pura tidak faham.
“Program balik kampung nilah!
Abang dah ada rancangan nak meminang siapa-siapa ke? Dah nak kahwin?” usik Dania cuba membuka pintu keriangan
Ray semula.
“Belum masanya lagi,” balas Ray
tanpa menoleh Dania.
“Habis tu, kenapa tiba-tiba aje
nak balik kampung? Langsung tak nak berbincang dengan Dania,” tempelak Dania.
“Alah, Dania tu balik kampung
langsung tak nak ajak abang!” bidas Ray agak kuat. Matanya menjeling tajam.
Dania
tiba-tiba gugup. Terkedu dan tidak terjawab. Dia menundukkan wajahnya dan
memandang hujung lututnya sendiri. Dia mematah-matahkan jari sendiri. Pipinya
terasa hangat.
“Hari tu cakap... cinta mati kat
abang. Tapi, Dania pergi mana-mana langsung tak beritahu abang. Kalau terjadi
sesuatu yang tak elok kepada Dania nanti, siapa yang merana? Abang jugak!” tempelak Ray perlahan. Walau
dalam nada bergurau kenyataan itu adalah pernyataan hatinya. Ketawanya yang
mengiringi ungkapan itu menyimpan lara yang semakin dalam.
“Abang ni, suka nak sakat Dania!”
Dania tidak mudah mengalah kalau bertengkar dengan abangnya itu.
Bertengkar-tengkar sayang. Kalau merajuk pun, pura-pura sahaja.
“Kita sarapan dulu,” ajak Ray. Dia
memberi isyarat kiri dan berhenti di bahu jalan, di hadapan sebuah restoran. “Kita makan tose kat sini, ya” ajak Ray.
“Tak naklah makan tose,” lirih
suara Dania cuba bermanja.
“Tak nak makan tose, makanlah
capati,” cadang Ray. Kerap dia makan di restoran itu. Tose dan capatinya memang
sedap. Kalau nasi berianinya sudah siap dimasak, dia akan bungkuskan untuk
dibawa balik, buat buah tangan untuk emak dan Iwan. Itulah cadangan hati Ray.
“Makan capati pun Dania tak nak,”
balas Dania mengusik. Dia mengeraskan diri di tempat duduknya.
“Jomlah, Dania turun. Kita tengok
apa yang ada kat restoran tu. Kalau tak, ada orang yang makan penampar
karang...” gurau Ray. Cepat-cepat dia menanggalkan tali pinggang kaledarnya dan
bergegas keluar dari kereta sebelum hujung jari Dania hinggap pada lengannya.
“Abang... tunggu Dania!”
Langkah
kaki Ray terhenti. Dia tercegat menunggu Dania yang sedang berjalan
merapatinya. Senyumannya melebar tanda hatinya sedang gembira dan bahagia.
Namun apabila mengenangkan hal yang dikatakan oleh emaknya, batin Ray digayuti
rasa sayu.
“Nenek Kamariah kata dia nak
melamar Dania untuk Iskandar,” beritahu Fazidatul pada Ray.
Perkhabaran
itu bagai menusuk ke ulu hati. Ray menelan air liur. Bibirnya bagaikan
terkunci. Agak lama dia membisu. Cuba mententeramkan hati sendiri. Oh! Tak rela
hatinya kalau Dania terlepas ke tangan lelaki lain.
“Macam mana Ray?” tanya Fazidatul
apabila dilihatnya Ray diam dan hanyut dengan fikirannya sendiri.
“Habis tu, emak setuju ke?” soal
Ray. Bimbang keputusan emak akan meracik hati. “Mak
setuju ke?” ulang Ray seolah berbisik. Dia melihat sekeliling dengan ekor mata.
Hanya mereka berdua berada di dapur pada waktu itu.
“Emak tak tahu nak buat keputusan macam mana, Ray. Sebab
tulah emak nak berbincang dengan Ray. Kita buat keputusan bersama-sama,” jawab
Fazidatul perlahan.
“Dania tahu ke keluarga Iskandar
datang merisik dan nak meminang dia, mak?” soal Ray berkali. Hairan pula kerana
Dania tidak sedikit pun bercerita kepadanya. “Dia
setuju ke?” soal Ray lagi dengan dahi berkerut. Kamar hatinya tiba-tiba terasa
sesak, terhimpit.
“Pada mulanya, dia tak tahu juga
tujuan nenek Iskandar nak datang berkenalan dengan emak. Dah sampai kat rumah
ini barulah Nenek Kamariah beritahu.... ”
“Mak nampak Dania tu terkejut juga
pada mulanya. Tapi taklah dia tunjukkan sangat,” cerita Fazidatul.
“Habis tu... Dania kata apa, mak?”
tanya Ray lagi.
“Dia tak tahu nak buat keputusan.
Sebab dia masih belajar. Kalau nak menikah buat masa ini, dia memang tak
sanggup. Dia tak mahu,” jawab Fazidatul.
“Tapi, Ray... Nenek Kamariah kata,
dia nak ikat Dania dengan ikatan pertunangan sahaja. Sebab mereka pun belum
mengenali hati budi masing-masing. Bila Dania tamat belajar, barulah
dinikahkan... itu katanya...”
“Sanggup ke Iskandar nak tunggu? Dania tu ambil ijazah kedoktoran, mak! Lama
lagi nak belajarnya. Dalam empat lima tahun jugak,” ungkap Ray perlahan.
“Habis tu, takkan kita nak tolak
pula lamaran tu? Nampaknya, Nenek Kamariah tu bersungguh sangat. Datin Saripah
tu... elok juga budi pekertinya. Sanggup dia duduk dengan emak mertuanya sejak
berkahwin, kira baiklah orangnya tu. Iskandar pun sama. Yang emak tengok, lagak
gayanya macam orang bertanggungjawab juga. Berbudi bahasa...” puji Fazidatul.
“Sepadan ke keluarga kita dengan
keluarga mereka, mak?” tanya Ray. “Mereka tu orang berada.
Sudah biasa dengan kesenangan, kemewahan. Lagipun, setahu Ray... Iskandar tu
dah ada teman wanita. Jasmin anak Datuk Wahab. Dengan papa dialah Ray bekerja,”
terang Ray. Walaupun dulu dia sudah bercerita kepada emaknya, tetapi dia rasa
perlu mengulang cerita yang sama.
“Emak ada beritahu Nenek Kamariah
tentang hal ni, Ray. Tentang keluarga kita yang serba kekurangan. Tapi, dia
kata dia tak kisah tentang harta-harta dunia ni. Semuanya tak akan dibawa
menghadap TUHAN. Dia kata dia dah berkenankan Dania. Dia yakin Dania akan
menjadi isteri yang baik buat cucunya.” Beria-ia Fazidatul bercerita. “Apa pendapat Ray?” soal Fazidatul sekali lagi.
Ray
menggaru-garu kepalanya. Tidak tahu untuk menjawab apa. Jika dia hendak
menghalang, apa alasannya? Takkan pula
dia hendak memberitahu emaknya, yang dia nak menikah dengan Dania!
Mau
pengsan emaknya atau diserang sesak nafas serta-merta. Pengakuannya itu akan
membawa kepada terbongkarnya rahsia yang tersimpan kian lama. Dania akan tahu
yang dia hanyalah anak angkat.
Jika
dia menyetujuinya, hatinya sendiri pula yang akan remuk. Lebur segala
kebahagiaan dan kegembiraaannya selama ini. Sanggupkah dia menyaksikan Dania
dan Iskandar disandingkan? Sanggupkah dia melihat Dania dan Iskandar
berdua-duaan ke sana dan ke sini dengan mesra?
“Mak, hal ni biarlah Dania yang
buat keputusannya. Kalau boleh, Ray tak mahu tersilap membuat keputusan atau
membuat keputusan bagi pihak dia. Jika ikutkan hati Ray, memang Ray nak suruh
tolak aje lamaran tu,” beritahu Ray.
“Kalau begitu, emak tolaklah,”
sampuk Fazidatul.
“Jangan mak! Lebih baik tanya
pendapat Dania, manalah tahu kalau-kalau hati dia dah terpaut kepada Iskandar.
Sudah ada perasaan sayang,” ulas Ray perlahan. Hampir tidak kedengaran
suaranya.
“Kita biar dia buat keputusan
untuk dirinya sendiri ya mak,” cadang Ray, walau hati dibalut hampa. Untuk
menyenangkan hati emaknya dan Dania, dia rela berkorban kebahagiaannya sendiri.
“Hal pasangan hidup, hal yang tak boleh diambil
mudah, mak. Ini soal kebahagiaan atau penderitaan Dania di masa akan datang,”
sambung Ray lagi.
“Yalah, mak setuju dengan pendapat
Ray tu. Kita beri peluang Dania berfikir dan membuat keputusannya sendiri.
Nenek Kamariah pun taklah mendesak sangat. Dia beri tempoh dua bulan untuk kita
berfikir dan membuat keputusan. Kalau dah setuju, barulah dia meminang dan
terus tunangkan. Kalau tak setuju, tak apa...” terang Fazidatul.
“Mak nampak nenek Iskandar tu
macam ikhlas orangnya.” Fazidatul terus memuji.
“Mak, Ray nak masuk tidur. Rasa
sakit kepala pulak,” dalih Ray untuk segera beredar. Bukannya dia tidak mahu
berbual lama-lama dengan emaknya itu, tetapi jika asyik membincangkan hal Dania
dan Iskandar, hatinya menjadi tidak keruan. Lebih baiklah dia cepat-cepat mengelak,
sebelum rahsia hatinya tertiris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan