Restoran Abang Ba.
Di situlah tempat Ray bekerja. Semenjak tamat persekolahannya. Setelah ayahnya meninggal dunia. Dia bekerja di situ hanya pada waktu malam. Boleh dikatakan ramai pengunjung restoran yang menyediakan masakan ala Thai itu saban malam. Suasananya selalu hingar bingar, ditambah pula dengan bunyi enjin kenderaan yang lalu lalang di jalan besar berhampiran, kadangkala agak merimaskan.
Ray sudah lama bekerja di situ. Kehingaran dan kekalutan yang selalu ada bagaikan teman karibnya. Ray tetap melakukan tugas dengan wajah tenang. Bibirnya tidak pernah pudar dengan senyuman kepada pelanggan.
Dari satu meja ke satu meja Ray mengambil pesanan. Setiap pesanan dicatat pada kertas pesanan sebesar tapak tangan dan dihantar pula kepada tukang masak di dapur.
Di dapur, Ray akan mengambil makanan-makanan yang sudah siap dimasak lalu dihantar kepada meja pelanggan yang memesan. Begitulah rutin kerjanya pada setiap hari. Langkahnya deras ke hulu ke hilir dari bahagian depan ke dapur. Berulang alik.
“ Hisy, budak ini..! ” rungut Ray tiba-tiba. Dua orang budak lelaki sedang berkejaran sambil menjerit pekik. Nyaris melanggarnya. Ray cuba mengelak, lantas gelas kopi o panas menyenget di dalam dulang, terus tumbang.
“ Eh, mata kau buta ke? ” tempik satu suara. Tersentak Ray. Matanya yang sedang merenung budak-budak tadi singgah pula kepada meja berdekatannya. Seorang gadis menjegil mata merenungnya. Gadis itu sudah bangun berdiri lalu menolak kerusi yang sedang diduduki ke belakang. Merampus. Berdentum bunyinya. Terlentang kerusi di atas lantai.
Takungan air kopi yang tercurah di atas bajunya ditepis-tepis. Sekejapan sahaja warna putih gaun telah bertompok-tompok, coklat kehitaman. Cepat-cepat Ray meletak dulang yang sedang dibawa ke atas meja yang ada ruang kosong.
“ Tak guna betul engkau ni! Jalan tak tengok kiri kanan. Main langgar aje! ” riuh mulut gadis itu terus memarahi Ray.
“ Maaf..maaf, saya tak sengaja cik, ” jelas Ray tergagap-gagap. Laju tangannya cuba mengelap pakaian gadis itu yang kebasahan. Pipinya tiba-tiba menghangat. Kulit muka Ray terasa tebal dan tegang. Maklumlah diherdik ditengah orang ramai. Ray terasa begitu kerdil. Mungkin lebih kerdil dari semut halus yang sedang meniti kaki meja di hadapannya.
“ Eh, jangan engkau nak ambil kesempatan pulak! Habis kotor baju aku! ” Marah gadis itu lagi. Tangan Ray ditepis kasar. Dia semakin berang. Geli geleman dirasakannya apabila melihat tangan pemuda itu mendarat di atas gaunnya yang berwarna putih gading.
“ Janganlah! ! ” pekik suaranya. Kuat dan nyaring. Sehingga meja itu menjadi perhatian semua orang yang berkunjung ke restoran itu. Saputangan yang digunakan untuk mengelap baju dilontar ke lantai kerana meradang.
“ Berani nak sentuh-sentuh baju aku dengan tangan engkau yang kotor tu! ” herdiknya lagi, memberi amaran. Bulat matanya merenung Ray. Marah benar kelihatannya macam singa betina lepas beranak.
“ Takk! Saaya..sa.., ” kata Ray cuba membela diri sekali lagi.
“ Kenapa ni, Ray? .” pekik seorang lelaki. Tokey restoran tiba-tiba sahaja menjelma. Tidak sempat Ray menghabiskan kata-katanya tadi. Mata lelaki separuh umur itu mencerlung merenung Ray. Tubuh pemuda itu mematung sejenak. Apabila mendengar suara gadis merungut riuh dan menceceh macam burung murai dicabut ekor, dia juga tidak sanggup bersabar. Nyaring suara gadia itu mengganggu ketenteraman di restorannya.
“ Errr..sa..saya tercurah air pada baju cik ni, ” jawab Ray tergagap. Kegagapannya itu bukan kerana dia takut, tetapi dia berasa malu diherdik seolah anjing kurap di hadapan khalayak.
“ Bukannya terr..! Tapi dia ni sengaja tumpahkan air pada saya! ” pintas gadis itu sambil bercekak pinggang. Angkuh lagaknya. Muka pemuda itu terus direnung tepat-tepat. Seolah hendak ditelannya.
“ Mana ada, saya cuba elakkan budak- budak yang berlari kat sini tadi, ” sanggah Ray. Lembut suaranya, mempertahankan diri. Walaupun lautan hatinya sedang diratah oleh perasaan marah, dia cuba bertenang. Renungannya yang tajam kepada gadis yang masih terkial cuba mengeringkan bajunya tidak berkalih.
“ Macam-macam beri alasan. Dah salah tu mengaku sajalah! Buat apa nak tegakkan benang yang basah? ” Marah gadis itu masih belum reda. Ray diam sambil mencuba menahan perasaan geram. Jika diikutkan hatinya, rasa hendak dicubit-cubit bibir yang sedang mengomel itu. Buat memujuk rasa marah yang sedang bergelodak.
“ Ray...! ”
Mendengarkan namanya dipanggil, Ray terus menoleh. Abang Ba, tokey restoran itu sedang merenungnya. Ray merenung lelaki itu kembali dengan wajahnya bersahaja menyimpan perasaan marah dan geram yang membuku.
“ Tak reti nak minta maaf ke? ” tanya Abang Ba. Matanya merenung ke wajah Ray dan gadis itu bersilih ganti.
“ Abang Ba, saya dah minta maaf, ” jawab Ray pantas. Matanya merenung Abang Ba yang kelihatan bengang. Nafasnya turun naik dengan cepat.
“ Besar sangat engkau punya maaf? ” tingkah gadis itu dengan kasar sekali lagi. Langsung tidak mempedulikan mata pelanggan lain yang memerhati gelagatnya. Bahkan dia berasa bangga kerana dapat menunjukkan keangkuhannya di khalayak. Lagi ramai orang memerhati, semakin tinggi pula rasa harga dirinya.
“ Sudahlah tu, Jess. Hal kecil aje, kan? ” bisik teman yang bersamanya. Gadis berambut pendek itu menarik gadis yang dipanggil Jess, supaya dia duduk dibangkunya kembali. Perangai gadis merangkap temannya yang angkuh dan mengada-ngada itu difahaminya sangat-sangat. Dia pula terasa malu. Kulit pipinya juga terasa tebal.
“ Nora! Engkau nampakkan? Apa yang mamat ni buat tadi? ” tanyanya mengharapkan sokongan kawan. Dahinya dikerutkan sewaktu memandang temannya itu. “ Habis baju aku kotor! ” Rungutnya. Tak habis-habis lagi rasa marah dan meradangnya. Suara rungutannya macam macam langau mengurung najis.
Nora menjongketkan kedua bahunya, membawa isyarat yang dia tidak mahu ikut campur di dalam perbalahan itu. Dia juga terasa malu dengan perlakuan temannya itu. Tidak sesuai dengan keindahan paras wajah yang dianugerahi ALLAH kepadanya.
“ Hoi! Malaun! Kau tahu tak berapa harga gaun aku ni? Setahun duit gaji engkau kerja kat sini pun tak mampu nak beli baju ni, tau tak? ” Tempiknya sambil menuding jari telunjuknya ke wajah Ray. Terkulat-kulat Ray. Dirinya terasa begitu hina. Jika diikutkan hatinya, mahu saja telapak tangannya hinggap pada pipi gebu gadis itu. Rambutnya yang ikal terjurai ingin saja direntap-rentap.
“ Sudahlah, cik. Jangan menjerit kat sini! Buat memalukan diri cik aje! Saya minta maaf bagi pihak pekerja saya ni, ” kata Abang Ba. Wajah gadis itu direnungnya seketika. Sayangnya wajah yang cantik itu membias airmuka yang keruh mengalahkan air limbah. “ Dia tak sengaja, ” ujar Abang Ba lagi cuba membela Ray. Matanya menyorot ke wajah gadis itu yang masih mencuka. “ Takkan hal sekecil ini kita nak panjang-panjangkan. Takkan nak buat lapuran polis kut, ” sinis kata-kata Abang Ba. “ Makan minum cik dan kawan-kawan tadi tak payah bayar, ” pujuknya pula dengan suara tenang.
“ Apa aku peduli! Menyesal singggah makan kat sini! Makanan pun tak sedap tara mana! Hati sakit! Baju mahal pun dah rosak! Semua gara-gara pekerja awak yang tak ada otak ni! ”
Abang Ba pula kena sergah.
“ Jom Nora! Berambus dari sini! ”
Tangan Nora, temannya yang masih ingin menikmati hidangan malam terus direntap. Jelingan tajam dilemparkannya kepada Ray yang masih terpaku. Dia beredar dari situ dengan cepat. Dengan langkah angkuh.
Hilang suara gadis itu Ray menarik nafas lega. Matanya terenung ke bawah meja. Sehelai saputangan berwarna biru muda tergumpal di atas lantai. “ Saputangan awek tu! “ Getusnya. Pantas dia mengutipnya. Sederas kilat juga kakinya melangkah cuba mengejar gadis tadi.
“ Cik..Cik! ” panggil Ray. Langkahnya laju cuba mengekori. “ Cik! ” laungnya lagi. Gadis itu yang sudah berada di parkir kereta menoleh. Wajahnya dimasamkan apabila bertembung pandangan dengan Ray.
“ Apa engkau nak? ” sergahnya kasar. Sempat bercekak pinggang pula. Dadanya beralun deras.
“ Ni, saputangan cik. Terjatuh di bawah meja tadi, ” beritahu Ray, ikhlas. Saputangan di tangan dihulurkannya sambil memaniskan wajahnya. Malangnya, kebaikan yang ingin ditaburkan oleh Ray tidak dihargai.
“ Heh! Malaun! Saputangan tu memang aku punya! Tapi engkau dah pegang, kan? Tak payah pulangkan kepada aku balik! Aku genyi, yerkkk! ” Kata-kata diungkapkan dengan gaya yang menyakitkan hati. “ Kalau engkau kemaruk sangat, engkau simpanlah saputangan tu! Sekarang engkau belah! Aku nak undur! ” pekiknya pula. Ray masih membatu. Tajam matanya merenung ke arah gadis itu sambil menghela nafasnya perlahan menelan radang. Kesabaran yang ada batasannya, pasti akan terburai.
“ Berambuslah! ” herdik gadis itu lagi.
“ Heh! Perempuan! Apalah awak ni? Tak guna rupa cantik, kalau mulut macam longkang! ” Tak tersedar terpacul kata-kata itu daripada bibir Ray. Akhirnya benteng kesabarannya merapuh juga. Mendengar kata-kata Ray, gadis itu tergamam seketika. Namun kerana egonya setinggi langit dia pantas membalas.
“ Kalau mulut aku macam longkang, mulut engkau tu raja segala limbah! ” balasnya dengan suara kuat. “ Belahlah! Nanti aku langgar! Terus kojol! Esok tak dapat tengok dunia lagi! ” jerit gadis itu macam orang hilang akal. Sepantas kilat dia masuk ke dalam keretanya dan menutup pintu dengan kuat. Marah benar hatinya dengan pemuda itu.
Ray terus beredar sebaik sahaja mendengar enjin kereta gadis itu yang mengaum garang. Dia kembali ke restoran dengan langkah gontai. ’Apalah punya perempuan. Sombong betul! Engkau ingat engkau cantik! Engkau ingat engkau dah pakai BMW, engkau dah cukup kaya! Piirahh! TUHAN lebih kaya, tahu tak! ’Ray bermonolog sendiri. Gadis yang sebegitu kalau diberi percuma pun dia akan menolak mentah-mentah, tanpa kompromi! Walaupun cantik, gadis yang mengada-ngada dan menyombong takkan menjadi pilihan hatinya. Jauh mana lebih baik lagi Dania! Itulah bisik hatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan