Khamis, 3 Disember 2020

SAPU TANGAN BIRU BAB 1

Restoran Abang Ba.

                                                                                                             

Di situlah tempat Ray bekerja. Semenjak  tamat persekolahannya. Setelah ayahnya meninggal dunia. Dia bekerja di situ hanya pada waktu malam. Boleh dikatakan ramai pengunjung restoran yang menyediakan masakan ala Thai itu saban malam. Suasananya selalu hingar bingar,  ditambah pula dengan bunyi enjin kenderaan yang lalu lalang di jalan besar berhampiran,  kadangkala agak merimaskan.

 Ray sudah lama bekerja di situ. Kehingaran dan kekalutan yang selalu ada bagaikan teman karibnya. Ray tetap melakukan tugas dengan wajah tenang. Bibirnya tidak pernah pudar dengan senyuman  kepada pelanggan.

Dari satu meja ke satu meja Ray mengambil pesanan. Setiap pesanan dicatat pada kertas pesanan sebesar tapak tangan dan dihantar pula kepada tukang masak di dapur.

Di dapur,  Ray akan mengambil makanan-makanan yang sudah siap dimasak lalu dihantar kepada meja pelanggan yang memesan. Begitulah rutin kerjanya pada setiap hari. Langkahnya deras ke hulu ke hilir dari bahagian depan ke dapur. Berulang alik.

“ Hisy, budak ini..!  ” rungut Ray tiba-tiba. Dua orang budak lelaki  sedang berkejaran sambil menjerit pekik. Nyaris melanggarnya. Ray cuba mengelak,  lantas gelas kopi o panas menyenget di dalam dulang,  terus tumbang.

“ Eh, mata kau buta ke? ” tempik satu suara. Tersentak Ray. Matanya yang sedang merenung budak-budak tadi singgah pula kepada meja berdekatannya. Seorang gadis  menjegil mata merenungnya. Gadis itu sudah bangun berdiri lalu menolak kerusi yang sedang diduduki ke belakang. Merampus. Berdentum bunyinya. Terlentang kerusi di atas lantai.

Takungan air kopi  yang tercurah di atas bajunya ditepis-tepis. Sekejapan sahaja warna putih gaun telah bertompok-tompok,   coklat kehitaman. Cepat-cepat Ray meletak dulang yang sedang dibawa ke atas meja yang ada ruang kosong.

“ Tak guna betul engkau ni!  Jalan tak tengok kiri kanan. Main langgar aje!  ” riuh mulut gadis itu terus  memarahi Ray.

“ Maaf..maaf, saya tak sengaja cik, ” jelas Ray tergagap-gagap. Laju tangannya cuba mengelap pakaian gadis itu yang kebasahan. Pipinya tiba-tiba menghangat. Kulit muka Ray terasa tebal dan tegang. Maklumlah diherdik ditengah orang ramai. Ray terasa begitu kerdil. Mungkin lebih kerdil dari semut halus yang sedang meniti kaki meja di hadapannya.

“ Eh, jangan engkau nak ambil kesempatan pulak! Habis kotor baju aku!   Marah gadis itu lagi. Tangan Ray ditepis kasar. Dia semakin berang. Geli geleman dirasakannya apabila melihat tangan pemuda itu mendarat di atas gaunnya yang berwarna putih gading.

“ Janganlah!  ! ” pekik suaranya. Kuat dan nyaring. Sehingga meja itu menjadi perhatian semua orang yang berkunjung ke restoran itu. Saputangan yang digunakan untuk mengelap baju dilontar ke lantai kerana meradang.

“ Berani nak sentuh-sentuh baju aku dengan tangan engkau yang kotor tu!   herdiknya lagi, memberi amaran. Bulat matanya merenung Ray. Marah benar kelihatannya macam singa betina lepas beranak.

“ Takk! Saaya..sa.., ” kata Ray cuba membela diri sekali lagi.

“ Kenapa ni, Ray? .” pekik seorang lelaki. Tokey restoran tiba-tiba sahaja menjelma. Tidak sempat Ray menghabiskan kata-katanya tadi. Mata lelaki separuh umur itu mencerlung merenung Ray. Tubuh pemuda itu mematung sejenak. Apabila mendengar suara gadis merungut riuh dan menceceh macam burung murai dicabut ekor,  dia juga tidak sanggup bersabar.  Nyaring suara gadia itu mengganggu ketenteraman di restorannya.

“ Errr..sa..saya tercurah air pada baju cik ni, ”  jawab Ray tergagap. Kegagapannya itu bukan kerana dia takut,  tetapi dia berasa malu diherdik seolah anjing kurap di hadapan khalayak.

“ Bukannya terr..!  Tapi dia ni sengaja tumpahkan air pada saya!  ” pintas gadis itu sambil bercekak pinggang. Angkuh lagaknya. Muka pemuda itu terus direnung tepat-tepat. Seolah hendak ditelannya.

“ Mana ada, saya cuba elakkan budak- budak yang berlari kat sini tadi, ” sanggah Ray. Lembut suaranya,  mempertahankan diri. Walaupun lautan hatinya sedang diratah oleh perasaan marah,  dia cuba bertenang. Renungannya yang tajam kepada gadis yang masih terkial cuba mengeringkan bajunya tidak berkalih.

“ Macam-macam beri alasan. Dah salah tu mengaku sajalah!  Buat apa nak tegakkan benang yang basah? ”  Marah gadis itu masih belum reda. Ray diam sambil mencuba menahan perasaan geram. Jika diikutkan hatinya,  rasa hendak dicubit-cubit bibir yang sedang mengomel itu. Buat memujuk rasa marah yang sedang bergelodak.

“ Ray...! ”

Mendengarkan namanya dipanggil,  Ray terus menoleh. Abang Ba,  tokey restoran itu sedang merenungnya. Ray merenung lelaki itu kembali dengan wajahnya bersahaja menyimpan perasaan marah dan geram yang membuku.

“ Tak reti nak minta maaf ke? ” tanya Abang Ba. Matanya merenung ke wajah Ray dan gadis itu bersilih ganti.

Abang Ba, saya dah minta maaf, ” jawab Ray pantas. Matanya merenung Abang Ba yang kelihatan bengang. Nafasnya turun naik dengan cepat.

 “ Besar sangat engkau punya maaf? ” tingkah gadis itu dengan kasar sekali lagi. Langsung tidak mempedulikan mata pelanggan lain yang memerhati gelagatnya. Bahkan dia berasa bangga kerana dapat menunjukkan keangkuhannya di khalayak. Lagi ramai orang memerhati,  semakin tinggi pula rasa harga dirinya.

“ Sudahlah tu,  Jess. Hal kecil aje, kan? ” bisik teman yang bersamanya. Gadis berambut pendek itu  menarik gadis yang dipanggil Jess, supaya dia duduk dibangkunya kembali. Perangai gadis merangkap temannya yang angkuh dan mengada-ngada itu difahaminya sangat-sangat. Dia pula terasa malu. Kulit pipinya juga terasa tebal.

“ Nora!  Engkau nampakkan? Apa yang mamat ni buat tadi? ” tanyanya mengharapkan sokongan kawan. Dahinya dikerutkan sewaktu memandang temannya itu. “ Habis baju aku kotor!  ” Rungutnya. Tak habis-habis lagi rasa marah dan meradangnya. Suara rungutannya macam macam langau mengurung najis.

Nora menjongketkan kedua bahunya,  membawa isyarat yang dia tidak mahu ikut campur di dalam perbalahan itu. Dia juga terasa malu dengan perlakuan temannya itu.  Tidak sesuai dengan keindahan paras wajah yang dianugerahi ALLAH kepadanya.

“ Hoi! Malaun! Kau tahu tak berapa harga gaun aku ni? Setahun duit gaji engkau kerja kat sini pun tak mampu nak beli baju ni, tau tak? ” Tempiknya  sambil menuding jari telunjuknya ke wajah Ray. Terkulat-kulat Ray. Dirinya terasa  begitu hina. Jika diikutkan hatinya, mahu saja telapak tangannya hinggap pada pipi gebu gadis itu.  Rambutnya yang ikal terjurai ingin saja direntap-rentap.

“ Sudahlah,  cik. Jangan menjerit kat sini!  Buat memalukan diri cik aje! Saya minta maaf bagi pihak pekerja saya ni, ” kata Abang Ba. Wajah gadis itu direnungnya seketika. Sayangnya wajah yang cantik itu membias  airmuka yang keruh mengalahkan air limbah. “ Dia tak sengaja, ” ujar Abang Ba lagi cuba membela Ray. Matanya menyorot ke wajah gadis itu yang masih mencuka. “ Takkan hal sekecil ini kita nak panjang-panjangkan. Takkan nak buat lapuran polis kut, ” sinis kata-kata Abang Ba.  “ Makan minum cik dan kawan-kawan tadi tak payah bayar, ” pujuknya pula dengan suara tenang.

“ Apa aku peduli! Menyesal singggah makan kat sini!  Makanan pun tak sedap tara mana!  Hati sakit!  Baju mahal pun dah rosak! Semua gara-gara pekerja awak yang tak ada otak ni! ”

 Abang Ba pula kena sergah.

“ Jom Nora!  Berambus dari sini! 

Tangan Nora,  temannya yang masih ingin menikmati hidangan malam terus direntap. Jelingan tajam dilemparkannya kepada Ray yang masih terpaku. Dia beredar dari situ dengan cepat. Dengan langkah angkuh.

Hilang suara gadis itu Ray menarik nafas lega. Matanya terenung ke bawah meja. Sehelai saputangan berwarna biru muda tergumpal di atas lantai. “ Saputangan awek tu!   “ Getusnya. Pantas dia mengutipnya. Sederas kilat juga kakinya melangkah cuba mengejar gadis tadi.

“ Cik..Cik! ” panggil Ray. Langkahnya laju cuba mengekori. “ Cik! ” laungnya lagi.  Gadis itu yang sudah berada di parkir kereta menoleh. Wajahnya dimasamkan apabila bertembung pandangan dengan Ray.

“ Apa engkau nak? ” sergahnya kasar. Sempat bercekak pinggang pula. Dadanya beralun deras.

“ Ni, saputangan cik. Terjatuh di bawah meja tadi, ” beritahu Ray, ikhlas. Saputangan di tangan dihulurkannya sambil memaniskan wajahnya. Malangnya, kebaikan yang ingin ditaburkan oleh Ray tidak dihargai.

“ Heh! Malaun! Saputangan tu memang aku punya!  Tapi engkau dah pegang, kan? Tak payah pulangkan kepada aku balik! Aku genyi, yerkkk! ” Kata-kata diungkapkan  dengan gaya yang menyakitkan hati.  “ Kalau engkau kemaruk sangat, engkau simpanlah saputangan tu!  Sekarang engkau belah!  Aku nak undur!  ” pekiknya pula. Ray masih membatu. Tajam matanya merenung ke arah gadis itu sambil menghela nafasnya perlahan menelan radang.  Kesabaran yang ada batasannya, pasti akan terburai.

“ Berambuslah!   herdik gadis itu lagi.

“ Heh! Perempuan! Apalah awak ni? Tak guna rupa cantik,  kalau mulut macam longkang!   Tak tersedar terpacul kata-kata itu daripada bibir Ray. Akhirnya benteng kesabarannya merapuh juga. Mendengar kata-kata Ray, gadis itu tergamam seketika. Namun kerana egonya setinggi langit dia pantas membalas.

“ Kalau mulut aku macam longkang,  mulut engkau tu  raja segala limbah! ” balasnya dengan suara kuat. “ Belahlah!  Nanti aku langgar! Terus kojol! Esok tak dapat tengok dunia lagi!   jerit gadis itu macam orang hilang akal. Sepantas kilat dia masuk ke dalam keretanya dan menutup pintu dengan kuat. Marah benar hatinya dengan pemuda itu.

Ray terus beredar sebaik sahaja mendengar enjin kereta gadis itu yang mengaum garang. Dia kembali ke restoran dengan langkah gontai. ’Apalah punya perempuan. Sombong betul!  Engkau ingat engkau cantik!  Engkau ingat engkau dah pakai BMW,  engkau dah cukup kaya!  Piirahh!  TUHAN lebih kaya, tahu tak!  ’Ray bermonolog sendiri. Gadis yang sebegitu kalau diberi percuma pun dia akan menolak mentah-mentah, tanpa kompromi!  Walaupun cantik,  gadis yang mengada-ngada dan menyombong takkan menjadi pilihan hatinya. Jauh mana lebih baik lagi Dania!  Itulah bisik hatinya.

 

Khamis, 10 Januari 2019

SAPU TANGAN BIRU-BAB 57


Esok ikut abang balik kampung. 8.30 pagi abang datang ambil Dania kat rumah. Hari Ahad selepas asar, kita balik ke KL. 

Senyuman terukir di bibir Dania sebaik mengaktifkan telefon bimbitnya, ada mesej daripada Ray. Walau pada saat itu hati sedang berkecamuk. Buntu fikirannya memikirkan tentang kemahuan Nenek Kamariah dan cucunya, Iskandar. Mesej daripada Ray bagaikan siraman air sejuk ke dataran hatinya yang sedang kegelisahan. 

Kenapa 8.30 pagi?  Selepas subuh tak boleh ke? Dania rasa tak sabar hendak berjumpa dengan abang.
Balas Dania cepat-cepat. Sengaja hendak menyakat abangnya itu. Jam loceng di atas meja tulisnya baru menunjukkan angka 5.00 pagi. 

8. 30 pagi.
Jawab Ray ringkas. 

Amboi!

Cepat saja Dania menekan punat-punat di telefonnya dan menekan butang hantar. Lama dia menunggu Ray membalas mesejnya, namun dia hampa. Tidak tertahan hatinya untuk mendengar suara Ray. Dia terus menelefon pula.
Nombor yang anda dial, tidak dapat dihubungi.” Itulah mesej pesanan suara yang paling cepat membuat hatinya menggelegak. Lima kali Dania mendial, namun hatinya terjeruk hampa.
PUKUL 8.20 pagi, Ray sudah ada di hadapan rumahnya. Dania yang sudah bersiap sedia dari pukul 7.50 pagi lagi cepat-cepat keluar dari rumah sebaik sahaja melihat Ray sampai. Dia berjalan deras menuju ke kereta. Ray membukakan pintu untuknya dari dalam.
Assalamualaikum, bang,” sapa Dania riang sambil mencapai tangan Ray.
Waalaikumussalam,” jawab Ray bersahaja sambil menatap wajah Dania yang sedang menunduk mencium tangannya. Kegalauan hati, damai serta-merta sebaik menatap wajah itu. Namun saat terpiang suara emaknya, hatinya merusuh semula. Pantas matanya terarah ke hadapan dan kereta digerakkannya perlahan.
Abang,” panggil Dania apabila kebisuan menakluki mereka agak lama. Sudah jauh perjalanan mereka, namun bibir Ray seolah terkunci. Belum pernah Ray bersikap begitu kecuali ada perkara yang menggores hatinya.
Kenapa abang tak jawab call Dania subuh tadi?” tanya Dania.
Sengaja,” jawab Ray selamba.
Sengaja?” soal Dania kembali. Dia menoleh ke arah Ray sambil mengetap bibirnya.
Abang tak ada mood,” balas Ray.
Tak ada mood? Habis tu, subuh-subuh buta abang hantar mesej pada Dania tu, ada mood pulak?” tanya Dania marah. Sungguh dia tidak faham perubahan sikap Ray. Abang...” ulang Dania lagi apabila Ray tidak bereaksi. 
Yang Dania tu, subuh-subuh buta boleh balas mesej daripada abang, Dania tak tidur ke?” tanya Ray.
Dania terdiam. Semalam dia memang sukar untuk melelapkan mata. Keresahan terus membelit sukma. Dia memikirkan duduk letak hatinya kini. Adakah secebis untuk Iskandar? Iskandar yang belum dikenali hati budi, tetapi keluarganya tiba-tiba datang merisik.
Dania berangan nak kahwin dengan Iskandar ke?” sindir Ray apabila Dania membisu agak lama. Sengaja hendak menyakitkan hati Dania.
Hisy, mulut abang... selalu tak macam ni!” perli Dania. Abang pun sama. Entah-entah asyik bergayut dengan Jess sampai subuh tadi. Pasal tu pagi ni angin abang lain macam. Jadi sasau...”
Hmm... memang Jess ada call abang. Puas abang suruh dia stop, tapi dia nak sembang dengan abang jugak,” kata Ray, mereka cerita untuk menyakitkan hati Dania.
Abang... Dania dah kata, Dania tak suka dia, kan?” 
Habis tu, kekasih dia Dania dah tawan, hati Jess terkalihlah kepada abang!” sakat Ray.
Abang... Dania tak sukalah sebut-sebut nama dia orang!” marah Dania. Ungkapan Ray menyebabkan dia terpaksa berfikir berjuta kali tentang hubungannya dengan Iskandar.
Tak... tak adalah, Dania. Abang usik Dania aje,” beritahu Ray akhirnya. Bimbang Dania kembali merajuk.
Kenapa buat program mengejut ni?” tanya Dania. Isi perbualan mereka yang entah apa-apa tadi dilontarnya jauh-jauh.
Program? Program apa?” soal Ray pura-pura tidak faham.
Program balik kampung nilah! Abang dah ada rancangan nak meminang siapa-siapa ke? Dah nak kahwin?” usik Dania cuba membuka pintu keriangan Ray semula.
Belum masanya lagi,” balas Ray tanpa menoleh Dania.
Habis tu, kenapa tiba-tiba aje nak balik kampung? Langsung tak nak berbincang dengan Dania,” tempelak Dania.
Alah, Dania tu balik kampung langsung tak nak ajak abang!” bidas Ray agak kuat. Matanya menjeling tajam.
Dania tiba-tiba gugup. Terkedu dan tidak terjawab. Dia menundukkan wajahnya dan memandang hujung lututnya sendiri. Dia mematah-matahkan jari sendiri. Pipinya terasa hangat.
Hari tu cakap... cinta mati kat abang. Tapi, Dania pergi mana-mana langsung tak beritahu abang. Kalau terjadi sesuatu yang tak elok kepada Dania nanti, siapa yang merana?  Abang jugak!” tempelak Ray perlahan. Walau dalam nada bergurau kenyataan itu adalah pernyataan hatinya. Ketawanya yang mengiringi ungkapan itu menyimpan lara yang semakin dalam.
Abang ni, suka nak sakat Dania!” Dania tidak mudah mengalah kalau bertengkar dengan abangnya itu. Bertengkar-tengkar sayang. Kalau merajuk pun, pura-pura sahaja.
Kita sarapan dulu,” ajak Ray. Dia memberi isyarat kiri dan berhenti di bahu jalan, di hadapan sebuah restoran. Kita makan tose kat sini, ya” ajak Ray.
Tak naklah makan tose,” lirih suara Dania cuba bermanja.
Tak nak makan tose, makanlah capati,” cadang Ray. Kerap dia makan di restoran itu. Tose dan capatinya memang sedap. Kalau nasi berianinya sudah siap dimasak, dia akan bungkuskan untuk dibawa balik, buat buah tangan untuk emak dan Iwan. Itulah cadangan hati Ray.
Makan capati pun Dania tak nak,” balas Dania mengusik. Dia mengeraskan diri di tempat duduknya.
Jomlah, Dania turun. Kita tengok apa yang ada kat restoran tu. Kalau tak, ada orang yang makan penampar karang...” gurau Ray. Cepat-cepat dia menanggalkan tali pinggang kaledarnya dan bergegas keluar dari kereta sebelum hujung jari Dania hinggap pada lengannya.
Abang... tunggu Dania!”
Langkah kaki Ray terhenti. Dia tercegat menunggu Dania yang sedang berjalan merapatinya. Senyumannya melebar tanda hatinya sedang gembira dan bahagia. Namun apabila mengenangkan hal yang dikatakan oleh emaknya, batin Ray digayuti rasa sayu.  


Malam itu cahaya purnama lebih terang daripada biasa. Desiran angin yang bertiup sesekali begitu mendamaikan. Ray terus mendengar kata-kata emaknya dengan teliti. Mereka yang baru sahaja selesai makan malam, duduk-duduk santai berhampiran pintu yang dibiarkan ternganga untuk menikmati bayu malam.
Nenek Kamariah kata dia nak melamar Dania untuk Iskandar,” beritahu Fazidatul pada Ray.
Perkhabaran itu bagai menusuk ke ulu hati. Ray menelan air liur. Bibirnya bagaikan terkunci. Agak lama dia membisu. Cuba mententeramkan hati sendiri. Oh! Tak rela hatinya kalau Dania terlepas ke tangan lelaki lain.
Macam mana Ray?” tanya Fazidatul apabila dilihatnya Ray diam dan hanyut dengan fikirannya sendiri.
Habis tu, emak setuju ke?” soal Ray. Bimbang keputusan emak akan meracik hati. Mak setuju ke?” ulang Ray seolah berbisik. Dia melihat sekeliling dengan ekor mata. Hanya mereka berdua berada di dapur pada waktu itu.
 Emak tak tahu nak buat keputusan macam mana, Ray. Sebab tulah emak nak berbincang dengan Ray. Kita buat keputusan bersama-sama,” jawab Fazidatul perlahan.
Dania tahu ke keluarga Iskandar datang merisik dan nak meminang dia, mak?” soal Ray berkali. Hairan pula kerana Dania tidak sedikit pun bercerita kepadanya. Dia setuju ke?” soal Ray lagi dengan dahi berkerut. Kamar hatinya tiba-tiba terasa sesak, terhimpit.
Pada mulanya, dia tak tahu juga tujuan nenek Iskandar nak datang berkenalan dengan emak. Dah sampai kat rumah ini barulah Nenek Kamariah beritahu.... ”
Mak nampak Dania tu terkejut juga pada mulanya. Tapi taklah dia tunjukkan sangat,” cerita Fazidatul.
Habis tu... Dania kata apa, mak?” tanya Ray lagi.
Dia tak tahu nak buat keputusan. Sebab dia masih belajar. Kalau nak menikah buat masa ini, dia memang tak sanggup. Dia tak mahu,” jawab Fazidatul.
Tapi, Ray... Nenek Kamariah kata, dia nak ikat Dania dengan ikatan pertunangan sahaja. Sebab mereka pun belum mengenali hati budi masing-masing. Bila Dania tamat belajar, barulah dinikahkan... itu katanya...”
Sanggup ke Iskandar nak tunggu?  Dania tu ambil ijazah kedoktoran, mak! Lama lagi nak belajarnya. Dalam empat lima tahun jugak,” ungkap Ray perlahan.
Habis tu, takkan kita nak tolak pula lamaran tu? Nampaknya, Nenek Kamariah tu bersungguh sangat. Datin Saripah tu... elok juga budi pekertinya. Sanggup dia duduk dengan emak mertuanya sejak berkahwin, kira baiklah orangnya tu. Iskandar pun sama. Yang emak tengok, lagak gayanya macam orang bertanggungjawab juga. Berbudi bahasa...” puji Fazidatul.
Sepadan ke keluarga kita dengan keluarga mereka, mak?” tanya Ray. Mereka tu orang berada. Sudah biasa dengan kesenangan, kemewahan. Lagipun, setahu Ray... Iskandar tu dah ada teman wanita. Jasmin anak Datuk Wahab. Dengan papa dialah Ray bekerja,” terang Ray. Walaupun dulu dia sudah bercerita kepada emaknya, tetapi dia rasa perlu mengulang cerita yang sama.
Emak ada beritahu Nenek Kamariah tentang hal ni, Ray. Tentang keluarga kita yang serba kekurangan. Tapi, dia kata dia tak kisah tentang harta-harta dunia ni. Semuanya tak akan dibawa menghadap TUHAN. Dia kata dia dah berkenankan Dania. Dia yakin Dania akan menjadi isteri yang baik buat cucunya.” Beria-ia Fazidatul bercerita. Apa pendapat Ray?” soal Fazidatul sekali lagi.
Ray menggaru-garu kepalanya. Tidak tahu untuk menjawab apa. Jika dia hendak menghalang, apa alasannya?  Takkan pula dia hendak memberitahu emaknya, yang dia nak menikah dengan Dania!
Mau pengsan emaknya atau diserang sesak nafas serta-merta. Pengakuannya itu akan membawa kepada terbongkarnya rahsia yang tersimpan kian lama. Dania akan tahu yang dia hanyalah anak angkat.
Jika dia menyetujuinya, hatinya sendiri pula yang akan remuk. Lebur segala kebahagiaan dan kegembiraaannya selama ini. Sanggupkah dia menyaksikan Dania dan Iskandar disandingkan? Sanggupkah dia melihat Dania dan Iskandar berdua-duaan ke sana dan ke sini dengan mesra?
Mak, hal ni biarlah Dania yang buat keputusannya. Kalau boleh, Ray tak mahu tersilap membuat keputusan atau membuat keputusan bagi pihak dia. Jika ikutkan hati Ray, memang Ray nak suruh tolak aje lamaran tu,” beritahu Ray.
Kalau begitu, emak tolaklah,” sampuk Fazidatul.
Jangan mak! Lebih baik tanya pendapat Dania, manalah tahu kalau-kalau hati dia dah terpaut kepada Iskandar. Sudah ada perasaan sayang,” ulas Ray perlahan. Hampir tidak kedengaran suaranya.
Kita biar dia buat keputusan untuk dirinya sendiri ya mak,” cadang Ray, walau hati dibalut hampa. Untuk menyenangkan hati emaknya dan Dania, dia rela berkorban kebahagiaannya sendiri. Hal pasangan hidup, hal yang tak boleh diambil mudah, mak. Ini soal kebahagiaan atau penderitaan Dania di masa akan datang,” sambung Ray lagi.
Yalah, mak setuju dengan pendapat Ray tu. Kita beri peluang Dania berfikir dan membuat keputusannya sendiri. Nenek Kamariah pun taklah mendesak sangat. Dia beri tempoh dua bulan untuk kita berfikir dan membuat keputusan. Kalau dah setuju, barulah dia meminang dan terus tunangkan. Kalau tak setuju, tak apa...” terang Fazidatul.
Mak nampak nenek Iskandar tu macam ikhlas orangnya.” Fazidatul terus memuji.
Mak, Ray nak masuk tidur. Rasa sakit kepala pulak,” dalih Ray untuk segera beredar. Bukannya dia tidak mahu berbual lama-lama dengan emaknya itu, tetapi jika asyik membincangkan hal Dania dan Iskandar, hatinya menjadi tidak keruan. Lebih baiklah dia cepat-cepat mengelak, sebelum rahsia hatinya tertiris.

SAPU TANGAN BIRU - BAB 56



Sudah lama tidak mendengar suara Ray. Dania berasa rindu. Kesibukannya sebagai pelajar menuntut kerinduannya dilupakan seketika. Namun malam itu, malam minggu. Semua teman serumah sudah balik ke kampung masing-masing. Hanya tinggal dia bersendirian. Tiada teman untuk bercerita. Hatinya diperangkap sepi. Rasa rindunya terhadap Ray meniti kembali di jambatan hatinya. Pantas tangannya mencapai telefon bimbit dan menghantar sms kepada abangnya itu. 

Assalamualaikum, Abang Ray. 

Lama dia menunggu balasan daripada Ray. 

Waalaikumussalam. Dah lewat malam ni. Dania belum tidur ke?  

Dania teringatkan Abang Ray. Lagipun Dania tinggal seorang kat rumah ni. 

He...he. Abang pun ingat Dania + rindu. 

Dania senyum membaca balasan daripada Ray. Abangnya itu memang suka bergurau dan mengusiknya. 

Kenapa abang tak call Dania? Sms pun tak. Mentang-mentanglah dah jadi penolong pengurus. 

Dia terus menggiat Ray untuk berseloroh. Hilang pula rasa kantuk yang menyelubunginya sejak tadi. 

Abang sibuk sangat. Datuk dah beri kepecayaan dan tanggungjawab. Abang kena kerja bersungguh-sungguh. Abang ada tugas di tapak projek dan di ofis. 

Alah! Abang tu memang. Macam dah tak sayang pada Dania aje. 

Siapa kata abang tak sayang Dania. Abang sayang + cinta + rindu. Tapi dua tiga hari lepas abang ada call Dania. Dania yang tak jawab. 

Dania ketawa terkekek membaca balasan mesej pesanan ringkas daripada abangnya itu. Disangkanya Ray sedang bergurau. Sedikit pun dia tidak mengetahui yang Ray sedang meluahkan perasaan hati terhadapnya. 

Baru jadi penolong pengurus abang dah jadi mereng! Kita adik-beradiklah. Tak boleh cintan-cintun. He...he. 

Sambil memekup mulutnya menahan ketawa, Dania menekan butang HANTAR. 

Abang serius ni. Cinta mati. Dania... Abang dah terima tawaran untuk ikuti kursus Kejuruteraan Awam di Uitm, kampus Shah Alam. Pengajian separuh masa. Baru sebentar abang semak dalam website. 

Sms Ray menyusul belum sempat Dania membalasnya. Ray cepat-cepat memancung keinginannya yang ingin terusan membicarakan soal hati dan perasaannya. 

Horey! Tahniah! 

Dania menekan butang-butang nombor telefon Ray. Tidak tersabar hatinya untuk mendengar cerita selanjutnya daripada abangnya itu.
“Dania,” sapa Ray dengan suara ceria.
“Bagilah salam dulu.” Dania pura-pura marah. “Dalam sms tadi dah beri salam,” jawab Ray cepat sambil ketawa-ketawa. Bahagia rasa hatinya kerana dapat mendengar suara Dania. Gembira juga kerana dapat meluahkan perasaannya. Walaupun hanya dianggap oleh Dania sebagai gurauan atau usikan, tapi itulah hakikat sebenarnya.
Keasyikan mereka berbual di telefon terganggu oleh bunyi telefon. Serta-merta dada Dania bergemuruh. ‘Alamak! Macam mana aku terlupa off telefon Abang Is ni?’
“Dania... bunyi telefon siapa tu? Bunyi telefon, kan?” tanya Ray berulang kali. Irama lagu Still Loving You, nyanyian Scorpion itu memang menjadi kegemarannya. Justeru itu telinganya amat peka apabila mendengar muziknya.
“Ya, bang. Bunyi telefon,” jawab Dania lambat-lambat. Bimbang dimarahi Ray.
“Tadi Dania beritahu abang, Dania tinggal sorang kat rumah...”
“Telefon tu Dania punya. Nenek Kamariah bagi,” beritahu Dania dengan perasaan resah.
“Nenek Kamariah ke Iskandar yang bagi?Kan abang dah belikan Dania telefon?” tanya Ray keras. Hatinya bagai dicubit-cubit mendengar cerita Dania itu.
“Abang Is yang hantar pada Dania,” jelas Dania dengan suara gementar. Perasaannya mula tidak keruan. Entah mengapa, dia berasa terlalu takut.
Ray mengetap bibirnya beberapa ketika. Nafasnya dihela perlahan. Cuba menenangkan tasik hati yang mula berkocakan.
“Siapa yang call Dania tengah malam buta ni?” tanya Ray. Suaranya dilunakkan kembali. Apa guna mempamerkan perasaan cemburu jika Dania tidak tahu tentang irama cinta yang sedang berlagu dikalbunya? Walau sudah dikhabarkan secara terus terang, Dania tidak akan percaya. Bahkan telah menganggapnya mereng!
“Err... err,” jawab Dania tergagap-gagap.
“Iskandar, kan?” tebak Ray. Telefon ditekannya kuat-kuat pada cuping telinga. Dia ingin mendengar jawapan jujur daripada Dania. Namun helaan nafas Dania yang sampai ke telinganya.
“Dania,” panggil Ray apabila Dania tiada reaksi.
“Sekejaplah, bang,” rengek Dania.
Ray senyap. Menunggu dengan sabar. “Hah! Dania dah off telefon tu. Memang Abang Is yang call,” beritahu Dania. Sebenarnya sudah beberapa kali Iskandar menelefonnya sebelum ini, tetapi tidak dijawabnya.
“Off? Dania tak nak sembang dengan dia ke?” Ray cuba menduga Dania.
“Tak naklah! Baik sembang dengan orang yang kita cinta dan rindu.” Dania berseloroh lagi.
“Siapa yang Dania cinta dan rindu?”
“Abang Raylah”
“Dania cinta mati kat abang...” ujar Dania bersahaja sambil ketawa.
Ray ketawa besar. Nasib baiklah Dania tiada di hadapannya. Jika tidak hidung Dania yang comel pasti akan dicubitnya kuat-kuat dengan perasaan geram.
“Dania pun dah mereng macam abang jugak ke?” perli Ray. Meskipun jiwanya jadi bergetaran mendengarkan kata-kata Dania itu. Namun apalah daya. Keindahan bercinta takkan menjadi milik mereka berdua.
“Dania serius. Cinta mati.” Dania mengulangi kembali ayat sms Ray tadi sambil ketawa.
“Eh! Semakin pandai merepek pulak Dania ni. Sudahlah tu. Pergi tidur. Abang dah mengantuk ni,” balas Ray sambil berpura-pura menguap kuat.
“Asyik bersembang dengan abang tak sedar waktu berlalu. Dah pukul 2.00 pagi. Dania pun dah ngantuk...”
“Assalamualaikum. Tidur jangan lupa mimpikan Dania,” usik Dania lagi sewaktu berpamitan.
“Hisy! Nak buat apa? Tak naklah abang. Baik abang mimpikan anak gadis Datuk Wahab yang seksi tu...” duga Ray sambil ketawa kecil. Teringat pula pada telatah gadis itu sewaktu bersamanya ke Ipoh. 
“Abang!”
“Dahlah, Dania. Assalamualaikum.” Ray menekan butang merah di telefon sambil menelan air liur. Semakin lama berbual dengan Dania perasaannya semakin tidak keruan. Getaran cinta semakin meruntun sanubarinya. Tekaknya rasa kesat. Dia mengusap-usap dadanya perlahan. Hatinya pedih, perit. ‘Dania,’ bisiknya sambil mengeluh perlahan. Suka atau pun tidak, dia harus memendam rasa. 


Iskandar tidak dapat bersabar lagi. Sudah beberapa kali panggilan telefonnya tidak berjawab. Hari ini, dia nekad untuk menjemput Dania di rumah sewanya. Atau dia akan menunggu Dania balik dari kuliahnya. Entah mengapa dia asyik teringatkan gadis itu.
“Kenapa ni, Is? Gelisah aje mak tengok?” tegur Datin Saripah yang perasan anak bujangnya itu berwajah sugul. “Ada masalah di tempat kerja ke?”
“Tak ada apa-apalah, mak! Is nak keluar sekejap ya? Nak jumpa dengan kawan,” beritahunya lantas mengambil kunci kereta.
“Kenapa dengan Is tu, Ipah?” tanya Nenek Kamariah yang muncul di ruang tamu. Matanya sempat memerhati Iskandar yang sedang berjalan menuju ke keretanya.
“Entahlah, mak! Saya dah tanya, tapi dia kata tak ada apa-apa,” jawab Datin Saripah.
“Dia bergaduh dengan Jess ke?” tebak Nenek Kamariah. “Cepat panggil Iskandar! Suruh dia masuk balik ke rumah. Cakap dengan dia emak nak berunding satu hal,” suruh Nenek Kamariah kepada menantunya.
Datin Saripah terus patuh kepada suruhan emak mertuanya itu. Dia berkejar ke pintu dan memanggil Iskandar yang baru sahaja menghidupkan enjin kereta.
“Ada apa nek?” tanya Iskandar sebaik sahaja masuk balik ke dalam rumah. Wajah nenek kesayangan terus direnung.
“Mari duduk dekat nenek ni,” ajak Nenek Kamariah. Dia menepuk sofa di sebelah kanannya.  “Nenek nak ajak Is pergi ke kampung Dania. Nenek nak berkenalan dengan emaknya,” beritahu Nenek Kamariah sebaik sahaja Iskandar sudah duduk rapat di sisinya.
“Nak pergi ke kampung Dania? Nenek tahu ke rumahnya?” soal Iskandar pula.
“Apa masalahnya? Kita pergi ke rumah sewa Dania dan ajak dia sekali. Nenek rasa hari ni dan esok, dia tak ada kuliah,” beritahu Nenek Kamariah dengan perasaan senang.
“Macam mana nenek tahu jadual kuliah Dania pula ni?” soal Iskandar hairan.
Nenek Kamariah tersenyum lebar, setelah itu ketawa kecil pula.
“Alah, lepas solat subuh tadi nenek telefon Dania,” jelasnya.
Iskandar menjongketkan keningnya. “Nenek ni... subuh-subuh buta pulak ganggu anak dara orang,” rungutnya perlahan dengan rasa kurang senang.
“Apa salahnya telefon anak gadis pada waktu subuh? Dengar suaranya saja kita dah tahu, dia ni seorang perajin atau pemalas. Rajin bangun pagi dan menunaikan kewajipan kepada ALLAH atau tak,” leter Nenek Kamariah perlahan.
Iskandar tak terkata.
“Kita pergi hari ni juga. Is pun cuti, kan?” tanya Nenek Kamariah lagi. Mengharapkan persetujuan cucunya itu. “Nenek dah beritahu pada Dania tadi,” terangnya lagi.
“Tapi, nek...” Iskandar cuba berdalih.
“Is nak pergi jumpa dengan Jess, kan? Tak usah! Nenek tak benarkan!” tegas Nenek Kamariah.
“Ipah!” panggil pula Nenek Kamariah kepada menantunya. Datin Saripah terus mendatanginya.
“Sekejap lagi emak nak pergi ke kampung Dania. Ipah ikut ya,” beritahu Nenek Kamariah.
“Nak pergi ke kampung Dania untuk apa, mak?” tanya Datin Saripah. Mendadak sahaja emak mertuanya itu membuat keputusan.
“Hal yang kita bincangkan dululah,” terang Nenek Kamariah. Bibir tuanya mengukir senyuman manis.
“Hal apa, mak?” soal Datin Saripah. Dia semakin bingung. Iskandar hanya memasang telinga untuk mendengar jawapan daripada neneknya.
“Emak nak berkenalan dengan orang tua Dania,” jawab Nenek Kamariah.
“Oh...” balas Datin Saripah. Senyumannya melebar. Hilang rasa bingungnya tadi.
“Ipah ingatkan ada hal yang penting sangat tadi. Tiba-tiba saja emak nak pergi ke rumah dia, berkenalan dengan keluarganya,” kata Datin Saripah.
“Memang ada hal penting, Ipah... Iskandar,” sahut Nenek Kamariah. Wajah Iskandar dan Datin Saripah direnungnya silih berganti. Senyuman di bibirnya pula bertambah mekar. “Emak nak merisik Dania buat cucu kesayangan emak ni...”
“Apa nek? Nak merisik?” soal Iskandar dengan suara kuat kerana terlalu terkejut.
Nenek Kamariah hanya menganggukkan kepalanya sambil menggosok-gosok telapak tangannya.
Iskandar merenung wajah emaknya. Mereka berbalas renungan. 


Sulitnya untuk membuat keputusan. Hal yang sedang difikirkan menentukan kehidupan Dania pada masa akan datang. Kebahagiaan atau penderitaan. Hal yang sedang mengasak mindanya bukanlah hal yang boleh diambil mudah. Kalau dia menerima, apa pula kata Ray? Setujukah Ray jika Dania dijodohkan dengan Iskandar?  Sedang sebelum ini hati anak muda itu merusuh kerana tidak suka Dania berhubung baik dengan nenek pemuda itu.
Kata Ray, Iskandar teman lelaki anak gadis Datuk Wahab. Datuk Wahab lelaki yang banyak berjasa kepadanya. Dia tidak suka Dania berhubung rapat dengan Iskandar. Bimbang akan menggugat perhubungan cinta antara Iskandar dan Jasmin. Dia akan berasa malu. Kini, apa yang dibimbangkan Ray telah pun terjadi. Memang keluarga Iskandar sudah berkenan kepada Dania.
Tetapi bukan Dania yang mengajak atau menyuruh keluarga Iskandar datang merisiknya. Dia sendiri pun tidak tahu. Kata Nenek Kamariah, dia hanya ingin berkenalan dengannya. Tidak diduga pula di dalam pertemuan semalam, Nenek Kamariah menyatakan hasratnya untuk menyunting Dania buat Iskandar. Disokong pula oleh menantunya, Datin Saripah. Menurut nenek dan emak Iskandar, bapa Iskandar, Datuk Jalal pun sudah bersetuju dengan pilihan Nenek Kamariah itu. Untuk menjodohkan Dania dan Iskandar. Sudah tentu Iskandar pun suka kepada Dania. Jika tidak pasti dia akan menghalang kehendak keluarganya itu.
Fikiran Fazidatul begitu berselirat sekali. Tidak tahu hendak membuat keputusan. Dia tahu apa yang tersembunyi di hati Ray. Sudah lama dia tahu. Perasaan Ray terhadap Dania memang sudah lama dia perasan. Namun, dia tidak boleh membiarkan perasaan Ray kepada Dania terus menyubur. Harus dicantas secepatnya. Membiarkan impian cinta Ray kesampaian bermakna dia terpaksa membongkar banyak perkara yang disembunyikan selama ini. Kepada Dania dan kepada Ray sendiri. Banyak perkara yang berkait. Dia tidak pasti sama ada Dania atau Ray sanggup menerima kenyataan. Padanya Ray dan Dania tetap anak-anaknya. Kasih sayangnya kepada Dania dan Ray sama seperti kasih dan sayangnya kepada Iwan. Iwan satu-satu zuriatnya.
‘Hmm...’ Keluhan Fazidatul agak kuat. Jika dia ingin menerima lamaran Iskandar buat Dania, dia kena berbincang dengan Ray terlebih dahulu. Dia juga kena mengambil tahu kehendak hati Dania. Fazidatul meraba-raba bawah bantal mencari telefon bimbitnya. Tergenggam sahaja telefon itu, dia terus menekan-nekan nombor Ray.
“Assalamualaikum, mak.” Suara Ray terus menjengah ke telinganya tidak berapa saat kemudian.
“Waalaikumussalam, Ray. Anak mak sihat tak?” tanya Fazidatul cuba bersuara riang. “Dah isyak? Dah makan?” soalnya bertalu.
“Alhamdulillah, mak. Ray baru habis solat. Makan malam belum lagi. Ray baru bercadang nak telefon mak ni,” balas Ray gembira.
“Oh ya? Mesti ada cerita bagus ni!” usik Fazidatul ceria. Bibirnya melarik senyuman.
“Ya, mak! Ray nak beritahu mak, mungkin pagi esok Ray nak balik,” beritahu Ray diselangi ketawa.
“Eloklah tu kalau Ray nak balik. Memang mak telefon ni nak suruh Ray balik sekejap, jika ada peluang,” kata Fazidatul pula.
“Mak...” panggil Ray manja.
“Ya... kenapa?  Ray dah nak kahwin ke?  Dah jumpa anak dara yang boleh emak pinang?” gurau Fazidatul.
Ray ketawa mengekek. “Hisy, mak ni... ke situ pulak. Ray belum nak beristeri lagi, mak,” balas Ray.
“Macam ni, mak! Ray ingat malam esok, kita buat kenduri sikit kat surau kampung, nak tak? Ray nak buat kenduri doa selamat dan kesyukuran,” jelas Ray.
“Kenduri kesyukuran untuk apa tu, Ray?” tanya Fazidatul.
“Lepas Dania dapat keputusan cemerlang dalam SPM, kita belum buat kenduri lagi. Sekarang ni, dia dah masuk U, Ray pun dah dinaikkan pangkat. Keputusan peperiksaan Iwan pun cemerlang jugak, kan? Sebab tulah Ray nak buat kenduri kesyukuran. Alhamdullillah, rezeki kita sekarang ada lebih sikit,” terang Ray panjang lebar.
“Hah! Lagi satu perkara, mak! Awal bulan depan Ray akan mula sambung belajar. Ray ambil pengajian separuh masa, mak. Belajar sambil bekerja,” cerita Ray dengan teruja.
“Alhamdulillah. Ray belajar kat mana? Sama universiti dengan Dania ke?” tanya Fazidatul.
“Tak, mak! Ray kat Shah Alam. UiTM. Mak doakan Ray ya,” pinta Ray.
“Baiklah, Ray. Kalau begitu mak setuju sangat dengan cadangan kenduri tadi. Kita buat tahlil untuk arwah ayah sekali ya,” cadang Fazidatul.
“Ya mak! Yang tu mesti,” balas Ray senang hati.
“Iwan pagi esok ada balik, kan?” tanya Ray pula. Hendak membuat kenduri walaupun secara kecilan biarlah semua ahli keluarga ada di rumah.
“Selalunya begitulah. Lagipun hari Isnin ni cuti umum, kan. Dia ada balik nanti. Insya-ALLAH...”
“Bagus. Kalau begitu, esok Ray balik dengan Dania ya, mak! Sekejap lagi Ray telefon dia bagitau nak ajak balik,” beritahu Ray dengan suara riang.
“Semalam, Dania ada balik,” beritahu Fazidatul spontan. Langsung tidak terlintas di hatinya untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan Ray.
“Hah? Dania balik? Dia tak beritahu Ray pun!” balas Ray agak terkejut. “Dia balik dengan Iskandar. Nenek dan emak Iskandar pun ada sekali,” beritahu Fazidatul.
Kepala Ray rasa berat tiba-tiba. Entah perasaan apa yang tiba-tiba bergayut di hatinya sehingga dia rasa gelisah.
“Apa mak?” tanya Ray terkejut.
“Itu yang mak nak ajak Ray balik. Nak berbincang,” jawab Fazidatul tenang. Tenang suara emaknya menjawab tidak meredakan tasik hati Ray yang mula berkocakan. Dia memicit dahi berkali-kali dan memejamkan matanya kerana pandangan matanya sudah berpinar dan berbintang-bintang.
“Kita jumpa esok ya, mak!” kata Ray sebelum menamatkan perbualan mereka.
“Yalah. Sebelum bertolak balik esok, telefon emak dulu tau. Jangan lupa sampaikan salam emak kepada Dania,” pesan Fazidatul.
“Baik, mak, Assalamualaikum,” balas Ray. Perlahan suara emaknya membalas salam. Setelah memastikan yang emaknya benar-benar telah memutuskan komunikasi antara mereka, barulah Ray menekan butang merah di telefon tangannya.
 Fikirannya berlegar-legar. Urat di dalam otaknya mula rasa menegang. Perasaan Ray semakin galau. Jiwanya bagaikan terhimpit.