Selasa, 27 Ogos 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 12-sambungan)


Hampir 2.00 pagi, Sharina terus meresah di tempat tidurnya. Tergolek-golek dia ke kiri dan ke kanan. ‘Panasnya malam ni, nak tidur pun tak boleh,’ rungutnya lalu bangun dan duduk sambil memeluk lututnya. Dia bersandar ke kepala katil. Pergerakannya perlahan kerana bimbang Kamal akan terjaga. Dia merenung wajah Kamal dengan perasaan sayang. Tadi suaminya itu tidur di atas lantai. Namun, hancur luluh hatinya melihat Kamal tidur di dalam keadaan tidak selesa. Lantas, dia mengejutkan Kamal dan mengajaknya tidur di atas katil.
Pejam celik hampir dua bulan dia menjadi isteri Kamal. Sejujurnya, dia berasa aman di sisi lelaki itu. Namun hatinya belum boleh menerima Kamal dengan sepenuh hati.
‘Alah, haus pulak... takkan tengah malam buta hendak selongkar dapur orang pula,’ bisik hatinya. ‘Nak kejutkan abang, nanti emak marah pulak.’
Akhirnya, dia keluar dari bilik dengan terjengkit-jengkit. Memikirkan semua orang sedang lena dibuai mimpi, Sharina terhendap-hendap berjalan ke dapur dengan berpakaian tidur. Baju tidur yang sememangnya dibawa oleh Kamal dari rumah mereka di Melaka. Mahu tak mahu dia terpaksa memakainya juga walau rasa tidak selesa kerana mendedahkan sebahagian besar bahunya.
“Rin... boleh tuangkan abang air!”
Sharina rasa terkejut dan tergamam. Itu suara Zarif Afandi. Dia tidak selesa dengan kehadiran lelaki itu. Tambah dengan keadaan dirinya yang sedang berpakaian tidur begitu. Baru sahaja Sharina mencapai gelas untuk menuangkan air, tiba-tiba birasnya itu memegang tangan dan mengusap-usap mesra. Usapan Zarif Afandi menjalar sehingga ke lengannya.
Sharina panik. Perasaan serba salah  menghimpit.
“Hei... hei... apa ni? Rin... pergi masuk bilik!”
 Mendengar suara Kamal, Sharina rasa hendak rebah di situ juga. Dia menoleh ke arah Kamal. Sharina nampak Kamal menggigit bibirnya sendiri, menahan geram. Ruang dapur terang-benderang kerana Kamal telah memetik suis lampu. Terlepas gelas dari tangan Sharina kerana terkejut. Mujur gelas yang belum diisi dengan air hanya bergolek di atas meja. Terketar-ketar tubuhnya pada waktu itu kerana rasa takut yang amat. Kamal merentap tangannya daripada pegangan Zarif Afandi dan mengheretnya ke dalam bilik tidur mereka. Bilik tidur yang masih terhias cantik.
“Inai di jari masih merah. Jangan nak buat hal! Lain kali, sebelum tidur bawa air masuk ke bilik ni!” marah Kamal. Selepas memberi amaran kepada Sharina, Kamal pergi ke dapur semula.
Sharina tidak dapat menahan kesedihannya lalu menangis tersedu-sedu. Tergores hatinya mendengar kata-kata Kamal tadi. Tidak sangka Kamal akan memarahinya begituSharina tidak tahu apa yang berlaku antara ipar duai itu. Beberapa minit kemudian, Kamal kembali ke kamar dengan wajah masam. Namun air mukanya berubah apabila melihat Sharina menangis teresak-esak. Mungkin perasaan bersalah pula bertandang di hatinya suaminya itu.
“Rin... maafkan abang! Abang tak bermaksud untuk memarahi Rin! Cuma abang nak pesan, hati-hati dengan si Zarif tu!”
Tidak seperti tadi ungkapan Kamal kini begitu lembut. Mungkin dia sedar kekasarannya tadi telah mencalarkan hati isteri dikasihi.
“Rin haus sangat,”  adu Sharina. Dia menangis tersengguk-sengguk. Peristiwa itu amat memalukan. Tidak tahu di mana hendak disorokkan mukanya. Kata-kata Kamal tadi walaupun tidak bermaksud untuk memarahinya begitu mencalarkan hatinya. Seolah-olahnya dia isteri yang tidak tahu menjaga kehormatan.
“Ya... abang faham. Abang bukan marah Rin. Abang tak marah! Abang marah si Zarif tu,” terang Kamal sambil mengelus rambut Sharina. Namun tangisan Sharina masih belum berhenti dengan pujukannya itu.
“Rin terasa hati sebab abang tengking Rin, ya...” teka Kamal.
Sharina membisu. Sedu-sedannya masih berpanjangan. Emak dan abangnya tidak pernah menengkingnya dengan nada marah.
“Abang janji takkan buat macam tu lagi. Abang takkan cakap kasar dengan Rin... maafkan abang ya,” ungkap Kamal lagi sambil menyeka air mata di pipi Sharina dengan hujung jarinya. Hujung jari isterinya itu dicium bertalu-talu dengan seribu sesalan.
“Sayang tidur ya! Awal pagi esok kita bertolak balik ke Melaka” pujuk Kamal lagi. Rambut Sharina dibelai dan diusapnya lembut.
“Lain kali, selain dari rumah kita, keluar dari bilik pun Rin tutup aurat. Walaupun di rumah emak abang! Jangan pakai baju tidur macam ni,” bisik Kamal sambil memeluk Sharina perlahan.
Sharina tetap membisu. Hanya sedu sedannya sahaja yang kedengaran.

“Abang tak suka siapa-siapa pun tengok aurat Rin!” jelas Kamal lagi dengan bisikan yang bergetar. 

                                                 ~ ~ bersambung ~~

2 ulasan:

Ikhwan berkata...

Assalamu`alaikum,..... kunjungilah blog saya : www.salafyciampeabogor.blogspot.com
InsyaAllah bermanfaat.

Nukilan Rasa Juriah Ishak berkata...

saya akan lawati blog anda setiap hari..insyaALLAH...